Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Jun 2011

Zakat lambang kebesaran Allah

Posted by epondok di Jun 8, 2011

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

TANDA-tanda kebesaran Allah SWT sentiasa ada di mana-mana. Hadapkanlah wajah kita, sama ada ke Timur atau ke Barat, Utara atau ke Selatan.

Di situ, akan terpamer kehebatan Allah SWT yang berupa pelbagai ciptaan-Nya. Semuanya adalah untuk kita hayati, bertafakur dan merendah diri kepada-Nya.

Lalu Allah SWT berfirman yang mafhum-Nya: Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. (al-An’am: 75)

Hakikatnya, kebesaran Allah SWT bukan sekadar terpamer pada segala ciptaan-Nya. Kebesaran dan keagungan Allah ini juga terkandung di dalam pelbagai hukum-hakam dan perintah-Nya yang dinamakan sebagai syariat Allah. Tugas manusia yang beriman, ialah meyakini akan syariat ini dan melaksanakannya tanpa ragu dalam kehidupan sehari-hari.

Kita mestilah menjadi seorang pentadabbur (orang-orang yang menilai dan menghayati) penciptaan Allah SWT ini sehingga tumbuh di hati kita rasa keimanan dan ketakwaan. Apabila sudah menyubur rasa seperti ini, nescaya kita beroleh harapan untuk menjadi ‘ulul albab’. Allah menyeru: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi ulul albab (orang-orang yang berakal). (Ali ‘Imran: 190)

Kalimah ulul albab diulang-ulang sebanyak 16 kali di dalam al-Quran. Para ulama mempunyai interpretasi yang berbeza mengenainya. Imam an-Nawawi misalnya, menyebut bahwa ulul albab adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus dunia serta yang terpenting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam. Ibn al-Mundzir pula menyatakan bahawa ulul albab sebagai orang yang bertakwa kepada Allah, berpengetahuan tinggi dan mampu menyesuaikan diri di segala lapisan masyarakat, elit ataupun marginal (orang awam).

Walau apa pun definisi dan huraiannya, secara mudah dapat dirumuskan bahawa ulul albab adalah manusia yang berjiwa halus dan hidup akalnya ataupun golongan yang berminda jernih, sehingga mampu menekuni keagungan Allah lewat hukum-hakam, perundangan dan syariat yang Allah SWT titipkan ke atas umat manusia di dunia ini.

Kaitan zakat dan kebesaran Allah

Golongan ulul albab menyedari, bahawa segala syariat ataupun peraturan yang Allah SWT nuzulkan kepada manusia (lewat al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW), bukanlah bermatlamat menyusahkan manusia; sebalik mempunyai seribu rahsia sebagai resepi bahagia. Persis kenyataan Allah SWT: Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (dengannya). (Thahaa: 2)

Realiti sepanjang zaman menunjukkan, syariat Allah adalah suatu pedoman dan tatacara demi menuntun kehidupan manusia menuju sejahtera. Idealnya, hidup dalam kondisi serba cukup, bahagia dan selesa adalah suatu impian semua orang. Maka, demi melestarikan kesejahteraan inilah, syariat Allah itu perlu dipatuhi, diaplikasi secara tuntas dan dijadikan piawai dalam serba-serbi tindakan agar semua orang beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan yang merata.

Maka, di sinilah agungnya salah satu syariat Allah yang bernama zakat. Jika masakan, ia ibarat bumbu atau rencah yang mengenakkan. Dalam kehidupan bermasyarakat, zakat menjadikan resepi kebahagiaan. Perlaksanaannya secara tuntas, bukan sekadar menjadi jambatan yang mampu merapatkan jurang kaya – miskin; namun terlebih utama ia menjadi perkakas bagi penyatuan dan kesejahteraan umat yang lestari sifatnya.

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Takwa, iman teras hala tuju pembangunan ummah

Posted by epondok di Jun 8, 2011

Oleh Abdullah Zain

Asas peroleh keredhaan, kecemerlangan, kejayaan hidup

KEIMANAN dan ketakwaan kepada Allah SWT teras utama umat Islam. Kombinasi padu antara akidah, syariah dan akhlak menjadi teras kepada perancangan dan pelaksanaan pembangunan individu, keluarga, masyarakat dan ummah. Teras utama ini sewajarnya menjadi landasan kepada prinsip yang lain dalam membawa hala tuju pembangunan ummah yang mantap dan jelas.
Kerajaan meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai teras utama untuk hala tuju pembangunan ummah. Keimanan adalah sumber cahaya yang menyinari prinsip yang lain.
Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT teras utama kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 96 yang bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu, benar-benar beriman dan bertakwa (kepada Allah), tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka keberkatan hidup yang melimpah-ruah, sama ada dari langit mahupun dari bumi.”

Keimanan bererti kepercayaan dan pegangan kukuh tidak tersemat di hati saja, tetapi disertakan pengakuan lisan dan melaksanakan dengan perbuatan, manakala ketakwaan pula berasal daripada perkataan ‘takwa’ yang kata terbitannya ‘wiqayah’ bererti pemeliharaan dan penjagaan. Ini bererti jika keimanan diibaratkan seperti tumbuhan, maka ketakwaan itu baja dan siramannya akan menyuburkan keimanan.

Oleh itu, dapat difahami bahawa keimanan dan ketakwaan dari segi konsepnya tidak harus dipisahkan antara satu sama lain. Begitu juga tidak harus dipisahkan antara keyakinan (kepercayaan) dengan amalan soleh dan penolakan kerja keji dan mungkar kerana makna keimanan dan ketakwaan saling lengkap melengkapi. Dalam al-Quran Allah SWT menggabungkan antara keimanan dan ketakwaan sebagai syarat asas mendapat keredhaan-Nya, seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 107 yang bermaksud: “Sekiranya mereka beriman dan bertakwa, pastilah ganjaran pahala di sisi Allah adalah lebih baik (bagi mereka).”

Dari sudut terminologi, iman jika digunakan secara bersendirian, maka ia mengandungi makna takwa. Begitu juga sebaliknya jika perkataan takwa digunakan secara bersendirian ia mengandungi makna iman. Jika disebut secara berkumpul, maka kedua-duanya mempunyai erti berbeza tetapi saling lengkap melengkapi.
Penampilan umat Islam yang beriman dan bertakwa sudah tentu selari dengan konsep ‘ummatan wasatan’ iaitu umat yang bersikap sederhana, adil dan berimbang. Mereka sentiasa memberi contoh teladan yang unggul dan terbaik dalam melaksanakan aktiviti kehidupan mereka. Di Malaysia, agama Islam adalah agama Persekutuan, manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing.

Penerimaan beragama seperti ini satu amalan keagamaan yang didorong rasa iman dan takwa umat Islam seperti diamalkan Rasulullah SAW dan sahabatnya menurut Piagam Madinah.

Bagi orang bukan Islam, menurut Piagam Madinah tidak terjejas kedudukan dan hak mereka sebagai rakyat Madinah. Perkara ini sudah pun diamalkan Rasulullah SAW.

Dokumen ini bukti konkrit iaitu orang Islam dan bukan Islam hidup bersama dan setiap orang menikmati hak mereka. Oleh itu, iman dan takwa tidak menghalang kerukunan hidup bersama antara orang bukan Islam dengan orang Islam, kerana Islam dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk sesebuah negara.

Dengan berpegang kepada keimanan dan ketakwaan, umat Islam memiliki tanggungjawab menjaga dan melindungi nyawa, harta benda dan kehormatan orang bukan Islam. Adalah menjadi kewajipan umat Islam berbuat baik dan berkawan dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi mu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah menyintai orang yang berlaku adil”.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »