Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Jun 2011

Budak baca ayat al-Quran elak dirogol

Posted by epondok di Jun 22, 2011

JEDDAH: Seorang mangsa perogol bersiri berkata beliau membaca ayat al-Quran untuk menghentikan penyerang mencabulnya, lapor akhbar al-Madinah kelmarin.

Akhbar Arabnews melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu memberitahu akhbar itu yang beliau berjaya melindungi dirinya daripada serangan perogol itu dengan membaca lima surah kitab suci itu yang dipelajarinya secara bersungguh-sungguh.

“Setiap kali beliau menghampiri, saya mula membaca al-Quran dan penjahat itu melepaskan saya,” katanya.

Kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai MMS memberitahu perogol itu meminta beliau berhenti membaca al-Quran tetapi apabila beliau enggan mengikut arahannya, perogol itu memukul mukanya.

“Kerana bacaan ayat suci itu beliau enggan menyentuh saya,” katanya.

Mangsa diculik semasa menghadiri majlis perkahwinan dan dilarikan ke rumah perogol.

Lelaki itu menolak mangsa ke dalam rumah dan mengunci pintu.

“Perogol itu kemudian menyerang saya tetapi saya mula membaca ayat al-Quran,” katanya.

Mangsa kemudian ditinggalkan di klinik berdekatan di daerah Al-Muntazahat. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Jun 22, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.

Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.

Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.

Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.

Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.

Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.

Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.

Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.

Kewajaran Gelaran Sayyiduna

Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud ‘Penghuluku’ atau ‘Penghulu Kami’.

Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz ‘Sayyiduna’ atau ‘Tuan’ atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.

Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: “Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.

“Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.

“Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)

Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: “Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.

“Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat”.

Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis.” (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)

Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.

Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:

Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)

Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).

Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa’i dan Ahmad)

Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab

Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafaz Sayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.

Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.

Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:

Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.

Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.

Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.

Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: “Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini”.

Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.

Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.

Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.

Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-‘Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: “Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan.”

Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.

Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah

Posted by epondok di Jun 22, 2011

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

 

DAHULUNYA dikatakan Rasulullah menambat buraq di tembok buraq ini semasa Israk dan Mikraj. Kini ia dikuasai oleh Yahudi dan dikenali OLEH Yahudi dan DIKENALI sebagai tembok menangis tempat untuk mereka beribadat terutama memohon ampun dari tuhan.

 

Sungguh sedih, kecewa dan hampa apabila ada di kalangan umat Islam sendiri tidak mempercayai paling bersejarah dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.

Seperti yang tersiar di Utusan Malaysia Khamis lalu, satu laporan telah dibuat, yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial, Facebook yang mempersendakan peristiwa itu.

Mereka yang tidak mempercayai peristiwa itu sama dengan golongan kafir Quraisy yang tidak menerima kebenaran peristiwa tersebut.

Ketika Rasulullah SAW bercerita kepada mereka mengenai peristiwa yang baru ditempuhi itu, tidak ada kalangan kafir Quraisy mahu mempercayainya. Malah baginda terus diejek sebagai orang gila dan sebagainya.

Berbeza pendirian yang ditunjukkan oleh sahabat baik baginda iaitu Abu Bakar selepas mendengarkan sendiri dari Rasulullah mengenai peristiwa perjalanan malam tersebut.

Beliau berkata; “Engkau benar! Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah.”

Sejak itulah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud; yang membenarkan. Langsung tidak ada sebarang rasa ragu beliau terhadap Rasulullah.

Apabila ditanya oleh kaum kafir Quraisy bagaimana Abu Bakar boleh mempercayai peristiwa yang dialami oleh Rasulullah itu sedangkan mereka yang selalu ke Palestin memerlukan masa dua bulan untuk perjalanan pergi dan balik ke sana, Abu Bakar berkata: “Aku mengakui kebenaran Muhmmad pada perkara yang jauh lebih besar daripada itu (Israk dan Mikraj).

“Aku beriman kepada Muhammad mengenai wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata sahaja.

“Kalau itupun aku percaya, kenapa pula aku tidak percaya Muhammad boleh pergi Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?”

Begitupun baginda memahami kesukaran mana-mana pihak memahami dan mempercayai secara tuntas mengenai peristiwa yang baginda alami itu.

Lalu baginda menerangkan dan menceritakan kepada mereka mengenai keadaan di Palestin (Baitul Maqdis) iaitu terutama Masjid Al Aqsa termasuklah struktur binaan, tiang, tingkap dan sebagainya dan kawasan sekitarnya.

Baginda juga memberitahu mengenai sebuah rombongan dagang yang dipintas oleh baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas turun dari Sidratul Muntaha.

Rombongan dagang itu kemudiannya membenarkan kata-kata baginda itu ekoran mereka mendengar suara dari langit yang memberitahu mengenai unta mereka yang lari kerana ketakutan ternampak buraq yang ditunggangi oleh Rasulullah.

Walaupun telah diceritakan dengan begitu jelas dengan bukti-bukti yang dibawa oleh Rasulullah namun golongan kafir Quraisy tetap berdegil dan langsung tidak mahu mempercayai baginda apatah lagi untuk beriman terhadap Allah, tuhan yang Esa.

Hal ini sememangnya menguji keimanan seseorang. Pelbagai persoalan tidak dapat dielakkan timbul mengenai kebenaran kejadian Israk dan Mikraj itu.

Perkataan Israk berasal dari kata asas saraa yang bererti berjalan. Ia merujuk perjalanan di muka bumi pada waktu malam oleh Nabi Muhammad dengan roh dan jasad (bukannya mimpi) dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Seterusnya menyaksikan baginda yang ditemani oleh malaikat Jibrail (dalam bentuk manusia) naik ke langit dari Masjid Al Aqsa itu. Dari situ baginda juga singgah ke Baitul Makmur dan kemudiaannya ke Sidratul Muntaha, dekat kursi Allah SWT dan kemudian turun semula ke bumi dengan menaiki semula kenderaannya iaitu Buraq.

Kesemua perjalanan itu seperti yang kita ketahui mengandungi pelbagai peristiwa terutama detik bermulanya umat Islam disyariatkan mendirikan solat.

Allah memperlihatkan

Justeru, segala peristiwa ini merupakan kejadian yang menjadi hak mutlak kepada Allah untuk mengadakannya, iaitu dengan segala ilmu dan kekuasaan milik-Nya.

Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.

Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW.

Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.

Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.

Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.

Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu ‘sekelip mata’ pantasnya.

Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.

Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.

Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:

lPeristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.

l Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.

l Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.

Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Manfaat masa strategi penting elak umat Islam ketinggalan

Posted by epondok di Jun 22, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Tiga gerak kerja hebat perlu dilaksana dalam organisasi

ALHAMDULILLAH, apabila melihat jam di tangan dan tarikh di kalendar, ternyata pantas sekali masa bertukar hari, hari pula bertukar minggu, minggu bertukar bulan dan bulan bertukar tahun yang baru. Begitulah cepatnya masa berlalu. Persoalannya apakah yang sudah kita lakukan? Adakah gerak laku dan amalan kita juga sepantas waktu? Atau kita sudah tewas dengannya? Ada yang berkata, “kalaulah boleh dikembalikan masa ke sejam atau sehari atau sebulan atau setahun atau ke sepuluh tahun yang lalu”.

Semua ungkapan tercetus gara-gara masa. Oleh itu, apabila mengingati detik, hari dan waktu, wajarlah kita mulai dengan perasaan bersyukur kerana masih diberikan nikmat masa untuk mengecapi hidup meningkatkan lagi usaha meraih keredaan Allah walaupun tidak dapat mengembalikan masa silam yang berlalu.

Pepatah Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kita”. Ertinya, jika kita tidak memanfaatkannya, nescaya masa akan berlalu meninggalkan kita dalam keadaan sia-sia dan penyesalan.

Justeru, biarlah masa yang kita tinggalkan dipenuhi dengan saat-saat indah oleh amal kebajikan dan kebaikan. Dalam melayari kehidupan dan melaksanakan tugas seharian wajarlah kita merenungi peringatan dan pesanan Allah kepada hamba-Nya dengan penuh hikmah dan makna mendalam.

Firman Allah bermaksud: “Dan demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecualilah mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sahabat ada menyebut, “jika engkau berada pada waktu pagi, janganlah menunggu sehingga datangnya waktu petang, dan jika engkau berada pada waktu petang janganlah engkau menunggu sehingga datangnya waktu pagi”.

Inilah antara kelalaian kita dengan masa. Oleh itu, peringatan supaya memanfaatkan masa tanpa berlengah, menunggu-nunggu atau bertangguh adalah strategi penting demi memastikan umat Islam tidak ketinggalan serta berada dalam kerugian yang akhirnya membawa kepada penyesalan.

Gambaran umat yang menyesal dikisahkan dalam al-Quran sebagai iktibar.

Berada dalam keadaan kerugian dan penyesalan adalah situasi yang tidak diingini dan digemari oleh sesiapa juga kerana manusia dianugerahkan dengan naluri cintakan keuntungan, bukannya kerugian.

Cuma hati, usaha dan tekad manusia saja sering tersasar, lemah dan ada pasang surutnya. Justeru, inti pati surah al-Asr memberi peringatan dan jalan penyelesaian supaya manusia terselamat daripada kerugian masa melalui tiga gerak kerja hebat.

Pertama, menggunakan masa untuk beramal, kedua, masa untuk berpesan-pesan pada kebenaran dan ketiga, masa berpesan kepada kesabaran. Pendek kata, seseorang tidak akan rugi jika terus berbuat baik dan meninggalkan tidak baik.

Malah, dalam konteks berorganisasi, menyiapkan minit dan mengeluarkan notis mesyuarat dalam kadar segera, memastikan sistem fail dalam keadaan sistematik dan e-filing mudah diakses , menjawab panggilan telefon dalam tiga deringan awal, menyediakan kemudahan menerima aduan dan mengambil tindakan pantas menyelesaikannya adalah tergolong dalam kluster amal salih.

Bahkan, tanpa disedari, usaha menghasilkan kerja secara efektif serta berkesan melalui kerja dengan pantas dan berjadual bukan sekadar mengelakkan kerugian masa pada pekerja saja, sebaliknya berjaya memberi manfaat kepada masa pelanggan berurusan.

Inilah kualiti insan dinyatakan Baginda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada yang lain.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Manakala usaha berpesan kepada kebenaran pula dilihat sebagai strategi kerja berpasukan untuk menghasilkan kejayaan.

Oleh itu, sebarang kesilapan atau kecuaian tindakan perlu ditegur, diperingatkan, serta diperbaiki bersama.

Dalam konteks kerja, teguran dan peringatan serta pandangan dari pihak pengurusan atasan mahupun staf bawahan perlu diberi ruang secara sihat bagi menggalakkan percambahan pandangan serta teguran membina.

Namun, perlu diingat dalam melaksanakan amal kebaikan, nilai kesabaran amat berharga kerana kejayaan itu tidak dapat dikecapi sekelip mata kecuali dengan jerih perih dan titik peluh di samping kegigihan serta kesabaran.

Malah, sifat berpesan-pesan, saling mengingati dan menyampaikan kepada kebenaran dan kesabaran adalah sifat terpuji bagi Rasulullah SAW yang perlu dicontohi umatnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »