Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Jun 2011

Perubahan bulan, matahari suatu peringatan Allah

Posted by epondok di Jun 14, 2011

ALLAH berfirman dalam al-Quran menjelaskan perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan adalah di bawah tadbir Allah. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit, terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah.” (Surah al-Fussilat, ayat 37)

Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, antaranya memberi peringatan supaya hamba-Nya tidak melampaui batas.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah.

“Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang di kalangan manusia.

“Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas’ud al-Ansari).

Gerhana bulan adalah amaran Allah untuk manusia supaya patuh dan setia di atas titah perintah dan menjauhi larangan-Nya. Gerhana bulan adalah suatu peristiwa yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia kerana secara tiba-tiba bulan kehilangan cahayanya.

Sesungguhnya gerhana bulan akan berlaku dari tahun ke tahun sebagai peringatan Allah atas segala keterlanjuran dasar yang dilakukan sama ada disukai atau tidak kerana sampai satu ketika, gerhana bulan tidak pulih daripada gerhana dan bumi juga gerhana.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), dan apabila bulan hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan.” (Surah al-Qiyamah, ayat 7-9)

Mengikut sejarah, gerhana bulan berlaku beberapa kali pada hayat baginda Rasulullah SAW. Sementara gerhana matahari terjadi pada tanggal 10 Rabiulawal tahun ke-8 hijrah.

Gerhana matahari kebetulan berlaku sewaktu kematian putera baginda Rasulullah SAW iaitu Ibrahim ketika berusia 70 hari. Gerhana matahari terjadi sekali lagi pada 10 Muharam 61 hijrah sewaktu Saidina Hazim bin Ali dibunuh.

Ahli falak Islam yang masyhur di zaman silam, Imam al-Khawarizmi berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan itu mewujudkan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah.

Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi.

Pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang menyebabkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Ini boleh membawa perubahan kepada tumbuhan, tanaman dan benda hidup di dunia.

Ummul mukminin Saidatina Aishah berkata, “Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah.

Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: Wahai umat Muhammad, jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Riwayat al-Nasai)

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | 3 Comments »

Pendekatan intelektual pikat penganut lain dalami Islam

Posted by epondok di Jun 14, 2011

Oleh Muhammad Asyraf

Sejarah buktikan penyebaran bukan menerusi kekerasan

ADA beberapa hujah sebahagian pihak yang tidak bersetuju dengan Islam, memberi gelaran negatif kepada umat Islam tanpa memisahkan antara ajaran agama dan amalan agama. Ajaran agama itu suatu yang bersifat benar jika dinilai pada teksnya. Sedangkan amalan agama ada kala melanggar ajaran agama yang telah ditetapkan.

Justeru, gelaran pengganas, ‘fundamentalis’ dan sebagainya memberi kesan buruk kepada umat Islam seluruh dunia. Dakwaan penyebaran Islam tersebar melalui mata pedang dan peperangan adalah dakwaan bersifat tidak adil.

Islam berasal daripada kata akar ‘salam’ yang bererti damai. Islam adalah agama kedamaian. Bagaimanapun, tidak semua orang di dunia mendukung pemeliharaan kedamaian dan harmoni. Terkadang kekerasan digunakan untuk memelihara kedamaian.

Sejarawan terkemuka, De Lacy O’ Leary dalam bukunya Islam at The Cross Road mengatakan, legenda orang Islam fanatik menyapu dunia dan memaksakan Islam sampai menggunakan pedang atas bangsa yang ditakluki adalah satu mitos luar biasa yang pernah diulang-ulang sejarawan.

Al-Quran meletakkan panduan jelas mengenai Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Said Hawwa menyatakan, agama Islam tidak memaksa manusia menganutinya. Ayat itu juga diulas oleh Syed Qutb yang menyatakan akidah menyentuh soal penerimaan dengan rela hati dan ia tidak boleh berlaku secara paksa.

Menurut al-Qurtubi, Ibnu Abbas melaporkan Rasulullah SAW beria-ia mahu mengislamkan semua manusia di bumi. Lalu ayat ini turun mengingatkan beliau bahawa manusia tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam. Ia berasaskan kepada hidayah Allah.

Sejarah membuktikan kaum Muslimin memerintah Sepanyol selama hampir 800 tahun tidak pernah menggunakan pedang mereka untuk memaksa orang berpindah agama. Sehinggalah datangnya penjajahan terhadap orang Muslim di Sepanyol yang menyaksikan pembunuhan besar-besaran dan tidak ada seorang Muslim di Sepanyol boleh mengalunkan azan secara terang-terangan.

Orang Muslim menguasai tanah Arab selama 1,400 tahun. Jika pedang digunakan sebagai alat menyebarkan Islam, tidak mungkin 14 juta orang Arab memeluk Kristian Koptik selama ratusan generasi.

Begitu juga kisah pemerintahan Muslim di India sekitar 1,000 tahun. Majoriti penduduk India bukan beragama Islam. Jika pedang alatnya, sudah pasti semua penduduk di India akan memeluk Islam.

Bagaimana dengan Islam di Malaysia dan Indonesia. Pasukan tentera manakah yang menyerang dengan pedang sehingga menyebabkan tersebarnya Islam di kedua negara ini. Begitu juga penyebaran Islam di pesisir timur Afrika.

Pedang yang dimaksudkan adalah pedang intelektual. Nabi Muhammad SAW menakluk hati dan pemikiran manusia dengan pedang intelektual sejajar saranan al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbantahlah dengan mereka menggunakan cara yang baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Disebabkan pendekatan inilah kita menyaksikan peningkatan tertinggi penganut agama Islam. Artikel Readers Digest Almanac pada 1986 menunjukkan data statistik peningkatan peratusan agama di dunia dari 1934 hingga 1984 yang mengatakan Islam menduduki tangga teratas iaitu sebanyak 235 peratus.

Persoalannya, peperangan apakah yang meletus sehingga tersebar Islam di seluruh dunia.

Islam melarang perbuatan membenci dan memerangi orang bukan Islam. Malah, al-Quran menggalakkan umat Islam berlaku adil dan membuat kebajikan dalam berinteraksi dengan bukan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Hassan al-Basri melaporkan, apabila Rasulullah SAW menerima tawanan perang terdiri daripada bukan Islam, Baginda menyerahkan mereka pada sebahagian orang Islam untuk dijaga selama dua atau tiga hari.

Baginda mengarahkan supaya orang Islam berbuat baik pada tawanan itu, lalu mereka lebih mengutamakan tawanan perang berbanding diri sendiri. Dakwaan tersebarnya Islam serata dunia kesan penjajahan melalui kezaliman umat Islam terbukti tidak benar.

Bukan sekadar teks agama dan akhlak toleransi Rasulullah SAW sebagai bukti kesalahan dakwaan itu tetapi turut disokong sejarawan dan kisah lampau yang tidak boleh ditutup nilai sejarahnya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »