Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Mei 2011

Umat Islam dilarang hukum seseorang tanpa menyelidik

Posted by epondok di Mei 8, 2011

 

Sebar, kongsi maklumat palsu boleh timbul ketegangan, pertelagahan di kalangan masyarakat

KOMUNIKASI dan penyebaran maklumat tidak berlaku secara lisan tetapi disebar pantas secara maya (virtual) melalui internet. Penciptaan alat komunikasi ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan baik.

Pengguna perlu berdisiplin, mengikut peraturan dan bertanggungjawab supaya kemajuan itu tidak disalahgunakan terutama menyebarkan perkara tidak benar. Amat mendukacitakan apabila ada menggunakan kemudahan internet ini untuk menyebarkan maklumat palsu, pembohongan dan fitnah.

Senario ini menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah maklumat yang disebarkan melalui internet atau lisan itu.

Kesan penyebaran maklumat melalui lisan mahupun internet sama saja. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet. Malah melalui internet, latar belakang diri boleh dirahsiakan menggunakan nama samaran dan maklumat diri yang palsu.

Ada kala ini menyukarkan untuk mengesan ‘orang’ yang mendalanginya. Oleh itu, segala berita yang disebarkan, tidak kira melalui lisan mahupun internet hendaklah diselidik terlebih dulu. Untuk menilai kesahihan sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah ada garis panduannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti serta menyelidik terlebih dulu berita disampaikan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita dan jangan terlalu cepat menafikannya sebelum membuat penelitian terhadap kebenarannya.

Takut jika terlalu tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Sebab penurunan ayat ini ada disebutkan hubung kait dengan berita dibawa al-Walid ‘Uqbah. Sa‘id daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid ‘Uqbah untuk mengambil hasil kutipan zakat daripada kaum Bani Mustaliq yang telah mengaku beriman kepada Rasulullah SAW dan memeluk agama Islam.

Apabila al-Walid tiba di perkampungan Bani Mustaliq, tiba-tiba hatinya berasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah bahawa kaum Bani Mustaliq telah murtad (terkeluar daripada agama Islam).

Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Khalid al-Walid bersama sekumpulan tentera ke perkampungan Bani Mustaliq untuk memastikan sama ada benar atau palsu berita disampaikan al-Walid.

Kedatangan mereka itu secara rahsia kerana mahu Khalid menyelidik terlebih dulu dan jangan tergesa-gesa mengambil tindakan. Khalid dan tenteranya tiba di perkampungan Bani Mustaliq pada waktu malam.

Khalid kemudian menghantar beberapa orang perisik untuk menyelidiki keadaan kaum Bani Mustaliq dengan lebih dekat. Tidak berapa lama, perisik tadi datang kepada Khalid membawa laporan kaum Bani Mustaliq masih berpegang kuat dengan agama Islam. Buktinya azan masih kedengaran dan mereka menunaikan solat secara berjemaah.

Setelah itu, Khalid dan tenteranya pulang menemui Rasulullah SAW membawa laporan. Maka turun ayat 6, surah al-Hujurat. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyelidik dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan.”

Walaupun hadis di atas membicarakan sikap al-Walid yang menyebarkan berita palsu, tetapi hukumnya umum dan berlarutan sehingga ke hari akhirat. Kaedah tafsir menetapkan pengajaran dan iktibar itu diambil kira berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.

Kisah ini memberi peringatan dan panduan kepada kita adab atau etika apabila menerima sesuatu maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sikap tergopoh-gapah menerima sebarang berita disampaikan boleh mendatangkan penganiayaan kepada orang lain.

Umat Islam seharusnya berhati-hati menerima berita yang disebarkan. Penyebaran dan perkongsian maklumat yang tidak berpandukan kaedah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis, boleh menimbulkan ketegangan dan pertelagahan dalam masyarakat.

Akhir-akhir ini, berita berbentuk khabar angin, hasutan, gosip liar dan fitnah, banyak disebarkan. Semuanya sengaja diada-adakan untuk tujuan tertentu. Namun, masih ada segelintir umat Islam yang mudah menerima tanpa memastikan kebenarannya.

Umat Islam dilarang cepat menghukum seseorang tanpa menyelidik berita disampaikan terlebih dulu. Contoh dalam asbab nuzul ayat di atas, jika al-Harith dan kaumnya dijatuhkan hukuman, maka sudah tentu ia penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, umat Islam juga seharusnya berfikir dengan rasional manfaat dan kemudaratan hasil tindakan yang akan dilakukan. Oleh itu, pandangan atau pendapat orang bijak dalam mempertimbang manfaat dan kemudaratan, perlu dihormati dan diterima pakai

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pengorbanan IBU wajib dikenang sepanjang masa

Posted by epondok di Mei 8, 2011

 

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Penghargaan perlu diserlahkan dengan menjaga dan mendoakan kesejahteraan orang tua

SESIAPAPUN tidak akan menafikan ibu perlu sentiasa ditabalkan sebagai insan paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak, peranan serta jasa ibu bukan calang-calang tahapnya.

Ibu bertarung nyawa ketika mengandung dan melahirkan anak ke dunia. Saat anak masih kecil, ibu menyuapkan makanan, memberi susu dan mengajar bertatih.

Apabila anak membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranan mendidik, menjadi tempat bermanja, mengadu nasib dan pengubat rasa sedih nestapa.

Sebagai anak, kita bertanggungjawab merai dan memuliakan ibu sepanjang hayat. Dari perspektif Islam, martabat ibu perlu dimuliakan seperti Allah mengangkat tinggi darjat mereka.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada–Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati perlu dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu.

Cerita rakyat Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya. Pada zahirnya tidak masuk akal ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersirat pengajaran cerita dongeng ini jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan pedih akan diturunkan Allah di dunia dan akhirat.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sampai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (perkataan kasar) sekalipun ‘hah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Israa’, ayat 23)

Bayangkan, anak berkata ‘hah’ pun ditegah, apatah lagi jika kita berkasar, membentak atau memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah terletak kepada keredaan ibu. Murka ibu bermaksud murka jugalah Allah terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW memberi isyarat jelas tingginya martabat ibu. Dikatakan satu hari datang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki berkata: “Saya ingin melaksanakan jihad dan pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya berbuat demikian. Rasulullah SAW kemudian menjawab:

Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, untuk berada di sisi ibu satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.”

Begitu juga cerita di mana lelaki bertemu Rasulullah SAW dan menyoal:

“Siapakah orangnya dalam dunia ini perlu saya hormati dan hargai? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi dua kali: Siapakah selepas ibu dan jawapan Rasulullah SAW tetap, ibumu. Akhirnya apabila ditanya lagi: Siapakah selepas ibu? Barulah Rasulullah SAW menjawab: Bapamu.

Jelas mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan supaya ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayang perlu diberikan penghargaan berbanding insan lain di dunia ini.

Hari Ibu akan disambut di seluruh dunia termasuk Malaysia pada 8 Mei ini, sebagai tanda penghargaan kepada golongan bergelar ibu. Sudah tentu banyak program dianjurkan pelbagai pihak khas meraikan golongan ibu pada tarikh itu.

Namun, untuk meraikan golongan ibu bukan tertakluk pada tarikh tertentu kerana ibu perlu dirai sepanjang hayat. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan realistik dan bermakna mengikut perspektif Islam.

Sebagai anak, ibu perlu diberi perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuhi nasihat serta permintaan mereka selagi tidak bertentangan syariat Islam.

Sebagai anak, kita bertanggungjawab menegur ibu jika mereka membuat kesilapan yang mendorong mereka tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya masyarakat.

Bagi anak yang tinggal jauh, jenguklah ibu selalu atau setidak-tidaknya kerap bertanyakan khabar. Jika dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak tidak boleh menjaga seorang ibu yang sudah tua dan kurang kudratnya.

Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu supaya sentiasa dirahmati Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’, ayat 24)

Ibu lazimnya tidak meminta-minta kita membalas jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas namun kerana wujudnya hubungan unik antara ibu dan anak menuntut kita menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

Mari renungi rangkap akhir puisi karya Usman Awang bertajuk Ke Makam Bonda: “Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan”.

Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui sesungguhnya kasih sayang diberikan orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang dicurahkan ibu. Sememangnya ‘syurga’ itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »