Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Mei 2011

Bir didakwa HALAL didapati HARAM

Posted by epondok di Mei 29, 2011

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.

NONEMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.

“Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam diRaja Malaysia (KDRM) untuk mendapatkan maklumat lebih jelas,” kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan, petang semalam.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan ‘bir halal’ di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini.

beer alcohol banAkhbar berbahasa Melayu yang memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan dari pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.

JAIJ kemudian memaklumkan kepada JAKIM dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.

Akhbar itu turut memetik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin sebagai berkata bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

Katanya ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semulajadi.

NONEMinuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

“Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan,” kata Jamil Khir.

– Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Makan cara Islam jamin kesihatan

Posted by epondok di Mei 29, 2011

Oleh: Prof. Madya Asmak Ali

 

Makanan dan minuman adalah bahan asas yang paling penting di dalam kehidupan seharian seseorang manusia. Ia adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan kerana kesihatan dan kekuatan seseorang itu sebahagian besarnya bergantung kepada makanan dan minuman yang diambil selain ketentuan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan di dalam hadis baginda kedudukan orang yang sihat antaranya, sesiapa yang mempunyai pencarian yang cukup (rezeki yang banyak) dan mempunyai tahap kesihatan yang baik seolah-olah seseorang itu merasakan dunia ini dia yang punya. (riwayat Tirmizi)

Manusia memerlukan makanan disebabkan beberapa perkara faktor:

* Membekalkan haba dan tenaga bagi menjaga dan mengekalkan suhu badan, bagi tugas-tugas pernafasan dan aliran darah, membantu fungsi otot serta proses penggantian zat dalam badan (metabolisme badan).

* Membentuk tisu-tisu baru dalam tempoh pertumbuhan badan dan juga untuk membaiki tisu-tisu yang sudah reput atau mati dan rosak . Kanak-kanak memerlukan bekalan yang mencukupi agar proses pembesaran mereka tidak terbantut.

* Untuk mengawal aktiviti pelbagai organ tubuh badan terutamanya jantung.

Makanan

Walaupun makanan adalah keperluan utama tetapi pengambilannya tidaklah boleh sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini Rasulullah SAW yang menyatakan antara lainnya yang bermaksud: “Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila kamu makan tidak pula sampai kekenyangan”.

Walaupun seseorang itu tidak mampu untuk mengikut cara pengambilan makan atau diet Rasulullah SAW secara total tetapi apa yang lebih penting makanlah sekadar yang perlu.

Rasulullah SAW memberi garis panduan makan dan minum untuk umat Islam antaranya adalah:

* Tidak terlalu kenyang. Kegemaran makan sampai padat adalah sesuatu yang amat dibimbangi nabi SAW ke atas umatnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang paling saya takuti di antara hal-hal yang saya takuti adalah besar perutnya gendut kerana banyak makan, terus menerus tidur, kegemaran tidur yang melampaui batas, bersikap malas, lemah keyakinan, tidak mempunyai pendirian yang tegas dan tetap”.

* Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar juga boleh mematahkan semangat berusaha atau bekerja.

* Isi perut hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagia iaitu 1/3 makan dan 1/3 untuk minum dan 1/3 lagi untuk pernafasan sehingga jiwa menjadi baik dan bersih.

Ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian dalam urusan makan dan minum iaitu:

* Perut besar yang selalu dipenuhi makanan itu adalah rumah penyakit, sedangkan menjaga diri sebelum sakit adalah pengubatan. Jika dihinggapi penyakit sukar untuk diubati dan memakan masa untuk sembuh. Oleh itu bersederhanalah dalam makan dan minum.

* Kekuatan tubuh badan bukan dengan sebab banyak makan tetapi dengan pengambilan makanan dan minuman yang mencukupi dan seimbang.

* Jikalau perut sudah penuh berisi dengan makanan maka sempitlah ruang untuk air dan juga udara. Sekiranya hal ini berlaku timbullah rasa malas, lesu dan lalai.

Keadaan ini amat membahayakan kesihatan kerana akhirnya seseorang itu akan sering sakit-sakit, fikiran tumpul serta hilang semangat untuk bekerja.

Apabila garis panduan ini dipatuhi atau diikuti dapatlah mengelakkan dari rasa sendat, mual, susah bernafas dan sebagainya selepas makan.

Setiap individu seharusnya mengetahui bahawa:

* Perut adalah rumah penyakit seseorang. Pepatah ada mengatakan “anda adalah apa yang anda makan”.

* Kekuatan tubuh badan bukanlah disebabkan banyak makan tetapi berkaitan pengambilan makanan yang baik dan seimbang.

* Jika perut sudah dipenuhi dengan makanan dan minuman, maka ruang udara akan menjadi sempit dan berkurangan; ini akan menimbulkan rasa malas, lesu dan lalai.

Apabila terasa lapar hendaklah terus makan, jangan bertangguh kerana apabila ditangguh-tangguh akan menyebabkan seseorang itu akan mengambil makan yang berlebihan sehingga dua kali ganda.

Jika diikuti prosedur pengambilan makanan yang ditetapkan oleh Islam fenomena lebih berat badan dan obesiti tidak akan berlaku. Islam melarang seseorang terus tidur selepas makan sama ada pada siang hari atau malam. Setiap kalori atau tenaga daripada makanan hendaklah terus dibakar dengan melakukan pelbagai gerak kerja atau aktiviti.

Kalori yang tidak diguna atau dibakar akan disimpan di dalam badan dalam bentuk lemak dan terus berkumpul daripada masa ke semasa jika tidak dikawal.

Obesiti di kalangan kanak-kanak satu fenomena perlu ditangani dengan baik. Ada beberapa faktor penyebab fenomena ini berlaku. Antaranya:

* Kurang keprihatinan ibu bapa

Ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan makanan berkhasiat, sajikan makanan kepada keluarga asalkan kenyang, sedangkan Islam menggesa supaya seseorang itu memakan makanan yang halal lagi berkhasiat.

Sarapan pagi

Keluar rumah tanpa sarapan sama ada bagi kanak-kanak sekolah atau pekerja merupakan satu amalan yang tidak sihat, kecuali berpuasa. Keadaan ini akan menjejaskan kadar metabolisme.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Nestle (M) Berhad pada tahun 2001 ke atas 12,000 murid sekolah rendah (berumur tujuh hingga 12 tahun di seluruh negara) mendapati, lebih 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah tidak bersarapan.

Antara alasan paling kerap adalah tidak cukup masa (48 peratus) dan tidak berselera (30 peratus). Pilihan makanan sarapan paling lazim adalah roti, nasi lemak, nasi goreng dan kuih.

Didapati pengambilan makanan harian juga tidak teratur. Semakin ramai kanak-kanak gemar kudapan seperti ais krim, buah, bijirin sarapan pagi, kentang goreng, coklat dan makanan ringan.

Hasil kajian ini menunjukkan masih ada ibu bapa yang kurang ambil berat kepentingan bersarapan, sedangkan anak-anak sepatutnya makan sebelum mereka memulakan kelas.

* Mementingkan rasa makanan, mengenyangkan, murah berbanding khasiat

Trend hari ini makanan segera menjadi amalan dan kegemaran, sedangkan kandungan makanan yang dijual itu mengandungi kadar lemak, garam dan juga gula yang tinggi.

Ini amat membahayakan kesihatan. Namun makanan inilah yang banyak dijual di merata-rata tempat. Ini bermakna kanak-kanak dan murid-murid sudah disogok dengan makanan ini, lebih-lebih lagi dengan harga RM1 sudah dapat dibeli berbanding makanan lain.

Selain makanan segera yang digoreng, nasi lemak adalah makanan tumpuan pelajar. Dengan harga antara RM1.20 sehingga RM3 mereka sudah dapat membeli sebungkus nasi lemak.

Kajian mengenai khasiat nasi lemak perlu dibuat, kerana dulu masyarakat beranggapan minyak kelapa tidak elok untuk kesihatan sedangkan pada hari ini masyarakat pula mengambil minyak kelapa dara.

Pengaruh iklan

Iklan makanan segera ada di mana-mana sahaja dan yang paling berkesan adalah di televisyen.

Makanan dibungkus dengan gaya yang menarik untuk memancing kanak-kanak, ada yang gunakan kartun-kartun, gambar-gambar haiwan, kenderaan dan pelbagai lagi.

Anak-anak kecil yang menghabiskan banyak masa mereka di depan kaca televisyen sudah tentu akan terpengaruh dengan iklan-iklan yang disajikan kepada mereka. pihak berwajib patut memberi panduan cara pengambilan yang baik.

Memanjakan anak

Ada ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan menyogokkan makanan segera. Di rumah terdapat pelbagai pelbagai jenis makanan segera, snek kurang zat dan minuman sedia diminum dengan pelbagai jenama.

Kurang aktif

Kanak-kanak hari ini kurang aktif kerana mereka kurang ruang untuk bergerak, terkurung di dalam rumah kerana faktor keselamatan. Duduk di depan televisyen atau di depan komputer bermain play station berbekalkan makanan ringan atau jajan.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Hilang nikmat hidup di dunia jika zalim sesama insan

Posted by epondok di Mei 29, 2011

Ustaz Zamanuddin Jusoh

KETAATAN kepada Allah dapat digilap dengan adanya pelaksanaan lengkap untuk memastikan ubudiyyah serta pegangan mantap kepada Allah sentiasa terlaksana dalam kehidupan manusia seperti memelihara rukun Islam yang lima.

Sesungguhnya kemaksiatan serta dosa memberi kesan buruk kepada pelakunya bersesuaian dengan dosa serta kemudaratan dilakukan dan antara dosa besar diharamkan Islam ialah kezaliman terhadap manusia lain.

Katanya, mereka yang zalim menerima nasib malang kerana kezaliman merosakkan amalan dilakukan serta menghilangkan nikmat Allah di dunia dan akhirat.

“Oleh kerana sifat zalim mengundang kemudaratan besar, maka Allah meletakkan pengharamannya pada zat Allah sendiri,”

Hadis Qudsi menyebut: “Wahai hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan sifat zalim pada diri-Ku, justeru Aku mengharamkan ia dilakukan sesama kamu. Maka, jangan sekali-kali kamu melakukan kezaliman.”

Sifat ini milik mereka yang lemah dan tidak bertamadun. Allah teramat sunyi daripada sifat demikian. Diharamkan sesama manusia demi menjaga agama, kehidupan serta memperbaiki hubungan sesama manusia seterusnya memelihara hubungan dengan Allah.

Sifat zalim boleh memberi kesan kepada kemakmuran hidup manusia selain mengundang kemurkaan Allah dan boleh menyebabkan kemusnahan dalam sekelip mata.

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya jelas menunjukkan pertentangan dengan apa yang disarankan agama.

Beberapa kezaliman yang dilakukan manusia ialah:

Kezaliman yang tidak diampunkan Allah kecuali dengan bertaubat iaitu syirik. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik sedangkan Dia akan mengampunkan dosa lain kepada siapa yang di kehendaki. Sesiapa yang syirik adalah kesesatan yang amat jauh.” (Surah An-Nisa’, ayat 116)

Kezaliman dilakukan antara hamba dan Tuhannya iaitu perkara yang lain daripada syirik di mana Allah akan sentiasa memberi keampunan kepada mereka yang dikehendaki atau dihilangkan dosa dengan kecelakaan terhadap seseorang seperti kemalangan atau musibah.

Penyucian dosa ini juga dapat dirasai melalui azab kubur, syafaat Nabi SAW atau diletakkan di dalam neraka buat seketika.

Kezaliman yang dilakukan sesama manusia tidak dapat diampunkan melainkan dimaafkan oleh mereka yang dizalimi.

Sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Hendaklah dikembalikan hak mereka yang dizalimi sebelum datang hari kiamat di mana segala kebaikan orang yang zalim akan di berikan kepada mereka yang dizalimi seterusnya mengheret mereka ke neraka.”

Kezaliman ini juga termasuk pembunuhan sesama manusia, mengambil harta benda orang lain dan memutuskan silaturahim, melakukan penderhakaan kepada ibu bapa, mencetuskan pergaduhan serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Demikianlah besarnya akibat zalim terhadap seseorang sehingga Allah tidak pernah leka terhadap kezaliman yang dilakukan. Firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu menyangka Allah lupa terhadap kezaliman yang dilakukan.” (Surah Ibrahim, ayat 42)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »