Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 Mei 2011

Tegas soal hukum elak gejala buang bayi

Posted by epondok di Mei 20, 2011

 

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh

KATA Imam al-Maududi : “Kalau kita nak lihat masa depan ummah lihatlah remaja masa sekarang dan kalau kita tak mahu keruntuhan ummah masa depan didiklah remaja masa kini.”

Hidup kita bukan hanya hendak berhibur, tetapi kita hidup untuk menjadi pejuang. Kita bukan mahu melahirkan perosak dan pemusnah, tetapi kita mahu lahirkan pembina serta penegak ummah.

Mana mungkin penghibur boleh diajak berjuang, bukan tidak boleh berhibur, tetapi biarlah hiburan yang ada mesejnya dan punya tema ketuhanan dan kenabian.

Kalau mahu seronok dan hidup bebas pasti banyak yang terbabas. Bila sudah terbabas pasti parah sehingga membawa kematian.

 

Kalau mati tanam sahajalah, jadilah mayat dan tinggallah kenangan, tetapi apa dibimbangkan ialah hati yang mati, jiwa nurani yang parah.

 

Jika hidup sekalipun nanti menjadi pemusnah dan peruntuh kebaikan yang sudah dibina atau apa-apa kebaikan yang sedang dalam pembinaan.

Yang tinggal kenangan pahit yang ditelan generasi di belakang yang terpaksa menggalas bebanan angkara perbuatan sumbang kita.

Antara mimpi ngeri yang sedang kita alami dalam realiti ialah bebanan angka buang bayi. Angka itu seperti kita sedia maklum tidak cukup tangan hendak dikira.

Bukan satu malah bertimpa-timpa dosa mereka lakukan. Buang bayi hidup satu hal apa lagi yang mati. Jenayah dalam jenayah, dosa dalam dosa, zalim bertindan-tindan.

Buang anak adalah akibat zina kerana orang yang hamil secara halal tidak akan membuang anaknya. Manakala zina itu sendiri adalah akibat perbuatan lain, iaitu pergaulan bebas.

Seterusnya, kita mesti mencari jawapan apakah punca pergaulan bebas. Mengenakan tuduhan ke atas pembuang bayi adalah langkah membendung gejala buang bayi.

Tetapi langkah tegas itu masih berada dalam lingkungan merawat, bukan mencegah. Sebenarnya gejala buang bayi adalah berpunca daripada zina.

Cegah buang bayi juga bermakna mencegah zina. Maka dalam mencari penyelesaian sepatutnya isu ini menjadi bahan dan fikir bersama.

Sebagai metaforanya, apakah yang akan anda lakukan jika atap rumah tiris? Mungkin langkah segera ialah sediakan bekas untukmenadah air hujan yang menitis.

Tetapi untuk jangka panjang, anda perlu baiki atap rumah itu, kerana di situ letaknya punca kejadian. Kebiasaannya, atap yang ditampal juga tidak tahan lama.

Tukar atap baru, barulah selesai masalah. Pihak berkuasa mesti bertindak segera, laksanakan undang-undang pencegahan yang menyeluruh dan sampai ke akar umbinya.

Dalam Islam memang terbukti tanpa sebarang keraguan keberkesanannya iaitu menguatkuasa undang-undang hudud dan qisas.

Bermula dengan penerangan dan perancangan yang berterusan melalui pendidikan.

Masing-masing perlu bertanggungjawab, pihak sekolah perlu mendidik dan bukan hanya mencerdik, media dan penyiaran perlu menghidang kan program yang membina rohani secara kontemporari.

Remaja pula perlu menjauhi sebarang bentuk pergaulan bebas dan jangan sesekali menghampiri zina kerana nanti kita dekat dengan gejala membuang bayi.

Paling kita takuti ialah kemungkinan remaja membuang dan membunuh bayi itu adalah mereka dulu juga anak hasil hubungan luar nikah ibu atau ayahnya yang berzina.

Kini mereka sudah membesar dan bertindak lebih ganas lagi. Manakala ibu ayah pula perlu tegas dengan anak sedari kecil lagi. Bertegas bukan bererti berkasar, tetapi bertegas dalam soal prinsip iaitu solat, aurat, pergaulan bebas.

Jangan beri ruang anak kita memandang kecil suruhan Allah, ingatkan soal akhirat, azab kubur, syurga neraka. Didiklah anak bukan sekadar ‘ternak’ mereka dengan makanan yang enak sahaja.

Berhabislah sedikit wang demi mengenali Allah. Hantar anak ke program motivasi yang menerapkan nilai Islam selain dapat membina kekuatan diri.

Ibu bapa perlu menjadi model kepada anak mereka. Jangan jadi seperti ketam yang menyuruh anaknya jalan betul sedangkan ia bengkang dan bengkok.

Zina perbuatan yang sangat buruk dan pelakunya diancam dosa besar oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Israa ayat 32). Hal itu disebabkan terlalu banyaknya kesan yang ditimbulkan masalah zina. Ia termasuk kesan psikologi, sosial ataupun moral.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ibu bapa tunjang keluarga

Posted by epondok di Mei 20, 2011

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

 

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menuntut tugasan yang lebih daripada sekadar mencari rezeki. – Gambar hiasan

 

SAMBUTAN hari ibu dan bapa yang diadakan saban tahun bertujuan untuk memperingati dan mengenang jasa setiap ibu bapa. Mereka diraikan, diberi hadiah dan ucapan terima kasih atas jasa dan pengorbanan selama ini.

Tidaklah salah meraikan dan menggembirakan ibu bapa sebegitu. Tetapi harus diingat bahawa menghargai ibu bapa bukan semata-mata hanya pada hari-hari tertentu sahaja. Mereka perlu dilayan, dijaga baik dan dikenang setiap hari.

Allah telah memerintahkan manusia supaya sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mengucapkan kata-kata yang mulia kepada mereka (surah al-Israa’, ayat 23). Seorang anak dilarang mengatakan ‘Ah!’ apatah lagi menyakiti hati dan menderhakai mereka.

Dalam surah Luqman, Luqman Al-hakim juga menasihati anaknya supaya sentiasa mentaati perintah ibu bapa selagi tidak menyalahi perintah dan syariat Allah. Berlemah lembut, tolong menolong dan berbudi bahasa adalah antara tanggungjawab seorang anak kepada setiap ibu bapanya.

Malangnya, adab-adab dan sikap inilah yang semakin terhakis dalam kehidupan anak-anak sekarang. Bukan sahaja remaja, malah yang dewasa juga tidak lagi menghormati ibu bapa yang semakin tua dan tidak berdaya. Jelas sekali ini bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Ada anak-anak yang tidak menganggap ibu bapa sebagai tanggungjawab mereka apabila ibu bapa telah tua.

Kesibukan bekerja dan faktor kewangan antara faktor menyebabkan banyak ibu bapa dipinggirkan dan terbiar sepi di kampung atau rumah orang tua.

Sebagai remaja, perasaan belas kasihan dan mengasihi ibu bapa harus dipupuk dan disuburkan selalu. Pada peringkat remaja, adakalanya kehendak dan kemahuan tidak seiring dengan apa yang ibu ayah sudah aturkan untuk mereka. Jiwa remaja mudah memberontak, ingin mencari kebebasan serta tercari-cari lagi watak dan jati diri.

Justeru, remaja yang tidak terdidik dengan perasaan belas ihsan dan simpati terhadap orang lain mudah sahaja membuat tindakan yang kurang wajar sekiranya keinginan mereka tidak dipenuhi. Misalnya lari dari rumah, meninggikan suara serta bersikap bengis terhadap ibu bapa mereka. Segala keinginan mereka harus dipenuhi serta merta walaupun adakalanya mengetahui ia tidak baik atau ibu bapa tidak mampu menyediakannya.

Sekiranya anak-anak dibesarkan dengan watak-watak seperti di atas, bayangkan implikasinya kepada masyarakat dan keluarga apabila dewasa.

Sikap pentingkan diri sendiri, ego, panas baran, bengis dan degil diwarisi sehingga ke tua. Lebih malang lagi jika anak-anak mereka pula mewarisi sikap yang sama.

Mendidik anak-anak menjadi seorang yang berbudi bahasa dan memahami tanggungjawab ibu bapa tidaklah mudah. Tetapi ia bermula daripada kefahaman yang ibu bapa terapkan pada anak-anak mereka.

Ada ibu bapa beranggapan bahawa tanggungjawab mereka terhadap anak-anak sekadar mencari rezeki, mencukupkan pakaian dan makan minum anak-anak, tetapi mengabaikan tanggungjawab mendidik rohani anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menuntut tugasan yang lebih daripada sekadar mencari rezeki siang malam.

Justeru peranan ibu dan ayah amatlah penting dalam pembentukan watak dan pendirian anak. Ibu sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa juga tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga. Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Pada diri seorang ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Allah telah memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada wanita yang bergelar ibu untuk menanggung kesusahan dan kepayahan demi anaknya.

Seorang ibu sanggup melalui tempoh mengandung dengan susah payah sehinggalah melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang penat berjaga malam untuk menyusu dan menyalin lampin anak dan bersengkang mata sekiranya anak kurang sihat. Naluri seorang ibu sememangnya berkehendakkan anaknya sentiasa dalam keadaan sihat dan sempurna.

Ibu adalah pelengkap kepada watak bapa. Ia menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Ibu yang berilmu dan berketerampilan memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, serta memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus diremajakan dan didewasakan.

Menjadi seorang ayah pula adalah peranan yang payah. Ia tidak bererti memonopoli segala hak dan tanggungjawab, tetapi dikongsi dan dilalui bersama-sama secara sukarela dan penuh faham tanggungjawab.

Watak ayah tidak sama dengan watak ibu. Tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasangan untuk saling melengkapi. Seorang ayah perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak.

Dalam masa yang sama ayah harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu juga perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai dan memberi contoh yang baik kepada proses pendewasaan anak-anak.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »