Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ambil iktibar daripada hikmat ibadat haji

Posted by epondok di November 20, 2010


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

KETIKA ini, jutaan manusia membanjiri kota suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Mereka mengunjungi rumah Allah semata-mata untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya.

Walaupun proses menunaikan ibadah haji memerlukan wang yang banyak, apa yang dicari melebihi nilai dunia. Begitulah pengorbanan wang ringgit yang perlu dilaburkan dengan niat ikhlas mendapat keredaan Allah.

Sesungguhnya rezeki yang dikurniakan Allah, sebahagiannya mesti dilaburkan dalam usaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Kewajipan menunaikan ibadah haji tertanggung di atas bahu setiap individu Muslim yang berkemampuan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah” (Surah al-Baqarah, ayat 196).

 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ibadah haji itu wajib ditunaikan bagi mengharapkan keredaan Allah.

 

Sesungguhnya, dalam melaksanakan perintah Allah, setiap halangan yang datang perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya.

Beruntunglah bagi mereka yang berjaya mendepani setiap halangan dalam menunaikan ibadah haji dengan cara yang terbaik.

Perkara berkenaan dinyatakan Allah ketika menjelaskan perihal tetamu-Nya yang datang dari setiap pelosok dunia bagi menunaikan ibadah haji.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, mereka datang dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh” (Surah al-Hajj, ayat 27).

Setiap ibadah yang dilakukan di sepanjang musim haji mempunyai erti dan pengajaran yang tersendiri. Contohnya, pemakaian ihram dan tawaf memberi gambaran bahawa setiap manusia itu semuanya sama taraf di sisi Allah.

Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah masing-masing yang akan memberi perbezaan antara satu dengan lain.

Larangan dalam ihram juga sarat dengan hikmah yang menuntut kesabaran dan ketelitian dalam melaksanakan ibadah.

Hal berkenaan memberi pengertian bahawa setiap ibadah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim, harus ditunaikan dengan penuh teliti dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Wukuf di Arafah pula memberi gambaran suasana Mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia.

Suasana ini bukan saja perlu dirasai oleh jemaah haji, namun bagi mereka yang mampu menyaksikan suasana ini dari tanah air masing-masing, rasa keinsafan juga seharusnya dirasai.

Pada saat setiap manusia berkumpul di satu kawasan yang luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi.

Secara jelas, manusia itu hanya insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah dengan doa talbiah dan tasbih) di tempat Mash’aril Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebut-Nya sebagaimana Dia memberikan petunjuk hidayah kepada kamu” (Surah al-Baqarah, ayat 198).

Ibadah sa’ie antara bukit Safa dan Marwah pula membawa umat Islam menghayati pengorbanan seorang wanita yang akur dengan perintah Allah.

Sifat reda dan tawakal yang ditunjukkan Hajar, isteri Nabi Ibrahim mengajar manusia agar sentiasa meletakkan perintah Allah melebihi segalanya.

Maka, dengan kesabaran dan rasa berserah diri pada Allah, maka dibukakan jalan keluar untuknya dalam mengharungi kehidupan tanpa suami tercinta.

Inilah antara bukti kekuasaan Allah yang diperlihatkan di sebalik ibadah haji. Sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa memayungi hidup hamba yang taat atas setiap perintah-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa’ie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya” (Surah al-Baqarah, ayat 158).

Berdasarkan huraian ringkas berkaitan ibadah haji itu, sewajarnya setiap individu Muslim berazam untuk melaksanakan ibadah haji.

Bagi golongan muda khususnya, niat harus diletakkan sedari awal agar hasrat murni itu dipermudahkan Allah. Niat memainkan peranan yang penting bagi melaksanakan amal ibadah dalam Islam.

Niat bukan khayalan kosong, tetapi ia memainkan peranan yang besar dalam menjayakan tuntutan ibadah. Tanpa niat yang betul, amal ibadah tidak akan sempurna.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, niat untuk menunaikan ibadah haji perlu ditanam mulai sekarang. Niat yang murni bukan hanya sekadar niat, namun ia disertai dengan usaha dan gerak kerja ke arah hasrat yang hendak dicapai.

Menabunglah dari sekarang dan meletakkan sasaran serta mempersiapkan diri agar usaha murni kita dipermudahkan Allah.

Ambillah pengalaman jemaah haji sekembalinya mereka ke tanah air nanti supaya ia dapat memotivasikan diri untuk melakukan perkara yang sama.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: