Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2010

Tawakal jalan terbaik hadapi dugaan hidup

Posted by epondok di Disember 31, 2010

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Amalan tinggi di sisi Allah

Posted by epondok di Disember 30, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

Kesusahan dan kesulitan merupakan ujian hidup di dunia ini. – Gambar hiasan

 


 

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menerangkan bahawa manusia tidak patut terpedaya oleh kekuatan tubuhnya dan kemewahan sehingga bergelumang dalam kesombongan dan kebongkakan, lalu Allah SWT mencela mereka kerana tertipu oleh kekuatan dan kemewahan yang mudah lenyap.

Kemudian Allah SWT mengingatkan mereka akan adanya kenikmatan-kenikmatan yang mereka terima baik yang bersifat pancaindera mahupun yang batin.

Diriwayatkan oleh seorang sahabat, bahawa ayat kelima turun berkaitan dengan kisah Abu al-Ashad ‘Usayd Ibn Kaladah al-Jumahiy yang terpedaya oleh kekuatan tubuhnya.

Ayat keenam turun berhubung dengan kisah al-Harth Ibn Nawfal yang pernah berkata: “Aku telah habiskan harta sebagai pembayaran denda sejak aku ikut Muhammad SAW.”

Sama ada ayat-ayat tersebut berkaitan dengan kisah mereka atau yang lain, tetapi maknanya tetap berlaku umum sebagaimana yang dapat kamu fahami.

Firman Allah SWT: Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

Berkenaan perkataan aqabah, Sheikh Ibnu Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Ada tujuh pendapat:

lGunung dalam neraka jahanam adalah pendapat Ibn Umar.

lRintangan tanpa jambatan. Inilah pendapat al-Hasan.

lTujuh puluh tangga ke bawah dalam neraka jahanam. Inilah pendapat Ka’ab.

lTitian sirat. Inilah pendapat Mujahid, al-Dhahak dan al-Qalb.

lApi neraka di bawah jambatan. Inilah pendapat Qatadah.

lJalan keselamatan. Inilah pendapat Ibn Zaid.

lPerumpamaan Allah untuk melawan hawa nafsu dan syaitan dalam melakukan amalan kebaikan. Ini pendapat Ali bin Ahmad al-Naisaburi dan lainnya.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Tujuan ayat ini bukannya untuk membesar-besarkan halangan atau jalan yang sukar itu, malah untuk mengagung-agungkan darjatnya di sisi Allah supaya manusia gemar dan penuh bersemangat menempuhinya walau sebesar mana ia memerlukan perjuangan dan menghadapi kesulitan, kerana kesulitan-kesulitan itu tetap wujud dan berlaku, tetapi apabila ia berkorban untuk menempuh jalan yang sukar itu.

“Ia akan mencapai hasilnya dan akan mendapat gantinya kerana setiap pengorbanannya tidak akan hilang percuma.”

Kemudian Allah mula menerangkan hakikat jalan yang sukar atau halangan itu dengan menyebut persoalan yang amat diperlukan masyarakat Mekah khususnya yang dihadapi oleh dakwah Islam, iaitu persoalan membebaskan hamba abdi dan memberi makanan yang amat diperlukan oleh golongan yang lemah yang ditindas oleh masyarakat yang kufur dan tamak haloba itu.

Firman Allah SWT: (di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) adalah: Memerdekakan hamba abdi.

Al-Maraghi berkata: “Membebaskan hamba daripada perhambaannya atau memberikan pertolongan. Di dalam kitab al-Quran dan al-Sunnah banyak didapati cadangan dan dorongan untuk membebaskan hamba.”

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Apabila suami jadi surirumah

Posted by epondok di Disember 29, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

SUAMI sebagai nakhoda rumah tangga wajib mencari nafkah serta menyediakan keperluan terbaik buat keluarganya.

Isteri pula bertanggungjawab membantu suami menjaga anak-anak, makan minum, mengemas rumah dan kerukunan rumah tangga.

Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan ramai lelaki (suami) tinggal di rumah manakala isteri mereka mencari nafkah di luar.

Perkembangan ini tercetus berikutan masalah ekonomi dan pemberhentian pekerja yang banyak berlaku di kalangan bank, syarikat swasta dan industri.

 

Akibatnya, golongan lelaki yang tidak bekerja itu mengambil alih tugas wanita menjaga anak-anak, menghantar ke sekolah, memasak malah mengemas rumah.

 

Cerita suami menjadi suri rumah mungkin nampak pelik di zaman dulu, kini ia sesuatu yang realiti.

Ada yang melihat suami yang memilih menjadi suri rumah sebagai golongan yang ‘berani’ melakukan perubahan.

Namun, wajarkah aturan seperti itu berlaku dalam keluarga Islam?

Wajarkah seorang suami yang beragama Islam mengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi mencari nafkah buat keluarga?

Allah berfirman yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). (Surah An-Nisa’ ayat 34)

Yang dituntut ialah suami membantu isteri melakukan kerja di rumah sebagaimana Rasulullah pernah membantu isteri Baginda.

Rumah tangga yang berjaya dan berada dalam kebahagiaan ialah di dalamnya terdapat kerjasama bersepadu antara pasangan suami isteri.

Rasulullah menempatkan akhlak sebagai jalan utama untuk mencapai kebahagiaan. Baginda tidak pernah memaksa atau memberatkan isterinya.

Menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang berumah tangga (tanpa sebab) tidak bekerja mencari nafkah.

Memandangkan kini ramai wanita memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, pasti mereka bergaji lebih besar daripada suami.

Jadi, apakah ia punca suami mengambil keputusan mudah meninggalkan karier untuk duduk di rumah.

Memang ada suami ikhlas berhenti kerja untuk menjaga dan memberi pendidikan sempurna kepada anak-anaknya.

Malah, ada yang serius membuat ‘persiapan rapi’ dengan mengambil kursus atau kelas memasak, jahitan serta menjaga sendiri anak di rumah tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah.

Jelas, suami tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana ia berkaitan soal maruah seorang suami. Mungkin ada suami yang terpaksa berhenti kerja atas sebab mengidap penyakit yang memerlukan mereka berehat.

Manusia perlu memahami bahawa Allah s.w.t bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang bermanfaat dan baik saja yang digalakkan dan dibenarkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik” (Surah Al-Maidah ayat 4)

Wanita tidak diharamkan bekerja asalkan mereka tahu menjaga hukum yang ditentukan Islam. Sekalipun mereka bekerja, pendapatan yang diterima menjadi hak mutlak mereka.

Mereka tidak bertanggungjawab memberikan kepada suami melainkan atas dasar ihsan. Allah memberikan seorang lelaki dengan pelbagai kemampuan dan kelebihan berbanding wanita.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di bilik dan menunaikannya di bilik lebih baik dari menunaikannya di rumah dan menunaikan di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad)

Kebanyakan wanita yang bekerja bagi membantu suami dan mereka tidak sekali-kali dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh besar.

Meskipun pendapatan suami kecil, mereka perlu meletakkan peranan menjadi ketua keluarga mengatasi segala-galanya.

Kedudukan sebagai ketua keluarga itu tidak akan berubah sampai bila-bila.

Kedudukan isteri yang lebih menjawat jawatan tinggi atau melebihi suami dari segi kewangan bukan alasan melepaskan tanggungjawab itu kepada isteri.

Suami yang memilih menjadi suri rumah perlu meneliti keputusan mereka itu dan kembali menerima hakikat, sebagai nakhoda mereka bertanggungjawab terhadap rumah tangga.

Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata ada dua keadaan suami duduk di rumah.

Pertama, tiada pekerjaan kedua, sengaja mengambil kesempatan ke atas isteri yang berpendapatan tinggi.

“Di dalam Islam, suami bertanggungjawab keluar mencari nafkah untuk diberikan kepada isterinya.

“Jika ada suami enggan bekerja dan mahu menjadi suri rumah, mereka perlu meletakkan martabatnya sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab menggalas segala urusan rumah tangganya,” katanya.

Beliau berkata, maruah adalah satu kedudukan tinggi yang perlu dijaga dan dipelihara.

“Jika suami menjadi suri rumah dan mengharap rezeki daripada isteri, bermakna mereka menjadi golongan menerima yang boleh diarah.

“Sebagai ketua keluarga, mereka perlu menjadi individu yang tangannya berada di atas (golongan pemberi) sesuai dengan peranan mereka sebagai pentadbir keluarga,” katanya.

Mohd Zawawi berkata suami perlu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya iaitu menyediakan isteri makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan serta tempat perlindungan.

“Suami yang membiarkan isteri yang mencari nafkah dan bersenang-lenang hasil pendapatan isteri adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi syarak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Pernah Nabi Muhammad s.a.w selepas pulang daripada perang Tabuk baginda terlihat kulit tangan Saad bin Musa al-Ansari hangus kehitaman lalu mengambil tangannya dan menciumnya.

“Saad menyatakan tangannya jadi begitu disebabkan beliau mencangkul tanah untuk menanam pokok demi mencari nafkah buat keluarganya.

“Begitulah besarnya pengorbanan seorang suami yang bekerja keras mencari nafkah buat keluarga,” katanya.

Beliau berkata, jika suami mengalami masalah kecacatan atau masalah lain yang tidak memungkinkan mereka bekerja termasuk terbabit dalam kemalangan, itu soal lain.

“Situasi itu di luar bidang kuasa manusia. Masalahnya, jika ada suami yang mengambil kesempatan di atas kelebihan isteri.

“Mereka hanya menjadi bebanan kepada isteri kerana duduk di rumah tanpa melakukan kerja. Suami pemalas sebegini tidak boleh menikmati hasil rezeki titik peluh isterinya dan ia menyalahi tuntutan agama Islam,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Pilih isteri solehah untuk lahir keturunan yang baik

Posted by epondok di Disember 28, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

TIADA yang lebih membahagiakan buat seorang suami selain dikurniakan isteri yang solehah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh kerana Allah memelihara (mereka)”. (Surah an-Nisaa’ ayat 34)

Pernikahan menyingkap segala-galanya. Kelebihan dan kekurangan saling diimbangi dan ditampung bersama hingga mewujudkan keserasian dalam perkahwinan mereka buat selama-lamanya.

Isteri adalah orang penting bagi seorang suami hingga apa saja situasi yang berlaku sama ada ketika berada dalam kesusahan, kebuntuan atau kegembiraan isteri tempat bercerita, mengadu dan meluahkan segala-galanya.

 

Sebelum mengambil keputusan menyunting pasangan untuk dijadikan teman hidup, seorang lelaki perlu membuat pilihan tepat supaya perkahwinan yang dibina berkekalan.

 

Malah, keluarga pihak wanita perlu menyegerakan perkahwinan apabila anak mereka dilamar lelaki yang berakhlak mulia, sudah berkemampuan dan dilihat mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa”.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, kedudukannya atau keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung”.

Hadis berkenaan adalah panduan kepada seorang lelaki untuk membina rumah tangganya. Maka lelaki perlu cari dan memilih wanita yang mempunyai asas agama dalam membentuk kebahagiaan dalam rumah tangga.

Terbukti, wanita yang menjadi idaman setiap lelaki adalah yang mempunyai akhlak yang terpuji, berbudi bahasa, lembut pertuturannya, memelihara kehormatannya, bertanggungjawab terhadap urusan rumah tangga serta menjalinkan hubungan baik dengan semua orang di sekelilingnya.

Terus terang dikatakan setiap lelaki mempunyai penilaian berbeza mengenai ‘kecantikan’ yang dimiliki seorang wanita. Kecantikan sebenarnya bermula dari dalaman iaitu mempunyai keimanan serta melakukan perbuatan baik.

Janganlah sesekali menjadi wanita yang lengkap memiliki kecantikan, tetapi digunakan untuk tujuan maksiat dan kemungkaran.

Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dalam soal mencari pasangan hidup kerana ia menentukan kebahagiaan.

Nabi pernah ditanya mengenai sebaik-baik wanita, Baginda bersabda yang bermaksud: “Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Menerusi hadis berkenaan, Rasulullah memberi keutamaan agar memilih calon isteri yang menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya.

Perwatakan lemah-lembut dan penyayang memang tidak dapat dipisahkan daripada wanita. Peranan mereka sebagai ibu berjaya mendidik serta melahirkan anak yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Calon isteri terbaik mungkin dapat dipilih berdasarkan kepada aspek kesuburannya. Ia perlu diteliti supaya kelak isteri mampu melahirkan anak yang ramai.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kahwinlah dengan gadis perawan kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya dan lebih reda dengan yang sedikit”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Tanda atau ‘bayangan’ kesuburan itu boleh diperhatikan melalui keadaan ibu atau adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya ramai peluang untuk melahirkan zuriat yang ramai lebih cerah.

Rasulullah turut menganjurkan supaya lelaki memilih wanita yang masih dara (belum berkahwin) kerana jika ada memilih janda umpamanya mungkin cenderung untuk membandingkan antara suami dan bekas suaminya dulu.

Memilih calon isteri dari kalangan kaum keluarga seperti sepupu pula tidak digalakkan bagi memelihara zuriat, menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan keturunan.

Sabda Baginda lagi: “Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat”.

Kelahiran zuriat yang soleh dan solehah bakal membentuk generasi yang dapat meninggikan syariat Allah serta memakmurkan dunia ini.

Justeru, peranan wanita amat besar kepada pembangunan ummah dan masyarakat dalam membina tamadun dunia.

Islam menetapkan peraturan yang mana antara lelaki dan perempuan itu mesti bersesuaian dari segi kecerdasan, kemahuan dan tingkah lakunya supaya bertambah kuat pertalian jodoh di antara kedua-duanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Perempuan itu pakaian kamu dan kamu pakaian perempuan”. (Surah al-Baqarah ayat 187)

Maka ‘pakaian’ itu perlu bersesuaian dengan badan orang yang memakainya.

Kemudian tidak halal bagi seseorang lelaki menikahi wanita penzina. Namun larangan berkenaan ‘mansuh’ apabila wanita yang pada awalnya seorang penzina, tetapi sudah meninggalkan perbuatan lamanya dan bertaubat.

Menurut Abdullah bin Abbas: “Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal.” (Diriwayatkan Ibnu Abi Syaibah).

Allah berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah an-Nur ayat 5)

Kesimpulannya, dalam membuat pilihan calon isteri bukan satu perkara remeh kerana hakikatnya suami yang bakal menjaga urusan dan hal ehwal rumah tangga.

Lelaki perlu menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan memilih wanita yang mempunyai ciri-ciri yang baik dan berpegang kepada agama Allah supaya urusan rumah tangga kelak berlangsung dengan baik, terancang serta terurus.

Amalkan bacaan doa seperti: “Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Furqan ayat 74)

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata perkahwinan adalah ikatan amanah iaitu setiap pasangan perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila seseorang lelaki baik mengambil keputusan mengahwini seorang perempuan yang kurang baik, jadi dia bertanggungjawab untuk memperbaiki kekurangan isteri yang dikahwininya.

“Perkara ini memang boleh terjadi kerana walaupun kita sering mendengar bahawa ‘jodoh di tangan Tuhan’ tetapi kita perlu ingat manusia adalah makhluk yang diberikan kemampuan untuk berusaha mendapat sesuatu.

“Berdasarkan pertimbangan yang berbeza-beza pada setiap individu, tidak mustahil seorang itu mendapat pasangan yang kurang baik, tetapi manusia masih lagi boleh melakukan perubahan terbaik dalam hidupnya,” katanya.

Beliau berkata Rasulullah memberi keutamaan kepada aspek agama dalam pemilihan isteri.

“Tetapi ada tiga kriteria lain yang disebutkan baginda iaitu kecantikan, keturunan serta harta yang tidak boleh diketepikan.

“Baginda berpesan jika kamu memilih atas dasar agama maka ia membawa lebih kebaikan. Kerana itu, ulama fiqh membincangkan kriteria pemilihan itu secara lebih meluas dalam skop ‘kafaah’ atau kufu iaitu boleh diambil kira, tetapi tidak jadikan sebagai keutamaan.

“Sifat pemalu yang menjadi fitrah bagi wanita Muslimah mestilah dikekalkan, tetapi bukan bermakna mereka langsung tidak boleh bergaul dengan orang lain,” katanya.

Rahimi berkata Islam melihat ikatan perkahwinan sebagai sesuatu yang sangat suci dengan memberi perhatian kepada proses praperkahwinan supaya kekal sepanjang hayat.

“Antara ruang yang diberikan kepada lelaki ialah boleh melihat wanita yang bertujuan untuk dijadikan isteri (bukan memandang untuk tujuan berseronok).

“Namun begitu, syariat menetapkan panduan dan batas tertentu yang hanya boleh melihat tapak tangan dan muka. Ia lebih kepada ilmu yang disebutkan Imam Syafie sebagai ilmu firasat,” katanya.

Menurutnya jika salah seorang dari pasangan pernah melakukan kesalahan seperti berzina dengan bekas kekasihnya kemudian berkenalan dan berkahwin pula dengan individu yang baik peribadinya, seseorang itu perlu bertaubat daripada kesalahan lama dan berusaha untuk mencari seseorang yang dapat membantu memperbaiki dirinya.

“Ia membuka ruang lebih luas bagi mendapatkan pasangan baik dengan syarat taubatnya adalah taubat nasuha,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibu bapa perlu didik anak hormati, bantu jiran

Posted by epondok di Disember 27, 2010

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Generasi muda mesti diasuh supaya faham hak tetangga dalam hidup bermasyarakat

KEHARMONIAN hidup berjiran adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun tembok konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh dengan adanya sifat mengambil berat dan menghormati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Pepatah Melayu juga ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk pentingnya hidup bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran.

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak kecil kerana pada usia itu mereka mudah menyerap sebarang pendidikan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, ibarat melentur buluh daripada rebungnya.

Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul pula dijadikan panduan semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.

Anak juga perlu tahu jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaan tersendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW, kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, memiliki tiga hak iaitu hak jiran, Islam dan kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil, jika anak-anak faham kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini mereka akan dapat memupuk nilai murni hidup bermasyarakat seperti disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh ibu bapa terapkan kepada anak erti kemanisan hidup berjiran antaranya menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga.

Ia selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperilaku baik terhadap jiran tetangganya.” ( Hadis Mutafaqun ’alaih)

Menegah anak berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan cepat mempercayai atau menyebarkan berita buruk berkaitan jiran demi menjaga maruah mereka.

Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak kerana ada masa tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

Mendidik anak menjadi ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan pertolongan. Menegah anak mengganggu dan merosakkan dan hak jiran seperti membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis bertadarus dan bertahlil, kenduri serta gotong-royong. Dengan cara ini barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.

Jika berlaku sebarang masalah ataupun percanggahan pendapat, anak perlu dilatih melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh dalam kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak perlu juga menyuburkan sifat bertolak-ansur dan mudah memaafkan apa juga kesalahan pihak lain terhadap mereka.

Apa yang lebih penting, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak turut mengikut tindak tanduk negatif kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Adab-adab malam pertama

Posted by epondok di Disember 27, 2010

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DALAM Islam, pernikahan adalah perkara yang agung dan suci. Al-Quran menyebutnya sebagai mitsaqan ghalizan atau ikatan yang kuat. Malah Islam tidak hanya mengatur persoalan hubungan suami dan isteri secara umum. Ia juga mengkaji pelbagai persoalan yang dianggap bersifat peribadi.

Semuanya bertujuan mewujudkan kebahagiaan suami dan isteri dalam hidup berumah tangga.

Menurut penulis buku berjudul Indahnya Malam Pengantin, Ummu Nayla, perkataan itu hanya disebutkan tiga kali dalam al-Quran iaitu, pada perjanjian Allah SWT dengan para Nabi-Nya iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW (dalam surah al-Ahzab ayat tujuh).

Yang kedua semasa Allah mengangkat bukit Thur ke atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa ayat 154).

Sementara yang ketiga apabila Allah menyatakan perihal ikatan pernikahan (surah an-Nisa ayat 21).

Menyentuh soal pernikahan, salah satu perkara yang sering menjadi topik perbualan atau perbincangan malah juga paling banyak mitos berkaitannya ialah bab adab malam pengantin atau malam pertama.

Hakikatnya, pengetahuan berkenaan cara melalui atau melayari malam pertama yang indah dan penuh keberkatan adalah amat penting. Ini kerana, hubungan intim yang dilakukan pada malam tersebut, menentukan kemesraan hubungan intim pada hari-hari akan datang, seterusnya membina keharmonian rumah tangga.

Selain itu, hubungan intim yang dilalui pada malam pertama itu diharap akan dapat melahirkan anak-anak soleh dan solehah, yang mampu menegakkan Islam di muka bumi.

Justeru, setiap umat Islam terutamanya yang bakal bernikah, lebih-lebih lagi pada musim-musim cuti persekolahan hujung tahun ini, perlu memahami adab malam pertama dari perspektif Islam.

Semoga dengan memahaminya, malam pertama dapat dilalui dengan indah dan penuh berkat serta meninggalkan kesan yang mendalam pada hati kedua-dua pasangan mempelai.

Realitinya, ilmu berkaitan malam pertama tidak diajar secara menyeluruh dan tidak mencukupi, apa lagi yang dijelaskan dari sudut pandangan Islam.

Ini berkemungkinan kerana hal ini dianggap sesuatu yang perlu dipelajari sendiri atau diturunkan oleh orang tua-tua kepada bakal-bakal pengantin. Ditambah, topik ini bukannya yang biasa dibincangkan secara terbuka atau terang-terangan.

Padahal, setiap orang yang mahu dan bakal bernikah serta melalui malam pertama perlu mempunyai ilmu yang cukup agar malam pertama dilayari bukan semata-mata aktiviti fizikal tetapi juga sebagai aktiviti mental.

Apabila persetubuhan hanya berfungsi sebagai aktiviti fizikal, apa yang diperoleh oleh pasangan itu hanyalah kenikmatan semasa orgasma. Tidak ada ketenangan hati dan ketenteraman jiwa semasa menjalani kehidupan bersama dalam rumah tangga.

Oleh itu, suami dan isteri perlu menyedari ada keindahan lain di luar daripada persetubuhan yang dapat menyempurnakan kebahagiaan rumah tangga.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah menciptakan kehadiran suami dan isteri sebagai bentuk kebahagiaan. Kehadiran suami ataupun isteri lebih indah daripada jimak.”

Semoga kehadiran suami mempunyai makna yang berharga bagi isteri. Mari kita sama-sama contohi rumah tangga Ali bin Abu Talib dan Fatimah az-Zahra.

Rumah tangga mereka mempunyai gambaran yang mempesonakan. Ali berkata: “Apabila aku memandang isteriku, Fatimah az-Zahra, hilang kesusahan dan kesedihanku.”

Sesungguhnya setiap daripada kita sebenarnya mengharapkan serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tiada sesiapa termasuk Israfil tahu bila kiamat

Posted by epondok di Disember 26, 2010

Oleh Mohd Riduan Khairi

Umat Islam dinasihat tak terpengaruh ramalan kehancuran bumi dilanggar planet Nibiru

PLANET Nibiru diramalkan akan melanggar bumi pada 2012. Insiden ini akan mengakibatkan kemusnahan yang teruk kepada bumi. Ada yang mengaitkan peristiwa ini dengan hari kiamat atau sekurang-kurangnya tanda-tanda hari kiamat.

Idea perlanggaran planet Nibiru dikemukakan sejak 1535 oleh seorang ahli falsafah Perancis, Notramadus. Idea asalnya peristiwa ini akan berlaku pada 2003, namun tertunda hingga ke 2012. Kiraan ini dibuat berdasarkan kiraan kalendar kaum Mayan dari Amerika Tengah. Tarikh kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012, oleh yang itu perlanggaran ini akan berlaku sebelum tarikh akhir kalendar ini.

Ini maklumat popular yang dinukil sebahagian besar media, baik akhbar bercetak mahupun internet. Bahkan lebih daripada itu, sejak 15 tahun yang lalu banyak tulisan dan buku diterbitkan membincangkan peristiwa 2012 ini. Termasuk dalam negara kita, buku bertema subjek ini mendapat sambutan hangat dan berjaya menduduki carta buku paling laris di rumah penerbitan dan rangkaian kedai buku utama.

Peristiwa planet Nibiru ini tidak sedikit menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat manusia, termasuk rakyat Malaysia. Sehinggakan hal ini terpaksa dijelaskan pada persidangan Dewan Negara. Dilaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili ketika berucap memberitahu dakwaan planet Nibiru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012 adalah tidak benar. Bahkan kewujudan Nibiru pun masih diragui.

Bahkan Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Tuan Mohd Fairos Asilan menjelaskan jika benar Nibiru akan melanggar bumi pada 2012, sudah tentu ia sangat hampir dengan bumi dan kita sudah lama mengesannya.”

Ramalan mengenai Nibiru termasuk perkara akan datang yang termasuk dalam hal yang ghaib. Tentu saja Allah yang lebih mengetahui semuanya. Belum ada siapa yang boleh menentukan secara tepat esok hujan atau tidak, sekalipun keadaan awan sangat mendung. Banyak kali juga terjadi awan mendung, tidak hujan. Begitu juga sebaliknya. Inikah pula menentukan sesuatu yang besar seperti perlanggaran planet atau hari kiamat. Untuk urusan dunia seperti ini, seharusnya dikembalikan kepada pakar dalam bidangnya seperti ahli astronomi.

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah mengaitkan sesuatu peristiwa sebagai hari kiamat atau tanda kiamat. Perkara ghaib dan hari kiamat (termasuk tanda-tandanya) ialah sebahagian daripada Rukun Iman. Salah faham mengenai perkara ini memberi natijah yang besar kepada diri seorang Muslim, kerana ia menentukan hujung-hujungnya di syurga atau kekal di neraka.

Justeru, bilakah kiamat? Soalan ini ditanya oleh seorang lelaki Arab Badwi kepada Nabi seperti yang dilaporkan oleh sahabat, Abu Hurairah.

“Suatu hari seorang lelaki Arab Badwi datang bertanya kepada Nabi: “Bilakah hari kiamat?” Ketika itu Nabi sedang berucap, dan tidak mengendahkan soalan itu. Namun setelah tamat berucap Nabi berkata: “Manakah orang yang bertanya mengenai hari kiamat tadi?” Lelaki itu berkata: “Aku wahai Rasul Allah”. Nabi menjawab: “(Kiamat akan datang) Apabila amanah telah disia-siakan”. Orang itu bertanya lagi mendapatkan penjelasan: “Bagaimanakah mensia-siakan amanah itu?” Nabi menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” – (Maksud Hadis Bukhari dan Ahmad)

Hadis ini dan juga banyak hadis menjelaskan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui bila hari kiamat akan berlaku secara tepat. Bahkan malaikat yang bertugas meniup sangkakala (trumpet) ketika hari kiamat juga tidak mengetahui bilakah hari kiamat. Nabi menjelaskan dalam satu hadis malaikat Israfil tertunggu-tunggu arahan daripada Allah untuk meniup sangkakala.

“Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang, sementara Malaikat Israfil telah meletakkan trumpet ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya…” – (Hadis Tirmizi)

Jelas berdasarkan bukti daripada al-Quran dan Sunnah, tiada siapa mengetahui bila terjadinya kiamat melainkan Tuhan yang mencipta alam ini, Allah.

Namun Islam tidak meninggalkan umatnya terkontang-kanting tanpa panduan untuk menghadapi hari kiamat. Nabi banyak sekali menceritakan kepada sahabatnya mengenai tanda akan berlaku hari kiamat. Antara kepentingan dan hikmah mengetahui tanda kiamat ini ialah supaya umat Islam bersedia dengan ilmu dan amal yang cukup dan berusaha untuk tidak membabitkan diri dalam tanda-tanda itu.

Salah satu daripadanya seperti yang dijelaskan dalam hadis sebelum ini, Nabi mengatakan: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat”. Antara urusan umat akhir zaman yang diserahkan kepada bukan ahlinya ialah urusan pemimpin (umara) dan ulama. Begitu ramai manusia yang bercita-cita dan mencalonkan dirinya menjadi pemimpin. Hari ini hampir semua profesyen mengidamkan jawatan pemimpin baik penjawat awam, peniaga, posmen, suri rumah, remaja sehinggalah orang yang belajar agama. Pendek kata, tidak ada orang yang mengidamkan jawatan pemimpin melainkan sedikit saja.

Begitu juga halnya dengan gelar ulama atau ahli ilmu. Nabi pernah berkata: “Ada tiga hal yang termasuk tanda-tanda kiamat, salah satunya ilmu diambil daripada orang kecil (bodoh).” – (Kitab Zuhd, Abdullah Al-Mubarak)

Sahabat Abdullah bin Mas’ud menjelaskan: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka mengambil ilmu daripada kalangan sahabat Muhammad dan tokoh (ulama) mereka. Jika mereka mengambil ilmu daripada orang kecil (ahli bidaah) dan hawa nafsu mereka bercerai-berai, maka mereka akan binasa.”

Syaikh Yusuf bin Abdillah bin Yusuf al-Qabil menulis sebuah buku yang komprehensif mengenai tanda kiamat berjudul, Asyratus Sa’ah (diterjemahkan oleh Pustaka Ibnu Katsir dengan judul Hari Kiamat Sudah Dekat. Beliau menghimpunkan daripada al-Quran dan Sunnah 57 tanda kecil dan sembilan tanda besar hari kiamat

Posted in Artikel Pilihan | 2 Comments »

Ziarah kubur kaedah terbaik muhasabah amalan diri

Posted by epondok di Disember 26, 2010

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEASYIKAN hidup mencari rezeki sering melalaikan seseorang untuk mengingati kematian dan kerana itulah manusia sering berlumba mengejar kekayaan. Destinasi akhir iaitu akhirat terhalang oleh kemewahan.

Islam sudah merangka panduan hidup yang seimbang dan menasihatkan umatnya sentiasa ingat kepada kematian. Satu daripada cara untuk menginsafi diri bahawa akhirnya kita akan mati ialah dengan sering menziarahi kubur.

Janganlah kesibukan menjalani kehidupan seharian, tanah pusara ahli keluarga ditinggal sepi dan hanya diziarahi pada hari raya. Lazimkan diri menziarahi kubur untuk menghadiahkan bacaan doa kepada roh si mati.

Pada masa sama, cubalah bawa fikiran merenung hakikat suatu hari nanti kita juga akan berada di alam kubur. Apakah bekalan yang akan dibawa dan apakah amalan selama ini diterima Allah sebagai bekalan?

Bertafakur begini boleh membuat hati menjadi insaf dan berdaya untuk memulihara segala kekurangan amal ibadah serta membaiki kelemahan akhlak peribadi. Luangkan masa lebih lama di kawasan perkuburan, jangan panas punggung untuk segera pulang.

Lebih lama berada di situ sambil memikirkan dan merenungi nasib kita suatu hari nanti, akan membangkitkan keinsafan yang mantap dalam hati. Mungkin saat itu mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah mengenai bekalan dibawa ke alam barzakh, iaitu amal soleh, sedekah jariah dan anak soleh yang sentiasa mendoakan.

Orang yang kaya meninggalkan kekayaan itu kepada anak dan isterinya sedangkan amal soleh adalah bekalan yang akan dibawa. Jadi, dalam mencapai kemewahan di dunia janganlah sampai lupa mencari kemewahan di akhirat?

Nabi SAW juga mengingatkan, orang cerdik ialah yang selalu beringat mengenai mati dan bersedia beramal untuk menghadapinya. Orang yang rugi ialah yang hidupnya di dunia penuh kelalaian sehingga lupa diri dan lupa Tuhan.

Menziarahi kubur bukan satu adat atau budaya berbentuk keramaian bermusim, tetapi amal ibadah yang dapat mengingatkan kepada kematian. Ziarah kubur juga bukan amalan menimbulkan sikap pesimis mengenai kehidupan sebaliknya meningkatkan semangat menjalani kehidupan bersyariat.

Ada berpendapat tidak perlu menziarah kubur, cukup sekadar mendoakan. Sebenarnya, banyak hikmah diperoleh daripada amalan menziarah kubur kerana selain mendoakan mereka yang sudah meninggal dunia, ia juga menggalakkan kita bermuhasabah.

Suasana hening di perkuburan boleh mencetuskan perasaan ingin tahu apakah kita sudah memenuhi tujuan hidup di dunia, apakah kita sudah bersedia menempuh alam lain dan sudahkah semua tanggungjawab dilaksanakan dengan baik.

Fikirlah dengan sejujur hati ketika menziarahi kubur dan pasti satu keinsafan mendalam akan timbul.

Semoga keinsafan yang timbul akan mendorong untuk memperbaiki diri dengan menggilap kemantapan amal ibadah, kebajikan dan kemurnian akhlak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kedekut undang 7 keburukan

Posted by epondok di Disember 25, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

KEDEKUT menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan.

Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam.
Firma Allah yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun ayat 9)

Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat.

Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda.

Jangan hanya sebab harta benda kita bermusuh sesama sendiri.

Berdasarkan konsep rezeki yang diterangkan, Allah memberi jalan seluas-luasnya bagi setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk.

Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain.

Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezek

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya.

Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Saidina Abu Bakar berkata, maksudnya: Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan iaitu:

1. Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2. Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan tenggelam dalam tanah.

3. Selepas meninggal, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.

4. Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.

5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.

6. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya hartanya musnah.

7. Allah meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rahsia Solat di Awal Waktu

Posted by epondok di Disember 25, 2010

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Pada Waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.


Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi
sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya
bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .


Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan
rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam
, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »