Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 November 2010

Kewajipan kita terhadap hak al-Quran

Posted by epondok di November 30, 2010

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah al-Ma’idah ayat 48) Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 285) Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.

Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9).

Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran? Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim) Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi) Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.

Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa’i, dan Ibnu Hibban)

Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain)

Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hakikat yang tidak patut dikaji

Posted by epondok di November 30, 2010

OLEH PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BUkan semua perkara berkaitan agama boleh diperbahaskan mengguna logik akal dan ini termasuklah dalam bab ihsan di mana kita mesti yakin bahawa Allah itu melihat apa yang kita lakukan. – Gambar hiasan

 


 

SEBELUM kita memasuki tajuk minggu ini, pihak kami ada menerima komentar seorang pembaca bahawa bahan yang dikongsikan di ruangan ini terasa terlalu tinggi untuk kefahaman mereka.

Kami berterima kasih atas maklum balas ini dan ingin membuat sedikit penjelasan.

Seperti yang dimaklumi oleh mereka yang mengikuti rapat ruangan ini, buat masa ini, ruangan ini dikhususkan untuk berkongsi dengan para pembaca perbahasan yang bernilai daripada buku karangan seorang tokoh ulama mutakhir berkenaan isu-isu yang disalah-fahami oleh masyarakat.

Jika itulah yang menjadi tumpuan kita tidak hairanlah jika sebahagian pembaca merasakan isi kandungannya tinggi kerana biasanya isu-isu yang menimbulkan kekeliruan ini biasanya bukan isu-isu mudah.

Mereka yang tidak ‘terfitnah’ dengan isu-isu ini memang tidak begitu mudah mengikuti perbahasannya. Memang sepatutnya adalah lebih baik bagi agama mereka jika ditumpukan tajuk-tajuk asasi Islam, Iman dan Ihsan.

Malangnya, kita masih terpaksa menanganinya kerana tetap ada di sana sekelompok mereka yang sangat gemar menimbulkan isu-isu sebegini sehingga mencemarkan kefahaman umat.

Sepatutnya, seperti tajuk kita minggu ini, tidak semua polemik yang timbul di kalangan ulama mengenai pelbagai masalah agama dan akidah, dibebankan oleh Allah SWT ke atas kita untuk membahaskannya.

Bahkan, kita berpendapat, bahawa polemik ini hanya akan melenyapkan kehebatan dan keagungan perkara tersebut. Misalnya perselisihan ulama mengenai Nabi Muhammad SAW melihat Allah dan caranya.

Perselisihan yang panjang lebar sentiasa berlegar di kalangan mereka mengenai permasalahan ini. Ada ulama berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat Allah SWT dengan hatinya. Sementara ulama lain berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat-Nya dengan kedua-dua belah matanya.

Masing-masing mengemukakan dalil mereka dan menguatkan hujah mereka dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Apa yang saya lihat, semua yang mereka lakukan itu adalah sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Bahkan, kemudaratannya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Apatah lagi jika kandungan polemik itu didengari oleh umat Islam awam. Tidak mustahil, jika mereka mendengar dan mengetahui hal-hal yang diperdebatkan itu, pasti akan timbul keraguan dalam hati mereka.

Seandainya kita meninggalkan perbahasan mengenai perkara ini, dan memadai kita menyebut apa adanya, pasti ia akan kekal menjadi perkara yang mulia dan tidak akan hilang keagungannya dalam jiwa manusia.

Umpamanya, kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW melihat Tuhannya. Cukup sekadar itu sahaja, tanpa dilanjutkan perbahasannya dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »