Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 November 2010

Pendaftaran pakej cuti Sekolah/IPT sudah penuh

Posted by epondok di November 21, 2010

Pendaftaran pakej pengajian khusus sempena cuti sekolah /IPT iaitu Pondok Intensif di Pondok Tunjung 27 November – 11 Disember 2010 dan program Halaqah Ilmu 4 – 18 Disember di Pondok Pasir Tumboh sudah penuh.

Peringatan bagi yang telah menempah tempat bahawa pembayaran dan kemasukan akan bermula pada jam 2.30 petang 27 November bagi Pondok Intensif di Pondok Tunjung

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Kitab Sabil al-Muhtadin terus jadi panduan umat Islam

Posted by epondok di November 21, 2010

PERSOALAN yang sering terdengar dalam masyarakat berkaitan urusan korban dan akikah antaranya;

  • Apakah sebenarnya korban dan akikah itu?
  •  

  • Apakah perbezaan antara korban dan akikah?
  •  

  • Apakah hukum melakukannya?
  •  

  • Berapa kali kita dituntut melakukan korban sepanjang hayat kita?
  •  

  • Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dikorbankan?
  •  

  • Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah?
  •  

  • Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?
  • Ibadah korban dan akikah merupakan ibadah dan amalan yang mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadilat dan implikasinya.

    Malangnya, masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman terhadapnya. Tidak kurang yang memandang ringan terhadap ibadah ini.

    Mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan korban dan akikah ini.

    Penjelasan dan pengisian yang terkandung dalam Sabil al-Muhtadin – Hikmah Korban, Akikah, Perburuan, Sembelihan dan Pemakanan semoga dapat membantu kefahaman masyarakat tentang ibadah korban serta akikah.

    Di samping, dapat menimbulkan keinginan atau meningkatkan kesungguhan untuk sama-sama mencari pahala daripada kedua-dua ibadah ini.

    Turut disentuh ialah tajuk perburuan dan sembelihan yang mana pada hari ini kita dengan mudah boleh mendapatkan sumber daging untuk masakan dari pasar raya. Namun kita harus tahu hukum-hakam yang berkaitan dengan perburuan yang menjadi hobi sesetengah orang.

    Pemburu yang berburu rusa, kijang, kambing gurun, kancil, napoh, landak, ayam hutan atau burung sering terlibat dengan penyembelihan. Apakah mematikan binatang tersebut dengan peluru senapang boleh dianggap suatu sembelihan yang sah?

    Begitu juga apabila anda balik ke kampung, kadang-kadang anda juga terpaksa menjadi penyembelih bidan terjun. Amat memalukan jika anda mengelak apabila mertua meminta anda menyembelih ayam untuk dibuat lauk hidangan makan tengah hari keluarga atau meminta anda menyembelih dan melapah kambing atau biri-biri untuk akikah anak anda sendiri! Ada ketikanya anda berhadapan dengan haiwan peliharaan yang terpaksa disembelih secara darurat kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya, terjatuh dari tebing yang tinggi atau lubang yang dalam atau diserang penyakit.

    Sementara itu, pemakanan merupakan aspek yang terpenting bagi seseorang insan kerana tubuh badan dan darah daging terbentuk daripada pemakanan. Kesucian dan kehalalan pemakanan mempengaruhi akhlak, budi pekerti dan sahsiah seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jasad yang tumbuh daripada pemakanan yang haram hanya layak untuk menjadi umpan api neraka.

    Keseluruhan kandungan kitab Sabil al-Muhtadin bab Korban, Akikah, Perburuan, Sembelihan dan Pemakanan karangan Syeikh Mohammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari ini sangat relevan untuk panduan seluruh umat Islam dalam menghuraikan segala permasalahan yang berkaitan dengannya.

    Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

    Wasatiah dalam diri remaja

    Posted by epondok di November 21, 2010

    Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

    Bersikap sederhana dalam melakukan pelbagai aktiviti perlu diterapkan agar kita tidak terlalu taksub kepada sesuatu pekerjaan atau amalan. – Gambar hiasan

     

    WASATIAH atau bersederhana adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengajar pendekatan wasatiah dalam setiap perkataan, pemikiran, tingkah laku, perlakuan serta amalan.

    Namun begitu, adakah dengan bersikap sederhana ini akan menjadikan umat kita tidak maju dan ke hadapan?

    Kebanyakan umat Islam kini menyalahgunakan istilah sederhana lalu tidak mahu maju dan berserah kepada nasib dan takdir. Bagaimana remaja boleh menghayati sikap wasatiah yang sebenarnya?

    Bukan ambil mudah

    Ajaran Islam mengajar kita supaya bersederhana pada percakapan dan pertuturan, pemikiran dan amalan. Waima begitu, wasatiah tidaklah melunturkan seseorang manusia daripada prinsip yang benar dan yang salah.

    Sebagai remaja yang baru hendak meniti alam dewasa, remaja seringkali membuat keputusan secara terburu-buru tanpa mengambil pandangan semua pihak terdekat.

    Kadangkala, remaja cepat melenting dan melatah dengan sesuatu isu yang menimpa mereka, lalu mengambil jalan melampau dengan memberontak dan melakukan sesuatu yang kurang elok.

    Tidak kurang juga ada remaja yang berpura-pura tidak ambil tahu masalah yang menimpa, tetapi tanpa disedari ia membarah di kemudian hari jika tidak diselesaikan.

    Remaja Islam yang mengamalkan sikap wasatiah akan berupaya menyaring sesuatu hikmah kejadian dan berusaha untuk menyelesaikan sesuatu isu sebaik-baik mungkin.

    Selepas perang Badar misalnya, Rasulullah SAW bersetuju membebaskan tawanan perang dengan syarat mengajar anak-anak umat Islam ketika itu untuk membaca.

    Sekiranya baginda bersikap melampau dan terlalu tegas, masakan tawanan perang itu dibebaskan begitu sahaja.

    Daripada sini kita dapat melihat sikap keterbukaan dan bersederhana Rasulullah, walaupun dengan pihak musuh.

    Oleh itu, bersikap sederhana membawa banyak kebaikan dan manfaat sekiranya dilakukan dengan hikmah dan bijaksana.

    Bersikap sederhana tidaklah bermaksud meremeh sesuatu perkara atau mengambil mudah akan sikap dan pendirian.

    Bersikap terbuka juga berkait rapat dengan sifat wasatiah. Sikap wasatiah juga mengimbangi akal pemikiran dan perlakuan daripada perbuatan melampau.

    Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya, tetapi ia lahir daripada ilmu yang benar, tahu membezakan yang mana benar dan yang batil serta bertolak ansur.

    Menolak perkembangan ilmu, sains dan teknologi daripada Barat secara mutlak atas alasan ia berasal daripada sistem sekular dan menindas tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap ekstrem terhadap sesuatu.

    Barat suatu ketika dahulu mengambil manfaat daripada tamadun Islam terdahulu dan diadaptasikan untuk memajukan tamadun mereka sendiri.

    Yang menjadi cabaran hari ini bagi remaja adalah mengimbangi antara mana benar dan mana yang salah. Jalan tengah seringkali dianggap jalan yang selamat, tetapi ia haruslah berlandaskan prinsip dan ajaran yang betul dan bijaksana.

    Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam prinsipnya adalah agama damai. Ada sesetengah kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej negatif terhadap Islam.

    Tetapi itu bukanlah gambaran sebenar terhadap ajaran Islam itu sendiri. Konsep salama membawa maksud sejahtera.

    Islam tidak menolak kemajuan dan kesejahteraan, tetapi menuntut supaya umatnya sentiasa bersikap sederhana dan wasatiah dalam menjalani setiap jalan kehidupan tanpa mengenepikan prinsip-prinsip asas syarak dan tradisi.

    Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

    Mengenali aliran mazhab aqidah Asya’irah

    Posted by epondok di November 21, 2010

    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    kejahilan menghuraikan sifat-sifat Allah SWT boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam ummah. – Gambar hiasan

     

    PERHENTIAN kita yang seterusnya dalam menelaah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib DiPerbetulkan) karya al-Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki ialah tentang salah faham terhadap mazhab akidah Asya’irah. Asya’irah adalah gelaran kepada mereka yang mengikut pegangan mazhab akidah yang dirumuskan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy’ariy RH. Ia merupakan mazhab akidah majoriti besar umat Islam sepanjang zaman.

    Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya’irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al-Asya’irah dan kaedah mereka di dalam bidang akidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya’irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya’irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong daripada kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.

    Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya’irah tergolong di dalam golongan yang sesat.

    Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan Ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan. Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.)

    Firman Allah SWT: Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar).” (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (al-Qalam: 35-36)

    Asya’irah ialah pemimpin-pemimpin ulama Islam yang membawa petunjuk dan ulama yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka. Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya’irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya’irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu’ 4)

    Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadis, fekah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al ‘Asqalani RH; syeikh dan pakar hadis yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari ‘ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama. Beliau berpegang dengan mazhab Asy’ari.

    Begitu juga syeikh ulama Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy’ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami’ li Ahkam al Quran, bermazhab Asy’ari. Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir ‘an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy’ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy’ari.

    Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya’irah.

    Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadis, tafsir dan fekah yang bermazhab Asy’ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama ini yang ilmu mereka tersebar luas di timur dan barat dunia. Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syariat Rasulullah SAW.

    Posted in Artikel Pilihan, Klinik Agama | 1 Comment »