Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 Jun 2011

Gerhana bulan paling gelap 16 Jun ini

Posted by epondok di Jun 13, 2011

Oleh Hazirah Che Sab

FENOMENA gerhana bulan yang berlaku pada Jun tahun lalu yang dilihat orang ramai di sekitar Menara Taming Sari, di Bandar Hilir, Melaka.

FENOMENA gerhana bulan yang berlaku pada Jun tahun
lalu yang dilihat orang ramai di sekitar Menara Taming Sari, di Bandar
Hilir, Melaka.

Kejadian dijangka Khamis ini

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku Khamis ini iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.

Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.

Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.

Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Penghormatan terhadap Kaabah

Posted by epondok di Jun 13, 2011

DALAM hal ini, penghormatan terhadap Baitu al-Haram merupakan suatu kekuatan kerohanian yang dapat melindungi orang Quraisy dalam perjalanan. Oleh sebab itu mereka suka mengembara untuk mencari rezeki.

Penghormatan terhadap Baitu al-Haram yang telah menjadi darah daging di kalangan bangsa Arab hasil daripada kurniaan Tuhan, Penjaga Baitu al-Haram. Dia telah menjaga kehormatannya itu dan ia semakin bertambah dalam jiwa orang Arab dengan terusirnya tentera Habsyah yang hendak merobohkannya dan dibinasakan mereka sebelum sempat menyentuh batunya bahkan mereka tidak sempat untuk menghampirinya.

Sekiranya kedudukan dan kehormatan Baitu al-Haram tidak ada di dalam jiwa orang Arab dan terdapat tangan-tangan jahil yang berani mengganggu para musafir mereka, sudah tentu mereka tidak berani melakukan perjalanan itu.

Akibatnya peluang untuk mencari rezeki menjadi sedikit kerana tanah mereka tidak ditumbuhi tanaman dan tidak ada binatang ternakan, lagipun mereka bukankah ahli pertukangan yang masyhur diperlukan orang ramai untuk memahat rumah-rumah mereka.

Oleh itu, peluang untuk mencari rezeki sempit dan pintu mencari segala sumber kekayaan tertutup.

Firman Allah SWT: Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini (Kaabah). Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Maksud ibadat kepada Tuhan Kaabah ini dengan makna mentauhidkan-Nya seperti pendapat Ibn al-Jauzi.

Berkenaan Allah mengurniakan makanan kepada mereka daripada kelaparan ada tiga pendapat:

i. Dengan kurniaan Allah daripada harta dan rezeki sebagaimana pendapat Ibn Isa.

ii. Dengan berkat doa Nabi Allah Ibrahim seperti pendapat Ibn Abbas.

iii. Mereka pernah lapar pada zaman Jahiliyah dan Allah campakkan ke hati orang Habsyah untuk membawa makanan kepada mereka.

Berkenaan dengan keamanan pula, ditafsirkan dengan empat pendapat:

i. Allah mengamankan mereka daripada merasa takut kepada orang Arab yang memerangi mereka kerana kehormatan Tanah Haram. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Selamat daripada takut tentera Habsyah bersama gajah sebagaimana pendapat al-A’masy.

iii. Allah SWT mengamankan mereka daripada penyakit juzam atau kusta seperti pendapat al-Dahhak, al-Suddi dan Sufyan al-Thauri.

iv. Orang Quraisy akan sentiasa menjadi khalifah seperti kata Ali r.a.

Sayid Qutub berkata: Mengikut keadaan mereka yang lemah dan keadaan alam sekitar di sekelilingnya maka mereka diancam ketakutan tetapi Allah SWT mengamankan mereka dari ketakutan itu.

Itulah peringatan Allah yang sewajarnya menimbulkan rasa malu dalam hati kaum Quraisy. Mereka bukannya tidak tahu nilai Baitullah dan kehormatannya dalam kehidupan mereka.

Malah dalam saat-saat kesusahan dan duka nestapa mereka tidak memohon perlindungan melainkan pada Tuhan rumah suci yang Esa itu. Lihat sahaja Abdul Mutalib, ia tidak menentang angkatan tentera Abrahah dengan kekuatan askarnya tetapi dengan cara Tuhan Esa yang mengawal sendiri rumah-Nya.

Dia tidak menentang Abrahah dengan patung berhala dan dia tidak berkata kepada Abrahah: Tuhan-tuhan itu akan melindungi keselamatan rumah suci mereka tetapi yang dikatakan pada Abrahah adalah: Saya adalah tuan kepada unta-unta yang telah dirampas oleh engkau dan rumah ini mempunyai tuannya yang akan mempertahankannya.

Sayang seribu kali sayang, kesesatan dan penyelewengan zaman jahiliah tidak mempunyai logik, tidak bersandarkan kepada kebenaran.

Penutup

Jika mereka memahami bahawa semua itu berlaku kerana anugerah Tuhan, pemilik rumah ini, tentu mereka akan menyembah-Nya. Akan tetapi mengapa mereka masih mengagungkan selain-Nya dan menjadikan sebagai perantara di sisi-Nya, padahal tidak ada seorang pun daripada mereka yang dijadikan perantara itu mampu memberi limpahan kepada mereka, sama ada dalam bentuk nikmat keamanan, rezeki dan memenuhi keperluan hidup mereka.

Semoga Allah menjadikan kita semua sentiasa berada dalam keamanan dan kemakmuran, amin

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »