Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 Mei 2011

Makhluk dapat ketenangan luar biasa apabila mengenali pencipta

Posted by epondok di Mei 6, 2011

 

Oleh Zamanuddin Jusoh

 

ALLAH SWT menciptakan manusia dengan pelbagai keunikan dan dibekalkan nikmat tidak terhitung nilainya. Antaranya keunikan serta nikmat itu ialah cenderung kepada kemewahan dan kesenangan. Namun, keperluan sebenar bagi jiwa manusia adalah mengenali dan mendekati penciptanya.

 

Keperluan mengenali Allah melebihi dari keperluan makan, minum serta seksual. Tiada kesenangan di dunia dan akhirat kecuali mengenali, mengasihi dan beribadah kepada yang Maha Esa.

 

Ulama’ menyebut: “Apabila seseorang makhluk mengenali pencipta, maka dia akan mendapat ketenangan yang luar biasa. Mereka akan mendapat kekuatan dengan mengenali sifat Allah dan berasa lebih yakin dengan kekuasaan-Nya.”

 

Mereka yang mencapai kemuncak pengabdian kepada Allah adalah mereka yang mengenali semua nama Allah dan sifatnya serta dapat diterjemahkan melalui perbuatan mereka. Ini kerana nama Allah dan sifatnya adalah rangkuman semua sifat kesempurnaan dan kemuliaan.

 

Baginda Nabi SAW menyebut dalam rukuk ketika bersolat maksudnya: “Maha suci Tuhan yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan.” Hadis riwayat Nasai’)

 

Baginda juga sering menyebut dalam doanya: “Maha suci-Mu yang tidak terhitung akan kepujianMu seperti mana Engkau telah memuji akan diri-Mu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

 

Firman Allah yang bermaksud: “Segala makhluk yang melata di langit dan bumi adalah di bawah pengawasan-Nya.” (Surah Hud, ayat 56). Oleh itu, jika semua manusia bersepakat untuk memudaratkan antara satu sama lain, nescaya tidak akan berlaku melainkan dengan izin-Nya.

 

Ilmu Allah merangkumi segala apa yang sudah berlaku, sedang atau akan berlaku serta segala pergerakan makhluk adalah berada dalam ilmu pengetahuan-Nya.

 

Firman Allah yang bermaksud: “Apa yang kamu dedahkan atau sembunyikan pada waktu malam dan siang, semuanya di bawah ilmu Allah.” (Surah Ar-Ra’du, ayat 10)

 

Allah juga mendengar segala bisikan suara di mana saja mereka berada.

 

Saidatina Aishah berkata: “Segala puji bagi Allah yang mendengar segala bisikan di mana telah datang seorang wanita bernama Khaulah Binti Sa’labah berkata sesuatu kepada Baginda SAW dan aku berada jauh dan tidak mendengar apa pun.

 

Lalu turunlah ayat al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah mendengar seseorang mengadu mengenai suaminya dan engkau wahai Muhammad mengadu kepada Allah dan Allah mendengar perbualan kamu berdua.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 1)

 

Perbendaharaan Allah memenuhi ruang langit dan bumi. Sentiasa bersedia untuk memberikan sesuatu kepada hambanya sama ada mereka meminta ataupun tidak.

 

Rahmatnya sentiasa turun pada sepertiga malam lalu berkata: “Siapakah yang memerlukan pertolongan nescaya Aku akan membantu.”

 

Ikan di laut, burung di udara semuanya tiada terkecuali dari mendapat kelebihan daripada rahmat Allah seperti firman yang bermaksud: “Dan tidak ada satu makhluk pun yang melata di bumi melainkan telah tercatat akan rezeki masing-masing.” (Surah Hud, ayat 6)

 

Jika Allah memperkenankan semua doa yang dipohon, ia tidak sekali-kali akan mengurangkan khazanah-Nya walau sedikitpun. Allah menambahkan lagi bonus pahala bagi yang beramal melakukan kebaikan. Digandakan lagi satu kebajikan kepada sepuluh pahala sehingga tujuh ratus kali ganda.

 

Beribadah pada malam Lailatulqadar disamakan dengan beribadah seribu bulan, berpuasa tiga hari pada bulan Syawal bersamaan pahala berpuasa setahun, yang membantu dengan ikhlas akan digandakan pahalanya sehingga tidak terhitung.

 

Demikianlah tawaran Allah yang sentiasa terbuka kepada hambaNya, betapa pemurah dan penyayang akan pencipta terhadap makhluknya.

 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Pada hari kiamat diletakkan langit pada hujung jari-Nya (kekuasaan-Nya), bumi pada jari-Nya, bukit bukau dan tumbuh-tumbuhan diatas satu jari-Nya seraya berkata: Akulah yang maha berkuasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Firman Allah yang bermaksud: “Seandainya pohon di bumi menjadi pena dan lautan menjadi tinta dan ditambah tujuh lautan lagi setelah keringnya nescaya tiada cukup untuk menulis akan nikmat dan kekuasaan Allah.” (Surah Luqman, ayat 27)

 

Demikianlah rentetan kekuasaan Allah supaya dapat diperhatikan bersama supaya kita lebih tawaduk dan merendahkan diri dengan kekuasaan sementara yang diberikan Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Fitnah subur tanda akhir zaman

Posted by epondok di Mei 6, 2011

Fitnah merupakan salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang keras Allah SWT. Ia boleh diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban, menceritakan kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan dan tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web, emel dan sebagainya.

Ringkasnya, fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukkan individu atau kumpulan tertentu. Ia boleh berlaku sama ada dalam sesebuah keluarga, jabatan dan organisasi semata-mata untuk memenangi hati majikan, fitnah dalam dunia politik untuk menjatuhkan seseorang, fitnah dalam dunia perniagaan untuk menjatuhkan pesaing dan sebagainya. Ini bermakna, fitnah merangkumi pelbagai aspek dan dosanya jelas amat besar.

Dalam isu fitnah ini, terdapat beberapa nas al-Quran dan hadis yang melarang perbuatan fitnah. Antaranya ialah Firman Allah bermaksud:

“Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan” (Surah al-Baqarah ayat 191).

Selain itu, diriwayatkan daripada Khuzaifah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Riwayat Muslim).

Seterusnya, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah” (Riwayat al-Tabrani).

Fitnah tersebar kerana dorongan banyak pihak

Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Mohd Shukri Hanapi berkata, pembuat fitnah tidak berjaya menyebarkan fitnahnya jika tidak dibantu orang yang menyebarkannya.

“Maksudnya di sini, fitnah berjaya disebarkan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dimasukkan dalam neraka. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis diriwayatkan Huzaifah r.a. katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Riwayat Muslim),” katanya.

Mengulas wabak fitnah yang melanda negara sehingga menjatuhkan maruah dan mengaibkan diri seseorang, kata beliau, sekiranya sesuatu disebarkan itu merupakan fitnah dan perkara tidak betul, maka ia termasuk dalam sifat mazmumah (terkeji) yang amat dilarang dalam Islam (haram).

“Sekiranya perkara disebarkan itu betul, ia juga diharamkan kerana dianggap sengaja mencari dan mendedahkan keaiban seseorang Muslim. Situasi sebegini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menjaga maruah seseorang manusia,” katanya.

Shukri berkata, budaya fitnah-memfitnah bukanlah baru dalam masyarakat kini.

“Ini kerana, budaya fitnah telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah. Ia merupakan perbuatan orang-orang munafik pada zaman itu.

“Fitnah terbesar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah dikenali dengan kisah ifki (bohong). Fitnah ini berlaku ketika rombongan tentera Islam dalam perjalanan pulang dari Perang Bani Mustaliq. Dalam peristiwa ini Sayyidatina Aisyah r.a. telah difitnah kononnya melakukan perkara tidak baik dengan Safwan bin Mu‘attal (seorang sahabat Nabi yang turut serta dalam Perang Badar). Orang yang mula-mula sekali menyebarkan fitnah ini ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Tujuannya ialah untuk merosak dan mencemarkan kesucian keluarga Rasulullah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tidak wujud sebarang perbezaan di antara budaya fitnah pada zaman dulu dengan sekarang.

Ini kerana, menurut Shukri, matlamatnya adalah untuk memburuk-burukkan dan mencemarkan maruah seseorang, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kedudukan dan pangkat.

“Cuma yang paling jelas berbeza ialah cara penyebarannya sahaja. Kalau dahulu fitnah itu hanya disebarkan secara lisan, tetapi sekarang bukan sekadar lisan, malah turut disebarkan melalui media-media cetak dan elektronik.

“Misalnya, melalui akhbar, majalah, televisyen, SMS, emel, laman web, blog, Facebook dan sebagainya. Malah, fitnah hari ini dilihat begitu cepat tersebar kerana ada kesemua kemudahan seperti ini,” katanya.

Implikasi budaya fitnah

Amalan fitnah-memfitnah secara berterusan mampu memberi implikasi buruk, malah lebih dahsyat daripada membunuh.

“Jika membunuh hanya melibatkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah itu boleh menjatuhkan maruah seseorang, seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam jangka masa yang sukar disekat.

“Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia akan menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini,” kata Shukri.

Untuk menyekat penyebaran fitnah, Shukri berkata, Islam meletakkan garis panduan dalam menilai sesuatu berita disebarkan. Dalam perkataan lain, Islam menganjurkan supaya mengkaji terlebih dahulu sumber sesuatu berita.

Firman Allah bermaksud, “Wahai! orang-orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara kamu lakukan” (Surah al-Hujurat ayat 6).

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini adalah untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Selain daripada itu, terdapat beberapa tips dalam menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, “Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa.

Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu.”

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »