Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 23 November 2010

4 kategori manusia tak layak dilantik jadi pemimpin

Posted by epondok di November 23, 2010

Oleh Ramli Abdul Halim

Rasulullah tidak lantik sesiapa minta jawatan, sebalik serah kepada yang ada sifat tanggungjawab

MENYEDARI pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.

Yang diharamkan ialah ialah pertama, orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” – Al-Maidah:51

Keduanya, orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” – At-Taubah:23.

Ketiga, orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/hatimu.” – Ali- Imran:118-119

Keempat, orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Alah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” – An-Nisa’:144

Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin hendaklah jangan dilantik kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.

Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”

Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodek dan sebagainya. Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan/kepemimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan/memimpin tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Didik anak cara Islam

Posted by epondok di November 23, 2010

Oleh ZUARIDA MOHYIN

WALAUPUN ibu bapa pada zaman sekarang mementingkan pendidikan anak, namun masih ramai yang hanya memberi menekankan kepada aspek akademik semata-mata berbanding pendidikan rohaniah dan sahsiah diri.

Hakikatnya kita sentiasa dipesankan agar menjaga diri dan keluarga sebagaimana dalam surah at-Tahrim ayat 6, Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.

Jelas di sini, dalam usaha kita menjauhkan diri kita dan keluarga daripada api neraka, maka kita perlu mendidik ahli keluarga dengan sebaik-baiknya. Maka itu, sebelum kita bergerak ke arah perubahan maka diri kita sendiri perlu diperkasakan dahulu.

Pendidikan ke atas anak-anak perlu bermula sejak kecil dan ibu, bapa atau penjaga wajib mengajarkan kepada anak-anak dan jagaan mereka mengenai perkara yang perlu mereka ketahui sebagai bekalan apabila mereka baligh.

Ibnu al-Qayyim menambahkan beberapa dalil lain yang menunjukkan kewajipan mendidik. Antaranya adalah seperti berikut:

“Ajarkan anak-anak kamu solat ketika mereka masuk usia tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya mereka melalikan solat apabila mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.” (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

“Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang tua kepada anaknya melebihi adab yang baik.” (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

“Apabila kamu mendidik anakmu, ia adalah lebih baik bagimu daripada kamu bersedekah setiap hari sebanyak setengah cupak kepada orang-orang miskin.” (riwayat Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

Sementara itu, Ibnu Umar pula berkata: “Ajar anakmu kerana kelak Allah bertanya kepadamu mengenai apa yang kamu ajarkan kepadanya. Allah juga akan bertanya kepada anakmu berkenaan bakti dan ketaatannya kepadamu.”

Seperkara yang perlu ditakuti oleh setiap yang bergelar ibu dan bapa ialah Ibnu Said dan Ibnu Abbas menyatakan, Rasulullah SAW ada bersabda: Siapa yang mendapat anak, berikan dia nama yang baik kepada anaknya dan mendidiknya dengan baik. Apabila anak itu mencapai usia baligh, hendaklah dia dikahwinkan kerana sekiranya anak mencapai usia baligh tetapi tidak berkahwin dan kemudian dia berzina, orang tuanya yang menanggung dosa.”

Apabila ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik, bererti mereka menjaga diri sendiri dan anak-anak mereka daripada api neraka.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa mendidik adalah kewajipan syariat bagi setiap orang yang menjadi pemimpin, sesuai dengan kadar tanggungjawab dan tahap kepimpinannya. Sekiranya ada yang menganggap ia perkara remeh, lantas mensia-siakan tugas mendidik itu, nescaya mereka tidak terhindar daripada api neraka.

Lantaran itu, dalam usaha melaksanakan pendidikan berlandaskan ajaran Islam, kita perlu mengetahui bagaimana kita hendak memulakannya dan apa yang diperlukan apabila kita berada di titik permulaan.

Kedua, kita perlu mengetahui siapakah jemaah pertama yang menerima didikan Nabi Muhammad secara langsung. Jemaah generasi inilah yang perlu dijadikan panduan dan rujukan kita dalam cara pendidikan selepas kitab Allah dan sunnah Nabi, bukannya meniru cara hidup ataupun masyarakat di Barat sana.

Ketiga, kita perlu menyedari tidak ada jalan lain selain jalan yang ditempuh oleh generasi pertama yang terkeluar daripada kejahilan. Generasi ini yang terdiri daripada para sahabat, akhirnya mencapai puncak tertinggi dalam Islam.

Oleh itu orang yang melaksanakan tugas mendidik perlu mempunyai sifat-sifat tertentu supaya mereka boleh melakukannya dengan baik. Antaranya; hikmah, soleh, mempunyai kemahiran dalam pengurusan manusia, mewujudkan kemaslahatan manusia, melakukan kebaikan, berpengetahuan, mengamalkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain, mengajar secara berperingkat iaitu dimulakan daripada yang kecil ataupun yang mudah dan hanya mengamalkan dan mengajarkan ilmu yang diperintahkan oleh Allah.

Begitulah sebahagian ilmu-ilmu penting berkenaan pendidikan anak secara menyeluruh yang dikupas di dalam buku Mendidik Anak Perempuan. Ia bagi memastikan ibu bapa pada hari ini bersedia memberikan didikan rohani dan sahsiah diri kepada anak perempuan sejak lahir, sehingga mereka berumah tangga.

Buku tulisan Abdul Mun’im Ibrahim juga bertujuan;

l Menunjukkan betapa pentingnya perasaan malu yang harus dijaga oleh anak perempuan sama ada dalam ucapan, perbuatan mahupun sikap.

l Mengelakkan ramai wanita terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang berpunca daripada kurangnya didikan agama yang sempurna.

l Menambahkan pengetahuan ibu bapa mengenai didikan anak gaya Rasulullah SAW yang menitikberatkan cara didikan bersepadu dan holistik kepada anak perempuan.

l Menjelaskan ajaran Islam yang memuliakan dan menyelamatkan kaum wanita daripada kehinaan seperti yang wujud pada zaman jahiliah.

l Anak perempuan adalah pihak yang banyak mengundang fitnah seperti yang pernah nabi sebutkan.

Buku setebal 397 muka surat ini terbahagi kepada 13 bab yang mengandungi tajuk-tajuk; Definisi Baligh, Mendidik Anak Cara Islam, Bersikap Adil kepada Anak, Mendoakan yang Terbaik untuk Anak, Mendidik Anak Sejak Saat Kelahiran, Pengaruh Keadaan Sekeliling kepada Pendidikan Anak, Kaedah Ganjaran dan Hukuman, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 3 Tahun Sehingga 6 Tahun, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 9 Tahun Sehingga 10 Tahun, Mendidik Anak dengan Akhlak yang Baik, Menerangkan Perkara-Perkara yang Terlarang, Mengajar Ilmu Rumah Tangga dan Perkara Penting Mendidik Anak Perempuan.

Sementara itu dalam buku Didik Anak Gaya Rasulullah yang ditulis oleh Prof. Dr. Huzaemah membahaskan secara terperinci berkaitan hukum-hakam, hak-hak serta kewajipan-kewajipan yang dimiliki anak kecil yang disokong oleh nas daripada al-Quran dan hadis.

Antara kandungan yang dibicarakan;

* Hukum dan hak yang ditetapkan kepada anak mengikut peringkat usia

* Segala perkara yang berhubung dengan bayi yang baru dilahirkan.

* Hukum berkhatan dan hikmah disyariatkan.

* Hukum menyusukan anak serta penjelasan mengenai syariat mendapatkan hak penjagaan anak.

* Penjelasan mengenai nafkah anak serta hukum anak dalam bersuci, solat, zakat, puasa dan haji.

* Hukum anak kecil dalam hal jual beli serta hikmahnya.

* Perincian mengenai pernikahan anak kecil, talak, kesaksian serta perihal wali.

Hasil kupasan yang ditulis oleh penulis yang memiliki kepakaran dalam bidang Fikah dari Universiti al-Azhar ini menjanjikan kepuasan yang luar biasa buat semua pembaca, khususnya para ibu bapa yang mahu mempelajari seterusnya mendalami hak-hak serta kewajipan-kewajipan permata hati mereka bagi memastikan mereka mampu mengharungi kehidupan yang sempurna di dunia yang serba mencabar ini.

Oleh itu, jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya. Ungkapan bicara yang biasa disebut-sebut acap kali menyentuh soal golongan yang bergelar orang muda, belia dan beliawanis.

Itulah hakikatnya yang perlu diterima oleh semua. Anak-anak pada hari ini kelak akan menjadi orang dewasa yang mempunyai peranan penting pada masa hadapan. Bahkan di bahu mereka tergantung nasib dunia ini kerana mereka adalah harapan generasi tua dan pewaris agama, bangsa dan negara.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »