Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Mei 2011

Pengajian kitab pelajar IPT sesi 2

Posted by epondok di Mei 28, 2011

PENGENALAN 

Satu kursus pengajian ilmu agama secara intensif berkonsepkan talaqqi (belajar secara bersemuka dengan guru) kitab ulama dahulu dengan gabungan aspek ilmu tauhid, feqah, dan tasauf yang dihimpunkan di dalam sebuah kitab berdasarkan sumber yang digali dari Al-Quran dan Al-Hadis sebagai memenuhi keperluan asas mahasiswa yang sibuk untuk belajar  dalam masa yang panjang

 

OBJEKTIF :

 

·         Mendedahkan kepada Mahasiswa teknik menuntut ilmu agama yang berkesan sehingga mampu untuk menguasainya dalam masa yang singkat.

·          Sebagai satu momentum yang penting untuk menaikkan semangat motivasi dalam beramal ibadat.

·          Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab yang mewarisi sistem warisan ilmu Rasulullah SAW.

·         Memberi pendedahan mahasiswa tentang sistem pendidikan di Pondok yang telah banyak melahirkan golongan ulama-ulama silam yang masyhur dengan kealiman mereka.

·         Menjalinkan hubungan antara Mahasiswa dengan pihak Madrasah Pengajian Pondok, terutama dengan pihak Pertubuhan Khairu Ummah. Hubungan sedemikian dapat berkerjasama untuk memartabatkan Agama Islam yang kita anuti.

 

TENAGA PENGAJAR :

Ustaz-ustaz di Pondok Pasir Tumboh

 

SASARAN :

Seramai 80 orang Mahasiswa atau sesiapa sahaja yang berminat 

YURAN :

PERKARA

MUSLIMIN

MUSLIMAT

1.    Pendaftaran (Seumur Hidup sekali)

RM 15

RM 15

2.    Penginapan

RM 10

RM 21

3.    Makan (Pagi,Tengahari&Petang)

RM 70

RM 70

JUMLAH

RM 95

RM 106

*Yuran tidak termasuk pengangkutan peserta

*Yuran ini akan lebih murah atau diberi percuma sekiranya ada penajaan. Kami akan maklumkan dari semasa ke semasa  kepada semua peserta yang telah mendaftar tentang yuran yang perlu dibayar. InsyaALLAH.

KITAB PENGAJIAN : Percuma

MODUS OPERANDI :

Program ini diadakan selama 15 hari 14 malam mengikut kaedah pengajaran kulit ke kulit menggunakan Kitab Usuluddin Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah karangan AlAllamah Muhammad Mukhtar Atharid serta kitab Fiqh(bagi Muslimat diberi penekanan tentang haid) dan Tasawwuf.

(Talaqqi kitab/Muzakarah)

 

AURAD AL-QURAN & AMALAN SEPANJANG KURSUS

 

  • Solat Fardhu Jamaah
  • Al-Ma’thurat
  • Al-Mulk dan Al-Waqi’ah
  • Solat Dhuha
  • Qiamullail/Solat Tasbih
  • Halaqah malam


KELENGKAPAN YANG PERLU DIBAWA SEMASA PROGRAM :

    1)    Alat tulis dan buku nota. 

    2)    Bagi muslimin sila bawa :

·         Kain pelikat.

·         Baju melayu atau jubah.

·         Kopiah dan serban.

    3)    Bagi muslimat sila bawa :

·         Baju kurung warna gelap atau jubah.

·         Tudung labuh.

·         Purdah. 

* Bagi peserta yang tidak mempunyai alatan di atas bolehlah membelinya semasa berada di pondok nanti.
* Sila sediakan dua (2) keping gambar berukuran paspot & sekeping salinan MyKad untuk tujuan pendaftaran.

SEBARANG PERTANYAAN, SILA HUBUNGI : (sebelum 6 Jun 2011)

  • Razali       : 0137929548

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Balasan bagi pengumpat

Posted by epondok di Mei 28, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

Surah al-Humazah mengandungi sembilan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Qiyamah. Walaupun begitu, ada pendapat menyatakan bahawa surah ini diturunkan di Madinah, justeru dinamakan Madaniyyah.

Hubungan al-Humazah dengan surah al-Asr

Dalam surah al-Asr disebutkan bahawa semua manusia bergelumang dalam kesesatan kecuali orang yang dilindungi Allah SWT kemudian dalam surah ini Dia menyebut sifat-sifat orang yang sesat itu.

Ata’ dan al-Kalbi mengatakan surah ini diturunkan berkenaan al-Akhnas Ibn Shariq yang selalu mengumpat manusia terutamanya tentang Nabi Muhammad SAW. Inilah pendapat Abu Soleh daripada Ibn Abbas, al-Suddi dan Ibn Asa’ib.

Muqatil mengatakan surah ini diturunkan tentang al-Walid Ibn Mughirah yang selalu mengumpat Nabi Muhammad SAW ketika baginda tidak hadir dan mencelanya secara terang-terangan di hadapan baginda. Ini juga pendapat Ibn Juraij.

Muhammad Ibn Ishaq, penulis kitab Sirah berkata: “Kami selalu mendengar surah ini diturunkan berkenaan Umayyah Ibn Khalaf.”

Ibn al-Jauzi menukilkan beberapa pendapat lain:

i. Ia diturunkan kepada al-‘As bin Wa’il al-Sahmi. Inilah pendapat Urwah.

ii. Ia diturunkan kepada Jamil bin Amir. Inilah pendapat Ibn Abi Nujaih.

iii. Ia diturunkan kepada Ubay bin Khalaf. Inilah pendapat al-Mawardi.

iv. Pendapat yang kedua bagi Mujahid: Ia diturunkan kepada umum tanpa tertentu kepada seseorang.

Firman Allah SWT: Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.

Berkenaan perkataan humazah dan lumazah, adakah sama atau berlainan? Ada dua pendapat:

i. Bersamaan.

ii. Berlainan. Bagi yang berpendapat berlainan, ia menafsirkan seperti berikut:

* Humazah adalah mereka yang mencela dan lumazah adalah yang mengaibkan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Humazah adalah mereka yang mencela manusia di hadapannya, sedangkan lumazah pula ialah mencela manusia di belakangnya. Inilah pendapat al-Hasan, Ata’ dan Abu al-‘Aliah.

* Humazah adalah mereka yang memaki manusia, manakala lumazah pula mereka yang memaki keturunan manusia. Inilah pendapat Mujahid.

* Humazah adalah mereka yang mengejek dengan mata, sedangkan lumazah pula mengejek dengan lidah. Inilah pendapat Qatadah.

* Humazah adalah mereka yang mengejek manusia dengan tangan dan memukulnya, sedangkan lumazah ialah mereka yang mengejek dengan lidahnya. Inilah pendapat Ibn Zaid.

* Humazah adalah yang mengejek dengan lidahnya, sedangkan lumazah pula adalah mengejek dengan matanya. Inilah pendapat Sufyan al-Thauri.

* Humazah adalah mereka yang menghina dan mengata orang, sedangkan lumazah adalah menghina secara berhadapan. Inilah pendapat Muqatil.

Al-Maraghi berkata: “Kemurkaan dan seksaan Allah SWT kepada golongan yang mencerca manusia yang melanggar kehormatan mereka dan yang menyakitkan hati mereka sama ada ketika hadir atau tidak.”

Kemudian Allah SWT menyebutkan sebab Dia mencerca manusia menerusi firman-Nya. Firman Allah SWT: Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung.

Maksud himpunan di sini ada dua pendapat iaitu mengira bilangan dan menghitungnya yang merupakan pendapat al-Suddi. Yang kedua mengiranya bagi mencukupkan beberapa tahun. Ini pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: “Perkara yang mendorong mereka menjatuh dan menghinakan martabat manusia disebabkan pengumpulan mereka akan harta dan selalu menghitungnya kerana sukakannya dan berasa seronok menghitungnya.”

Pada pandangan mereka bahawa tidak ada kehormatan dan kemuliaan selain daripada itu sehingga setiap kali mereka melihat apa yang ada padanya, mereka mendakwa sebab yang demikian itulah mereka memperoleh kedudukan yang tinggi.

Mereka menghina orang yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berada di bawahnya, dan tidak berasa takut jika mereka ditimpa bencana akibat umpatan dan cercaannya terhadap kehormatan manusia.

Ia lantaran perkara yang menipunya itu telah melupakannya akan kematian dan membutakan pula mata hatinya untuk memikirkan kesudahan perbuatannya dan merenungkan keadaan diri mereka. Kemudian Allah SWT menjelaskan dakwaan mereka yang salah ini menerusi firman-Nya.

Firman Allah SWT: Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya.

Al-Maraghi berkata: Pengumpat ini mendakwa harta yang ada pada dirinya akan dapat menjaminnya kekal di dunia dan memberi keselamatan daripada kematian. Sehingga dia beramal seperti beramalnya orang yang menyangka hidup kekal buat selama-lamanya dan tidak akan kembali kepada kehidupan lain yang di sana nanti akan menerima seksaan terhadap perbuatan buruk mereka.

Setelah Allah SWT mengancam orang yang bersifat seperti ini dengan ancaman seksaan yang keras dan menyatakan sebab yang mendorong orang itu melakukan tindak tanduk yang dibenci iaitu dakwaan mereka bahawa harta itu dapat menjamin keselamatan mereka daripada kematian, Dia mengakhirkan dengan menjelaskan seksaan yang telah disediakan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

Hamka berkata: Pekerjaan mengumpulkan harta benda yang disangkanya itu akan dapat memelihara dirinya dari sakit, tua, mati atau pun azab seksa neraka tidaklah benar, bahkan ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah.

Ini kerana dia bukan seorang yang boleh dihargai. Dia mengumpulkan dan menghitung harta, namun dia mencela dan menghina dan memburukkan orang lain, mengumpat dan mengeji. Balasan kepadanya neraka dan nama lain baginya Hutamah.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. Yang (membakar) sampai ke hati.

Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Satu gambaran yang mengerikan bagaimana api itu membakar hati yang menjadi sumber melahirkan umpat keji, persendaan, sombong dan takbur. Untuk menyempurnakan gambaran keazaban manusia yang terbuang itu, api neraka ditutupkan ke atasnya.

Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, diikat dan ditambat pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka.

Al-Mawardi menyebut lima pendapat:

i. Iaitu dihukum dengan diikat pada kayu yang memanjang. Inilah pendapat Ibn Mas’ud.

ii. Diazab padanya dengan palang kayu yang tajam sebagaimana pendapat Qatadah.

iii. Tiang yang memanjang yang dibelenggu pada leher mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas.

iv. Ia adalah rantai pada kaki mereka sebagaimana pendapat Abu Soleh.

v. Maknanya tempoh masa yang panjang. Inilah pendapat Abu Fatimah.

Al-Maraghi berkata: Api itu ditutupkan kepada mereka sehingga tidak dapat keluar dan tidak mampu untuk keluar.

Setiap kali mereka ingin keluar mereka dikembalikan semula ke dalamnya (api neraka).

Tidak ada pintu yang dibukakan kepada mereka, tidak pula dimasukkan roh kepada mereka. Ini menggambarkan betapa kuatnya penutupan api itu kepada mereka, di samping menambahkan kehangatan api itu sehingga hati mereka putus asa untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut.

Kita wajib beriman kepada perkara itu dan tidak perlu mengkaji tentang tiang-tiang itu adakah ia dibuat daripada api atau besi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »