Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Mei 2011

Orang beriman saling berpesan

Posted by epondok di Mei 21, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI
MOHAMAD ALBAKRI
Ingat mengingati melalui khutbah mendatangkan manfaat kepada kaum muslimin. – gambar hiasan

HAKIKAT agung yang dikemukakan oleh keseluruhan surah ini adalah: Biarpun sepanjang mana waktu di seluruh zaman dan di sepanjang mana kelangsungan hidup manusia di setiap masa, namun di sana hanya ada satu cara dan satu jalan hidup sahaja yang membawa keuntungan dan keselamatan.

Itulah cara dan jalan hidup yang telah dijelaskan sempadan dan tandanya dalam surah ini. Selain cara hidup yang telah dihuraikan dalam surah ini maka sia-sia dan rugi belaka.

Sayid Qutub berkata: Itulah keimanan, amalan yang soleh, saling berpesan menjunjung agama yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar.

Apakah iman itu?

Kami tidak bermaksud mentakrifkan iman di sini dengan takrif ilmu fikah tetapi kami mahu memperkatakan tentang tabiat iman dan nilainya dalam kehidupan manusia.

Keimanan adalah hubungan makhluk manusia yang bersifat fana, kerdil dan terbatas dengan Allah yang bersifat mutlak, azali, kekal dan menjadi sumber yang melahirkan segala yang wujud, juga hubungannya dengan alam yang lahir dari Allah dan hubungannya dengan undang-undang yang mengendalikan perjalanan juga hubungannya dengan tenaga alam ini.

Titik tolak di sini adalah daripada perbatasan diri manusia yang kerdil kepada ruang alam yang luas dan daripada batas-batas kekuatannya yang lemah kepada kebesaran tenaga alam yang majhul dan batas umurnya yang pendek kepada kelanjutan abad yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Hubungan seperti ini selain memberi kekuatan, kesinambungan dan kebebasan kepada manusia ia juga memberikan kenikmatan hidup kepada mereka dengan segala keindahan alam dan dengan aneka ragam makhluk, di mana roh-roh makhluk ini menjalin hubungan saling mesra dengan rohnya sehingga hidup ini dirasakan seolah-olah satu perkelahan melihat temasya-temasya ilahi yang dipamerkan kepada manusia di setiap tempat dan waktu.

Hubungan ini merupakan suatu kebahagiaan yang tinggi dan kegembiraan yang melimpah, di samping suatu kemesraan terhadap hidup dan alam buana. Ini suatu keuntungan yang tidak dapat dibandingkan dengan keuntungan yang lain dan kehilangannya merupakan suatu kerugian yang sangat tinggi dan tiada tandingannya.

Kemudian asas-asas keimanan itu sendiri merupakan asas kemanusiaan yang luhur. Menyembah Allah Yang Tunggal membebaskan manusia dari perhambaan kepada yang lain daripada Allah dan menegakkan dalam jiwanya kesedaran berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sesama manusia kerana ia tidak menghinakan dirinya kepada seseorang yang lain dan tidak tunduk melainkan kepada Allah SWT.

Daripada sinilah lahirnya kebebasan hakiki bagi manusia iaitu kebebasan yang terbit daripada hati nurani dan kefahaman terhadap hakikat yang berlaku di alam iaitu tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah Yang Tunggal dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

Pembebasan diri adalah terbit dengan sendirinya daripada kefahaman ini kerana ia merupakan satu-satunya kesimpulan yang logik.

Ciri Rabbaniyah (yang menjadi teras keimanan) itulah yang menentukan arah dari mana manusia harus menerima kefahamannya, nilai-nilainya, ukurannya, pertimbangannya, syariatnya, undang-undangnya dan segala peraturan yang mengikatkannya dengan Allah SWT atau dengan alam atau dengan manusia.

Dengan itu kehidupan manusia terhindar daripada kongkongan hawa nafsu dan kepentingan manakala tempat kedua-duanya digantikan dengan syariat dan keadilan.

Ciri Rabbaniyah juga meningkatkan rasa bangga seseorang mukmin terhadap nilai agamanya dan memandang rendah kepada kefahaman jahiliah, nilai pertimbangannya juga memandang rendah kepada perhubungan muka bumi walaupun dia sebatang kara kerana menghadapi nilai sedemikian yang diambil secara langsung dari Allah SWT sudah tentu lebih unggul, kuat, utama dan dihormati.

Firman Allah SWT: Nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran.

Berkenaan dengan kebenaran ditafsirkan dengan tiga pendapat:

i. Ia adalah tauhid. Inilah pendapat Yahya bin Sallam.

ii. Ia adalah al-Quran. Inilah pendapat Qatadah.

iii. Ia adalah Allah SWT. Inilah pendapat al-Suddi.

Ada pendapat mengatakan menasihati khalifah yang bakal menggantikannya ketika hampir meninggal dunia supaya tidak mati kecuali dengan menjadi orang Islam.

Firman Allah SWT: Dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Ada tiga pendapat berkenaan dengan kesabaran:

i. Atas ketaatan kepada Allah SWT. Inilah pendapat Qatadah.

ii. Atas melaksanakan kefarduan Allah. Inilah pendapat Hisha bin Hassan.

iii. Bersabar daripada perkara yang haram dan mengikut hawa nafsu.

Al-Maraghi berkata: Sebahagian daripada mereka menasihati yang lain supaya bersabar tidak melakukan maksiat yang dirindukan oleh hawa nafsu sesuai dengan tabiat manusia.

Begitu juga supaya bersabar melakukan ketaatan yang dirasakan sulit oleh nafsu serta bersabar menghadapi cubaan Allah SWT yang ditimpa kepada para hamba-Nya dalam bentuk musibah dan menerimanya dengan perasaan rela zahir dan batin.

Ini supaya mereka selamat daripada kerugian, manusia perlu mengetahui kebenaran, melekatkan kebenaran kepada dirinya dan memantapkan hati dengan kebenaran. Kemudian, sesetengah mereka menganjurkan yang lain agar mengikut jalan kebenaran dan menjauhkan dirinya dan orang lain dari dakwaan dan khayalan yang tidak benar di dalam hati dan tidak boleh dijadikan petunjuk.

Surah ini begitu tegas sekali menentukan jalan yang betul iaitu seluruh manusia berada dalam kerugian melainkan orang yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan.

Ini supaya menjunjung agama yang benar dan bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan untuk beriman dan beramal soleh dan menegakkan masyarakat Islam bersatu padu menjaga agama yang benar dengan berbekalkan sifat sabar.

Sebabnya, zaman dahulu dua orang lelaki dari sahabat Rasulullah SAW apabila mereka bertemu, mereka tidak berpisah sehingga salah seorang mereka membaca surah al-‘Asr kepada seorang lagi, kemudian barulah mereka bersalaman.

Mereka berdua berjanji setia menjunjung perlembagaan ilahi dengan beriman dan berbuat kebajikan dan juga bersikap sabar.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Guru kena angkat martabat pendidikan lahir insan kamil

Posted by epondok di Mei 21, 2011

 

Oleh Nazri Hussein

TANGGUNGJAWAB guru menyebar ilmu serta pembentuk akhlak dan moral pelajar diiktiraf oleh Allah SWT sebagai golongan mulia dalam masyarakat yang menyumbang terhadap pembangunan generasi akan datang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Menjadi seorang pendidik yang setiap saat dan ketika berkhidmat menyalurkan ilmu pengetahuan supaya generasi yang ada hari ini memiliki kecelikan akal, berkebolehan, berdaya kreatif serta mempunyai sahsiah peribadi yang ulung bukan suatu tugas mudah.

Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan hakikat ini menjadi cabaran kepada guru merealisasikan hasrat membina negara bangsa yang bukan saja maju tetapi juga teguh akal budi menjulang peradaban bangsa.

Malah, guru yang cemerlang dan berkualiti akan sentiasa menekankan persoalan adab dan perilaku anak muridnya kerana matlamat akhirnya adalah ingin melahirkan insan berketrampilan dan bertakwa kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW adalah contoh muaddib atau guru terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan kerana pada diri Baginda terhimpun akhlak baik dan kemuliaan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sempena Hari Guru hari ini, wajarlah golongan guru menyahut cabaran mengangkat martabat pendidikan dengan cara menunaikan amanah penuh ikhlas mentarbiah anak bangsa supaya lahir insan kamil yang luhur akal budi serta berpengetahuan tinggi memakmurkan negara.

Bagi pelajar dan masyarakat pula, hargailah pengorbanan guru serta elakkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara guru, murid dan masyarakat. Sikap menghormati guru dapat mengeratkan hubungan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat.

Banyak juga laporan tidak elok yang didengar mengenai tindakan guru terhadap murid serta perilaku negatif guru terhadap murid. Semua itu mesti ada puncanya, sama ada daripada pelajar sendiri atau kelemahan guru menerapkan nilai mulia dalam diri mereka.

Justeru, apabila guru sudah berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, pelajar pula perlu ikhlas menuntut ilmu kerana dengan cara itu akan memudahkan proses pembelajaran.

Ada kalanya, guru sudah melakukan yang terbaik namun, hasilnya masih tidak kelihatan. Oleh itu untuk melihat kejayaan, gabungan kerja keras guru dan murid, disokong pula oleh ibu bapa adalah sangat diharapkan.

Jangan terlalu mudah menuding jari kerana adalah lebih baik kita bersama mencari di mana kelemahan untuk diperbaiki. Cabaran hidup hari ini bukan berkisar di sekolah saja tetapi membabitkan semua aspek kehidupan.

Guru teruskan perjuangan menabur ilmu dan anak murid berusaha menimba pengetahuan di bawah bimbingan guru sementara ibu bapa hendaklah memantau perkembangan pendidikan. Apabila semua berfungsi dengan baik, cabaran mendepani sistem pendidikan akan dapat diatasi

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »