Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 November 2010

Ibadat haji menuntut kekuatan mental dan fizikal

Posted by epondok di November 19, 2010

SEPENUH PENGHARAPAN...kesungguhan melakukan setiap kerja haji membolehkan seseorang pulang dengan  mendapat haji mabrur.
SEPENUH PENGHARAPAN…kesungguhan melakukan setiap kerja haji membolehkan seseorang pulang dengan mendapat haji mabrur.

 

 

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ZAMAN datuk nenek moyang, menunaikan haji di tanah suci Makkah dan Madinah adalah kemuncak kehidupan mereka.

Ketika itu tiada kemudahan seperti sekarang dan terpaksa menggunakan kapal laut.

Perjalanan mengambil masa berbulan-bulan.

Itulah pengorbanan besar mereka.

Pengembaraan haji adalah perjalanan ‘meleburkan’ segala dosa silam serta berusaha menjadi insan lebih baik.

Ibadah haji menggerakkan hati kita untuk memupuk sifat mahmudah seperti berkasih sayang, bantu membantu, bersedekah dan menghindari sifat pembengis, suka bergaduh dan mencari kesalahan orang lain, kecewa, pentingkan diri sendiri, kedekut, mengumpat, mencaci dan sebagainya.

Perjalanan rohani yang lalui itu dikukuhkan lagi dengan harapan semoga Allah mengurniakan ganjaran paling terbesar iaitu haji mabrur.

 

Malang sekali mereka yang ‘diberi’ peluang mengunjungi Baitullah namun apabila pulang masih seperti dulu.

 

Perubahan diri yang diharap bukan berlaku dalam sekelip mata tetapi beransur-ansur.

Contohnya jika dulu mereka pantang ditegur, mudah naik angin, marah tetapi selepas menunaikan haji, sifat itu tiada lagi.

Bersedia menerima teguran, lembut hatinya, disenangi orang di sekelilingnya menjadikan seorang itu sudah menerbitkan nilai mulia untuk terus melakukan perubahan.

Haji tidak seperti ibadah lain dalam rukun Islam kerana ia menuntut pengorbanan dan cabaran yang besar.

Ada yang memikirkan haji adalah masa di mana ketika itu kurang berseronok dan masa sesuai ‘bertaubat’.

Itu adalah pandangan salah kerana maut tidak ditetapkan bila buat diri kita.

Ibadah haji di tanah suci memerlukan seorang itu kuat mental, fizikal serta terdorong nafsunya.

Tujuan menunaikan haji bukan untuk berasa bangga membawa pulang gelaran haji pada pangkal nama sebaliknya bertambah ketaatan kita kepada Allah.

Beberapa larangan yang ditetapkan ketika melaksanakan ibadah haji bertujuan mendisiplin individu supaya mereka mengetahui matlamat sebenar ibadah haji.

Hanya mereka yang memiliki ilmu, keyakinan serta kesungguhan mengetahui hikmah dan falsafah haji.

Persiapan mental dan fizikal sangat mustahak kerana selama di kota Makkah dan Madinah mereka akan diuji pelbagai cabaran.

Contohnya, jemaah haji datang dari seluruh dunia, pasti mereka mempunyai pelbagai ragam selain berlainan bahasa, budaya, tradisi dan karakter dengan kita.

Jika tidak bersedia, mungkin menghadapi masalah tekanan sehingga mengganggu kelancaran beribadah.

Sabar adalah sifat yang paling dituntut.

Elak diri daripada perkara ‘jidal’ iaitu pertengkaran atau perbalahan sepanjang berada di tanah suci.

Ia mungkin remeh tetapi kesannya cukup besar.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam.” Gunakan masa mengerjakan solat secara berjemaah, membaca al-Quran serta amalan tawaf sunat, umrah sehingga selesai menunaikan ibadat haji.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ulama mengatakan haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil atau besar.

Kesan kepada peningkatan amal dan ibadah secara istiqamah selepas pulang mengerjakan haji menandakan ibadatnya diterima Allah.

Perwatakan ‘pemilik’ ganjaran haji mabrur sangat istimewa.

Mereka memperlihatkan perubahan dalam perbualan, pergaulan, tingkah laku dan cara berpakaian.

Cerminan terhadap orang yang baik sikap dan tingkah lakunya turut membabitkan tutur kata mereka.

Mereka tidak sesekali biadap atau celupar, memperlekehkan individu lain serta bangga dengan kehidupan dimilikinya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadah haji bukan perkara mudah kerana ganjaran yang disediakan Allah amat besar.

“Untuk mendapat sesuatu yang bernilai tinggi pasti memerlukan ‘harga yang tinggi’.

Ia bukan sekadar melakukan kerana ramaii orang melakukan perkara sama.

“Tidak ramai mampu menghayati ibadah haji malah ramai jemaah haji sekadar menziarahi kota Makkah dan Madinah tanpa memperoleh pengajaran daripada ibadah yang ditunaikan itu,” katanya.

Beliau berkata, persediaan terbaik memastikan mendapat haji mabrur ialah dengan bekalan ilmu secukupnya.

“Ilmu yang dipelajari perlu meliputi falsafah serta hikmah dalam kefarduan ibadah itu.

“Apabila hikmah dan falsafah dihayati, pasti seseorang tidak menunaikan haji sekadar menyempurnakan perlakuan tetapi menghayati dengan penuh keinsafan,” katanya.

Rahimi berkata, haji mabrur menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan dan ia janji Allah kepada hamba-Nya yang bersungguh dalam amalannya.

“Jika direnung, ganjaran haji mabrur terhasil melalui penghayatan dalam perlakuan ibadah haji.

Ia membawa kepada kesedaran, keinsafan serta pembaikan diri.

“Ketiga-tiga perkara ini penting dalam proses taubat.

Apabila taubat diterima, pasti dosa terdahulu terhapus.

“Nabi pernah bersabda, sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasik, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan ibunya,” katanya.

Beliau berkata, menunaikan haji adalah rukun yang diikat dengan kemampuan seseorang individu terutama daripada kewangan, kesihatan, fizikal dan keselamatan.

“Konsep ‘kemampuan’ ini memang dibincang ulama.

Mereka menggariskan kriteria yang jelas bagi menilai seseorang itu termasuk dalam kategori ‘mampu’ atau ‘tidak mampu’.

“Jika seseorang itu jelas termasuk dalam kategori tidak mampu, mereka diberi ruang pengecualian,” katanya.

Menurutnya, kekuatan fizikal serta mental dalam melaksanakan haji perlu dan lebih baik menunaikannya di usia muda.

“Jika usia muda dikatakan kurang mampu dari sudut kewangan, ia sangat relatif dan bergantung kepada bagaimana seseorang itu menyusun keutamaan dalam hidup.

“Realitinya, ada orang pada zahirnya mampu tetapi mendakwa ‘tidak mampu’ manakala ada individu pada zahirnya ‘tidak mampu’ tetapi membuktikan mereka mampu menunaikan ibadah haji.

“Jadi rebutlah peluang ketika kekuatan fizikal masih kuat iaitu pada usia muda,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »