Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 November 2010

Facebook bukan saluran terbaik atasi konflik rumah tangga

Posted by epondok di November 17, 2010

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Masyarakat perlu mengetahui penggunaan teknologi maklumat untuk kebaikan, elak disalah guna

FACEBOOK satu alternatif perhubungan di seluruh dunia mempunyai banyak kebaikan antaranya memudahkan perkongsian maklumat, pertukaran idea serta pandangan.

Selain itu, dari sudut ekonomi Facebook adalah ruang yang boleh menjana pendapatan seperti menjual barangan secara dalam talian (online) yang semakin berkembang kerana menjimatkan kos pengiklanan.

Ada juga perkongsian ilmiah dan dakwah Islamiah melalui sebaran artikel ataupun video untuk pengetahuan umum dalam Facebook dan ini menjadikan ia antara kaedah dakwah terkini yang dapat memberi kebaikan serta kesedaran kepada semua pihak.

Di sebalik banyak kebaikan, tidak dinafikan Facebook turut disalah guna untuk mendatangkan kemudaratan seperti pendedahan keaiban pihak tertentu, penyebaran gambar tidak sepatutnya dan video berunsur seks.

Tidak kurang menggunakan Facebook untuk meluahkan perasaan geram, benci, sedih dan lebih memburukkan, apabila ia dipanjangkan dengan komentar tidak sepatutnya terutama jika luahan berhubung hal rumah tangga.

Kesannya, akan timbul tekanan dan kemungkinan boleh mengundang pertengkaran suami isteri sehingga berlaku perceraian. Isu kecil menjadi besar seperti api kecil ditambah kayu api serta disiram petrol.

Mana-mana pihak yang mempunyai masalah rumah tangga diingatkan untuk tidak menggunakan Facebook sebagai tempat melepaskan geram atau marah kerana perbuatan itu hanya memberi kesan buruk kepada rumah tangga.

Kaedah terbaik adalah merujuk segala permasalahan kepada keluarga, ibu bapa, kaunselor agama yang bertauliah atau merujuk unit khidmat nasihat yang disediakan di pejabat agama.

Akhir-akhir ini banyak perkara tidak wajar ditemui dalam laman Facebook seperti video mengenai pihak tertentu sama ada dimuatkan sendiri oleh empunya diri atau dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan niat tidak baik.

Semua maklum, akaun Facebook bukan milik orang dewasa saja kerana remaja bawah umur juga dengan mudah boleh akses ke laman sembang itu yang mana turut memuatkan video tidak sesuai dengan usia mereka.

Terbaru, video menunjukkan dua individu bercium di khalayak ramai sehingga mengundang kemarahan orang awam disebarkan dalam Facebook. Ada dua andaian boleh dibuat daripada insiden itu.

Pertama, jika dinilai dari sudut kebaikan, individu yang memuatkan video itu berkemungkinan berniat ingin memberitahu orang ramai bahawa tindakan tergambar dalam video yang disebarkan itu adalah salah.

Sekali gus ini amaran supaya tidak melakukan perkara sembarangan kerana mungkin aksi memalukan itu akan dirakam dan disebarkan di Facebook.

Dari sudut lain, penyebaran video itu bagi sesetengah remaja memberi konotasi ia bukan perbuatan salah dan meniru perbuatan berkenaan sedangkan dari sudut undang-undang jenayah syariah, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Jenayah Syariah atas kesalahan berkelakuan tidak sopan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seharusnya cara pencegahan sepatutnya perlu diambil. Masyarakat dan orang awam mungkin tidak tahu mereka juga mempunyai kuasa melakukan pencegahan bukan menjadi penonton, pemberi komen atau menyalahkan pihak berkuasa semata-mata.

Orang awam perlu dimaklumkan jika ada perkara tidak sopan berlaku di mana-mana tempat, orang awam masih boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan kepada penguatkuasa di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk tindakan selanjutnya.

Jika pelakuan itu dimuat dalam laman web, tiada tindakan diambil dan akhirnya menyebabkan masyarakat memandang ia sebagai satu perkara biasa. Niat untuk mencegah perkara mungkar tidak akan sampai kepada maksudnya.

Masyarakat perlu memahami setiap ilmu, maklumat dan teknologi jika digunakan secara positif, hasilnya juga akan positif dan begitulah sebaliknya. Justeru, Facebook tidak boleh disalahkan, tetapi bagaimana kita menggunakannya perlu diberi perhatian.

Lagi satu, kepada pemilik akaun Facebook, berfikir sebelum memasukkan perkara mengaibkan diri sendiri akhirnya atau bertujuan memalukan orang lain kerana setiap perbuatan jenayah boleh dikenakan hukuman.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Langkah Sifar Sisa Perlu Lebih Inovatif

Posted by epondok di November 17, 2010

SM Mohamed Idris

Kerajaan Malaysia sedang menuju ke arah yang salah dalam menguruskan sisa pepejal perbandaran. Dilaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk membina lebih banyak insinerator di negara ini. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menentang insinerasi dan campurtangan lain.

Orang ramai terpaksa menanggung beban kewangan semua jenis insinerasi atau tapak pembuangan sampah. Kos kepada kerajaan tempatan akan meningkat dan komuniti akan berakhir dengan membayar cukai dan kos kesihatan awam.

Alternatifnya, mengurangkan sisa, mengitar semula dan menjadikan kompos lebih ekonomi berbanding insinerasi atau membuka tapak pembuangan sampah.

Insinerasi menawarkan penyelesaian yang cepat tetapi tidak wajar dan tapak pembuangan sampah yang semakin penuh pula. Insinerator tidak menyelesaikan masalah sisa perbandaran.

Ia mengeluarkan antara lain bahan partikel, gas, sebatian organik mudah meruap (VOC), logam berat, dioksin, sulfur dioksida, karbon monoksida, raksa, karbon dioksida dan furan. Malah jumlah gas toksik yang kecil yang keluar daripada insinerator boleh membahayakan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Contohnya, raksa merupakan neurotoksin yang berkesan dan merebak boleh menjejaskan fungsi motor, sensori dan kognitif. Dioksin merupakan bahan karsinogen paling berbahaya kepada manusia di mana tidak diketahui paras pendedahan yang selamat.

Mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada dioksin dan bahan pencemar lain ialah pekerja insinerator serta mereka yang tinggal berdekatan dengan insinerator, tetapi kesan insinerasi turut merentasi kawasan yang jauh; bahan pencemar organik berterusan (POPs) seperti dioksin dan furan boleh tersebar beribu kilometer dan terkumpul dalam haiwan dan manusia.

Pencemaran juga tersebar apabila makanan dihasilkan berdekatan insinerator yang kemudiannya dihantar kepada komuniti lain.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa rekabentuk dan teknologi insinerator baru akan menangani masalah pengeluaran gas. Bagaimanapun, dalam semua teknologi insinerasi, peralatan kawalan pencemaran udara merupakan peralatan utama yang memerangkap dan mengumpulkan pencemar toksik; ia tidak menghapuskannya.

Dengan memerangkap dan mengumpulkan bahan pencemar ini, ia akan dipindahkan kepada saluran alam sekitar lain seperti abu yang berterbangan, arang, sang dan sisa air. Insinerator masih memerlukan tapak pembuangan sampah.

Sisa abu perlu dihantar ke tapak pembuangan sampah untuk dilupuskan, berpotensi melarutresap ke dalam air bawah tanah, menyebarkan bahayanya.

Pihak berkuasa juga menyatakan kitar semula turut dijalankan sebelum sisa diinsinerasi atau dibuang. Peratusan kecil bahan berbaki selepas dikitar semula, digunakan semula dan dikomposkan dipanggil “sisa-sisa” sering beracun, kompleks dan mempunyai nilai tenaga yang lebih rendah. Insinerasi bukanlah strategi yang sesuai untuk menangani sisa. Dengan berbuat demikian ia menghasilkan pengeluaran gas berbahaya dan menjejaskan usaha untuk mengurangkan sampah.

Pendekatan yang lebih praktikal dengan kos yang lebih berkesan dan selamat mengandungi peratusan sisa yang tidak dikitar semula yang lebih kecil perlu dikaji dan melaksanakan dengan memanjangkannya kepada tanggungjawab pengeluar dan insentif serta peraturan lain supaya bahan dan produk ini dikeluarkan daripada pengeluaran dan menggantikannya dengan amalan yang lebih mapan.

Pelbagai sistem mengasingkan bahan daripada pembuangan telah dilaksanakan di seluruh dunia. Teras utama program ini ialah pintu ke pintu atau pusat pengumpulan bahan yang diasingkan untuk dikitar semula.

Peratusan sisa isirumah kita yang tinggi ialah bahan organik. Oleh itu, kompos memainkan peranan penting. Sistem kompos bahan organik yang paling mudah dan murah ialah melakukannya di rumah. Pilihan lain ialah melakukan kompos pada skala kejiranan.

Kerajaan perlu mendidik orang ramai supaya memisahkan sumber dan bergerak ke arah sifar sisa. Sifar sisa bermakna mewujudkan matlamat dan merancang untuk melabur dalam infrastruktur, tenaga kerja, dan strategi tempatan diperlukan untuk menghapuskan pergantungan kita kepada insinerator dan tapak pembuangan sampah.

Bandar raya di seluruh dunia termasuk Buenos Aires, Argentina; Canberra, Australia; Oakland, Amerika Syarikat; Nova Scotia, Kanada; Kovalam, India dan lain-lain, telah pun membuat satu kemajuan besar ke arah mencapai sifar sisa.

Bandar raya ini membina taman kitar semula dan kompos, melaksanakan sistem pengumpulan inovatif, memerlukan produk dibuat dalam cara yang lebih selamat, dan mewujudkan pekerjaan berasaskan tempatan.

Pelbagai dasar seperti Tanggungjawab Pengeluar, Pengeluaran Bersih, Cukai Pembungkusan, dan Pengharaman Bahan Khusus (seperti beg plastik, stirofom, PCBs dan sebagainya) telah terbukti berkesan dalam mengurangkan dan menghapuskan bahan bermasalah.

Kami menggesa Kerajaan Malaysia menghentikan pembinaan lebih banyak insinerator. Kunci kepada komuniti dan alam sekitar yang lebih sihat ialah untuk menyalurkan semula berjuta ringgit yang dilaburkan bagi sistem tapak pembuangan sampah dan insinerasi itu digunakan untuk pengurangan dan pencegahan sisa serta sistem sifar sisa.

// <![CDATA[//

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »