Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Jun 2011

Anak jadi inspirasi bapa mithali

Posted by epondok di Jun 19, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

  • FotoMOHON KEMAAFAN…anak perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan
    bapanya dan segera memohon maaf jika melakukan kesilapan. – gambar
    hiasan

KELUARGA sakinah. Itu harapan setiap keluarga yang mahukan kehidupan mereka sentiasa berada dalam lembayung rahmat dan pemeliharaan Allah s.w.t.

Bapa adalah tunjang kepada sebuah keluarga di mana faktor kepemimpinannya memberi kesan langsung dalam melahirkan keluarga bahagia yang merangkumi keupayaan mereka mendidik, memberi perlindungan, kasih sayang serta menyara perbelanjaan keluarga.

Namun, bukan mudah seorang bapa menjalankan tanggungjawab mendidik keluarga tanpa ilmu keibubapaan apatah lagi di zaman siber yang penuh cabaran.

Anak-anak di zaman siber pintar dan cerdik, justeru bapa perlu memahami cita rasa anak-anak kerana sebarang perlakuan mereka akan menjadi contoh.

Dalam soal solat dan kehidupan seharian, bapa perlu ada ilmu agama. Bayangkan jika bapa tidak menunaikan solat, bagaimana dia mengharapkan anaknya akan sembahyang.

Cabaran pendidikan di zaman siber memang rumit dan si ayah perlu mempunyai kemahiran jati diri dan iman yang kuat bagi memastikan anak-anak tidak hanyut ke lembah hina.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis riwayat at-Tirmizi bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (Surah at-Tahrim ayat 6).

Bapa mithali sentiasa menggunakan kesempatan melakukan perkara terbaik buat keluarganya. Bahkan anak merekalah yang menjadi inspirasi untuknya berusaha mencari sebuah kehidupan sempurna.

Tekanan dan keletihan seharian mencari nafkah pastinya akan hilang apabila pulang melihat keriangan wajah anak serta layanan mesra isteri.

Bagi bapa yang tidak bertanggungjawab pula mereka menganggap anak dan isteri sebagai bebanan dan ‘menyesakkan’ hidupnya.

Mereka biasanya lebih gemar berada di luar rumah bersama rakan.

Anak-anak lebih mengagumi bapanya yang bersifat memahami serta menghormati keperluan mereka. Kisah Lukman al-Hakim boleh dijadikan contoh dalam mendidik anak.

Beliau menerapkan pendidikan menyeluruh kepada anaknya mencakupi asas ibadat, akidah, akhlak serta dakwah. Beliau berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada amalan engkau (baik atau buruk) seberat biji sawi yang tersembunyi dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya didatangkan (dibalas) Allah juga. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

“Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah orang (membuat) yang makruf (baik) dan laranglah (membuat) yang mungkar (haram) serta bersabarlah di atas cubaan yang menimpamu. Sesungguhnya demikian itu pekerjaan yang dicita-citakan. (Surah Luqman ayat 16-17).

Ibu bapa perlu sentiasa memanjatkan doa dengan penuh harapan agar anak mereka hidup dalam kesempurnaan. Sudah pasti impian itu dikabulkan Allah kerana tiada benteng dan hijab menghalangnya.

Bagi memantapkan kefahaman Islam di kalangan anak, bapa sebagai pemimpin keluarga berperanan mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah seperti memupuk anaknya minat membaca.

Dalam mendidik anak, bapa perlu mempunyai sifat sabar dan tidak sesekali bertindak kasar. Terdapat beberapa perkara boleh diusahakan bersama antaranya memperbanyakkan berdoa kepada Allah dengan bertawajuh pada dinihari.

Bapa perlu mengetahui wang ringgit yang dibelanjakannya itu adalah nafkah paling afdal dan paling agung pahalanya di sisi Allah.

Ketinggian ilmu saja tidak menjamin seseorang bapa mampu mendidik anaknya kerana ia perlu juga kepada kemahiran dan hikmah.

Rasulullah s.a.w adalah contoh ikutan terbaik yang menjelaskan kepada kita erti sebenar dalam memupuk suasana bahagia dalam rumah tangga.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Budaya kemesraan dalam pergaulan dengan anak-anak perlu dipupuk sejak kecil lagi kerana dibimbangi apabila sampai ke tahap umur matang kelak mereka berasa tidak selesa untuk berkomunikasi atau berkongsi masalah yang dihadapinya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata ramai ibu bapa lepas tangan dengan mengatakan bahawa anak ditakdirkan Allah sama ada menjadi anak baik atau jahat.

“Persepsi ini salah sama sekali dan jelas bertentangan maksud hadis Rasulullah yang bermaksud: “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani. (Hadis riwayat Bukhari).

“Ada segelintir ibu bapa menuding jari menyalahkan pihak kerajaan seratus peratus dalam hal ini padahal hakikatnya kerajaan tidak bertanggungjawab sepenuhnya dalam mendidik anak secara langsung.

“Peranan pendidikan dan pengasuhan anak-anak sebenarnya terletak di bahu ibu bapa yang menerajui institusi keluarga ke arah keharmonian dan kebahagiaan sejati,” katanya.

Beliau berkata Islam memandang institusi keluarga sebagai tapak melahirkan serta mencorakkan ummah yang berkualiti.

“Bidang pendidikan menjadi teras kepada matlamat ini. Walaupun kini anak dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan secara formal namun mereka masih lagi tidak mampu untuk mendidik jiwa anak-anak.

“Walaupun banyak masa dihabiskan di sekolah, namun ilmu yang diterima tidak lagi berupaya menyemai keimanan yang teguh. Justeru, Islam menganggap bahawa pendidikan di rumah adalah tapak yang kukuh untuk membina jasmani, mental dan rohani anak,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata walaupun Rasulullah s.a.w sibuk menjalankan tanggungjawabnya menyampaikan risalah Islam namun baginda masih dapat meluangkan waktu menghidup serta meraikan detik indah bersama keluarga tercinta.

“Rasulullah begitu akrab dan melayan mesra anak, isteri, sahabat taulan, jiran tetangga dan orang kebanyakan.

“Janganlah pula kesibukan kerja seharian semakin bertambah dijadikan alasan seorang bapa untuk tidak bermesra dengan anaknya,” katanya.

Beliau berkata dalam hal berkenaan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

“Baginda menggesa umatnya supaya bersopan santun, berlemah lembut dan bertawaduk. Sifat itu wajib diamalkan setiap masa dan ketika di dalam rumah antara sesama suami isteri dan antara anak-anak dengan kedua-dua ibu bapanya.

“Sebagai ketua keluarga, bapa perlu memainkan peranan lebih kreatif dan proaktif dalam membentuk sebuah keluarga bahagia,” katanya.

Beliau berkata Rasulullah  menunjukkan teladan baik terhadap keluarganya sebagai seorang suami, bapa dan ketua keluarga.

“Dalam hal ini, Saidatina Aisyah r.a. pernah berkata: Rasulullah s.a.w. sering menjahit bajunya sendiri, menampal kasutnya yang sudah carik dan melakukan segala tugas lain di rumah.

“Jelas kehidupan Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengatakan tugas di rumah adalah tugas mutlak kaum wanita sahaja.

“Janganlah pula seorang suami membebankan dan menyerahkan kesemua urusan rumah tangga kepada isterinya seorang diri kerana pengurusan rumah tangga adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata ibu bapa dan anak perlu bersama-sama mencipta suasana damai dan kebahagiaan.

“Jangan dibiarkan sama sekali bibit pertengkaran dan perbalahan mewarnai keceriaan sesebuah keluarga. Kalau boleh selesaikan dengan serta merta kerana jika dibiarkan akan mengakibatkan masalah lebih parah lagi.

“Pernah berlaku pertengkaran kecil di zaman khalifah Umar Al-Khattab di mana seorang isteri dalam sebuah keluarga amat bencikan suaminya. Masalah itu sampai kepada pengetahuan Umar lalu beliau memanggil suami isteri itu bagi menyelesaikan sengketa mereka.

“Setiap rumah hendaklah dibina bertunjangkan kepada dasar cinta dan kasih sayang yang suci bukannya kebencian dan persengketaan.

“Kebahagiaan dalam kekeluargaan adalah sebahagian daripada pengertian yang diungkapkan di dalam al-Quran sebagai al-Falah yang membawa maksud kejayaan, kebahagiaan, ketenteraman dan kesejahteraan abadi,” katanya

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »