Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2011

Badai tsunami iktibar terbaik ummah hargai nikmat, rahmat-Nya

Posted by epondok di Mac 31, 2011

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

TARIKH 11 Mac lalu adalah hari yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Jepun lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan Timur Laut negara berkenaan. Sekelip mata ombak tsunami setinggi 10 meter membadai lalu menghancurkan semua di hadapannya.

Sehingga kini dianggarkan lebih daripada 10,000 orang terkorban ataupun hilang tidak dijumpai dan Bank Dunia pula menganggarkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di kawasan terbabit mencecah RM700 bilion (US$235 bilion) dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk membangun semula.

Belum pun reda daripada trauma rempuhan tsunami rakyat Jepun kini terdedah pula kepada kesan langsung daripada radiasi loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi yang juga rosak teruk akibat tsunami.

Secara tersurat apa yang berlaku di Jepun suatu bentuk musibah dan bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Ia termasuk dalam ruang lingkup kekuasaan mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan apa saja. Perlu diingat walau sehebat mana sekalipun teknologi garapan pemikiran manusia ia masih dangkal untuk menentukan apa yang akan berlaku pada hari mendatang.

Walau dengan kecanggihan teknologi yang ada, manusia mampu mengesan kejadian gempa bumi di bawah laut dan juga ombak tsunami pasti tidak dapat dielakkan jika benar Allah SWT menghendaki ia berlaku. Malah perkara ini termasuk dalam ketetapan qada dan qadar Allah SWT yang tidak juga menafikan konsep usaha dan tawakal kepadanya.

Secara tersirat ia sebenarnya satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang Maha Luas kepada hamba-Nya yang beriman agar berfikir dan merenung kepada setiap kejadian yang berlaku dengan pandangan mata hati. Ia sekali gus mengajak manusia untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya.

Mana tidaknya sehingga hari ini kita di Malaysia masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.

Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi pada akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan.

Jika tidak kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa secara tiba-tiba tanpa disedari implikasi daripada kemurkaan Allah SWT terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan-Nya.

Sebelum terlambat umat Islam juga harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tuduhan zina perlu bukti kukuh

Posted by epondok di Mac 30, 2011

Oleh Tuan Musa Awang

Orang ramai patut lapor jabatan agama, elak perbicaraan terbuka

ZINA, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan dilakukan seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan meragukan (wati’ syubhah).

Menurut hukum syarak, seorang penzina muhson iaitu seseorang yang sudah baligh, berakal, merdeka dan sudah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu sederhana besar hingga mati.

Manakala bagi penzina ghair muhson iaitu seseorang penzina yang tidak cukup syarat dinyatakan di atas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat dua yang bermaksud: “Perempuan berzina dan lelaki berzina, hendaklah kamu sebat tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat dan jangan kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman.”

Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun seperti terdapat dalam kitab Kifayatul Ahyar, juzuk dua, muka surat 178 yang bermaksud: “Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”

Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat saksi yang cukup syaratnya. Namun, sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina pada zaman Rasulullah SAW adalah melalui pengakuan salah.

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW dalam masjid dan mengaku melakukan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Selepas itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah SAW bertanya lagi, ‘adakah engkau berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa lelaki terbabit untuk direjam.

Dalam suatu riwayat dari Sulaiman Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang untuk melahirkan dan menyusukan anak itu terlebih dulu sehingga tamat tempoh susuan baru beliau diperintahkan untuk direjam.

Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik itu kerana Rasulullah SAW diriwayatkan menegur sahabat Baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz Malik yang melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Walaupun hukuman terhadap kesalahan zina ditetapkan dalam al-Quran, namun bentuk hukuman ditakninkan dalam Akta Jenayah Syariah pada masa ini lebih kepada hukuman takzir. Seksyen Dua Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu.

Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Manakala sub-seksyen (2) akta itu memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana perempuan yang melakukan persetubuhan dengan lelaki bukan suaminya.

Apabila seseorang atau lebih mengetahui maklumat mengenai berlakunya persetubuhan luar nikah, laporkan perbuatan itu kepada Jabatan Agama Islam untuk diambil tindakan, ditangkap, ditahan, disiasat dan didakwa di mahkamah. Kesalahan persetubuhan luar nikah adalah ‘kesalahan boleh ditangkap’, iaitu pegawai penguat kuasa agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.

Tindakan menyebarkan perbuatan itu kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Disebabkan mahukan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral.

Dari sudut lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil hukumnya haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat empat bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi. Maka sebat mereka 80 kali sebatan dan jangan kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu orang yang fasiq.” Walaupun dalam ayat itu menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga ada memperuntukkan mengenai kesalahan qazaf dalam Seksyen 41 akta itu menyebut “kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan bukti, mengikut hukum syarak, empat saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan, ia akan dibicarakan dalam mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ciri-ciri budaya kerja ikut kehendak Islam

Posted by epondok di Mac 30, 2011

Berakhlak baik, disiplin, semangat muafakat mekanisme penting tingkat prestasi organisasi
MEMANTAPKAN budaya kerja Islam menyentuh sikap amanah serta pencapaian dalam kerja, sangat relevan untuk pekerja Muslim berperanan dalam arus perdana ekonomi negara

Islam sebagai agama yang memandu kehidupan Muslim sudah pasti mengemukakan budaya kerja tersendiri yang menepati falsafah dan nilai etika untuk menyusun dan menjalani kerja dalam sebuah masyarakat.

Pertama, membabitkan diri dalam sesuatu pekerjaan adalah wajib bagi setiap orang Islam kerana berkecimpung dalam urusan pekerjaan dianggap sebagai tuntutan keagamaan, kerja itu ibadat.

Menepati kehendak agama, pekerja Muslim seharusnya berusaha meningkatkan prestasi kerja dan ini memerlukan usaha mewujudkan satu budaya mempertingkatkan mutu kerja yang berterusan.

Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu menghubungkan usaha dan melaksana pekerjaan sebagai tuntutan agama. Tahap keimanan dan prestasi kerja mempunyai hubung kait yang rapat.

Usaha ke arah matlamat itu adalah jihad kerana membina kekuatan ekonomi oleh masyarakat Islam melalui peningkatan mutu kerja tuntutan yang utama dalam dunia hari ini. Tanpa kekuatan ekonomi, umat Islam akan terus dijajah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu apabila melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Mekanisme dalaman akan merangsang pekerja Muslim tetapi malangnya, pekerja Muslim tidak memahami Islam secara sempurna dan melihat usaha meningkat mutu prestasi kerja sebagai sesuatu yang berpisah daripada paksi agama.

Ada yang berpendapat ia urusan kebendaan dan melalaikan umat Islam kepada tuntutan akhirat. Fahaman ini perlu diperbetulkan.

Kedua, Islam turut menyarankan pekerja menghayati tuntutan akhlak dalam pekerjaan. Akhlak menuntut pekerja beramanah dan berintegriti dalam menyusun serta melaksana urusan pekerjaan. Menghayati akhlak luhur membolehkan pekerja Muslim berprestasi dengan baik.

Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak positif kepada kemajuan pekerja dari pelbagai segi. Oleh itu agama menuntut umatnya supaya kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa budaya akhlak yang tinggi, prestasi kerja akan menghadapi kemelesetan.

Ketiga, budaya kerja Islam memberi tekanan tinggi kepada amalan disiplin. Umat Islam sepatutnya, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki disiplin yang tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan mundur. Kemunduran ekonomi membuka ruang pelbagai masalah lain kepada umat.

Islam memberi perhatian khusus mengenai pengurusan masa dan sumber pembuatan. Islam mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang tidak mengguna kuasa dengan berkesan dan menghormati masa.

Keempat, Islam turut mendidik pekerja Muslim bekerja secara muafakat dan berpasukan. Semangat ini jika dihayati sepenuhnya akan mampu meningkat prestasi kerja keseluruhan warga organisasi. Memandangkan kebanyakan kerja dilaksana melalui organisasi, budaya kerja berpasukan sangat dituntut oleh setiap organisasi.

Jika sesebuah organisasi itu besar dari segi saiz pekerjanya sudah pasti kemajuan organisasi bergantung kepada kerja bermuafakat. Matlamat ini bukan terhad kepada perhubungan individu pekerja tetapi membabitkan bagaimana proses sistem kerja dibentuk.

Kesemua aspek yang membolehkan tugasan dilaksana secara harmoni memerlukan kebijaksanaan merancang kerja dan kesediaanbekerja dengan semangat muafakat.

Pembudayaan budaya kerja cemerlang seperti dikehendaki Islam, pekerja dan organisasi Muslim akan mampu berada di arus perdana ekonomi negara. Dengan tercapainya kejayaan itu, ia adalah permulaan kepada pekerja dan organisasi Muslim untuk berperanan di peringkat antarabangsa.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jauhi sifat Riya’ perosak amal ibadat

Posted by epondok di Mac 29, 2011

Oleh Zawawi Yusoh
 
SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah.

Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.

 

Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga.

 

Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud:

“Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain.

Baginda bersabda maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.

Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama.

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.

Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam.

Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya:

l Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri.

# Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri.

# Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak.

# Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali.

# Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid.

# Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru.

# Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas.

Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Tawassul Sayyidina Umar dengan Al-Abbas

Posted by epondok di Mac 27, 2011

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

bermohonlah kepada Allah sesungguhnya segala sesuatu itu adalah hak mutlak-Nya. -Gambar hiasan

 


 

KISAH masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup.

Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: Bahawa Umar ibnu al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA, dengan doanya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Al-Zubair ibnu Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibnu Umar RA berkata: Umar ibnu al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang berterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya.

Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah SAW menghormati bapa saudaranya, Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai Abbas!”

Di antara doa Abbas RA ialah: “Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepada-Mu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepada-Mu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya.”

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain.” Umar RA berkata berikutan hal tersebut, “Demi Allah! Dia (Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya.

Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah.

Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka.

Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri daripada kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: “Umat ini telah mendekati-Mu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! Nabi-Mu pada bapa saudaranya.” Maksudnya, terimalah doaku kerana Nabi-Mu SAW.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Guna Pancaindera renung kebesaran Allah

Posted by epondok di Mac 26, 2011

Oleh Mohd Hishamuddin Mansor

MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am ayat 165)

Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21) Firman Allah SWT lagi bermaksud: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5) Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.

Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.

Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?

Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.

Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.

Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pilih nama baik untuk anak jaga maruah

Posted by epondok di Mac 25, 2011

Oleh Mohd Puzhi Usop

HAK memberikan nama anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan pastinya mereka ingin memberi nama yang mempunyai maksud baik mengikut lunas agama. Oleh itu, jika pihak lain seperti datuk atau nenek ada memberi cadangan, jangan berkecil hati andai cadangan tidak diterima.

Tidak dinafikan, memberikan nama anak ada kalanya menimbulkan dilema kepada ibu bapa kerana dalam mencari nama yang sesuai ada kalanya penekanan diberi kepada makna, sementara ada pula mementingkan nama tetapi bukan maknanya.

Justeru, berlakulah nama anak yang bunyinya memang sedap tetapi apabila disemak, membawa maksud tidak baik atau tidak mempunyai makna. Sedangkan, apabila nama disebut, ia sebahagian daripada doa.

Firman Allah bermaksud: “Allah memiliki nama yang baik lagi indah, maka berdoalah dengannya.” (Surah al-A’raf, ayat 180)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah Azza wa Jalla ialah Abdullah dan Abd Rahman.” (Hadis sahih Muslim)

Menurut sunnah Rasulullah SAW, kita disaran memberi nama, mengadakan kenduri akikah, mencukur keseluruhan kepala dan mentahnik anak pada hari ketujuh selepas kelahiran. Menjadi kewajipan ibu bapa memilih nama membawa makna baik untuk anak mereka.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka gunalah nama yang baik.”

Ibu bapa juga hendaklah menetapkan niat memilih nama anak kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk selain memelihara sunnah Nabi SAW memberi identiti yang baik kepada bayi baru dilahirkan.

Andainya tidak mahir, dinasihatkan bertanya kepada mereka yang arif dalam bahasa Arab bagi mendapatkan kepastian mengenai kesesuaian gabungan nama (jika lebih daripada satu) supaya terpelihara maksudnya.

Contoh gabungan nama yang sesuai seperti Amirul Muttaqin yang bermakna ketua orang bertakwa. Jika memilih salah satu nama Allah, hendaklah menambah perkataan ‘Abdul’ yang bermaksud hamba.

Elakkan memilih nama yang tidak mempunyai maksud atau tiada kaitan dengan Islam dan jangan memberi nama terlalu panjang. Kita dapati masyarakat Malaysia cenderung memberikan nama yang panjang sehingga seorang kanak-kanak memiliki tiga nama.

Bayangkan berapa lama masa akan diambil anak itu untuk mengisi borang sepanjang hidup mereka. Segala urusan anak menjadi lewat angkara ibu bapa atau mereka yang ghairah memberikan nama anak tanpa memikirkan risikonya.

Pastikan juga nama panggilan mempunyai maksud kerana ada anak diberi nama dengan maksud yang indah tetapi dipanggil setiap hari dengan nama yang tiada makna atau lari maksud baiknya.

Begitu juga dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti biasa berlaku anak lelaki diberi nama Iman kerana nama itu sesuai untuk anak perempuan manakala bagi anak lelaki ialah Ayman.

Kita pasti tidak mahu anak merasa malu atau menjadi bahan ejekan hanya kerana nama lalu menyalahkan ibu bapa. Oleh itu, sentiasa berhati-hati apabila hendak memberi nama kepada bayi baru dilahirkan, jangan terburu-buru dan dapatkan pandangan pihak yang arif.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jauhi sikap takabbur perosak diri

Posted by epondok di Mac 24, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menerangkan pada permulaan surah ini bukti-bukti yang nyata tentang keesaan, kekuasaan, kebijaksanaan dan ketelitian ciptaan-Nya. Allah SWT meneruskan keterangan-Nya dengan menerangkan kenapa manusia derhaka, sombong dan menentang-Nya.

Puncanya adalah cinta dan sibuk dengan urusan keduniaan serta menumpukan sebahagian besar kehendaknya untuk mencapai kesenangan dunia semata-mata. Natijahnya, hati manusia menjadi buta dan lalai terhadap penciptanya dan tidak melaksanakan kewajipan terhadap-Nya.

Pada saat cukup dan berkemampuan, berpengaruh dan berkedudukan, dia sepatutnya lebih memerlukan Allah SWT berbanding ketika miskin dan fakir. Ketika kefakiran, cita-citanya hanyalah keselamatan sendiri dan keluarga sahaja.

Pada saat beroleh kekayaan pula, selain berita-citakan keselamatan diri dan keluarga, ia juga bercita-cita mengekalkan keselamatan kekuasaan, pengaruh dan harta kekayaannya.

Tafsiran Ayat

Firman Allah SWT: Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: Maksud orang yang melampaui di sini adalah Abu Jahal. Ini kerana apabila dia memperolehi harta beliau melakukan penjarahan dan takbur.

Sayid Qutub berkata: Allah itulah yang telah memberikan rezeki dan mengurniakan kekayaan kepada manusia di samping menciptakan mereka, memuliakan mereka dan mengajar ilmu pengetahuan kepada mereka. Tetapi manusia pada umumnya, kecuali mereka yang dilindungi imannya, tidak bersyukur apabila diberi nikmat harta hingga mereka kaya-raya.

Mereka tidak mengenal punca nikmat yang menjadikan mereka kaya iaitu punca yang telah mencipta dan memberi ilmu pengetahuan dan rezeki kepada mereka. Mereka bertindak melampau, sombong dan takbur, sedangkan sepatutnya mereka mengenal Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Sesudah ayat ini menunjukkan gambaran manusia pelampau yang lupakan asal kejadiannya dan berlagak takbur serta sombong kerana merasa sudah kaya, maka ia iringi pula dengan ancaman secara tidak langsung.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tsunami antara bukti kekuasaan Allah

Posted by epondok di Mac 23, 2011

Peristiwa ombak besar Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang lalu rentetan gempa bumi di Acheh yang telah meragut nyawa ratusan ribu umat manusia terus menjadi tajuk utama akhbar, tv dan media massa yang lain dan terbaru di Jepun. Kita sebagai umat Islam yang mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah mesti mengambil iktibar yang sebanyak mungkin daripada peristiwa yang menggemparkan dunia ini sehingga kita mampu menghampirkan lagi diri ini kepada Allah. Kita jangan menjadi umat yang sekadar melihat dan mendengar peristiwa yang berlaku sedangkan diri mereka tetap ditakuk yang lama iaitu hanyut dengan tipu daya dunia. Kita juga turut disuruh berfikir secara rasional mengenai apa yang berlaku agar ia dijadikan pengajaran berharga dalam menginsafkan diri kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan.

Bagi menguatkan pegangan kita tentang apa yang berlaku merupakan antara tanda kekuasaan Allah maka kita datangkan dengan 3 dalil atau hujah iaitu sebagaimana berikut :

1. Dalil akal : melaluinya kita sebagai seorang yang beriman wajib yakin bahawa Allah berkuasa melakukan apa sahaja samada dengan bersebab atau ada tanpa sesuatu sebab kerana Allah membuat sesuatu mengikut kehendakNya bukan dipaksa oleh kuasa lain. Oleh itu Allah mendatangkan tsunami ini samada disebabkan kedurhakaan manusia atau kerana kehendakNya semata-mata adalah bergantung kepada kehendak atau iradatNya bukan semestinya ada sebab baru ia boleh berlaku.

2. Dalil Naqli atau wahyu maka di sana banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyatakan setiap yang berlaku samada gempa bumi, petir, banjir, taufan, gerhana merupakan antara tanda kekuasaan Allah bagi menjinakkan hati manusia untuk menghampiri Allah sepanjang masa

3. Dalil adat termasuk teori sains walau pun ada yang berbetulan atau tidak maka ia juga boleh dijadikan hujah untuk kita menerima bahawa tsunami yang berlaku akibat kealpaan manusia itu sendiri seperti merosakkan hutan paya bakau yang menyebabkan kerosakan akibat ombak lebih besar berbanding jika hutan itu dijaga atau dikekalkan. Begitu juga kecuaian manusia yang menguji senjata di dalam laut yang menyebabkan boleh berlakunya gempa bumi. Ini semua memberi pengajaran yang besar kepada manusia agar menjaga alam sekitar dengan baik disamping tidak melakukan kedurhakaan terhadap Allah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

SUNAT akad nikah dalam masjid

Posted by epondok di Mac 23, 2011

Akad Nikah Dalam Masjid : Antara Jumhur dan Imam Syawkani

Isu ini akan ditinjau dari kaca mata Mazhab Syafie. Kemudian, jika ada keperluan, ia akan disoroti melalui jendela mazhab-mazhab lain.

1.Pandangan Mazhab Syafie

Sekurang-kurangnya terdapat 3 karya ulama Mazhab Syafie yang memperkatakan tentang isu ini.

Pertama : Fathul Ma’in karangan Imam Zainuddin al-Malibari;
Kedua : I’anah al-Tolibin karangan Sayyid al-Bakri al-Dumyati; dan
Ketiga : Tuhfatul Muhtaj karangan Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami.

Ketiga-tiga karya ini bersepakat menyatakan, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT.

Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w yang direkodkan oleh al-Tabarani dan Tirmizi. Ia diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah r.a.

Hadis tersebut berbunyi :

أعْلِنُوا هذا النكاحَ واجْعَلوه في المساجد واضْرِبوا عليه بالدفوف

Terjemahan : “Umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya di masjid serta pukullah kompang”

Pengarang I’anah al-Tolibin mencatatkan :

ويسن أن يكون العقد في المسجد. قال في التحفة: للأمر به في خبر الطبراني

Terjemahan : “Dan disunatkan akad [nikah] dilakukan dalam masjid. Berkata [Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami] dalam [kitabnya] Tuhfah, [disunatkan melakukan akad nikah dalam masjid] kerana [adanya] perintah [berbuat demikian] dalam hadis [yang direkodkan oleh] al-Tabarani”.

Ringkasnya, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT menurut mazhab Syafie.

2.Pandangan mazhab 4

Menurut Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jumhur (majoriti) ulama mengatakan, SUNAT melakukan akad nikah di masjid (jilid 39, ms.221).

Mereka terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Syafie dan Hanafi (jilid 32, ms.6) serta Mazhab Hambali (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231)

Manakala Mazhab Maliki mengatakannya HARUS sahaja, bukannya sunat (Mausu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jilid 32. ms.6)

Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah mencatatkan :

قال الحنفية والشافعية يندب عقد النكاح في المسجد، لحديث “أعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف” وقال المالكية إنه جائز

Terjemahan : “Berkata ulama-ulama [mazhab] Hanafi dan Syafie, disunatkan [dilakukan] akad nikah dalam masjid berdasarkan hadis “umumkan [kepada khalayak] pernikahan ini dan jadikan [urusan akad] nya dalam masjid serta pukullah kompang”. Berkata ulama-ulama [mazhab] Maliki, ia (melakukan akad nikah di masjid adalah) harus”.

Ulama-ulama lain yang turut  mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid ialah Imam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa dan Imam Ibnu Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.231).

Kesimpulannya, para ulama 4 mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali) bersepakat mengatakan sunat melakukan akad nikah dalam masjid (rujuk kitab Fatawa Wa Istisyarat Mauqi’ al-Islam al-Yaum, jilid 11, ms.259)

Dalil Jumhur Ulama

Jumhur ulama bersandarkan kepada dalil-dalil berikut :

Pertama : Hadis Tabarani di atas;

Kedua : Akad nikah dilakukan di masjid bagi mengambil keberkatan masjid

Ketiga : Masjid adalah tempat yang diketahui ramai. Justeru, melakukan akad nikah dalam masjid akan menyebarkan berita perkahwinan. Manakala penyebaran berita perkahwinan pula adalah satu tuntutan syarak.

Keempat : Nikah adalah ibadat. Justeru, sunat dilakukan akad dalam masjid.

Penilaian terhadap hadis

Para ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai hadis Tabarani di atas seperti berikut :

Pertama : Hadis Tabarani adalah hadis hassan.

Ini dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, jilid 1, ms.36, al-’Ajluni dalam Kasyful Khafa’, jilid 1, ms.145 dan lain-lain.

Kedua : Hadis ini dhaif.

Ini dinyatakan oleh Imam al-Bayhaqi (Tahir al-Hindi dalam Tazkirah al-Maudhu’at, jilid 1, ms.55), al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, jilid 7, ms.50 dan lain-lain.

3.Pandangan Imam Syawkani

Imam Syawkani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.

Ini kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat.

Justeru, perkara-perkara lain selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.

Dengan sebab itu, makan, minum, tidur dan membaca syair dalam masjid diharuskan kerana ada dalil khusus yang mengharuskannya.

Beliau mencatatkan dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248) :

فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة، فلا يجوز فيها غير ذلك إلا بدليل يخصص هذا العموم، كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده – صلى الله عليه وسلم-،وهو ينظر، وكما قرر من كانوا يتناشدون الأشعار فيه

Terjemahan : “Masjid sesungguhnya dibina bagi [menjadi tempat] mengingati Allah dan [mendirikan] solat, maka TIDAK HARUS [dilakukan] di dalamnya (masjid) selain [daripada] itu, melainkan dengan [adanya] dalil yang mengkhususkan keumuman [hukum] ini, seperti permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi s.a.w sambil Baginda melihatnya dan seperti perakuan [Nabi s.a.w] kepada orang-orang yang membaca syair di dalamnya (masjid)”.

Imam Syawkani tidak menerima hadis Tabarani di atas yang menjadi dalil jumhur ulama, kerana ia adalah hadis dhaif pada penilaian beliau (rujuk Nayl al-Awtar, jilid 6, ms.211).

4.Kesimpulan

Pembentangan di atas dapat disimpulkan seperti berikut :

1. Mazhab Syafie dan 3 lagi Mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Hambali bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.

Justeru, kenyataan yang tepat yang perlu dinyatakan oleh pihak berkuasa agama berhubung isu ini ialah, ”melakukan akad nikah dalam masjid adalah sunat menurut jumhur ulama dari pelbagai mazhab, termasuk mazhab rasmi negara, mazhab Syafie”.

Jelasnya, keharusan melakukan akad nikah dalam masjid bukan semata-mata bersandarkan kepada isu pentadbiran, iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan menjimatkan masa.

2. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama, akad nikah boleh dilakukan dalam masjid secara konsisten.

Ia juga boleh dilakukan dalam masjid dengan iktikad (kepercayaan) bahawa melakukannya dalam masjid ada kelebihannya, iaitu sunat.

Berbeza dengan pandangan Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid’ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420)

3. Individu yang menegah dilakukan akad nikah dalam masjid kerana mengambil pandangan di kalangan ulama ada yang berpendapat sedemikian, iaitu Imam Syawkani seperti yang telah dinyatakan.

4. Melakukan akad nikah dalam masjid ditegah kerana ia menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja, tidak berbangkit. Sehinggakan Imam Syawkani sendiri pun tidak menjadikan ‘menyerupai orang Krisitan’, sebagai sebab ditegah melakukan akad nikah dalam masjid.

5. Jagalah adab Masjid semasa berlangsungnya majlis nikah sekali pun

Perlulah dijaga adab apabila berada dalam masjid agar kehormatan dan kemuliaan masjid terpelihara. Antara adabnya iaitu berada dalam keadaan menutup aurat, menghormati orang lain yang melakukan solat atau membaca al-Quran, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, jangan membuat bising sehingga menghilangkan kehormatan masjid dan sebagainya. Apabila masuk masjid, bacalah doa-doa ketika masuk masjid.

Antaranya : A’uzhu billahil ‘azhimi wabiwajhihil karim wasulthanil qadiim minas syaithanir Rajim. (Maksudnya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan Dengan Wajah-Nya yang Maha Mulia dan Kekuasaan-Nya yang berkekalan daripada syaitan yang direjam).

Selain itu, disunatkan juga bagi orang yang memasuki masjid untuk berniat iktikaf dan melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Wallahua’lam.

Wallahu a’lam.

Nota : Semua rujukan yang dinyatakan adalah berpandukan Maktabah Syamilah.

http://warisansemasa.blogspot.com

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »