Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2011

Panduan mendidik hati bersih jauhi perasaan dengki, khianat

Posted by epondok di Februari 28, 2011

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SUDAH menjadi lumrah, ada sesetengah manusia yang berasa kurang senang apabila melihat kelebihan nikmat dikurniakan Allah kepada orang lain. Untuk menghapuskan perasaan negatif itu, kita seharusnya mengikuti panduan digariskan Nabi SAW.

Diceritakan kepada sahabatnya, Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Nabi SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya: “Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Ini satu panduan terbaik buat kita menelusuri kehidupan di dunia dengan tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain. Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai.

Dalam hal pemilikan harta kekayaan dunia, seharusnya kita meneliti bagaimana orang itu mendapat hasilnya. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga memperoleh nikmat Allah itu. Kita fikir dan renunglah sebagai iktibar supaya turut sama berusaha gigih.

Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka.

Cubalah kita membawa mata hati berfikir dan melihat kepayahan hidup orang lain yang lebih rendah daripada kita. Sudah tentu pada ketika itu kita berasa sangat bersyukur kerana berada dalam keadaan lebih baik.

Ini sebenarnya inti pati hadis Nabi SAW yang mengajak seluruh umatnya bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga terkocak dalam hati rasa dengki.
Rasulullah SAW meminta kita sentiasa bersikap syukur atas nikmat diberikan Allah dan bersifat qanaah, iaitu berasa cukup kurniaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya sangat beruntunglah orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Namun, dalam aspek ibadah, kita harus melihat kepada orang yang lebih baik daripada kita. Jika ada kalangan sahabat atau ahli masyarakat yang hebat amal ibadat wajib mahupun sunat, perlu dijadikan ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah.

Ingat pesanan Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Kerana bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Selain itu, perbuatan berdengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan menyebabkan si pelaku hilang pahala segala amalnya. Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Antara pelaris perniagaan yang halal dan haram

Posted by epondok di Februari 28, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

PERNIAGAAN adalah salah bidang pekerjaan yang dituntut dalam Islam. Semua urusan niaga dan jual beli bukan hanya sekadar memburu keuntungan semata-mata tetapi menjaga kepentingan dan kebajikan pengguna.

Islam mengkategorikan urus niaga dan jual beli fardu kifayah yang menjadi tanggungjawab umat Islam. Rasulullah ditanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki.

Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal (Riwayat Bazzar dan Sohehahu al-Hakim).

Umat Islam perlu memiliki kekuatan ekonomi agar seluruh umat Islam dapat manfaat daripadanya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam.
Nabi Muhammad s.a.w membuktikan baginda seorang usahawan berjaya di samping terkenal dengan sifat terpuji dan amanah dalam menjalankan perniagaan.
Sejak belasan tahun, baginda mendapat kepercayaan bapa saudaranya menguruskan perniagaan. Baginda mahir selok belok perniagaan walaupun menghadapi persaingan pedagang veteran di tanah Arab.

Pada usia 25 tahun, Nabi Muhammad s.a.w menjalankan amanah mengendalikan perniagaan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

Dengan pengalaman yang luas dalam perniagaan itu, Nabi Muhammad s.a.w dapat menyampaikan dakwah mengenai riba, pengurangan timbangan dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan.

Bukan mudah untuk mengecapi kejayaan. Ia tidak datang atau bergolek di depan mata kerana memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan usaha.

Paling penting, produk atau barangan yang dikeluarkan melalui perniagaan kita benar-benar berkualiti serta mendapat pujian daripada pembeli.

Menjadi kesalahan besar jika ada kalangan peniaga yang mahukan keuntungan segera dengan menggunakan kaedah dilarang syarak untuk melariskan perniagaan mereka.

Menggunakan pelaris yang bertentangan dengan ajaran Islam boleh membawa manusia kepada syirik dan kufur kepada Allah.

Amalan menggunakan azimat atau tangkal yang percaya kepada kuasa seperti keris, duit syiling, kulit binatang, misai atau kuku harimau, tasbih, permata, bulu binatang dan gambar rajah adalah perbuatan khurafat.

Tiada rahsia mudah berjaya dalam dunia perniagaan melainkan kembali menyusuri jejak Rasulullah s.a.w. Sifat kehambaan, takwa dan tawakal adalah asas penting sebagai ‘ilmu pelaris’.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). (Surah At-Talaq ayat 2-3).

Usaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa adalah motivasi terbaik untuk maju dalam perniagaan. Manusia tiada sifat ketakwaan dan rendah peribadinya akan mudah mengalah apabila menghadapi tekanan.

Berbeza dengan mereka yang memiliki sifat ketakwaan, peribadi mereka begitu yakin dengan kekuasaan Allah dan tidak cepat berputus asa.

Jatuh dan bangun perniagaan sebagai ujian daripada Allah dan akan mendapat ganjaran pahala. Ketika mendapat kejayaan, mereka bersyukur, begitu juga ketika jatuh, mereka tetap bersabar.

Setiap rezeki manusia di dunia ini datangnya daripada Allah s.w.t. Islam menetapkan panduan yang jelas bahawa penggunaan benda lain khususnya azimat dan tangkal bagi menarik perhatian pembeli adalah tidak dibenarkan.

Masyarakat Islam seharusnya faham mengenai hal itu dan tidak sepatutnya meminta pertolongan daripada sumber lain.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang mengambil selain daripada Allah beberapa sekutu (berhala), mereka itu mengasihinya seperti mengasihi Allah. Tetapi orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah. Jika orang-orang yang zalim mengetahui, ketika mereka melihat seksaan (nescaya) sesungguhnya kekuasaan bagi Allah semuanya dan sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya (Surah al-Baqarah ayat 165).

Allah menjelaskan ada kalangan umat Islam menyembah Allah tetapi dalam masa sama mereka mempercayai perkara lain yang mampu melariskan perniagaan mereka.

Perbuatan berkenaan dikira mempersekutukan Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika Allah melapangkan rezeki bagi hamba-hamba-Nya, mereka aniaya di muka bumi, tetapi Dia menurunkan dengan kadar (yang tertentu), menurut kehendak-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala hamba-Nya (Surah Asy-Syuura ayat 27).

Jika kita faham perniagaan satu ibadah, pasti seseorang itu menjaga akhlaknya dan sentiasa positif dengan persaingan.

Ramai sahabat Rasulullah s.a.w berjaya sebagai usahawan walaupun mereka menghadapi pelbagai kesukaran.

Malah, boleh dikatakan Rasulullah s.a.w melahirkan masyarakat perdagangan yang tumbuh dengan cepat selepas penghijrahan baginda ke Madinah.

Keuntungan dalam perniagaan menjadi hak kepada seseorang usahawan dari pandangan Islam.

Saidina Ali menyatakan dalam warkahnya kepada Malik bin al-Haris sewaktu perlantikan sebagai gabenor Mesir: “Adalah menjadi hak kepada pedagang untuk memperoleh keuntungan atas usaha mereka menyediakan barangan yang berguna kepada masyarakat”

Namun, keuntungan harus diperoleh melalui usaha yang tidak bercanggah dengan etika perniagaan Islam.

Usahawan yang berjaya perlu memahami perniagaan yang dijalankan diredhai Allah. Lakukan penilaian adakah perkhidmatan atau barangan mencapai kualiti terbaik? Periksa kandungan barangan itu sama ada halal atau tidak.

Selain itu, penting dalam perniagaan untuk melaksanakan keadilan dan ihsan. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh melakukan keadilan dan berbuat kebajikan serta memberi karib kerabat, dan melarang berbuat yang keji dan yang mungkar dan kezaliman. Dia mengajarkan kepadamu agar kamu mendapat peringatan’ (Surah an-Nahl, ayat 90).

Elakkan sifat kedekut termasuklah kepada pelanggan dan pekerja. Tunaikan kewajipan melunaskan zakat perniagaan dan zakat peribadi dengan harapan harta yang diperoleh dapat disucikan.

Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata terdapat dua cara pelaris iaitu yang dibenarkan dan tidak dibenarkan syarak.

“Pelaris yang tidak dibenarkan ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan bagi melariskan jualan perniagaan dengan merosakkan perniagaan orang lain.

“Pelaris dibenarkan syarak ialah sebelum membuka perniagaan mereka meminta nasihat golongan berpengalaman, mengamalkan zikir, doa dan wirid supaya Allah membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, peniaga boleh mengamalkan ayat daripada al-Quran seperti ayat kursi atau ayat seribu dinar.

“Ayat seribu dinar dan ayat kursi contohnya boleh dibaca, ditulis, dihafal dan diletakkan di tempat yang mulia.

“Pelaris yang dilarang ialah menggunakan tangkal, azimat, bantuan bomoh, meletak barangan tertentu dalam beg atau poket kerana semua unsur berkenaan membawa kepada syirik kepada Allah.

“Terdapat hadis yang memberi penjelasan mengenai tangkal berkenaan antaranya hadis yang bermaksud: “Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menggantung tangkal (Damimah) maka Allah s.w.t tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.”

“Jelas, Nabi Muhammad s.a.w melarang sebarang penggunaan tangkal seperti benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan bagi tujuan mendapat faedah yang diharamkan,” katanya.

Zamihan berkata usahawan Muslim perlu mempunyai ilmu perniagaan sebelum menceburi bidang yang mencabar itu dan berniat untuk membantu agama.

“Apabila dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, pastikan ia dibelanjakan dengan cara halal kerana mereka membawa amanah daripada Allah.

“Jika membuka perniagaan restoran atau kafe, pastikan kita menyediakan tempat yang selesa, makanan yang bersih dan sedap supaya pelanggan berpuas hati.

“Tidak boleh menerbitkan perasaan dengki atau iri hati dengan pesaing lain. Kita dibolehkan ‘tercabar’ dengan perkhidmatan baik yang ditawarkan itu dan berusaha memperbaiki kekurangan untuk menjadi lebih baik darinya,” katanya.

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »

Hikmah tersirat sebalik amalan hidup sederhana

Posted by epondok di Februari 27, 2011


Oleh Irfan Mohamad



Islam larang ummah merokok, zina, minum arak kerana memudaratkan kesihatan


TANGGAL 4 Februari adalah sambutan Hari Kanser Sedunia. Walaupun terciptanya pelbagai bentuk kaedah rawatan baru yang menjanjikan sinar harapan kepada pesakit kanser untuk pulih, bilangan kes penyakit kanser menunjukkan peningkatan saban tahun.


Statistik menaik ini bukan saja berlaku di Malaysia bahkan aliran sama dilakarkan di seluruh dunia. Sejumlah 12.7 juta kes kanser baru dicatatkan dan hampir 7.6 juta orang mati kerananya setiap kali kalendar tahunan bertukar.


Mungkin ramai menganggap kanser ialah penyakit nasib malang terjadi kepada sesiapa yang terkena, ada juga menganggap ia penyakit keturunan semata-mata.
Tidak kurang juga kepercayaan ditanam bahawa ia hukuman mati mandatori bagi sesiapa menerima berita menghidapinya.


Tidak ramai mengetahui kanser sebenarnya penyakit yang boleh dicegah, walaupun tidak semua, namun peratusannya boleh mencapai 30 hingga 40 peratus.


Sebagai agama yang syumul, ajaran Islam mengandungi hikmah yang kebanyakan kita menganggap sebagai ritual semata-mata sedangkan ia ajaran menghiasi cara hidup lebih sejahtera untuk kehidupan akhirat dan mempunyai pelbagai manfaat dunia termasuk pencegahan penyakit kanser.
Pengambilan alkohol dan merokok antara faktor risiko mendedahkan seseorang mendapat kanser. Pengambilan alkohol berkait rapat dengan kanser di bahagian mulut, tekak, saluran makanan (esofagus) selain hati.


Pengharaman alkohol atau arak adalah jelas seperti firman Allah yang bermaksud: “‘Hai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah dia supaya kamu bahagia.
Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian antara kamu disebabkan arak dan judi serta menghalangi kamu ingat kepada Allah dan solat. Apakah kamu tidak mahu berhenti?” (Surah Al-Maidah, ayat 90-91)


Rokok pula diketahui mengakibatkan kanser paru-paru, saluran pernafasan atas dan buah pinggang. Selain kanser, tabiat merokok juga mudah membawa kerosakan pada organ jantung, perut, meningkatkan risiko angin ahmar dan komplikasi lain akibat rosaknya salur darah dalam badan.


Yang lebih menyedihkan, kesan asap rokok turut memudaratkan orang yang berada di sekitar perokok atau perokok pasif. Bayangkan betapa hebatnya kesan akan ditanggung ahli keluarga bagi seorang bapa yang merokok.


Oleh sebab itu Islam dengan jelas melarang sebarang perkara yang boleh memudaratkan diri serta orang sekeliling. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)


Bagi seseorang yang mengambil alkohol dan merokok, risiko mendapat kanser bukan lagi berkadar secara langsung, bahkan peningkatannya berkali ganda banyaknya berbanding mengambil alkohol atau merokok secara berasingan.


Pengambilan makanan juga banyak diberi penekanan dalam Islam baik dari segi kuantiti, kualiti kebersihan serta perlu dipastikan sumbernya halal lagi baik.


Ketika makan, Rasulullah SAW menunjukkan contoh supaya tidak berlebih-lebihan bagi megelak penyakit metabolik seperti kencing manis dan darah tinggi, malah turut dikaitkan dengan mendapat risiko kanser lebih tinggi.


Justeru, Islam mengajar supaya makan berpada-pada dan memilih kumpulan makanan mengikut keperluan tubuh badan bagi mencegah kemudaratan. Contohnya, mengelak makanan terlalu manis, masin, berlemak, mengurangkan pengambilan daging merah dan pada masa sama mempelbagaikan juadah dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.


Selain faktor makanan seimbang dan berpada-pada, kita juga disarankan menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti fizikal secara istiqamah. Keperluan bersenam dan mengeluarkan peluh dibuktikan secara saintifik bukan saja penting untuk kesihatan jantung, juga kegemukan.


Berat badan berlebihan boleh menyumbang 20 hingga 30 peratus berlakunya beberapa jenis kanser seperti kanser kolon (usus besar) dan bahagian lain dalam saluran reproduktif (pembiakan).


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)


Apabila badan tidak cergas, fikiran juga lembab dan lambat bertindak bak kata pepatah Arab, ‘akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.


Sungguhpun penyakit kanser bukan penyakit berjangkit, ada beberapa jenis kanser berpunca daripada jangkitan virus. Memang benar tidak semuanya dapat dielakkan, namun kita perlu berikhtiar supaya jangkitan virus membawa kepada kanser dapat dikurangkan.


Virus seperti hepatitis B dan C yang dikaitkan dengan kanser hati serta virus human papiloma (HPV) pula dikaitkan risiko kanser serviks mudah dipindahkan virusnya dengan amalan seks bebas. Pencegahan mengikut panduan agama boleh mengurangkan risiko mendapat virus berbahaya ini.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’, ayat 32)
Sesungguhnya banyak perkara tersurat dan tersirat dalam ajaran Islam yang membawa kepada sinar kesejahteraan hidup manusia. Hanya mata yang ingin melihat kebesaran Allah dan keagungan Islam boleh menghadirkan apresiasi keindahan di sebalik bait ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.


Kembali kepada ajaran Islam sebenar nescaya kita akan dapati ia agama sejahtera dan mensejahterakan umatnya, bukan saja dalam perkara ibadat, mualamat atau munakahat, juga pencegahan kanser.


Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Remaja dan kesantunan

Posted by epondok di Februari 26, 2011

 

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Dengan ilmu serta akhlak yang mulia, potensi remaja akan lebih terserlah. – Gambar hiasan

 


 

KESANTUNAN dalam konteks remaja bermakna sifat dan pekerti yang tinggi, berbudi bahasa dan tabiat beradab. Kesantunan tidak sahaja merupakan cerminan budaya timur tetapi anjuran Islam. Kesantunan menjadikan remaja mempunyai rasa tertib yang tinggi dan berhemah dalam melakukan sesuatu. Kesantunan adalah cerminan watak yang boleh dijadikan sumber ikutan juga teladan. Kesantunan juga menjadikan remaja bangsa beradab dan mampu membina budaya tinggi iaitu tamadun.

Dibangkitkan isu kesantunan ini kerana terdapat sebilangan remaja yang hilang pedoman, akhlak dan integriti diri.

Jiwa mereka kosong dengan kefahaman sejarah dan budaya serta lompong dengan ilmu agama dan keinsafan diri.

Lalu budaya popular daripada acuan Barat dijadikan sandaran maju dan moden. Sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib dan peraturan, hilang malu dan sopan menjadi sebahagian yang melatari watak remaja.

Remaja seperti ini mudah cair dengan pengaruh negatif dari Barat.

Remaja seperti ini hanya memikirkan kepentingan diri dan bukan kepentingan orang lain. Selalunya mereka tidak ada rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada nikmat kehidupan yang diperolehi.

Kesantunan Terhadap Ilmu

Kesantunan bermula dengan menyantuni ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya pematangan akal dan pemerkasaan diri berlaku dengan baik. Ilmu yang bermanfaat umpamanya boleh didapati dalam khazanah tamadun Islam.

Pada masa sama, ilmu-ilmu berbanding yang bermanfaat dari Barat dan Timur harus juga dicari. Menyantuni khazanah Islam dan faktor-faktor di luar lingkungan adalah amat penting supaya konsep ilman nafi’a (ilmu-ilmu yang bermanfaat) dapat disuburkan dalam kehidupan.

Kelompok remaja seharusnya menjadikan ilmu Islam dan ilmu berbanding sebagai faktor penting dalam menentukan kejayaan pembangunan dan kemajuan.

Faktor globalisasi yang sedang mendatangi umat Islam kini menuntut persiapan yang rapi di kalangan remaja untuk menguasai ilmu pengetahuan yang pelbagai supaya nantinya umat Islam tidak hanya menjadi pengguna kepada modal orang lain tetapi harus menjadi penyumbang kepada kekuatan tamadun manusia.

Keduanya, kesantunan harus terhubung dengan memiliki kekuatan akhlak dan jati diri. Dengan kekuatan akhlak, para remaja tidak mudah cair dengan pengaruh budaya luar yang negatif.

Memiliki jati diri yang Islami boleh menjadikan para remaja orang-orang yang berprinsip di samping memiliki wibawa diri yang dihormati. Isu yang berbangkit kini ialah ramai di kalangan remaja islam sedang terjebak dalam kemelut akhlak yang mencemaskan, sedangkan kelemahan umat Islam di mana-mana memerlukan keterampilan generasi muda yang berpotensi untuk melakukan perubahan.

Ramai yang berpendapat bahawa memiliki peribadi yang baik dan kesantunan yang tinggi merendahkan sifat berani dalam diri.

Sering sahaja mereka diperkecilkan dan dianggap tidak berani menyaingi orang lain walaupun mempunyai tahap ilmu yang tinggi.

Tanggapan itu salah kerana keteguhan akhlak dalam watak dan tingkah laku menjadi prasyarat penting untuk menentukan warisan masa depan negara berada di tangan orang-orang yang berintegriti. Dengan ilmu dan akhlak yang mulia, potensi remaja akan lebih terserlah dan keberanian menegakkan sesuatu yang benar disertai dengan ilmu yang terarah dan bermanfaat.

Perkara ketiga dalam proses penyantunan ialah keupayaan remaja melatih diri supaya mempunyai upaya berfikir dan cara pendekatan yang strategik.

Strategik dalam erti kata para remaja harus mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti. Idealisme dalam hidup remaja adalah sesuatu yang amat penting.

Idealisme tanpa menyantuni realiti akan mewujudkan keadaan yang tidak seimbang. Idealisme cuba melihat sesuatu dalam keadaan serba sempurna tetapi realiti masyarakat tidaklah sepenuhnya sempurna.

Oleh itu antara visi dan misi (idealisme) bagi mencapai sesuatu matlamat dalam perjuangan hidup harus mengambil kira faktor ilmu, upaya guna tenaga, alat-alat bantu, kekuatan teknologi supaya pendekatan yang diambil menjadi seimbang. Kalau tidak, para remaja hanya seronok dengan pendekatan pidato-pidato, reaktif terhadap isu tetapi pro-aktif menyantuni penyelesaian.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Malu penanda aras ketakwaan Muslim

Posted by epondok di Februari 26, 2011

Sifat takut kepada tuhan benteng halang dosa, dorong umat Islam lakukan kebaikan

BANYAK kejadian yang melemahkan umat Islam mutakhir ini berpunca daripada hilangnya sifat malu. Ada segelintir tidak segan silu melanggar perintah agama malah berasa bangga kerana berani melakukan maksiat kepada Allah.

Mereka seolah-olah mencabar kekuasaan Allah dengan mematuhi maksiat dan memerangi syariat. Ada juga lupa sifat tidak malu melakukan kejahatan berpunca daripada hilangnya rasa perhambaan kepada Dia Yang Maha Melihat.

Justeru, mereka hanya malu kepada manusia dan apabila tiada yang melihat, mereka melakukan maksiat.

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis itu menunjukkan tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut seksaan Allah. Mereka berbuat apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada diri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Manusia memilih menjadi malu berasaskan dua keadaan iaitu kerana memang pemalu atau cuba menanam sifat malu. Sama ada kita memang seorang pemalu kerana mewarisinya daripada ibu bapa atau mengupayakan malu melalui latihan bukan persoalannya.

Sifat malu perlu ada kerana ia membawa kebaikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Malah, malu seiring iman. Jika seseorang itu tiada sifat malu, sudah tentu ia jauh daripada keimanan kerana malu adalah benteng yang menghalang melakukan dosa.

Abu Sa’id Al-Khudri menggambarkan sifat malu Baginda SAW sebagai lebih pemalu daripada seorang gadis, bahkan apabila tidak menyukai sesuatu, sahabat boleh mengetahuinya daripada wajah Baginda.

Namun, perlu diingat sifat malu dalam Islam ialah malu melakukan perbuatan jahat dan maksiat, bukannya malu membuat kebaikan atau menyeru kepada kebenaran. Justeru, malu menghadapi yang hak bukanlah sifat malu dibawa Rasulullah SAW, sebaliknya sifat lemah yang boleh menjahanamkan agama serta membelenggu Islam terus gah di persada dunia.

Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, malu yang dipuji dalam ucapan Rasulullah SAW adalah akhlak yang mendorong seseorang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, rasa lemah menyebabkan seseorang mengurangi hak Allah SWT ataupun hak hamba-Nya.

Sifat lemah merujuk keadaan tidak positif, tiada iltizam, kesungguhan mencapai sesuatu disebabkan kekangan peribadi, iaitu tiada keyakinan, kekuatan fizikal serta takut kemungkinan gagal.

Jangan pula kita jadikan sikap malu sebagai penyebab kelemahan umat Islam hari ini dalam urusan ilmu, pentadbiran atau kepentingan umat. Malu bertoleransi dalam urusan agama untuk menjulang kebenaran sebenarnya menunjukkan kelemahan yang nyata.

Begitu juga jangan malu mengaku salah, jika akur pada hakikat Allah mem buka seluruh keaiban semata-mata kerana perhitungan di Padang Mahsyar (melainkan kita tidak membuka keaiban orang lain).

Maka, akui kesalahan semoga ia menjadikan kita manusia yang dihargai. Tetapi jika terus menegakkan benang yang basah kerana malu, ketahuilah kita akan menjadi manusia paling lemah akhirnya.

Betapa jauh amalan kita dengan Rasulullah SAW dan sahabat. Mereka berhias dengan rasa malu yang hakiki, menahan diri daripada perbuatan keji, bukan supaya disanjung tinggi, tetapi kerana takutkan Rabbul Izzati.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sebaik-baik harta mengikut lunas syarak

Posted by epondok di Februari 25, 2011

 

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

Harta hanya akan benar-benar menjadi bermanfaat apabila ia dilaburkan ke jalan yang hak. – Gambar hiasan

 


 

PERNAHKAH kita mendengar hadis Nabi, yang bermaksud: “Sebaik-baik harta itu ialah, harta yang berada pada tangan orang yang saleh.” (riwayat Imam Ahmad dan Thabrani).

Mengapakah begitu? Jawapannya mudah, hanya orang yang saleh sahaja yang tahu dan mampu menggunakan hartanya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Allah SWT mahu agar manusia menjadi orang yang berharta. Dalam erti kata lain, Allah tidak mahu kita merasa selesa dengan kemiskinan. Hidup dalam serba kesusahan. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Sebab itulah Allah SWT berlaku adil dengan memberikan semua manusia peluang yang saksama membina kehidupan.

Allah menyatakan dalam al-Quran: Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia (Allah) mencukupkan (hidupmu). (ad-Dhuha: 8)

Begitu jugalah firman Allah di lembaran al-Jumuah ayat 10: Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah. Semuanya mendorong kita mencipta kejayaan dan kekayaan dalam hidup.

Apabila manusia menjadi kaya maka mereka mudah melaksanakan kewajipan sesama insan. Saling memberi dan saling berbahagi.

Seperti lirik lagu nyanyian Opick dari Indonesia: Alangkah indah orang bersedekah, dekat dengan Allah, dekat dengan sunnah. Takkan berkurang, harta yang sedekah, akan bertambah, akan bertambah.

Walau bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan betapa ramai umat manusia yang mendapat kekayaan akhirnya lupa daratan. Mereka menjadi manusia takbur, sombong dan mengingkari arahan Tuhan. Sifat belas kasih sesama insan bertukar menjadi kedekut, pemeras dan penindas.

Hal ini berlaku sepanjang zaman. Allah SWT ada memberi ingat: Maka kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi, maka tidak ada baginya satu golongan pun yang boleh menolongnya… (al-Qasas: 81)

Qarun adalah sepupu Nabi Musa a.s. Dia berfahaman bahawa setiap sen harta yang dia miliki adalah mutlak miliknya. Qarun mengingkari nasihat Musa agar memberikan sedekah dan menyantuni sesama manusia.

Kemuncak keingkarannya, Qarun bertindak menindas dan menganiayai kaumnya dan menafikan hartanya itu adalah kurniaan Allah SWT.

Mungkin, Qarun adalah pencetus mazhab kapitalisme di dunia ini. Maka, sebagai balasan ke atas keingkarannya itu, dia ditenggelamkan ke dasar bumi dan tenggelamlah juga segala keegoannya yang menguasai diri.

Hakikatnya, Islam mendidik manusia yang berharta agar menjadi manusia mulia.

Di samping itu, tiada sebaik-baik teladan dapat dikutip melainkan teladan yang diberikan Nabi Muhammad SAW. Nabi menyatakan: “Bukan orang yang beriman, sesiapa yang tidur malam dengan perut kekenyangan sedangkan dia mengetahui bahawa jiran di sebelahnya sedang kelaparan.” (riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi)

Sesungguhnya Nabi mendidik manusia dengan akhlak dan juga kata-kata. Sesuai dengan kajian pakar psikologi, bahawa didikan dengan akhlak sememangnya lebih berkesan.

Akhlak Nabi adalah cerminan diri baginda. Rasulullah SAW sering digambarkan oleh para sahabat sentiasa menaungi golongan miskin, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal sehinggalah mereka merasa begitu aman di bawah naungan nabi.

Sirah Nabawiyah juga menceritakan, bahawa di Madinah semasa hayat nabi ada sekelompok manusia yang mendambakan diri sepenuh masa untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah.

Golongan ini tinggal di serambi Masjid Nabi. Nabi sendiri amat menyantuni golongan ini.

Golongan itu dinamakan ahlus-suffah. Iaitu golongan yang amat miskin dan daif.

Mereka sering kelaparan dan tidak mempunyai tempat tinggal kecuali tinggal beramai-ramai di As-Suffah.

Mereka tidak mempunyai pakaian yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kesejukan.

Sebahagian mereka hanya mempunyai pakaian yang menutup hingga ke paras lutut. Sebahagian yang lainnya pula mempunyai pakaian yang tidak pun mencecah tumit.

Pendek kata, ahlus-suffah itu bolehlah dikategorikan sebagai golongan fakir atau mengikut istilah kini digelar golongan miskin tegar.

Namun begitu, golongan itu tidak berpeluk tubuh sahaja. Mereka juga terdiri daripada para pejuang Islam.

Antara sahabat nabi yang dikenali sebagai ahlus-suffah ialah Abu Hurairah r.a, Abu Dzar Al-Ghiffari r.a dan Saiyidina Bilal bin Rabah.

Sesuai dengan taraf dan darjat keimanan mereka, nabi amat memelihara kemaslahatan ahlus-suffah. Adakala melebihi perhatiannya kepada anak menantu baginda sendiri.

Pernah Fatimah anak perempuan nabi memohon seorang tawanan perang bagi membantu kerja-kerja rumahtangganya. Namun nabi menyatakan: “Patutkah aku memberikan kamu seorang pelayan dan meninggalkan ahlus-suffah kelaparan?”

Demikianlah tegasnya seorang utusan Allah SWT apabila berhadapan dengan kepentingan umat dan keluarga, baginda sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya.

Kesimpulannya, harta hanya akan benar-benar menjadi bermanfaat apabila ia dilaburkan ke jalan yang hak. Hanya muslim yang saleh sahaja akan melalukan sedemikian. Bukan senang mengawal harta. Lalu, Islam telah menyediakan jalan keluar untuk kita, iaitu sedekah, zakat, infak, wakaf, jariah dan sebagainya lagi.

Terpulanglah kepada kita untuk membuat perhitungan. Sebagai penguat jiwa, marilah sama-sama kita menghayati sebuah hadis, saat Rasulullah SAW yang membayangkan seorang manusia berkata: Hartaku! Hartaku! Padahal hartanya yang sebenar-benarnya ada (hanya) tiga jenis (sahaja), iaitu (1) apa yang dimakan lalu habis; (2) apa yang dipakainya (pakaian) lalu lusuh dan (3) apa yang disedekahkannya lalu tersimpan (untuknya di akhirat). Selain daripada tiga perkara di atas, lenyap (hartanya) atau ditinggalkannya bagi orang (manusia) lain (sebagai pusaka). (riwayat Muslim)

Posted in Artikel Pilihan | 2 Comments »

Mukmin perlu segera manfaat peluang perbanyak amal salih

Posted by epondok di Februari 25, 2011

FIRMAN Allah bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik bagi mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa,” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Masa adalah kehidupan dan ladang amalan. Perlu diinsafi masa adalah nikmat yang sepatutnya dimanfaatkan sebagai modal penting menjejak keredaan Ilahi. Kedudukan seseorang di sisi Allah selain ditentukan keimanan dan amal salihnya, kerana faktor kesegeraan dan semangat dalam melaksanakan amal salihnya.

Bersegera melakukan amalan salih kerana ia antara inti utama ajaran Islam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat bersegera melakukan amal salih sebagaimana sabda Baginda bermaksud; “Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit,” (hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Ini kerana, akan datang suatu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan.

Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.

Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kepada Allah SWT.

Imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia yang bersifat sementara.

Neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik.

Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tu buh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan para sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.

Pintu fitnah ini boleh ditutup dengan amal salih. Apa saja dilakukan dalam hidup seorang Muslim akan menjadi amal kebaikan.

Bercakap benar dan tidak bohong itu amalan mulia. Mendoakan kesejahteraan untuk saudaranya seislam tanpa pengetahuan mereka, juga amal salih dan lain-lain amalan kebaikan yang berlangsung dalam setiap sendi kehidupan umat sejagat. Allah SWT adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, masing-masing memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Lebih daripada itu, sesuatu amal tidak dilihat dari sudut kuantiti, tetapi dilihat dari sudut motivasi dan niatnya. Pendek kata, kualiti amal seseorang itu amat bergantung kepada motivasi dan niatnya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Telefon bimbit boleh jejas aktiviti sel otak

Posted by epondok di Februari 24, 2011

Metabolisme glukos meningkat di bahagian hampir antena

CHICAGO: Tempoh 50 minit untuk bercakap menerusi telefon bimbit yang dilekapkan di telinga, sudah cukup bagi menukar aktiviti sel otak yang paling hampir dengan antenanya.

Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), berkata sama ada keadaan ini akan menyebabkan sebarang kerosakan belum dapat dipastikan.

Ia juga dijangka tidak dapat menyelesaikan kebimbangan dan andaian bahawa penggunaan telefon bimbit mempunyai kaitan dengan penyakit barah otak.

“Apa yang dapat kami lihat ialah metabolisme glukos meningkat di dalam otak seseorang yang terdedah dengan telefon bimbit dan paling ketara di bahagian yang paling hampir dengan antena telefon bimbit itu,” kata pakar NIH, Dr Nora Volkow. Penyelidikan beliau diterbitkan di Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian yang dijalankan bertujuan mengenal pasti reaksi otak terhadap medan elektromagnetik yang berpunca daripada isyarat telefon tanpa wayar.

Volkow berkata, beliau terkejut dengan bukti bahawa radiasi elektromagnetik yang lemah dari telefon bimbit boleh menjejaskan aktiviti otak, tetapi kajian itu tidak memberi jawapan sama ada penggunaan telefon bimbit menyebabkan barah.

“Kajian itu tidak memberi petunjuk sedemikian. Apa yang dilakukan kajian ini ialah untuk menunjukkan bahawa otak manusia adalah sensitif kepada radiasi elektromagnetik akibat penggunaan telefon bimbit.

Penggunaan telefon bimbit meningkat secara dramatik sejak peranti itu diperkenalkan pada awal hingga pertengahan 1980-an dan kini 5 bilion telefon bimbit digunakan di seluruh dunia.

Sesetengah kajian menga-itkan penggunaan telefon bimbit dengan peningkatan penyakit barah otak tetapi kajian yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak dapat memberi keputusan muktamad.

Pasukan Volkow membuat kajian ke atas 47 orang yang menjalani imbasan ketika telefon bimbit digunakan selama 50 minit, manakala satu kumpulan lagi diimbas ketika telefon bimbit dimatikan. – Reuters

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Cara jaga keutuhan iman dalam diri

Posted by epondok di Februari 24, 2011

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh

APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada.

Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.

Doa baginda: “Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.

Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah?

 

Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar.

 

Kali ini penulis ingin mengingatkan tentang tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah:

1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah.

2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran.

3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat.

4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib

5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan.

6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat.

7. Berat dalam mengingat Allah.

8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari’ah.

9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan.

10. Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah.

11. Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya.

12. Berasa senang di atas kegagalan orang lain

13. Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh.

14. Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil.

15. Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin.

16. Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam.

17. Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja.

18. Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti.

19. Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi.

20. Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi.

Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita:

1. Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita.

2. Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita.

Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun.

3. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu.

4. Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu.

5. Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan.

6. Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia.

7. Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka.

8. Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah.

9. Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan.

Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu.

10. Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk.

11. Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun daripada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pendekatan amar makruf nahi mungkar dapat kekang gejala sosial

Posted by epondok di Februari 24, 2011

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan jika ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti mana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka, orang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Allah menegaskan dalam ayat ini umat Islam adalah generasi terbaik dan contoh kepada umat lain. Hakikat ini dibuktikan generasi Rasulullah dan sahabat selepasnya bahawa janji Allah itu benar apabila mereka benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam.

Ayat ini juga menyingkap betapa Islam menitikberatkan perpaduan ummah di mana Allah menggunakan istilah ummah untuk menggambarkan kesatuan umat Islam dan menjadi bukti pengiktirafan Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik.

Berdasarkan ayat itu, dapat disimpulkan umat menjadi pilihan Allah adalah yang menyatakan keimanan mutlak kepada Allah, menyeru ke arah kebaikan, melaksana dan menjunjung segala perintah Allah serta meninggalkan sama sekali larangan-Nya.

Inilah antara kriteria perlu ada jika ingin bangkit sebagai umat yang bersatu dan unggul dalam semua bidang. Hanya dengan sifat itu, umat Islam menikmati kebahagiaan dijanjikan Allah kepada umat yang beriman.

Prof Hamka menyatakan, ketiga-tiga kebaikan umat Islam hakikatnya adalah dasar yang satu. Apabila seseorang mengakui beriman kepada Allah, timbullah kebebasan jiwa kerana keimanan kepada Allah tidak memberi ruang kepadanya mempersekutukan kepercayaan kepada yang lain.

Beriman kepada Allah adalah tonggak utama kehidupan Muslim. Jika iman lemah, amar makruf dan nahi mungkar tidak dapat dilaksanakan. Kerapuhan iman menghilangkan keberanian melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Umat Islam wajib menginsafi mereka sebenarnya bertanggung jawab melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar sebagai pendekatan ampuh bagi menyelesaikan segala kemelut atau gejala sosial melanda masyarakat.

Kesedaran ini menghasilkan masyarakat harmoni dan sejahtera. Sejarah silam membuktikan antara punca kejatuhan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau bangsa kerana berleluasanya maksiat atau penyakit masyarakat.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran bencana menimpa umat terdahulu kerana kelalaian menegakkan kewajipan amar makruf nahi mungkar.

Firman Allah bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksanya.” (Surah al-Anfal, ayat 25)

Kisah kebinasaan Bani Israil sudah memadai menjadi pengajaran berkesan kepada umat Islam pentingnya amar makruf nahi mungkar dijulang dan ditegakkan bagi memastikan kelangsungan kehidupan manusia.

Kesimpulannya, selagi prinsip amar makruf nahi mungkar wujud, maka Islam akan terus memberikan nafas kehidupan kepada manusia. Selama itu umat Islam menjadi sebaik-baik umat dilahirkan daripada kalangan manusia.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »