Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 November 2010

Ibadat korban antara kaedah umat Islam tebus dosa

Posted by epondok di November 16, 2010

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Hikmah amalan sembelih haiwan bantu individu kikis sikap bakhil, wujudkan kerjasama

KITA kini melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu Zulhijjah. Pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha.

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Korban itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadat korban.

Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat.

Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)

Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat.

Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)

Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”

Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak.

Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT.

Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima.

Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.

Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban.

Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)

Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Wukuf waktu terbaik jemaah muhasabah diri, mohon keampunan

Posted by epondok di November 16, 2010

Oleh Ibrahim Abdullah

PUNCAK ibadat haji jatuh pada 9 Zulhijjah dan pada waktu itu semua jemaah haji berkumpul di Padang Arafah, yang berlangsung pertemuan besar jemaah dari seluruh pelosok dunia bagi menggapai keampunan dan keredaan Allah SWT dengan melaksanakan ibadat wukuf.

Jemaah haji berkumpul di bawah khemah berwarna putih dan sekali gus Padang Arafah memutih dengan puncak ibadat haji. Mereka bersimpuh di hadapan Allah sambil berdoa dengan penuh pengharapan.

Walau terdapat perbezaan warna kulit, ras, etnik, bahasa dan adat, namun di Padang Arafah mereka bersepadu dalam kebesaran Allah dengan melupakan kebanggaan duniawi yang bersifat sementara.

Ulama sepakat falsafah yang perlu dihayati daripada ibadat haji adalah kesamaan darjat jemaah dalam pakaian ihram tidak berjahit dan warna putih menggambarkan kesucian di hadapan Allah.

Wukuf di Arafah juga mengingatkan manusia sejarah awal kehadirannya di dunia termasuk peristiwa turunnya Adam dan Hawa sebagai manusia pertama ke bumi dan bertemu di Padang Arafah setelah 200 tahun berpisah.

Semasa wukuf di Arafah, jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang ada seterusnya memohon keampunan Allah. Inilah saat hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keredaan.

Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayang-bayang syurga akan dapat digapai.

Wukuf adalah puncak ibadat haji, tanpa wukuf ibadat haji tidak berhasil. Bahkan yang sakit juga harus ikut ke Arafah untuk menunaikan rukun haji ini. Puncak wukuf di Arafah adalah khutbah wukuf.

Dalam setiap khutbah selalu diperdengarkan khutbah Rasulullah SAW yang disampaikan pada waktu mengerjakan haji terakhir (haji wada) kepada 100,000 jemaah yang turut serta dalam rombongan Baginda.

Dalam khutbahnya Nabi Muhammad SAW mengingatkan kaedah Islam, menghancurkan sendi musyrik dan jahiliah. Baginda mewasiatkan perlakuan baik terhadap wanita, hak wanita harus dipenuhi dan kewajipannya.

Khutbah Baginda SAW: “Wahai manusia, Tuhanmu hanyalah satu dan asalmu juga satu. Kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. keturunan, warna kulit, bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa. Orang Arab tidak lebih mulia dari yang bukan Arab, sebaliknya orang bukan Arab tidak lebih mulia dari orang Arab. Begitu pula orang kulit berwarna putih dengan orang kulit hitam dan sebaliknya orang kulit hitam dengan orang kulit berwarna putih, kecuali kerana takwanya.”

Mesej khutbah ini adalah persaudaraan sejagat yang menafikan perbezaan sesama manusia. Di mata Allah, hanya takwa yang membezakan kedudukan hamba-Nya.

Khusus kepada kaum wanita, Rasulullah SAW berpesan, supaya mempertahankan kaum wanita dengan sebaik-baiknya. Ini kerana di zaman jahiliah wanita diperlakukan dengan buruk dan bayi perempuan dibunuh dengan kejam.

Banyak perkara perlu diberi perhatian kini kerana ketika jemaah haji berkumpul di Arafah melaksanakan rukun haji, kita di sini yang bersiap sedia meraikan Aidiladha yang jatuh pada esok harinya jangan lupa muhasabah diri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »