Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2011

Adakah sinar untuk Islam disebalik Demontrasi Mesir

Posted by epondok di Januari 31, 2011

Haris Zalkapli
Protes besar-besaran di Mesir kini memasuki hari keenam, selepas protes menuntut perubahan politik di negara itu meningkat dengan dramatik bermula selepas solat Jumaat yang lepas.

Situasi masih lagi panas dengan protes di bandar-bandar utama berterusan, dan aktivis Mohamed el-Baradei menyertai protes, mengambil peranan kepimpinan dengan memberi ucapan-ucapan menuntut pengunduran Hosni Mubarak dan menyatakan bahawa perubahan makin hampir.

Masih terlalu awal untuk memutuskan dan menyimpulkan apa-apa berhubung perkembangan di Mesir ketika ini, tetapi apa yang jelas ialah prospek perubahan semakin kelihatan di negara Arab berpengaruh itu.

Beberapa isu utama walau bagaimanapun dapat diperhatikan dalam perkembangan di Mesir, melibatkan tindakan Hosni, reaksi Washington dan laporan-laporan dan ulasan terhadap peritstiwa bersejarah di negara itu pada masa ini.

1. Berdasarkan perkembangan semasa, Presiden Hosni Mubarak tidak nampak lagi boleh mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin Mesir dengan hanya melakukan perubahan-perubahan seperti melantik naib presiden dan melantik kabinet baharu. Sekiranya masih kekal, Hosni akan berdepan masalah yang besar dan bakal kehilangan sokongan kuasa besar dan masyarakat antarabangsa, serta terus berdepan tentangan rakyat.

2. Pelantikan Omar Suleiman yang mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Amerika Syarikat (termasuk berperanan dalam extraordinary rendition) tidak menjanjikan apa-apa yang positif kepada rakyat Mesir melainkan hanya untuk kepentingan kuasa asing dan Hosni sendiri. Pelantikan Omar sama sekali bukan apa yang dituntut dan perlu dilakukan.

3. Mohamed el-Baradei semakin mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemimpin baharu Mesir, sebahagian besarnya kerana sokongan Barat dan popularitinya di Mesir pada masa ini, dan digelar sebagai figur penyatu dalam politik Mesir. Beliau juga merupakan tokoh yang paling banyak menerima liputan positif media asing. Penyertannya dalam protes mendapat ulasan positif dan diangkat sebagai pemimpin yang berani berdepan Hosni serta menuntut diktator itu berundur. Hal ini juga menunjukkan sisi politik domestik bukan satu-satunya naratif yang sepatutnya diterima dalam melihat perkembangan di Mesir dan Asia Barat pada masa ini.

4. Ikhwan al-Muslimin mula menerima serangan mengaitkannya dengan unsur-unsur “militan” dan “teroris,” dalam rangka wacana yang kritikal terhadap sebarang elemen Islam dalam politik. Walaupun sejarah menunjukkan rekod yang tidak sepenuhnya baik bagi Ikhwan, kumpulan ini merupakan kuasa politik yang sah di Mesir. Kritikan Ikhwan tidak terlibat dalam penentangan juga menyeleweng kerana kumpulan ini berdepan tekanan dan tangkapan pasukan keselamatan secara agresif, terbaharu sejak 2009.

5. AS telah bertindak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung protes dengan cuba mengimbangi sokongan kepada hak fundamental rakyat dengan desakan perubahan kepada rejim Hosni. Kenyataan Setiausaha Negara Hillary Clinton Jumaat lalu cuba mengimbangi dan menyediakan ruang manuver pada masa depan, apapun kesudahan kepada rejim Hosni. Jelas bahawa Washington masih menyokong rejim sedia ada, tetapi tetap akan meneruskan hubungan baik dengan pemerintah selepas ini sekiranya rejim sekarang tumbang. Apabila tiba masanya, AS juga akan mendesak Hosni berundur.

6. Kepentingan AS – dan Israel – di Mesir terlalu besar dan tidak terhad kepada rejim Hosni. Selepas Israel, Mesir ialah penerima bantuan ketenteraan terbesar dari AS. Malah, kepentingannya mungkin akan dapat lebih dipelihara dan dicapai di bawah pemerintah baharu. Kedudukan Mesir sebagai negara Arab pertama mengiktiraf Israel dan yang paling berkeupayaan berperang dengan Israel – terutama disebabkan faktor sempadan – menjadikan Mesir tidak boleh dilepaskan oleh Washington. Palestin dan Gaza ialah satu isu yang paling menjadikan Mesir diperlukan oleh Israel untuk bekerjasama dengannya, kerana hanya Mesir negara yang boleh menguatkuasakan kepungan Gaza selain Israel.

7. Perubahan politik di Mesir bakal mencetuskan gelombang yang jauh lebih besar berbanding yang tercetus dari Tunisia. Walaupun tidak semestinya akan membawa kepada perubahan rejim lain, perkembangan di Mesir telah mengubah permainan di Asia Barat. Sekiranya perubahan yang bermakna terlaksana di Mesir, termasuk dalam aliansi dengan Jordan dan Arab Saudi, lanskap politik serantau akan berubah dengan dramatik. Perubahan dalam aliansi Kaherah-Riyadh-Amman secara dramatik mampu menjejaskan pengaruh kuasa-kuasa terbesar dunia Arab itu

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

12 Tips tenangkan jiwa

Posted by epondok di Januari 31, 2011

Oleh Zawawi Yusoh

BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.

Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Ba nyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau.

Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketena ngan.

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

 

 

Membaca dan mendengarkan al-QuranSuatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Masud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Masud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Masud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.

 

 

 

Menyayangi orang miskinRasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.

 

 

 

Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atasKetenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.

 

 

Menjaga silaturahimManusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubu ngan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjang kan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.

 

 

 

Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billahSumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita de ngan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.

 

 

 

Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahitHidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.

 

 

 

Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana AllahSalah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.

 

 

 

Tidak meminta kepada orang lainTangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.

 

 

 

Menjauhi hutangDalam sebuah hadis, Rasulul lah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat berta nya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataan nya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”

 

 

 

Selalu berfikir positifMengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif.

Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

 

Posted in Amalan Pilihan | 5 Comments »

Berfikir positif lahir masyarakat cemerlang

Posted by epondok di Januari 31, 2011

Sudahkah kita berfikir?

 

Semua yang berlaku di sekeliling kita ada pengajarannya bagi mereka yang boleh berfikir. – Gambar hiasan

 

 


TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: “Yang terlebih hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih lapar dan berfikir”.

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal (berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya? Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga bentuk pemikiran:

1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur kepada Allah.

3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya? Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah, rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung dengan ‘1 fikrah’, iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih tegar dalam hati mereka, Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam hati dan fikiran, sahabat bertanya: “Apakah itu penyakit wahan?” Maka jawab baginda, “Cintakan dunia, takutkan mati”.

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Faedah berfikir

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda: “Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya) tentang akhirat”.

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan membuat dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan dihitung Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir, semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan, kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap pencipta kita nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a, “Fikir itu cermin hati, dan dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat dan mudarat dalam perihal kehidupan kita.” Mudah-mudahan dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah. Salam perubahan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bertawassul dengan athar Rasulullah

Posted by epondok di Januari 30, 2011

BULAN Rabiulawal yang membawa makna dan rasa tersendiri bagi para pencinta Rasulullah SAW menjelang tiba. Ia datang dengan imbauan ingatan lahirnya insan agung yang membawa cahaya kebenaran dan siraman rahmat kepada seluruh alam.

Seharusnyalah peristiwa agung itu terus-menerus dikenang, disebut, disanjung sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang maha besar dan sebagai penyubur ikatan kasih kita pada Rasulullah SAW.

Perlu difahami bahawa perbahasan kita berkaitan isu tawassul selama ini juga tidak terpisah daripada semangat menzahirkan mahabbah dan berkhidmat kepada Rasulullah SAW seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Ia tidak harus sekadar menjadi suatu polemik ilmiah yang terpisah daripada makna yang lebih tinggi tersebut. Semoga kita semua sentiasa digolongkan bersama mereka yang diizinkan untuk berkhidmat kepada Baginda SAW dan memasuki naungan kasih Baginda SAW.

Minggu ini, kita ingin memasuki satu pecahan tajuk baru berkaitan dengan tawassul iaitu hukum bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW atau juga dipanggil athar. Sebenarnya telah diriwayatkan secara sahih bahawa para Sahabat RA pernah melakukan perbuatan mengambil berkat atau bertabarruk dengan athar Rasulullah SAW.

Perbuatan bertabarruk ini hanya mempunyai makna dan tujuan yang satu iaitu bertawassul kepada Allah dengan kesan-kesan Baginda SAW, kerana bertawassul boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara dan tidak terbatas kepada satu cara tertentu sahaja.

Apakah patut jika kita boleh menerima bahawa para sahabat RA hanya sekadar bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Baginda SAW tetapi tidak pula bertawassul dengan Baginda SAW sendiri? Adakah logik jika dikatakan bahawa adalah sah bertawassul dengan furu’ (benda-benda yang mempunyai kaitan dengan Baginda SAW iaitu kesan-kesan peninggalan Baginda SAW) tetapi tidak sah pula bertawassul dengan asalnya (diri Baginda SAW sendiri)?

Adakah sah bertawassul dengan kesan Baginda SAW yang tidak akan menjadi mulia dan agung melainkan disebabkan oleh empunya barang peninggalan tersebut iaitu Nabi Muhammad SAW, dan selepas itu pula kita mengatakan tidak sah bertawassul dengan Baginda SAW? “Maha Suci Engkau, ya Allah! Sesungguhnya ini hanyalah suatu pembohongan besar.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ancaman bagi orang bakhil

Posted by epondok di Januari 30, 2011

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
 

Memberi bantuan meringankan rakan yang ditimpa musibah juga adalah antara sedekah yang amat digalakkan oleh agama. – Gambar hiasan

 

 


SURAH ini termasuk dalam surah Makkiyah, keseluruhan ayatnya berjumlah 21 ayat, dan turun selepas surah al-A’la. Hubungan surah dengan surah yang sebelumnya, iaitu pada surah terdahulu ada disebutkan tentang kebahagiaan orang yang mengotorkannya.

Dalam surah ini pula Allah SWT sebutkan bentuk kebahagiaan yang akan diperolehi dan bentuk kecelakaan yang akan didapati. Jadi, surah ini seolah-olah huraian yang lebih terperinci daripada surah sebelumnya.

Firman Allah SWT: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang, demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).

Ibn Kathir berkata, yakni jika menutupi makhluk dengan kegelapannya dan cahaya dengan sinarnya begitu juga demikian sama ciptaan manusia. Ketika sumpahan ini menggunakan hal yang bertentangan maka yang disumpah pun juga saling bertentangan.

Syed Qutud dalam Fi Zilal al-Quran menyebut: Biar bagaimanapun percubaan yang dilakukan oleh para pengingkar dan para penyesat untuk menolak hakikat ini dan mengalihkan pandangan-pandangan manusia daripada mengamatinya, namun hati manusia tetap berhubung dengan alam buana ini.

Mereka juga menerima saranan-saranannya, memerhati perubahan-perubahannya dan memahami secara spontan setelah berfikir dengan mendalam bahawa di sana ada satu kuasa pentadbir yang pasti dirasa dan diakui kewujudannya di sebalik pendapat-pendapat yang karut dan sikap yang menolak dan mengingkarinya.

Begitu juga penciptaan jenis lelaki dan perempuan atau jantan dan betina. Penciptaan jenis pada manusia dan binatang-binatang mamalia itu bermula dengan setitis nutfah yang menetap dalam rahim atau dengan satu sel dari lelaki yang bersatu dengan sebiji telur perempuan. Tetapi mengapakah pada akhir perkembangannya tidak sama, yang ini menjadi lelaki dan yang itu menjadi perempuan. Siapakah yang memerintah begitu?

Penemuan faktor-faktor yang menjadikan nutfah ini lelaki dan nutfah itu perempuan tidak mengubah hakikat, kerana yang menjadi pokok pertanyaan mengapa faktor-faktor itu wujud pada nutfah ini dan tidak wujud pada nutfah yang lain?

Bagaimana kejadian lelaki dan perempuan (betina dan jantan) ini merupakan kejadian yang selaras dengan garis perjalanan hidup dan menjamin kesinambungan hidup melalui proses beranak-pinak sekali lagi?

Adakah ini berlaku secara kebetulan? Tetapi kebetulan juga mempunyai undang-undangnya dan mustahil segala-galanya berlaku secara kebetulan. Mahu tidak mahu pasti diakui bahawa di sana ada Tuhan Pentadbir yang menciptakan lelaki dan perempuan kerana tujuan dan matlamat yang tertentu. Kebetulan dan kejadian secara automatik sama sekali tidak mempunyai tempat dalam peraturan alam ini.

Penutup

Ayat-ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya dapat juga difahami sebagai perintah untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menghindari yang tidak bermanfaat, serta beramal sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kemudian menyerahkan persoalan-persoalan ghaib, seperti balasan dan ganjaran kepada Allah SWT.

Ini serupa dengan perintah untuk mencari rezeki yang dituntut dari kita adalah berusaha sekuat kemampuan, lalu menyerahkan hasil usaha itu kepada Allah SWT.

Jangan sekali-kali mengadu nasib dalam memperolehi rezeki kerana perolehan rezeki serta kegagalan memperolehnya sering kali berkaitan dengan upaya anda.

Syed Qutub berkata: Demikianlah berakhirnya bahagian pertama surah ini dan dari bahagian ini ternyatalah bahawa di sana terdapat dua jalan yang diikuti manusia di setiap zaman dan tempat.

Kedua-dua jalan itu merupakan dua golongan atau dua panji yang berlainan walaupun bentuk dan warnanya beraneka ragam.

Setiap orang yang berbuat untuk dirinya apa yang dipilih olehnya, sedangkan Allah akan memberi kemudahan kepadanya untuk menuju ke jalan pilihannya sama ada jalan kesenangan atau jalan kesukaran.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Mengumpat amalan tercela

Posted by epondok di Januari 29, 2011

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.

Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.

Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Mewujud penyampaian khutbah Jumaat yang menarik

Posted by epondok di Januari 28, 2011

Oleh Mohd Fadly Samsudin

 BERSEDIA...khatib tanggungjawab perlu bersedia sebelum naik ke mimbar.
BERSEDIA…khatib tanggungjawab perlu bersedia sebelum naik ke mimbar.
PENYAMPAI BERWIBAWA…khatib perlu menyampaikan khutbahnya dengan lancar, tersusun, bahasa mudah difahami serta tidak terlalu panjang.
DI mana-mana masjid, anda boleh melihat jemaah tidur ketika khatib menyampaikan khutbah. Mengapa jadi begitu?

Bagaimana cara terbaik bagi ‘memikat’ hati jemaah agar mereka setia mendengar serta menghayati khutbah Jumaat?

Barangkali, khutbah yang disampaikan tidak menarik, meleret, lesu, gaya penyampaian membosankan atau isu yang tidak relevan. Pendek kata, khutbah yang disampaikan masih gagal menarik perhatian pendengar.

Jadi, penting sekali kandungan khutbah Jumaat dipertingkatkan supaya ia dapat disampaikan dengan lebih segar, terkini serta bertepatan dengan peristiwa semasa yang berlaku dalam masyarakat.
Khutbah Jumaat perlu dimanfaatkan kerana ia sesi muhasabah untuk mendorong umat Islam melakukan perubahan diri. Ia ada tujuan besar sebagai pengisian rohani dan percambahan ilmu agama.
Ada juga jemaah di masjid berbual dengan rakan sebelah dan tidak menghormati khatib menyampaikan khutbah.

Perlu diingat ketika khutbah Jumaat dilarang berbual atau bercakap.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada temanmu, ketika imam sedang berkhutbah ‘diamlah engkau’, Maka sesungguhnya kamu sudah tidak dapat pahala Jumaat”.

Dalam hadis berkenaan Rasulullah memberi peringatan kepada dua belah pihak iaitu yang memulakan bicara dan yang diajak berbicara.

Terdapat beberapa jenis khutbah mengikut bentuk penyampaian dan suasana sesuatu majlis antaranya khutbah jihad, wasiat, al-diniah dan siasah.

Khutbah Jumaat biasanya mengambil masa 20 hingga 30 minit. Ia berkisar apa yang berlaku dalam masyarakat, jenayah, gejala sosial serta kisah pengajaran mereka ditimpa azab jika melanggar suruhan Allah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berilah khutbah kepada manusia berdasarkan tahap pemikiran mereka”. Gaya dan cara penyampaian khutbah juga perlu ditingkatkan agar ia memberi kesan kepada pendengar.

Khutbah berbeza dengan ceramah umum. Khatib perlu melakukan persediaan dan meningkatkan gaya dan nada penyampaian khutbah agar
ia tidak membosankan jemaah.

Sebutan ayat al-Quran dan hadis mestilah jelas dan betul. Imam Nawawi mengatakan: “Disunatkan khutbah ini dengan kata-kata yang fasih dan lancar, tersusun dan teratur rapi, mudah difahami, jangan terlalu berleter-leter.”

Khutbah Jumaat disampaikan sebelum solat Jumaat. Rasulullah menghadapkan wajah baginda kepada jemaah dengan memberi peringatan agar mereka tenang dan bersiap sedia mendengar khutbah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kelapangan masa menghadiri kuliah Maghrib, khutbah Jumaat adalah medan terbaik untuk mereka memperoleh ilmu baru.

Tetapi jika khutbah yang disampaikan tidak menarik sehingga jemaah tidur, khatib perlu berusaha berubah menjadi penyampai yang baik.

Antara faktor menyebabkan khutbah tidak berkesan ialah khatib tidak bersedia sepenuhnya selain gemuruh sehingga memberi kesan kepada kefasihan dalam pertuturan.

Ada jemaah merungut khatib membaca teks khutbah tidak lancar, terlalu lama atau perlahan sehingga tidak dapat didengari jemaah.

Sebaiknya, khatib perlu berinteraksi dengan cara memandang jemaah sebagai langkah bagi meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan khutbah.

Langkah yang boleh diambil bagi memperbaiki mutu khutbah ialah memberi latihan dan bimbingan berupa kursus intensif kepada khatib.

Majlis Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab menyediakan teks dan bahan khutbah perlu sentiasa mengikuti perkembangan khatib. Teks khutbah perlu diteliti agar bermutu, menarik dan relevan dengan keadaan semasa.

Penggunaan alat multimedia juga penting. Khatib boleh menayangkan persembahan multimedia semasa berkhutbah terutamanya ketika menghuraikan dalil al-Quran atau hadis. Kemudahan lain seperti sistem bunyi juga penting supaya seluruh jemaah dapat mengikuti khutbah dengan jelas.

Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata teks khutbah yang disediakan perlu menonjolkan dan menceritakan perkara yang dekat di hati masyarakat.

“Ia menjadi suram dan tidak menarik kerana terdapat pengulangan teks yang bahannya dirasakan terlalu ringan. Khutbah perlu mempunyai ciri-ciri yang mampu memberi kesedaran dan pengajaran kepada umat Islam.

“Contohnya, khutbah yang menumpukan perkara berkaitan kepentingan solat dan balasan dahsyat jika meninggalkannya, syurga dan neraka serta mengangkat martabat ulama,” katanya.

Beliau berkata khutbah Jumaat bukan saja didengar oleh umat Islam malah menarik perhatian orang bukan Islam di luar.

“Ketika solat Jumaat segala kerja dan aktiviti dihentikan seketika. Disebabkan khutbah itu diperdengarkan dengan kuat ia turut didengar orang bukan Islam.

“Alangkah baiknya isi kandungan khutbah itu mantap dan dilaungkan dengan nada tegas sehingga menarik perhatian orang bukan Islam,” katanya.

Khusairi berkata, khatib mestilah mempunyai keberanian dan kemantapan dalam menyampaikan khutbahnya.

“Suara khatib perlu lantang, jelas dan tidak terlalu laju. Ketika berkhutbah, jangan sampai mereka tidak menghafal ayat Quran atau hadis yang dibacakan.

“Selain itu, khatib perlu melakukan persediaan sebelum naik ke mimbar. Khatib yang bijak perlu menggunakan

masa dengan baik dan tidak memanjangkan khutbah sehingga jemaah hilang tumpuan,” katanya.

Beliau berkata tidak semestinya imam tetap atau ahli jawatan kuasa masjid saja yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan khutbah.

“Ia boleh diperluaskan kepada orang lain yang berkelayakan terutama mereka yang mempunyai latar belakang bidang agama.

“Khutbah yang baik ialah mampu menimbulkan tindakan serta perubahan sikap seseorang ke arah yang lebih baik,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Al-Quran penuh perumpamaan sebagai pengajaran

Posted by epondok di Januari 28, 2011

AL-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi isinya perlu difahami, dihayati dan diamalkan. Kitab suci umat Islam yang sarat dengan khazanah kekayaan ilmu Allah ini, seharusnya sentiasa dikaji agar manfaatnya dapat menerangi jalan menuju reda Ilahi.
Kitab suci ini penuh dengan hukum-hakam dan sejarah. Selain itu, ia turut memuatkan sesuatu yang amat menarik untuk diperkatakan iaitu ‘perumpamaan’.

Jika diteliti dalam beberapa ayat al-Quran, Allah menerangkan bahawa penurunan ayat al-Quran yang mengandungi perumpamaan ini mengajak manusia sentiasa berfikir.

Inilah kelebihan dan keistimewaan manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras. Akal dapat membezakan antara manusia dengan haiwan serta makhluk Allah yang lain. Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi saja yang mampu membentuk keperibadian insan yang sentiasa taat pada perintah Penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah, perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya” (Surah al-Hasr ayat 21).

Antara tujuan ayat berbentuk perumpamaan berkenaan diturunkan kepada manusia, agar mereka sentiasa berfikir dan memahami maksud gambaran yang dinyatakan dalam ayat itu. Selain itu, dalam ayat yang lain pula, Allah menyatakan bahawa hanya orang yang memiliki ilmu saja yang bakal mendalami maksud perumpamaan serta memahaminya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan perumpamaan-perumpamaan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.” (Surah al-Zumar, ayat 27).

Justeru, wajib bagi individu Muslim berusaha menjadikan diri mereka sebahagian daripada orang yang berilmu. Malahan inilah yang menjadi tuntutan Islam agar umatnya sentiasa mendalami ilmu Allah yang amat luas ini.

Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mampu menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke dalam lembah kesesatan seperti yang termaktub dalam sebuah hadis Rasulullah.

Jadi ada beberapa ayat al-Quran yang mengandungi ‘perumpamaan’ untuk sama-sama kita fikirkan dan fahami maksudnya.

Sebagai contoh, ayat 261 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji…” (surah al-Baqarah, ayat 261).

Maha besar ilmu dan kekuasaan Allah yang mampu memberi ganjaran yang begitu besar kepada hambanya yang ikhlas dalam melakukan amal kebaikan. Ayat itu sebenarnya memberi motivasi kepada orang Mukmin agar tidak lupa menyalurkan sedikit daripada rezekinya ke jalan Allah. Sesungguhnya dalam rezeki yang kita peroleh itu, ada hak orang lain yang wajib kita tunaikan.

Selain itu, dalam ayat yang lain Allah membuat perumpamaan yang cukup jelas bagi menggambarkan perihal amal kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Walau sebanyak mana pun amalan mereka di dunia, tanpa iman, segalanya tiada nilai di sisi Allah.

Sekali lagi, ayat berkenaan memberi galakan kepada setiap individu Muslim agar terus melipat gandakan amal kebajikan mereka kerana semuanya itu bakal dinilai Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Perumpamaan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari rebut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu.” (Surah Ibrahim, ayat 18).

Begitulah peri pentingnya iman yang mendasari setiap amalan manusia. Sesungguhnya amalan manusia itu tidak sekali-kali memberi kesan kepada Allah.

Malah, kita tidak sekali-kali dapat membayar segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Hanya rahmat Allah jua yang mampu menyelamatkan kita daripada azab neraka serta melayakkan diri ke syurga-Nya.

Satu lagi perumpamaan ayat al-Quran yang perlu menjadi renungan bersama ialah apabila Allah membuat bandingan perihal golongan Yahudi yang tidak mempercayai ayat Allah serta menidakkan kebenarannya.

Golongan Yahudi tidak menerima hakikat kebenaran seperti yang diwahyukan oleh Allah dalam kitab mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang ditanggung dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah…” (Surah al-Jumu’ah, ayat 5).

Sungguh hina bandingan bagi mereka yang menafikan ayat Allah yang diturunkan untuk kebaikan mereka. Wahyu Allah yang seharusnya menjadi panduan hidup bagi mengecapi nikmat dan keredaan Allah dinafikan kebenarannya, lantaran sifat angkuh manusia yang menutup semua pintu kebenaran.

Oleh itu, kalam Allah ini menyalurkan pelbagai gaya bahasa bagi menyampaikan isi kandungannya. Melalui bentuk perumpamaan atau perbandingan ini, ia dapat mendidik manusia agar sentiasa memanfaatkan akal fikiran untuk memikirkan rahsia di sebalik ayat al-Quran. Seperti yang dijanjikan Allah, hanya orang yang memiliki ilmu saja berupaya menggarap makna tersirat di sebalik firman Allah berkenaan. Marilah sama-sama kita menjadi umat yang sentiasa berlumba-lumba mendalami isi al-Quran. Jika kita tidak mampu untuk menjadi orang yang mahir mengajar isi al-Quran, maka mengapa tidak kita berusaha untuk menjadi orang yang mahu mempelajari al-Quran.

Sesungguhnya, kedua-dua golongan ini adalah antara yang terbaik dan dipandang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (hadis riwayat al-Bukhari).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

Posted by epondok di Januari 27, 2011

Remaja bertindik selain anggota telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim
HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan remaja masa kini.

Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita.

Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Selain bertindik, remaja kini juga gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.

Bahkan ada yang berbangga memiliki tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa imej seorang Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Ini pandangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari.

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Tidak kira zaman mana pun kita, etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

BERTINDIK  anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.
BERTINDIK anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Budaya membaca bina keutuhan daya berfikir

Posted by epondok di Januari 27, 2011

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM meletakkan ilmu pada kedudukan tertinggi. Seruan Allah menerusi ayat al-Quran yang pertama diturunkan menyuruh membaca sudah cukup menggambarkan pentingnya umat Islam supaya menuntut ilmu.

Surah al-Alaq yang mana Nabi SAW disuruh membaca memperjelaskan budaya membaca seharusnya mewarnai kehidupan umat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Malangnya, proses pembelajaran sepatutnya menjadi aktiviti sepanjang hayat tidak dibudayakan.

Kita kini hanya bersemangat belajar dan mengkaji semata-mata untuk lulus peperiksaan sekolah dan pusat pengajian tinggi saja. Itupun hanya berlegar kepada buku berkait rapat dengan pengkhususan diambil.

Budaya menjadikan membaca sebagai rutin hidup gagal dilaksanakan lantaran dihambat unsur lain lebih menarik perhatian.

Imam al-Ghazali pernah mewasiatkan mengenai memperkasakan budaya mencari ilmu pengetahuan: “Mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sehingga ia kembali.”

Imam asy-Syafie mengatakan bahawa menuntut ilmu itu perbuatan yang lebih baik daripada mengerjakan solat sunat manakala Imam al-Qurthubi menganggap proses menuntut ilmu suatu keutamaan besar dan berada pada tingkatan mulia tidak dapat dibandingkan dengan perbuatan lain.

Begitulah pendapat ulama silam yang peka terhadap budaya ilmu dan dibuktikan bukan hanya melalui ucapan pendapat saja, sebaliknya mereka menunjukkan teladan hebat dalam membudayakan kecintaan terhadap ilmu.

Syeikh al-Janadi al-Saksaki menceritakan riwayat hidup Abu al-Khair bin Manshur al-Syammakhi al-Sa’di dalam kitab al-Suluk fi Tabaqat al-Ulama’ wa al-Muluk, mengatakan: “Sehingga menjelang akhir hayatnya, aku masih belum lagi menemui orang yang sama dengan hebatnya dari segi ilmu dan mencatat maklumat.

Apabila melihat bukunya, ia sungguh bagus dan segala catatan sesuatu ilmu sangat kemas.”

Dikatakan Abu al-Khair bukan saja suka membaca dan mencatat ilmu, tetapi aktif serta produktif menghasilkan buku.

Ibnu al-Juham mengatakan, “Apabila aku mengantuk sedangkan belum tiba waktu tidur, maka aku terus mengambil buku dan membacanya. Saat membaca, aku merasakan hatiku bergoncang dan seronok kerana mendapatkan apa yang kucari.

Semangat ketika membaca, adalah semangat yang boleh membangunkan tidurku.”

Demikian personaliti hebat insan yang begitu cinta kepada ilmu dan sentiasa membudayakan amalan membaca. Mampukah kita meneladani perwatakan seumpama itu dengan menganggap membaca dan mencari ilmu sebagai suatu amalan menyeronokkan?

Kalaupun ada minat membaca, bahan bacaan itu lebih tertumpu kepada majalah hiburan atau novel cinta yang rata-rata tidak langsung merangsang minda untuk berfikir secara efektif.

Walaupun itu juga budaya membaca, namun gaya seperti itu tidak menjurus kepada cara mempertingkat daya ilmu yang bermanfaat. Ia sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan saja.

Kita umat Islam seharusnya membudayakan diri membaca bahan bermutu dalam pelbagai cabang ilmu. Kata al-Hafiz Abu Tahir yang juga seorang pencinta ilmu, “Buku lebih berharga daripada emas, walaupun emas itu seberat buku ini.”

Sesetengah kita mungkin menganggap membaca buku membosankan. Ini bermakna kita sudah jauh daripada budaya ilmu dan tidak akan mampu membina keutuhan daya fikir yang hebat.

Jadi, untuk membina satu tamadun ummah yang tinggi dengan kehidupan sempurna, kita perlu mengubah tabiat lama yang tidak suka membaca kepada mencintainya. Didiklah diri dan ahli keluarga mewarnai kehidupan seharian dengan amalan mulia ini.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »