Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Mei 2011

Kepentingan sifat ihsan dalam kehidupan

Posted by epondok di Mei 19, 2011

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH berfirman bermaksud: “Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah).” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Ihsan adalah tonggak yang menegakkan kerangka agama seiring iman dan Islam. Namun, umat Islam kini memandang remeh konsep ihsan ini sehingga tidak mengambil endah kepentingannya dalam kehidupan seharian.

Jika diteliti, ihsan sama pentingnya seperti iman dan Islam dalam menentukan hala tuju kehidupan Muslim sama ada bahagia di dunia dan akhirat atau sebaliknya.

Ihsan bererti berbuat baik dan didefinisikan sebagai ajaran atau konsep mendukung etika kerja yang baik. Berdasarkan perspektif ini, ihsan dapat difahami sebagai produktiviti kerja secara optimum dengan hasil sumbangan terbaik dan berkualiti tinggi.

Konsep ihsan menjurus kepada dua matlamat utama. Pertama, ihsan dalam ibadat dan kedua, ihsan dalam muamalat.

Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh khusyuk dan tawaduk di samping ikhlas seolah-olah ketika itu sedang berhadapan dengan Allah.

Jika perasaan itu ada, sudah tentu manusia gerun untuk melanggar larangan Allah.

Menurut Ibnu Hajar, sekiranya manusia tidak dapat melihat Allah, maka hendaklah dia meyakini Allah melihat dan mengawasinya. Justeru, setiap Muslim hendaklah menyempurnakan ibadat dengan sebaiknya bertepatan landasan digariskan Allah dan sunnah Rasulullah SAW.

Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah dalam urusan ibadat semata-mata kerana ihsan turut merangkumi setiap perlakuan sesama manusia sama ada bersangkutan perkara duniawi mahupun ukhrawi.

Setiap Muslim dituntut berihsan dalam urusan kehidupan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, bahkan dalam urusan muamalat seperti kekeluargaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan politik.

Dalam konteks ihsan dalam muamalat, Imam al-Asfahani memberi dua pengertian iaitu limpahan nikmat maslahah serta kepentingan pihak lain dan mempertingkatkan kualiti kerja itu sendiri. Pengertian yang pertama dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam komuniti Islam.

Ihsan juga dianjurkan terhadap haiwan. Imam Muslim meriwayatkan, “Saidatina Aisyah bersama Rasulullah SAW ketika perjalanan jauh, menunggang unta begitu susah hendak dikendalikan. Lalu Saidatina Aisyah memalingkan unta itu ke kanan dan ke kiri. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Wahai Aisyah! Kamu hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar daripada sesuatu, maka ia akan rosak.”

Termasuk juga dalam skop ihsan, iaitu mempertingkatkan kualiti kerja yang bergantung kepada dua syarat utama, ilmu pengetahuan menyeluruh dan ketrampilan kemahiran yang mantap. Tanpa kedua-duanya, tidak akan melahirkan satu perbuatan atau kerja benar-benar berkualiti ihsan.

Ihsan sebagai konsep menjurus ke arah hasil kerja optimum menuntut setiap Muslim kepada tiga perkara berikut:

* Bekerja atau melakukan sesuatu kerja sebaik mungkin selaras sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

* Menguasai ilmu pengetahuan dan mengetahui kemampuan diri berkaitan tugas sehingga menyempurnakan kerja tepat pada masanya. Ilmu dan kelayakan seseorang antara kriteria utama menjamin kejayaan kerja dilakukan.

* Ikhlas dan benar dalam kerja dan amalannya. Dalam hal ini, ulama salaf, Fudhail ‘Iyadh ditanya makna ikhlas dan benar dalam amalannya. Beliau menjawab: Sesungguhnya amal benar tapi tidak dilakukan dengan ikhlas, tidak diterima Allah. Begitu juga jika dilakukan dengan ikhlas tapi dengan cara yang tidak benar tidak diterima.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat Duha ibadat sunat digalak Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Mei 19, 2011

Oleh Sharul Zahri Ahmad

PENDAPAT jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat Duha hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sementara Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

Sunnah ditinggalkan Baginda Rasulullah ini elok dijadikan amalan bertepatan hadis yang bermaksud: “Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 hari bulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Duha dan juga mengerjakan solat witir sebelum aku tidur.”
Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah dengan syarat ikhlas dan menepati syariat serta istiqamah yang berterusan. Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat tersendiri.
Cuma jangan pula hikmah dan fadilat ini dijadikan sebagai matlamat pula. Dibimbangi menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri. Amalan sunat adalah cara kita sebagai hamba yang lemah mendekatkan diri kepada Allah.

Namun, ada nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Duha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

Antaranya hadis riwayat Abu Dzar, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Duha.”

Solat ini juga adalah tanda kesyukuran hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi dilaluinya. Justeru, Duha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih hamba kepada Penciptanya.
Umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini yang sebaik-baiknya dilakukan di rumah supaya dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jika di tempat kerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya empat hingga lima minit. Jadi, apalah jika amalan ini dibudayakan.

Baginda SAW tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan Aishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mendirikan sembahyang sunat Duha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Duha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesuai dengan namanya Duha yang bermaksud pagi, jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan hadis Nabi SAW yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah SAW menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa itu sebagai masa berlalunya seperempat siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang. (Kitab al-Majmu karangan Imam Nawawi)

Rakaat solat sunat Duha yang masyhur dalam kalangan ulama adalah paling minimum dua rakaat saja dan bilangan maksimum adalah lapan rakaat. Cuma ada sebilangan ulama mencadangkan bilangan paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah menjelaskan Nabi SAW melakukannya sebanyak empat rakaat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »