Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Mei 2011

Teknologi mudahkan jambatan silaturahim

Posted by epondok di Mei 31, 2011

Oleh DR. HUZAIMAH ISMAIL

HARI ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dengan memanfaatkan teknologi masa kini seperti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman-laman sosial seperti Facebook dan lain-lain serta tidak ketinggalan melalui telefon.

Namun ramai yang tidak menyedari bahawa antara rahsia yang boleh mengeratkan hubungan silaturrahim, dan kasih sayang antara sesama ahli masyarakat ialah mengucapkan salam dan bertanya khabar tentang diri masing-masing.

Rasulullah SAW menunjukkan cara yang mudah dalam mewujudkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Islam iaitu melalui:

* Mengucapkan salam ketika bertemu.

* Menyahut panggilannya jika dipanggil

* Mendoakan ketika bersin..

* Menziarahi ketika sakit/kematian.

* Menolong ketika kesempitan

* Memenuhi undangan apabila dijemput.

Perhubungan yang baik ini mesti dilakukan secara berterusan bertepatan dengan petunjuk Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.

Kita boleh gunakan kesempatan hari-hari perayaan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara ahli keluarga, sahabat dan jiran.

Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama Islam.

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 110).

Bagi mencapai matlamat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap Muslim untuk meraih keredaan dan rahmat ilahi.

Ikatan ukhuwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat Islam di persada dunia.

Silaturrahim juga merupakan tunjang utama kekuatan ummah dengan syarat ia diasaskan dengan ketakwaan dan berlandaskan syariat. Ia boleh menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah.

Silaturrahim juga boleh mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana dapat membentuk akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya.

Seandainya jalinan silaturrahim diabaikan, ia bukan sahaja merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang antara sesama manusia.

Orang yang paling berhak mendapat keakraban silaturahim daripada kita adalah orang yang hampir dengan kita.

Antaranya, ibu bapa dan kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan pertalian darah dan seterusnya orang-orang lain di luar lingkungan ini termasuklah jiran tetangga.

Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya. (al-Nisa’: 36)

Untuk menjalinkan silaturrahim sebenarnya bukanlah sukar. Apa yang penting ialah keinginan untuk bersilaturrahim dalam diri manusia, tidak sombong, mengenepikan keegoan, kebencian dan dendam dan digantikan dengan perasaan kasih sayang, bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan berbuat baik serta bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia.

Tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang retak bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini.

Orang tengah yang boleh mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus dalam masyarakat adalah mereka yang terpuji.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus. (riwayat Bukhari)

Hubungan baik

Rasulullah SAW membimbing amalan baik yang wajar dilaksanakan oleh seseorang untuk mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang menghindarkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghindarkan satu daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan satu kesulitan di dunia, Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Sesiapa yang menghindari merosakkan hak dan kehormatan saudaranya, Allah akan menghindarkan wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat. (Muttafaq ‘Alaih)

Marilah kita sama-sama akrabkan kembali hubungan silaturahim sesama umat. Hulurkan tangan mohon kemaafan agar dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan bersama sama ada di dunia dan akhirat.

Natijahnya kita akan terasa indah apabila setiap saat kita boleh bertegur sapa, mengisi hari dengan senyuman dan semangat kebersamaan antara keluarga, sahabat, rakan sekerja termasuklah mereka yang berlainan agama dan etnik dengan kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu

Posted by epondok di Mei 31, 2011

Oleh Nik Salida Shuhaila

Ilmu tinggi membantu golongan ibu dalam seruan dakwah dan mempertahankan hak

HARI ini, boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mampu menuntut ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak. Ia jauh berbeza beberapa puluh tahun lalu, di mana anak perempuan hanya dibenarkan menuntut ilmu secara tidak langsung di rumah, itupun hanya ilmu domestik. Hanya segelintir ibu bapa yang tidak jumud menghantar anak perempuan ke sekolah.

Peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di depan mata tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap wanita hari ini. Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu, komitmen ini perlu dilakukan secara berterusan kerana wanita jugalah yang akan mendidik anak.

Ilmu yang paling penting untuk ditekuni setiap wanita ialah ilmu al-Quran, hadis, sirah dan feqah. Tidak kurang pentingnya juga, pengetahuan biografi tokoh wanita di zaman Rasulullah SAW yang banyak menyumbang kepada legasi Muslim hari ini.

Ilmu al-Quran menjadi sumber utama yang akan menjadi teraju cara beribadah dan bermuamalah, sekali gus melindungi wanita tergelincir daripada cara hidup sebagai Muslimah seperti dituntut Allah.

Hadis dan sunnah pula memperincikan lagi sahsiah yang harus diteladani sebagai umat Rasulullah SAW. Aisyah contohnya, pernah menjadi pakar rujuk dalam ilmu hadis dan sunnah, malah dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam.

Bahkan Imam Az-Zuhri pernah mengatakan, “jika ilmu Aisyah dikumpulkan, lalu dibandingkan dengan ilmu semua isteri Rasulullah dan seluruh Muslimah, nescaya ilmu Aisyah lebih unggul”.

Kaum lelaki juga takjub dengan kebijaksanaan wanita bernama Aisyah ini sehinggakan putera Urwah bin Zubair iaitu Hisyam meriwayatkan, ayahandanya pernah mengatakan “aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pakar dalam bidang feqah, perubatan dan syair daripada Aisyah”.

Ilmu sirah tentunya memberi banyak pengajaran kerana sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri keibuan, ilmu inilah juga yang akan diamalkan untuk membimbing generasi muda dengan mengambil teladan daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW serta sahabat.

Ilmu feqah pula untuk mengetahui hukum hakam yang qat’i dan peraturan hidup sebagai Muslim seperti termaktub dalam sumber yang utama mengikut kronologi iaitu al-Quran dan Sunnah. Metod untuk memutuskan sesuatu hukum yang memerlukan ijma’ ulama juga harus diketahui, supaya wanita tidak jahil untuk memahami bagaimana sesuatu hukum itu diputuskan.

Setelah ilmu itu ditekuni dengan baik dan betul, barulah ilmu berkaitan muamalah insani dipelajari serta difahami, termasuk urusan rumah tangga dan kemahiran hidup lain. Walaupun pakar dalam bidang agama, kecerdasan akal Aisyah tidak dapat dinafikan dalam ilmu sastera, sejarah, seni dan perubatan.

Wanita harus menguasai ilmu supaya dapat menyatakan sesuatu yang hak. Sejarah membuktikan pada awal kedatangan Islam sehingga berakhirnya zaman Rasulullah SAW, wanita dimartabatkan setanding lelaki dalam apa juga bidang, termasuk ketenteraan dan keusahawan.

Kehadiran wanita dalam setiap lapangan kehidupan memungkinkan mereka memperjuangkan keperluan hidup sebagai seorang wanita kerana hanya mereka yang tahu kekuatan dan kelemahan mereka berbanding kekuatan serta kelemahan lelaki.

Menerusi penguasaan ilmu yang luas, wanita akan dapat memiliki kefasihan lisan kerana ilmu yang tinggi membantu mereka dalam seruan dakwah.

Ahnaf bin Qais mengatakan, “Aku telah mendengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta khalifah sesudahnya, tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan dari lisan seorang manusia yang lebih baik dan lebih indah dari perkataan yang keluar dari lisan Aisyah.”

Sayangnya, hari ini dengan pelbagai kemudahan, ada wanita tidak mahu menambah ilmu yang terbentang di depan mata, apatah lagi mempelajari al-Quran, hadis, sirah dan feqah.

Bayangkan bagaimana proses tarbiah insan dapat dilakukan dengan betul jika ibu tidak tahu membaca walau sebaris ayat al-Quran. Sedangkan cabaran dunia hari ini tidak jauh bezanya dengan zaman awal kedatangan Islam sesudah jahiliah, penganut Islam pada masa itu bertempur dengan manusia yang tandus akhlak dan moral.

Justeru, wanita haruslah meneruskan legasi pimpinan wanita terdahulu yang mendampingi Rasulullah SAW kerana ilmu dan akhirat, bukan dunia dan pangkat.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »