Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 Jun 2011

Gerhana bulan penuh pembuktian Sunnatullah

Posted by epondok di Jun 15, 2011

Oleh Baharrudin Zainal

Umat Islam digalak solat khusuf , kaji fenomena alam

SAINS bermula dengan naluri manusia untuk memahami alam tabii. Naluri manusia juga cuba mencari sebab musabab terhadap sesuatu kejadian langit yang mereka lihat. Sebahagian mereka tertarik dengan ciri fizikal dan gejala lahiriah atau fenomena alam yang mereka lihat, lantas menyembahnya dalam apa yang dinamakan fahaman kosmologi politeisme.
Dengan kudrat dan daya pemikiran manusia yang dibantu pula oleh panca inderanya, sebab musabab terhadap sesuatu pemerhatian alam itu diuji secara berulangan. Sehinggalah manusia berpuas hati yang pemerhatian mereka itu menghasilkan satu hukum alam, termasuk kebolehan mereka menjangkakan apa yang mungkin terjadi pada masa depan.
Dengan ini manusia berharap dapat menuju kepada kebenaran dalam memahami alam dan pencipta-Nya, yakni Allah SWT. Penciptaan hukum alam juga sebenarnya adalah manifestasi pembuktian sunatullah. Bagi manusia yang ‘ulul albab’, langit adalah makmal sains yang mana setiap kejadian diperhatikan, ditafsirkan, malah ujian dilakukan terhadap hukum alam yang mereka gubal. Suatu masa dulu, sebahagian umat Islam sukar menerima hakikat ramalan sains berdasarkan hukum alam ini.

Ramalan berdasarkan hukum alam ini kadangkala disamakan dengan ramalan ahli nujum dan tukang tilik. Justeru, semua bentuk ramalan fenomena alam termasuk ramalan cuaca, fenomena gerhana bulan atau matahari dan kewujudan anak bulan tidak dapat diterima sepenuhnya.

Begitu juga dengan anggapan sebahagian fenomena alam ini sebagai ‘peristiwa ganjil dan menggemparkan’, walaupun sains dapat menjangkakan bila dan di mana kejadian itu akan berlaku. Takrifan fenomena alam luar biasa hanya sesuai digunakan bagi fenomena yang tidak boleh diramalkan seperti gempa bumi, tsunami dan impak fenomena alam yang tersasar daripada kebiasaan.

Sebahagian fenomena luar biasa ini tidak dapat diramalkan kerana kegagalan kita memahami hukum alam sepenuhnya buat sementara waktu. Bagaimanapun, kegagalan ini menjadi dorongan utama bagi ahli sains untuk terus menjalankan kajian mereka. Mewujudkan rasa rendah diri (tawaduk) dan menimbulkan rasa kekurangan (fakir) pada diri mereka. Semua ini akhirnya akan dapat menggilap hati pengkaji, memantapkan keimanan mereka kepada Allah SWT dan menjadi dorongan memacu usaha mencari kebenaran mengenai alam ini.
Bulan seumpama lampu yang memberikan cahaya kepada bumi pada waktu malam. Kadar cahayanya berbeza-beza bergantung kepada fasa hariannya. Bermula dengan fasa anak bulan, suku muda, purnama dan kembali menjadi suku tua.

Menurut Syeikh Daud Fathani dalam kitab Kifayatul Muhtaj, perubahan fasa bulan bersabit dengan ibadat bulan kepada Allah SWT. Katanya, cahaya bulan ketika sedang membesar (antara fasa sabit ke bulan purnama) menunjukkan keadaan sukacita bulan kerana hendak menghadap Allah SWT ketika purnama nanti. Peringkat fasa bulan tua pula menunjukkan keadaan dukacita bulan kerana tidak lagi berpeluang menghadap Allah SWT sehingga waktu purnama berikutnya. Perumpamaan kualitatif ini menunjukkan bagaimana cakerawala tunduk dan patuh kepada Allah SWT menepati maksud al-Quran: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan antaranya termasuklah matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu dan binatang serta sebahagian besar daripada manusia.” – (Surah al-Haj, ayat 18)

Dalam beberapa kitab fikah, dinyatakan hukum menjangkakan waktu berlaku gerhana pada asalnya ‘makruh’. Ini kemungkinan disebabkan pengaruh kuat ilmu nujum dalam ilmu falak yang berlaku satu masa dulu atau banyak aktiviti tahyul yang akan dilakukan segelintir masyarakat ketika berlaku fenomena ini. Bagaimanapun, hukum mempelajari dan meramalkan waktu berlakunya gerhana menjadi harus apabila hasil ramalan ini hendak digunakan untuk kemudahan umat Islam membuat persediaan bagi melakukan solat sunat gerhana (khusuf dan kusuf) atau kajian fizikal yang lain. Dalam suasana masyarakat yang kurang bermaklumat dan pengaruh fahaman kosmologi politeisme yang masih dominan, ulama sudah meletakkan satu panduan yang bijaksana untuk memelihara akidah umat Islam.

Menurut sejarah, pernah terjadi peristiwa gerhana matahari pada hari wafatnya putera Rasulullah SAW, Ibrahim. Keadaan ini ditafsirkan oleh orang ramai ketika itu sebagai tanda berdukacita alam terhadap kewafatannya. Rasulullah SAW menjelaskan perkara tersebut dalam hadis yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada kebesaran Allah. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan keduanya. Matahari gerhana bukanlah kerana mati seseorang atau kerana lainnya. Kerana itu apabila kamu melihat sesuatu yang demikian, hendaklah kamu bersolat dan berdoa, sehingga habis gerhana.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu falak, kajian mengenai gerhana bulan dan matahari adalah sebahagian aktiviti penyelidikan yang penting. Kajian gerhana, sama ada gerhana bulan atau matahari juga banyak memberi petunjuk kepada ahli sains mengenai konsep pergerakan badan cakerawala, khususnya bulan, bumi dan matahari. Hasil kajian gerhana bulan penuh misalnya dimanfaatkan untuk pembaikan teori sifat semula jadi permukaan bulan dan kadar penyerapan cahaya dalam atmosfera bumi yang berbeza-beza. Kajian kadar penyerapan haba oleh batu-batan bulan juga boleh dibuat kerana permukaan bulan ketika ini akan mengalami perubahan suhu yang mengejut. Begitu juga dengan analisis perbezaan warna bulan ketika berlaku gerhana penuh dengan warnanya dalam keadaan biasa, membantu ahli sains atmosfera mengkaji kesan pencemaran atmosfera tempatan. Ahli sains takwim pula menggunakan fenomena gerhana untuk mengkaji ketepatan parameter orbit bulan dan matahari serta meneliti kesan anomali orbit yang tidak dijangkakan. Kajian berterusan dan pembaikian parameter orbit ini meningkatkan ketepatan jangkaan fenomena alam dan penerbitan jadual falak. Hasilnya, meningkatkan keyakinan pengguna produk falak misalnya jadual falak, takwim tarikh dan waktu solat. Bagaimanapun, bagi memenuhi piawaian kebenaran relatif dalam sains, fenomena seperti gerhana bulan dan matahari terus dikaji dan pembetulan sewajarnya diberikan kepada parameter orbit bulan dan matahari.

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Setiap patah perkataan papar peribadi individu

Posted by epondok di Jun 15, 2011

TUTUR kata yang dikeluarkan seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidah dan berbicara menurut pertimbangan akal waras.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan iaitu melalui perbualan, penulisan atau perdebatan. Sebagai manusia, kita mempunyai hak menyuarakan pendapat sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan hingga menyinggung perasaan orang lain. Ini boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan serta perbalahan.

Bijak bestari pernah berpesan, ‘berfikir itu pelita hati.’ Pepatah Melayu pula mengatakan, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan maka kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak mengingatkan kita supaya menjaga tutur kata.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.” (Surah Ibrahim, ayat 24-26)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)

Daripada Abu Zar, ia mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan. Kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya, apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan itu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »