Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 November 2010

Tentangan membina masjid di Moscow

Posted by epondok di November 24, 2010

UMAT Islam bersesak-sesak di masjid Sobornaya di Moscow untuk menunaikan solat Jumaat.

 


 

IA hanyalah sebuah senario tipikal hari Jumaat di Moscow. Para jemaah melutut di bawah hujan di luar masjid terbesar Moscow dan terpaksa menggunakan kasut mereka untuk menindih hamparan sejadah bagi mengelakkannya terselak akibat ditiup angin musim luruh.

Perebutan tempat di dalam masjid menjadi tekanan mingguan kepada penganut Islam di ibu negara Rusia. Moscow mencatat antara peratusan masyarakat Muslim yang tertinggi di Eropah tetapi hanya mempunyai sebanyak empat buah masjid.

Permohonan mereka untuk mendapatkan lebih banyak ruang beribadah telah menimbulkan ketegangan dengan pihak nasionalis Rusia.

“Apabila saya tiba awal, saya dapat tempat di dalam masjid. Jika tidak, saya terpaksa melakukan solat di luar masjid,” kata Abdyl Ashim Ibraimov, 30, yang sering ke masjid Sobornaya iaitu yang terbesar di Moscow.

Ribuan umat Islam membanjiri halaman masjid berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu. Namun, bangunan hijau yang mempunyai bentuk bulan sabit di puncaknya itu terletak di antara blok-blok apartmen dan sebuah stadium besar di tengah-tengah Moscow hanya mampu menampung 800 orang jemaah.

Komuniti Islam teramai

Apabila masjid itu penuh, jemaah akan memenuhi pejabat pentadbiran. Mereka juga akan bersolat di laman dan akhirnya melimpah di ruang lorong pejalan kaki berdekatan.

“Solat Jumaat amat penting. Sebab itulah kami datang ke sini, sama ada pada hari hujan atau bersalji,” kata Ashur Ashurov yang sudah beruban dan berumur dalam lingkungan 60-an.

Moscow, yang mempunyai jumlah penduduk berjumlah 10.5 juta itu dipercayai mempunyai seramai 1.2 juta umat Islam. Bagaimanapun, Majlis Mufti, Organisasi Muslim Rasmi di Rusia memberitahu jumlahnya menghampiri seramai dua juta orang.

Dengan hanya empat buah masjid, “Ia merupakan kekurangan tempat beribadat yang teruk,” kata imam masjid Sobornaya, Ildar Khazrat Alyaudinov. “Ruang yang ada tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang datang dan bersolat,” katanya.

KESESAKAN di masjid memaksa umat Islam di Moscow bersolat di padang atau kaki lima.

 


 

Sejak runtuhnya Kesatuan Soviet pada tahun 1991, ratusan ribu imigran dari republik bekas Soviet terutamanya dari Asia Tengah telah mendiami Moscow. Kesannya, ia memadatkan lagi populasi Muslim yang sudah pun ramai menghuni bandar raya berkenaan.

“Kami meminta supaya masjid dibina di setiap wilayah atau lebih baik lagi di setiap kejiranan,” tambah Alyautdinov.

Bantahan penduduk

Usaha untuk memenuhi tuntutan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada penduduk tempatan yang dipengaruhi sebahagiannya oleh kebangkitan nasionalisme Rusia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Menurut Alyautdinov, projek untuk menambah bangunan kedua bagi membesarkan masjid Sobornaya tergendala kerana tidak mendapat kelulusan birokrat.

Selain itu, bantahan daripada penduduk tempatan telah menghalang satu pelan lain bagi membina masjid baru di selatan bandar raya berkenaan yang direka bagi menampung sehingga 5,000 jemaah.

Pemerintah Moscow telah berjanji untuk menyerahkan tanah di sebuah taman bagi membina kemudahan tersebut. Bagaimanapun, penduduk tempatan yang marah, telah menghantar petisyen untuk menentang pembinaan masjid berkenaan sementara kumpulan aktivis antimasjid bertindak lebih jauh, dengan menanam pokok di kawasan berkenaan.

“Ketika ini kami dapat berkumpul di sini bersama haiwan peliharaan dan mengadakan barbeku. Tetapi imam masjid akan berkata: ‘Jangan masak babi di sini, jangan bawa anjing ke sini,” kata jurucakap aktivis berkenaan, Mikhail Butrimov.

“Perbalahan tetap berlaku sekiranya masjid itu dibina,” kata jurucakap memberi amaran.

Sova, sebuah organisasi bukan kerajaan Moscow yang memantau jenayah benci telah mengaitkan protes berkenaan dengan kumpulan Xenophobia.

Sova dianggotai oleh Butrimov yang didakwa dilantik sebagai calon di beberapa pemilihan oleh parti-parti nasionalis yang kabur selain dia sendiri bukan penduduk tempatan kawasan kejiranan tempat masjid yang ingin dibina itu.

Pakar Islam dari Pusat Carnegie Moscow, Alexei Malashenko yang juga pemikir untuk kajian dan analisis bukan pejuang gerila berkata, akar permasalahan berkenaan ialah tiadanya toleransi di kalangan penduduk Moscow. – AFP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Anak daripada keluarga pincang mudah terjerumus masalah sosial

Posted by epondok di November 24, 2010

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

KELUARGA seumpama satu blok yang tersusun menjadi bangunan dalam masyarakat. Keluarga adalah tempat hidup kita bermula dan kita terikat kepadanya. Jika perasaan sayang dan rasa terikat antara ahli keluarga utuh, semakin tenang serta bahagia sesebuah keluarga.

Malaysia sekarang menyaksikan perubahan nilai terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Bilangan perceraian semakin meningkat. Rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan perceraian dalam kalangan orang Islam sepanjang 2008 adalah 22,289 kes. Perceraian kini menjadi perkara biasa, diterima umum dan dianggap lumrah. Ia berlaku dalam semua kelompok masyarakat sehingga tanpa sedar memberi nilai rendah kepada satu akad nikah yang perlu dipertahankan.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika, The Social Scientific Data on the Impact of Marriage and Divorce on Children, Dr Patrick F Fagan menyatakan bahawa apabila wujud rasa terbuang antara pasangan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran, bergaduh, apatah lagi bercerai, maka seluruh isi keluarga terutama anak berasa sangat sengsara.

Kajian beliau turut disokong oleh pakar sosiologi keluarga membuktikan bahawa graf tertinggi sikap positif adalah terhasil daripada keluarga yang mana ahli keluarganya berhubungan baik, saling terikat dengan perasaan kasih sayang. Anak daripada keluarga sebegini lebih mendapat gred yang tinggi, mempunyai sikap yang baik, lebih ceria dan bagus dalam hubungan sosial. Mereka juga kurang terbabit dengan penyakit kejiwaan seperti kemurungan, kecewa keterlaluan dan sebagainya.

Apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling ‘membuang’ salah satu seperti ayah meninggalkan ibunya kerana wanita lain, atau ibu meminta cerai kerana lelaki lain, atau anak diberitahu dia adalah anak zina dan sebagainya, Dr Fagan dapati, anak ini mempunyai kesamaan dalam urusan kejiwaan mereka.

Kekuatan dalaman anak ini tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka. Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak ini juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka, ramai yang berhenti belajar awal, tidak berminat dengan ilmu dan kerjaya, sedikit yang berusaha ke menara gading, bahkan ramai yang menghisap dadah dan kaki arak. Mereka menjadi seumpama bunga yang tidak disiram, layu, kekeringan dan akhirnya mati kerana tanahnya kering kontang dan tidak dibaja.

Kaitan langsung apabila anak ini membesar dan membina rumah tangga pula, ramai yang menjadi pembuli, suka keganasan, berlaku ganas dan mendera pasangan dan anak, malas bekerja, tidak suka menerima tanggungjawab, suka keganasan seperti mencuri, memukul dan banyak lagi kesan negatif.

Apabila bilangan perceraian semakin bertambah dan anak mangsa cerai yang mengalami ‘tekanan kejiwaan’ bertambah ramai, mereka membesar dan berkahwin, mengulangi kesilapan ibu bapa mereka, maka masyarakat umum akan turut menerima kesan negatif daripada perkara itu.

Semakin banyak rumah tangga hancur, maka semakin banyak peruntukan kewangan dan program sosial yang perlu diadakan.

Kajian beliau walaupun membabitkan masyarakat di Amerika, tetap menjadi iktibar kepada kita di Malaysia terutama mengenai keutuhan ikatan kekeluargaan. Jika Malaysia ingin maju pada masa depan, blok terpenting yang perlu dijaga adalah keluarga dan anak-anak yang terhasil dalam keluarga berkenaan.

Kita perlu menanam dan menyuburkan rasa ‘keterikatan’ antara pasangan suami isteri sehingga perceraian dilihat sebagai jalan terakhir selepas semua usaha sudah gagal. Kepatuhan kepada agama, taat kepada Allah, memegang tanggungjawab sebagai pasangan dan ibu bapa kerana perintah agama perlu diterapkan. Apabila ibu dan ayah saling berkasih sayang, rasa ‘terikat’ sesama mereka, sering berdekatan dan saling sokong menyokong atas nama Allah, semakin kuat blok kekeluargaan kita dan semakin kurang masalah yang timbul ke atas anak-anak.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »