Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 November 2010

Hidayah milik Allah

Posted by epondok di November 22, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Mukadimah
Sheikh al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya Allah SWT menerangkan bukti-bukti kekuasaan-Nya, menarik perhatian golongan pengingkar agar memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kemampuan-Nya mengatur alam ini, kemudian Dia mencela keingkaran dan kegagalan mereka dalam kebatilan dengan hujah yang terang dan bukti jelas, lalu disusuli dengan perintah-Nya kepada Rasulullah SAW agar mengingatkan mereka dengan bukti-bukti ini yang tidak perlu diragukan lagi”.

Firman Allah SWT: Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

Ibn Kathir berkata: “Iaitu beri peringatanlah kepada manusia dengan apa yang aku utuskan kepada mereka”.

Syed Qutub menambah: “Oleh itu peringatkan mereka dengan alam akhirat dan segala isinya. Dan peringatkanlah mereka dengan kejadian dunia dan segala isinya. Tugasmu adalah memberi peringatan.

“Inilah sahaja batasan tugasmu dan ini sahaja perananmu dalam dakwah. Selain dari itu tiada lagi tugas dan tanggungjawabmu kerana engkau diberi kemudahan dan ditugaskan melaksanakannya”.

Firman Allah SWT: bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).

Al-Mawardi menukilkan tiga pendapat ulama berkenaan tafsiran ayat ini, iaitu:

* Kamu bukanlah penguasa yang boleh mengalahkan seseorang. Inilah pendapat al-Dahak.

* Kamu bukanlah orang yang bersifat perkasa. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Kamu bukanlah Tuhan. Inilah pendapat al-Hasan.

Ini semua menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mampu memaksa mereka beriman.

Al-Maraghi berkata: Ia memberi maksud wahai Muhammad, engkau adalah penyeru dan tidak mempunyai kuasa untuk menundukkan hati mereka. Allah SWT sendiri yang menguasai mereka dan mempunyai kekuasaan atas jiwa mereka.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berpaling daripada peringatan dan mengingkari kebenaran yang dikemukakan kepadanya, Allah SWT akan mengazabnya di akhirat kelak.

Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain.

Firman Allah SWT: akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.

Ibn Kathir berkata: “Berpaling daripada amalan dengan segala rukunnya dan kufur dengan kebenaran sama ada melalui hati atau lisannya”.

Al-Mawardi berkata: “Ada dua tafsiran ulama, iaitu berpaling daripada kebenaran dan kufur dengan nikmat. Sedangkan yang kedua pula berpaling daripada mengikut rasul dan kufur dengan Allah SWT. Inilah pendapat al-Dahak.

Firman Allah SWT: maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

Sayid Qutub berkata: “Mereka pasti akan pulang kepada Allah dan Allah tetap akan menghukum mereka”.

Al-Maraghi berkata: “Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain”.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka, selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Ibn Kathir berkata: “Mereka akan kembali pada Allah dan Kami pasti menghisab serta membalas segala amalan mereka. Jika baik dibalas baik dan jika buruk dibalas buruk”.

Al-Maghari berkata: “Tidak ada jalan untuk melarikan diri bagi orang yang berpaling dan tidak ada jalan melepaskan seksa yang dijanjikan itu. Ini kerana mereka bakal kembali kepada-Ku”.

Sesungguhnya benarlah firman Kami akan menyeksa mereka dan menghisab semua perbuatan yang telah mereka kerjakan.

Firman ini sebagai penghibur hati rasul-Nya dan menghilangkan kesedihan dan penderitaannya akibat pendustaan mereka kepadanya dan penentangan mereka yang berterusan terhadap baginda.

Penutup

Syed Qutub berkata: “Dengan penjelasan ini peranan Rasulullah SAW di dalam dakwah dan peranan para pendakwah yang datang selepas beliau telah dihadkan pada batasnya yang tertentu, iaitu tugas engkau ialah memberi peringatan.

“Selepas itu terserah kepada Allah urusan menghisabkan amalan-amalan mereka. Mereka tetap akan kembali kepada Allah. Mereka tidak mungkin melepaskan diri daripada hisab dan hukuman Allah.

“Namun, hendaklah difaham bahawa setengah dari tugas menyampaikan dakwah adalah menghapuskan halangan dan rintangan supaya dakwah sampai kepada manusia.

“Inilah tugas jihad yang difahamkan daripada al-Quran dansirah Rasulullah SAW tanpa kecuaian dan keterlaluan”.

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh sentiasa berpegang dengan petunjuk dan hidayah-Nya. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Islam perlu jadi tanda aras perundangan negara

Posted by epondok di November 22, 2010

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Pelaksanaan menyeluruh undang-undang syariah lonjak Malaysia model negara Muslim sejati

JIKA meneliti sejarah, kita akan dapati sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu sudah melaksanakan undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Segala permasalahan diadili di hadapan Sultan atau pemerintah kawasan berdasarkan undang-undang Islam dalam urusan kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Catatan bertulis berkenaan hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-Undang 99 Perak dan Hukum Kanun Melaka menjadi bukti wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dilaksanakan secara sistematik.

Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka menyedari undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan.

Merujuk kes diputuskan di mahkamah, hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu sendiri ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan.

Contohnya, kes Ramah V Laton yang diputuskan pada 1927, mahkamah memutuskan undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu memeterai beberapa perjanjian atau triti yang antaranya meletakkan syarat Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan.

Namun, Residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama serta pelaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu.

Ketika itu, urusan undang-undang mula dibahagikan kepada aspek yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam. Begitu juga urusan undang-undang jenayah.

Akhirnya yang dianggap urusan agama dan adat-istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah orang Islam dan perkahwinan yang dipanggil ‘Personal Law’ serta beberapa kesalahan membabitkan hukum agama yang khusus seperti tidak berpuasa dan sebagainya.

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada 1807, Piagam Keadilan Kedua (1826) dan Piagam Keadilan Ketiga (1885). Semua ini bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan undang-undang Islam dulunya diamalkan sebagai ‘lex loci’ (undang-undang tempatan).

Campur tangan secara langsung terhadap urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga berlaku pada 1880. Inggeris memperkenalkan satu ordinan dipanggil ‘Muhammedan Marriage Ordinance’ bertujuan menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah.

Dengan terlaksananya ordinan itu juga, maka cita-cita dan usaha British memisahkan antara urusan sivil dan keagamaan yang dirancang sejak kedatangannya ke Tanah Melayu mula terzahir dengan jelas.

Apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan Inggeris sudah campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara berkaitan agama dan adat-istiadat Melayu.

Dalam ordinan ini, perkara mengenai pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam, pengiktirafan kepada kedudukan Kadi dan peraturan terhadap harta perempuan yang berkahwin diperuntukkan.

Ordinan itu mengalami beberapa pindaan pada 1894, 1902, 1908, 1909 dan 1917. Dalam pindaan itu, British membuat peruntukan menyentuh secara terbuka Undang-undang Keluarga Islam. Pindaan digubal kembali dan disebut Ordinan No. 26 tahun 1920 dan seterusnya dipinda pada 1923 dan 1934 sehingga akhirnya dimasukkan ke dalam ‘Chapter 57 of the Revised Laws of the Straits Settlement 1936.’

Bermula awal 1950-an, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 digubal mengandungi urusan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor yang membantu Sultan mentadbir perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Hak dan kuasa Majlis, peraturan mesyuaratnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa. Penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar, pelantikan Kadi Besar serta bidang kuasa Mahkamah mendengar dan memutuskan kes antara orang Islam dinyatakan dalam seksyen 43 hingga 57. Manakala seksyen 58 hingga 93 diperuntukkan peraturan perbicaraan jenayah dan perbicaraan mal yang perlu diikuti di mahkamah.

Negara sudah mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun namun, undang-undang Islam masih lagi dilaksanakan dalam aspek terpilih saja seperti mana dihasratkan penjajah. Sudah tiba masanya bayangan silam penjajah dipadamkan dan undang-undang Islam dilaksanakan secara menyeluruh.

Meletakkan Islam sebagai tanda aras perundangan akan membawa negara sebagai model negara Islam sejati di samping tidak meminggirkan hak orang bukan Islam dalam negara kita.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »