Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Jun 2011

Konsep ithar bantu umat Islam baja kemanisan iman

Posted by epondok di Jun 4, 2011

Oleh Sharifah Hayaati

Penerapan nilai murni dalam kehidupan boleh lonjak prestasi kerja, organisasi cemerlang

SETIAP manusia memiliki naluri pelbagai dan berbeza-beza. Tetapi, semuanya menginginkan yang terbaik dalam kehidupan dan ia dituntut dalam Islam. Allah menganugerahkan nikmat dan memudahkan manusia memperoleh kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan dalam hidup.

Firman Allah bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin?” (Surah Luqman, ayat 20)

Bagi mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat serta mengelakkan azab, Rasulullah SAW mengajak umatnya menadah tangan berdoa bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berikan kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab api neraka.”

Doa adalah senjata Mukmin dan diingatkan supaya tidak sombong untuk bermunajat kepada Yang Maha Esa di samping berusaha meraih hasanah (kebaikan). Malah, umat Islam digalakkan menjadi peneroka dalam merebut kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum masa suntuk, kaya sebelum fakir, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)

Kelima-lima perkara ini iaitu sihat, masa, kaya, muda dan hidup adalah nikmat asas kejayaan yang perlu direbut kerana manusia sering leka sehinggalah ia hilang daripada genggaman dan kawalan.

Sabda Rasulullah ini juga peringatan untuk membakar semangat supaya berebut-rebut menjadi ‘tangan yang di atas’, iaitu tangan yang memberi, menghulur, membantu bahkan menjadi tangan sifatnya lebih baik daripada ‘tangan di bawah’ iaitu menerima.

Sejarah membuktikan pada zaman Saidina Umar ibn al-Khattab dan Umar ibn Abd Aziz, tiada golongan fakir miskin untuk diagihkan harta zakat disebabkan saling membantu.

Firman Allah maksudnya: “Dan bagi setiap umat ada kiblatnya yang menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebajikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Sejarah Islam juga mencatatkan kejayaan hijrah Rasulullah SAW dan pembukaan kota Madinah kerana adanya golongan peneroka kebaikan ini. Baginda menamakan mereka sebagai kaum Ansar bermaksud orang yang membantu.

Kemurahan hati dan pengorbanan golongan Ansar kepada golongan berhijrah dari Makkah (Muhajirin) bukan saja meliputi keperluan asas yang dihajati seperti penginapan, harta, isteri dan modal berniaga tetapi juga apa yang mereka sendiri hajati.

Keikhlasan mereka berkorban semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah dipuji dan digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Dan orang (Ansar) mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Pengorbanan kaum Ansar menimbulkan kecemburuan kaum Muhajirin kerana pengorbanan itu kaum Ansar mendapat ganjaran pahala berbanding Muhajirin. Sebagai kaum yang baru berhijrah mereka tidak mempunyai apa-apa untuk diberi.

Lalu, Rasulullah SAW mengajar kaum Muhajirin mengucapkan penghargaan dan mendoakan kaum Ansar sebagai balasan atas pengorbanan itu. Dengan cara ini, tiada kaum tercicir dalam perlumbaan mengejar kebaikan.

Konsep ithar daripada kisah ini, iaitu pengorbanan mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sebagai baja memperoleh kemanisan iman.

Justeru jika konsep ithar ditekan dan diterapkan dalam kehidupan, bekerja atau pengurusan organisasi, akan menjadi nilai tambah yang boleh melonjakkan prestasi, membuahkan kecemerlangan bahkan kualiti kerja dan perkhidmatan.

Maka lahir pelbagai nilai terpuji seperti ringan tulang, pemurah, tidak sombong, tiada hasad dengki, mudah bekerjasama serta kerja secara sukarela dan tidak bergantung kepada arahan semata-mata.

Selain itu, ia menguatkan rasa berterima kasih, menghargai dan mendoakan demi kebaikan sesama individu, pekerja dan majikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila aku perintahkan kepadamu dengan sesuatu perintah, maka laksanakan dengan semampumu.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pusaka gugur bagi waris lain agama, pembunuh

Posted by epondok di Jun 4, 2011

Golongan ada hubungan keluarga dengan bukan Islam perlu buat wasiat elak masalah

SUDAH banyak dibincang dalam siri sebelum ini mengenai syarat pewarisan, senarai waris berhak, bahagian-bahagian bagi waris berkenaan, proses pengurusan harta pusaka serta firman dan hadis yang menyokong. Minggu ini, kita akan membincangkan mengenai waris yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka.

Umum perlu tahu bahawa ilmu faraid ini amat penting dan hendaklah dipelajari serta diamalkan kerana ia adalah ilmu yang mula-mula sekali akan dicabut oleh Allah SWT daripada umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang akan dilupakan dan ia adalah suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.”

Dalam situasi tertentu seseorang waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh terhalang daripada menerima harta pusaka si mati. Sebab-sebab yang menghalangnya daripada menerima pusaka ialah membunuh dan berlainan agama.

Ahli-ahli fekah bersepakat bahawa jika seseorang itu membunuh dan ia adalah waris kepada orang yang dibunuh, maka si pembunuh adalah tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka orang yang dibunuh itu. Sebagai contoh sekiranya seorang anak lelaki telah membunuh bapanya, anak lelaki itu adalah terhalang daripada mewarisi harta pusaka bapanya itu.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang pembunuh berhak mewarisi harta orang yang dibunuhnya.” Dalam Islam, membunuh itu terdiri daripada empat jenis iaitu pembunuhan sengaja (qatlu al-amad), mirip sengaja (shibhul amad), tersalah (khata’) dan tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An-Nisa (4):93).

Jika dilihat daripada firman Allah di atas, membunuh seorang Muslim itu satu perbuatan yang amat berat. Maka dengan itu, di dalam pewarisan juga, perbuatan membunuh itu juga dipandang serius. Justeru, ahli fekah telah bersetuju bahawa “siapa yang menyegerakan agar mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia tidak mendapatkan bahagiannya.”

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fekah mengenai apakah jenis pembunuhan yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka. Contohnya pada mazhab Maliki berpendapat bahawa hanya pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja atau yang dirancang digugurkan hak waris. Menurut mazhab Syafie pula, segala jenis pembunuhan dapat menghalang seseorang itu daripada mempusakai harta pusaka termasuk pembunuhan yang tidak sengaja.

Firman Allah yang lain bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana sudah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia.” (Al-Nisa:32).

AmanahRaya amat berhati-hati dalam pengendalian kes seumpamanya dan menerusi pengalaman selama 90 tahun penubuhannya, AmanahRaya dapat menyelesaikan kes seperti ini tanpa wujud keraguan di kalangan waris yang lain.

Selain daripada pembunuhan, satu lagi perkara yang boleh menghalang seorang yang layak menerima harta pusaka ialah dengan adanya perbezaan agama di antara si mati dan warisnya. Sebagai contoh, sekiranya si mati adalah seorang Muslim dan anak lelakinya bukan Muslim, anak lelaki si mati itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya walaupun dalam situasi biasa, anak lelaki adalah waris bagi si mati. Ini disokong oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berhak seorang Muslim mewarisi orang kafir, dan tidak pula orang kafir mewarisi Muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku satu keadaan yang mana seorang bukan Islam telah memeluk agama Islam tetapi tidak membuat perancangan pewarisan. Apabila beliau meninggal dunia, ahli keluarganya menuntut harta pusakanya di mahkamah. Akan tetapi memandangkan beliau seorang yang beragama Islam sedangkan keluarganya bukan beragama Islam, maka harta pusaka beliau jatuh kepada Baitulmal negeri sesuai dengan pandangan mazhab Shafie seperti yang diterangkan di atas.

Sesungguhnya hakikat kehidupan, anak amat menyayangi ibu bapa mereka begitu juga sebaliknya. Harta pusaka pula dapat dilihat sebagai salah satu pemberian kasih sayang. Hari ini, banyak kes yang membabitkan anak atau ibu bapa yang memeluk Islam dan meninggalkan waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim.

Sehubungan itu, seseorang yang mempunyai waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim perlu mengambil berat mengenai perkara ini dan seterusnya perlu sedar bahawa mereka perlu membuat perancangan pewarisan yang sewajarnya. Melalui perancangan pewarisan, seseorang Muslim itu dapat memberikan 1/3 daripada harta pusaka peninggalan mereka kepada orang tersayang yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka mereka, terutama dalam kes anak yang memeluk Islam, sedangkan meninggalkan ibu bapa yang masih beragama asal mereka.

Sememangnya kasih sayang tidak dapat diukur dengan pemberian harta pusaka tetapi ia cukup untuk melambangkan tanda ingatan atas segala pengorbanan ibu bapa kepada kita. Bertepatan dengan tuntutan Islam bahawa setiap dari kita perlu mendapat restu ibu bapa sebelum Allah merestui kita.

Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa”. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (al-Nisa 4:36).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »