Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2011

Kursus Intensif Talaqqi Kitab 2011

Posted by epondok di April 30, 2011

KURSUS INTENSIF TALAQQI KITAB 2011 

TARIKH: 19 Mei – 2 Jun 2011 

ANJURAN : Pertubuhan Khairu Ummah

 DENGAN KERJASAMA

Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah Pondok Pasir Tumboh

Kelantan  

 

 

PENGENALAN

Satu kursus pengajian ilmu agama secara intensif berkonsepkan talaqqi (belajar secara bersemuka dengan guru) kitab ulama dahulu dengan gabungan aspek ilmu tauhid, feqah, dan tasauf yang dihimpunkan di dalam sebuah kitab berdasarkan sumber yang digali dari Al-Quran dan Al-Hadis sebagai memenuhi keperluan asas mahasiswa yang sibuk untuk belajar  dalam masa yang panjang

OBJEKTIF :

 

·         Mendedahkan kepada Mahasiswa teknik menuntut ilmu agama yang berkesan sehingga mampu untuk menguasainya dalam masa yang singkat.

·          Sebagai satu momentum yang penting untuk menaikkan semangat motivasi dalam beramal ibadat.

·          Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab yang mewarisi sistem warisan ilmu Rasulullah SAW.

·         Memberi pendedahan mahasiswa tentang sistem pendidikan di Pondok yang telah banyak melahirkan golongan ulama-ulama silam yang masyhur dengan kealiman mereka.

·         Menjalinkan hubungan antara Mahasiswa dengan pihak Madrasah Pengajian Pondok, terutama dengan pihak Pertubuhan Khairu Ummah. Hubungan sedemikian dapat berkerjasama untuk memartabatkan Agama Islam yang kita anuti.

KENAPA ANDA PERLU MENGHADIRI KURSUS INI DAN APAKAH FAEDAHNYA????? 

  1. Menuntut ilmu agama itu adalah fardhu ain. Wajib bagi kamu untuk mempelajari dan mengetahuinya
  •  Ilmu tasawuf itu ibarat mutiara di lautan. Ilmu feqah pula ibarat sebuah kapal. Ilmu usuluddin itu d umpamakan lautan. Kamu tidak mampu memiliki mutiara andaikata tidak menemui lautnya dan tidak memiliki kapal. Jikapun kamu menemui laut, jalan untuk memiliki mutiara adalah sangat sukar dan mustahil tanpa kapal sebagai pandu arah dalam pencarian kedudukan mutiara. Jikapun kamu memiliki kapal dan laut, tanpa mutiara itu umpama hidup yang tiada arahtujuan.
  1. Amalan ibadat tidak akan diterima jika iktikad tersasar dari aqidah ahli sunnah wal jamaah.  
  • Agama itu sebagai sepohon pokok, maka tunjang akar dan batang pokok adalah iqtiqad atau kepercayaan, manakala cabang dahannya adalah ibadah‐ibadah yang lahir. Jika rosak tunjang akar dan batangnya,maka luruh dan rosaklah cabang dahannya. Begitu juga dengan Agama, jika rosak aqidah atau iktiqad seseorang itu, maka tiada berhasillah ibadah‐ibadah yang lahirnya.
  • Sebagaimana Imam Ghazali Menjelaskan: “ Bagaimana mungkin engkau menyembah sesuatu (ALLAH) yang engkau tidak megenalinya dengan nama-namanya, sifat-sifatnya, sifat yang wajib baginya dan sifat yang mustahil untuk disifatkan terhadapnya. Terkadang engkau mengiktikad pada zatnya dan sifatnya (nauuzubillah), perkara yang yang menyalahi dengan kebenaran, maka jadilah ibadah engkau habuk yang berterbangan.” (Kitab Minhajul Abidin : Aqabah Ula- Aqabah Ilmi)
  1. Setiap amalan tanpa ilmu adalah amalan yang tertolak & tidak diterima serta sia-sia
  • Sabda Nabi,maksudnya: “Ini krn sesiapa yg beramal tanpa ilmu, banyaklah dia merosakkan sesuatu yang dia hendak mengelokkannya. Lagi sabdanya: “Ilmu itu imam bagi amalan dan amalan itu mengikutinya.”
  1. Kuasai Ilmu fardhu ain adalah utama berbanding ilmu –ilmu lain atau perkara-perkara ibadat yang lain malah lebih utama daripada berperang fi sabilillah.
  • Pesan Saidina Ali bin Abi Talib : Orang yang berilmu(belajar ilmu agama) lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu, maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh pengantinya (yg berilmu juga).
  • Diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a. katanya : Demi Allah, Aku mengetahui satu bab daripada ilmu tentang suruhan dan larangan adalah terlebih dikasihi olehku daripada 70 peperangan fi sabilillah.
  1. Sebagai seorang pemimpin samada pemimpin terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara amnya wajib bagi kita menguasai ilmu asas agama.
  • Kata Saidina Omar:” Pelajarilah ilmu kefahaman agama sebelum kamu jadi ketua.”
  1. Perjuangan kita sebagai mahasiswa bukan atas dasar semangat semata-mata namun perlulah berjuang atas dasar kefahaman agama. Ini kerana semangat ada turun naiknya namun kefahaman yang jelas akan membawa istiqamah selamanya.

TEMA :

“Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang sejati berpandukan ulama silam yang muktabar menyingkirkan apa yang tidak disepakati”

TENAGA PENGAJAR :

Ustaz-ustaz di Pondok Pasir Tumboh

 

SASARAN :

Seramai 30 orang Mahasiswa atau sesiapa sahaja yang berminat 

YURAN :

PERKARA

MUSLIMIN

MUSLIMAT

1.    Pendaftaran (Seumur Hidup sekali)

RM 15

RM 15

2.    Penginapan

RM 10

RM 21

3.    Makan (Pagi,Tengahari&Petang)

RM 70

RM 70

JUMLAH

RM 95

RM 106

*Yuran tidak termasuk pengangkutan peserta

*Yuran ini akan lebih murah atau diberi percuma sekiranya ada penajaan. Kami akan maklumkan dari semasa ke semasa  kepada semua peserta yang telah mendaftar tentang yuran yang perlu dibayar. InsyaALLAH.

KITAB PENGAJIAN : Percuma

MODUS OPERANDI :

Program ini diadakan selama 15 hari 14 malam mengikut kaedah pengajaran kulit ke kulit menggunakan Kitab Usuluddin Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah karangan AlAllamah Muhammad Mukhtar Atharid serta kitab Fiqh(bagi Muslimat diberi penekanan tentang haid) dan Tasawwuf.

(Talaqqi kitab/Muzakarah)

 

AURAD AL-QURAN & AMALAN SEPANJANG KURSUS

 

  • Solat Fardhu Jamaah
  • Al-Ma’thurat
  • Al-Mulk dan Al-Waqi’ah
  • Solat Dhuha
  • Qiamullail/Solat Tasbih
  • Halaqah malam


KELENGKAPAN YANG PERLU DIBAWA SEMASA PROGRAM :

    1)    Alat tulis dan buku nota. 

    2)    Bagi muslimin sila bawa :

·         Kain pelikat.

·         Baju melayu atau jubah.

·         Kopiah dan serban.

    3)    Bagi muslimat sila bawa :

·         Baju kurung warna gelap atau jubah.

·         Tudung labuh.

·         Purdah. 

* Bagi peserta yang tidak mempunyai alatan di atas bolehlah membelinya semasa berada di pondok nanti.
* Sila sediakan dua (2) keping gambar berukuran paspot & sekeping salinan MyKad untuk tujuan pendaftaran.

SEBARANG PERTANYAAN, SILA HUBUNGI :

  • Izmer       : 013 – 4425812
  • Yana        : 013 – 9064465
  • Syahla      : 013 – 3182689
  • Azimah     : 014 – 5148539

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Sahabat mohon syafaat Nabi SAW

Posted by epondok di April 30, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan.

Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan.

Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW.

Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad.

Baginda tidak pernah mengatakan: “Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu.”

Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a pernah berkata: “Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat.”

Maka Rasulullah bersabda: “Aku akan melakukannya.” (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).

Sawaad ibnu Qaarib juga pernah berkata di hadapan nabi SAW: “Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!”

Hingga dia juga mengatakan: “Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib.” (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu ‘Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).

Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya.

Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: “Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari ‘Uman ke ‘Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan.” (riwayat Abu Nu’aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)

‘Ukkasyah ibnu Mihsan juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. ‘Ukkasyah berkata: “Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu.”

Rasulullah SAW terus bersabda: “Engkau termasuk di kalangan mereka.”

Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullahmelalui Syafaat Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Mencegah kemungkaran secara bijaksana

Posted by epondok di April 30, 2011

 

Oleh Hizbur Rahman

Islam gariskan kaedah terbaik bagi ummah tangani masalah sosial dalam masyarakat

MARILAH bersama mempertingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat keredaan Allah di dunia mahupun akhirat yang kekal abadi.

Renungkanlah, pelbagai kemungkaran berlaku dalam masyarakat seperti perbuatan zina, berkhalwat, sumbang mahram, jenayah rogol dan sebagainya, membabitkan orang Islam, seolah-olah mereka tidak mengenal batas pahala dan dosa, halal atau haram.

Kemungkaran ini akan terus menular selagi ia tidak dicegah dan dirawat. Persoalannya, siapakah yang patut mencegah kemungkaran dan bagaimana pula cara untuk mencegahnya?

Untuk mencubanya, marilah kita fahami dan hayati firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar beriman).” (Surah Al-Imran, ayat 110)

Allah menjelaskan, tugas mengajak yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah tugas kita bersama bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat.

Seorang suami bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang dilakukan isteri dan anaknya. Begitu juga guru terhadap muridnya dan pemimpin terhadap rakyatnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Bin Umar: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan di atas setiap apa yang kamu pimpin. Seorang imam (pemimpin negara) adalah pemimpin dan akan ditanya (dipersoalkan) apa yang sudah dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam menggariskan beberapa kaedah untuk mencegah kemungkaran supaya dapat dilakukan secara berhikmah dan bijaksana.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisan, jikalau tidak berkuasa juga hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”

Berdasarkan kepada ketiga-tiga kaedah berkenaan, adakah kita sudah melaksanakan perintah itu? Justeru, kita patut berusaha ke arah membanteras perbuatan mungkar, di samping menilai kembali berapa banyak kita mengabaikan tugas nahi mungkar.

Ingatlah, jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana. Kita perlu ingat dan sedar, apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapa mangsanya.

Apakah kita sanggup menghadapi bala menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman. Sejarah lampau memperlihatkan kepada kita bagaimana akhirnya golongan manusia yang mengabaikan perintah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

Ibnu Abbas bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun dalamnya ada orang salih? Rasulullah SAW mengatakan, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhaka Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya.”

Apabila kita diberi tanggungjawab atau mengambil inisiatif untuk mencegah kemungkaran, maka perkara berikut perlu diberikan perhatian antaranya niat atau tujuan adalah kerana Allah bukan untuk mencari kesalahan dan mengaibkan orang lain.

Perkara mungkar itu adalah perkara yang sudah disepakati ulama dalam menentukan kemungkarannya.

Tanggungjawab mencegah kemungkaran perlu dibuat sesiapa saja yang berdepan perbuatan mungkar dan perlu mencegahnya dengan kaedah dinyatakan tadi. Ingin saya tegaskan, kita semua perlu mengambil tanggungjawab membanteras kemungkaran.

Anggaplah ia sebagai tugas utama dan ancaman kepada agama serta negara supaya dapat mengundang rahmat dan keampunan Allah.

Akhir kalam, marilah bersama renungkan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pergaulan bebas hampiri zina

Posted by epondok di April 29, 2011

 

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasil kan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.

Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.

Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.

Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.

 

Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.

 

Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.

Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.

Berpegangan tangan, ber pelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan

silu bercumbuan di depan khalayak ramai.

Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.

Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa meng ingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.

Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).

Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.

Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Larangan dalam agama demi keamanan bukan bebankan manusia

Posted by epondok di April 29, 2011

 

Oleh Muhammad Toriq Yaacob

ISLAM agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Faith And Practice, Islam adalah kalimah terbitan daripada perkataan ‘salama’ yang bermaksud ‘mempersetujui dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan.’

Kata kerjanya ialah ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah mereka yang melakukan penyerahan itu.

Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat dilihat daripada pelaksanaan syariah dalam kehidupan manusia.

Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah SAW yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah mempunyai konsep keadilan dan keamanan.

Dr Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya, Principles Of Islamic Jurisprudence menyatakan kalimah rahmah membawa pengertian jelas mengenai apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan daripada terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.

Dengan penjelasan ini, rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya.

Ulama Usulul Fiqh menjelaskan ada tiga pembahagian maslahah iaitu dhoruriyyat, hajiyyaat dan tahsiniyyat.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan dhoruriyyat ialah perkara sangat diperlukan manusia bagi menjamin kehidupan sempurna. Dhoruriyyat juga bagi memastikan kehidupan manusia tidak terjejas.

Lima perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.

Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip dibawa agama itu kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama.

Lantaran kepentingan agama, Allah mengizinkan sahabat pada zaman Rasul SAW berperang bagi melindungi agama Islam dari dimusnahkan oleh musuh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.” (Surah Al-Hajj, ayat 39)

Islam menitikberatkan aspek menjaga jiwa dan Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh bertujuan memberi jaminan kepada perlindungan jiwa mereka.

Begitu juga penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia. Penekanan Islam ini dapat dilihat daripada pengharaman zina.

Islam tidak hanya melarang perbuatan boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan hukuman kepada mereka yang melakukan zina. Larangan mendekati zina dengan ketetapan hukuman membuktikan Islam mementingkan perlindungan keturunan.

Hukuman yang ditetapkan bukan bertujuan mendenda mereka yang melakukan perbuatan itu, tetapi di sebalik pelaksanaan hukuman tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.

Akal penting kerana dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan dilakukan tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan penting bagi manusia kerana ia mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup.

Perkara terakhir perlu dilindungi manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Harta membantu manusia memenuhi keperluan untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.

Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia.

Allah sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia dan semua perkara yang dihalalkan Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban serta belenggu (kesusahan) yang ada pada mereka” (Surah al-Araf, ayat 157)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Suami isteri mesti pertahan kedamaian hati

Posted by epondok di April 28, 2011

 

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Sengketa, krisis rumah tangga perlu segera dirungkai agar tidak melarat kepada perceraian

HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.

Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Penulis sering menerima e-mel daripada isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.

Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.

Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.

Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.

Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.

Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.

Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.

Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.

Akhir-akhir ini juga banyak kon flik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.

Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah yang bermaksud: “Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226)

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Posted by epondok di April 28, 2011

 

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagian apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Elak jenaka berunsur penghinaan

Posted by epondok di April 27, 2011

 

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JANGAN BERLEBIHAN...bergurau perlu ada batasannya dan tidak sampai menghina serta menyakitkan hati orang lain. - gambar hiasan
JANGAN BERLEBIHAN…bergurau perlu ada batasannya dan tidak sampai menghina serta menyakitkan hati orang lain. – gambar hiasan

KITA perlu sentiasa menghitung diri; adakah orang yang berada di sekeliling berasa senang de ngan tindak-tanduk yang kita lakukan? Ia menjadi muhasabah penting supaya ikatan persaudaraan berada dalam suasana harmoni tanpa sebarang persengketaan.

Apabila hubungan persaudaraan ‘tercemar’ maka akan wujud pelbagai kesan buruk seperti sikap pentingkan diri sendiri, amalan fitnah-memfitnah serta membangkitkan perasaan tidak puas hati.

Hubungan yang dinyatakan itu termasuk bagaimana cara kita berinteraksi dengan masyarakat sekeliling serta penerimaan orang ramai terhadap idea dan pendapat yang kita diutarakan.

Malah, cara bergurau juga perlu diambil perhatian kerana kita tidak boleh menganggap semua orang selesa dan dapat menerima apa kita lakukan.

 

Sebaliknya, kita perlu mempamerkan adab dan etika sebenar sebagai se orang Muslim iaitu menjauhi segala bentuk persengketaan. Mungkin pada kita ia bersifat gurauan, tetapi sebenarnya perbuatan itu tidak disenangi.

 

Apabila melakukan kesilapan kepada orang lain maka segeralah meminta maaf kepadanya. Jangan ditang guh atau merasakan kita berada di pihak benar kerana menghulur kemaafan itu amat mulia dan tinggi nilaiannya di sisi Allah SWT.

Kenapa bergurau perlu berpada-pada padahal ia dikira perbuatan yang mendatangkan keseronokan dan kegembiraan? Kadang-kadang kita bergurau bertujuan untuk mengusik, tetapi mungkin masa dan tempatnya tidak sesuai.

Malah, bergurau boleh menjadi haram jika wujudnya unsur sindiran, lucah, bertujuan menyakiti hati pihak lain serta memberi gelaran kepada seseorang dengan perkara yang tidak disukainya.

Manakala gurauan yang terpuji pula bersifat memberi penghargaan, penghormatan selain diterjemahkan dengan penuh sopan, bercakap dengan nada lembut serta menyelitkan unsur humor yang tidak berlebihan.

Jadi tidak kiralah sama ada kita bergurau dengan kawan-kawan, suami, isteri, ibu, bapa, adik-beradik, guru atau majikan ia perlu bertunjangkan dengan perkara asas berkenaan.

Rasulullah s.a.w pernah bergurau, namun semua ucapan yang keluar daripada mulut Rasulullah itu adalah wahyu Ilahi. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepada nya).” (Surah An Najm ayat 3-4)

Perwatakan perlu bersederhana dan paling penting kita tidak boleh terlalu serius sepanjang masa. Menjadi sunnah Rasulullah s.a.w untuk menggembirakan orang lain.

Jika berduka, perlu ada cara meratapinya begitu juga apabila berada dalam gembira kita perlu bersederhana meraikannya. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia.

Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik contoh insan yang memiliki akhlak terpuji. Kita perlu berhati-hati supaya gurauan yang diada-adakan itu tidak menjadi bahan jenaka sehingga membuat kan orang lain ketawa secara berlebihan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Celakalah bagi orang yang berbicara lalu berdusta supaya dengannya orang banyak jadi tertawa. Celakalah baginya dan celakalah. (Hadis riwayat Ahmad)

Dibimbangi juga ada kalangan kita bergurau untuk mengenakan dan menyusah kan kawannya. Contohnya, menyorok barang berharga kepunyaan kawan sehingga dia berasa susah hati.

Walaupun tujuannya hanya untuk bergurau dan berseronok, namun ia dilarang sama sekali. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang di antara kamu mengambil barang temannya. Apakah itu hanya gurau atau sungguh-sungguh dan jika ia mengambil tongkat temannya, maka dia harus mengembalikan kepada-Nya”. (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Selain itu, contoh lain yang boleh dijadikan iktibar ialah jangan mengganggu golongan yang melatah. Biasanya golongan sebegini sering menjadi tumpuan dan bahan usikan di atas kelemahannya.

Moralnya, walaupun perkara itu kelihatan menyeronokkan, tetapi ia sebenarnya tersasar daripada garis panduan Islam yang mahu umatnya saling menghormati dan tidak sesekali memalukan orang lain di khalayak umum.

Justeru, elakkan bergurau senda sehingga melampaui batas. Islam adalah agama yang mengajarkan umatnya adab ketika berbicara.

Lebih afdal kiranya, kita melebihkan kerja daripada banyak bercakap.

Biarpun sedikit, tetapi ia bermakna dan berkualiti daripada banyak berbicara, tetapi langsung tiada hasil nya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesung guhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (Hadis Riwayat Ahmad Tirmidzi)

Terdapat beberapa kisah Rasulullah yang mengaitkan dengan cara baginda mempamerkan gurauannya. Salah satunya, Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua di mana wanita itu berkata “Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab “Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga.”

Perempuan itu balik dan menangis. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman “Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya.” (Hadis riwayat Tirmizi dan al-Baihaqi)

Gurauan Rasulullah berkenaan terkandung pelbagai pengajaran. Abu Hurairah meriwayatkan: Sahabat berkata “Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami.” Baginda menjawab yang maksudnya: “Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar”. (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Bagaimana dikatakan gurauan yang ditegah? Ia termasuk yang mengandungi unsur penghinaan terhadap orang lain. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik baik dari wanita yang menghina… ” (Surah al-Hurujaat ayat 11)

Ayat di atas menerangkan, kita tidak boleh mencari aib, membuka rahsia dan mengumpat sesama Muslim kerana Islam menuntut umatnya menjaga perdamaian dan persaudaraan.

Dalam Islam ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan bergurau. Nabi Muhammad s.aw. bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang mana yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan bergurau atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Maka berhati-hatilah ketika bergurau. Gurauan perlu dijadikan medan menambah erat lagi hubungan serta menceriakan. Jadikan cara Nabi Muhammad s.aw. bergurau dengan orang di sekeliling baginda.

Lihat bagaimana cara Rasulullah s.a.w menjaga adab dalam bergurau. Baginda tidak sesekali membohongi orang yang baginda bergurau, malah ia menjadi ‘seni’ yang boleh diteladani.

Perunding motivasi, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata bergurau adalah sebahagian daripada fitrah manusia yang perlu dipenuhi.

“Bergurau bertujuan untuk mendapat kerehatan dan menghilangkan rasa kelesuan. Ia adalah keperluan hati bagi meringankan tekanan yang dihadapi seseorang.

“Rasulullah turut bergurau dengan sahabat dan isterinya, namun cara baginda bergurau penuh dengan hikmah dan memberi kesan. Maka bergurau perlu kepada batasan tertentu yang tidak sampai menyakiti hati orang lain,” katanya.

Beliau berkata menjadi kesalahan jika bergurau senda sampai ke peringkat menyerang peribadi atau mempunyai unsur peng hinaan sehingga ada me nyebabkan ada yang berkecil hati.

“Sedar atau tidak, apabila bergurau secara berlebihan ia membuatkan individu lain berasa diri mereka diaibkan dan dipermainkan. Kita perlu tahu jika berlaku perkara sedemikian maka hilanglah kehebatan seseorang.

“Allah murka dan merendahkan martabat golongan yang gemar bergurau secara keterlaluan selain mereka turut tidak disukai orang lain,” katanya.

Mohd Zawawi berkata banyak bergurau menyebab kan seorang itu banyak ketawa sehingga menyebabkan hati mereka menjadi keras yang pasti tidak membawa ketenangan.

“Jangan sesekali menjadikan individu lain sebagai bahan ketawa kerana dibimbangi mereka tidak me nyukainya. Selain itu, bergurau berlebih-lebihan ini juga akan menyebabkan seorang itu banyak ketawa sehingga boleh mematikan hati.

“Bermula dengan bergurau ia akan menyebabkan berjangkit kepada perkara buruk lain seperti mengumpat dan mengejek yang boleh menjadi hobi yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata bergurau juga dari sudut yang lain boleh dikaitkan juga dengan janji seorang pemimpin kepada rakyat di bawah pimpinannya.

“Seorang pemimpin yang bertanggungjawab akan memastikan janjinya dikotakan kepada rakyat secara berperingkat-peringkat.

“Mereka tidak akan mensia-siakan amanah yang diberikan, malah jauh sekali menganggap ia sebagai ‘gurauan’ bagi memenangi hati rakyat,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Teguran Allah untuk manusia lalai

Posted by epondok di April 27, 2011

 

 

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah. Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi.Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur. Dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada. Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka. (al-‘Adiyat: 1-11)

Surah di atas termasuk dalam kategori surah Makkiyyah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud, Jabir, al-Hasan, Ikrimah dan Ata’.

Sedangkkan mengikut pendapat Ibn Abbas, Anas bin Malik, Qatadah dan Muqatil bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Surah ini mengandungi 11 ayat dan diturunkan selepas surah al-Asr.

Hubungan surah ini dengan surah al-Zalzalah adalah: Surah yang terdahulu diterangkan pemberian balasan baik dan balasan buruk.

Dalam surah ini pula Allah SWT mengherdik orang yang mengutamakan kehidupan dunia berbanding dengan kehidupan akhirat tanpa mempersiapkan diri untuk kehidupan mereka yang kedua dengan melatih dirinya melakukan perbuatan yang baik.

Tafsiran Ayat

Firman Allah SWT: Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah. Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi. Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.

Berkenaan dengan ayat yang pertama ini yang berlari kencang itu ada dua pendapat:

i. Unta-unta yang menuju ke Mekah semasa haji. Inilah pendapat Ali, Ibn Mas’ud, Ubaid bin Umair, al-Kurazi dan al-Suddi.

ii. Kuda yang berperang fi sabilillah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Hasan, Ata’, Mujahid, Abu al’Aliyah, Ikrimah, Qatadah, Atiyah, al-Rabi dan ahli bahasa.

Sayid Qutub berkata: Allah SWT bersumpah dengan kuda-kuda perang dan menggambarkan pergerakannya satu persatu bermula daripada lariannya yang pantas dengan suara nafasnya yang mendengus kencang dan dengan hentakan tapak kakinya yang mengeluarkan bunga-bunga api.

Kemudian menggempur musuh dengan serangan kilat di waktu pagi dalam kepulan-kepulan debu menyebabkan barisan musuh kacau bilau dan hiruk pikuk. Itulah langkah-langkah pertempuran biasa yang lumrah dialami oleh orang-orang Arab yang mula-mula ditujukan al-Quran ini kepada mereka.

Sumpahan Allah SWT dengan kuda-kuda perang dalam bentuk itu membayangkan betapa kasihnya Allah SWT kepada gerakan dan kegiatan kuda-kuda perang itu dan betapa tinggi nilainya di sisi Allah.

Selain itu, di sana terdapat keselarasan di antara pemandangan kuda-kuda dengan pemandangan sifat-sifat jiwa yang dijadikan objek sumpah dan ulasan sebagaimana telah diterangkan sebelum ini.

Yang menjadi objek sumpah Allah SWT ialah hakikat jiwa manusia yang kosong dari dorongan-dorongan iman, iaitu satu hakikat yang dibangkitkan oleh al-Quran untuk menyedarkan manusia agar ia mengerahkan seluruh azam dan kemahuannya menentang hakikat hati yang kosong itu. Ini kerana Allah mengetahui hakikat itu mempunyai pertalian yang mendalam dalam hatinya dan mempunyai kesan amat kuat mempengaruhi puaknya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jaga adab ketika bergurau

Posted by epondok di April 26, 2011

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Usik-mengusik sesama rakan jangan sampai guris perasaan

KEHIDUPAN zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan kurangnya waktu diperuntukkan untuk bersantai menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri.

Usahkan dengan jiran tetangga, malah ahli keluarga sendiri pun ada kalanya payah untuk bergurau senda. Ada kala lucu pula apabila mengingatkan betapa pergerakan manusia hari ini terbatas oleh tuntutan tanggungjawab melampaui masa yang ada.

Justeru, ramai yang memaksimumkan manfaat hubungan maya untuk melanjutkan komunikasi dan bertanya khabar. Malah, ada ibu bapa yang hanya sempat bertegur sapa dengan anak di laman sosial saja.

Penulis tidak bermaksud melanjutkan bicara mengenai komunikasi era ini, tetapi naluri manusia memerlukan gurau senda untuk mengeratkan hubungan baik dan merapatkan silaturahim. Bukan saja mengelakkan kesunyian, gurau senda juga memudahkan komunikasi, membuatkan bicara tidak formal.

Walaupun gurau senda membantu menguatkan kasih sayang, ia juga boleh meranapkan silaturahim jika gurau senda menyebabkan ada pihak berkecil hati. Ada antara kita bergurau tanpa menyedari ada hati terluka.

Sebab itu banyak contoh ditonjolkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat mengenai gurau senda yang membuatkan orang ketawa dan berkisar kepada perkara yang benar. Rasulullah SAW tidak mencipta kisah lucu yang sia-sia semata-mata untuk membuatkan orang ketawa kerana Baginda takut ketawa menyebabkan umat Islam lalai daripada mengingati Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Jangan berlebihan dalam bergurau senda sehingga menyebabkan ada orang terasa dirinya diaibkan atau dijadikan misalan sehingga memalukan dirinya. Sebaliknya, gurau senda dijadikan salah satu cara menghiburkan hati yang lara atau menyenangkan orang berduka.

Tetapi perlu diingat, gurau senda itu mestilah berkenaan perkara yang benar. Gurauan boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala atau dosa.

Contohnya, jika gurauan boleh menyenangkan hati, mengeratkan silaturahim dan perpaduan serta kasih sayang, maka gurauan itu menjadi perbuatan baik yang diganjarkan dengan pahala dari Allah SWT.

Sebaliknya jika gurauan menjadi alasan untuk menyakitkan hati seseorang, ia sudah tentu menjadi perbuatan yang dikutuk Allah SWT. Jangan pula tabiat bergurau senda untuk menyakitkan hati orang lain menjadi kebiasaan menyebabkan seseorang itu tiada rasa bersalah mengutuk atau menghina.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Contoh paling baik ialah gurauan Rasulullah SAW kerana Baginda masih mengekalkan had dan batasan antara lelaki dan wanita serta menyelitkan unsur nasihat bertujuan mengingatkan manusia kepada Allah.

Sudah tentulah gurau senda tetap tidak mengizinkan perlakuan tidak manis antara lelaki dan wanita, seperti menyebut perkataan memalukan mana-mana pihak, menghina atau meniru suara atau kata-kata orang lain dengan niat merendah-rendahkan atas faktor perbezaan jantina.

Antara senda gurauan Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Hasan, seorang perempuan tua datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai ibu pulan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah SAW bersabda: Khabarkan kepada perempuan itu sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua.”

Lalu dibacakan firman Allah SWT yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta sebaya umurnya.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »