Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 November 2010

Ibadat korban didik semangat kerjasama

Posted by epondok di November 15, 2010

Ummah digalak jalin silaturahim, bantu golongan kurang mampu buktikan keimanan

PUASA sunat bermula dari 1 hingga 9 Zulhijah dan memperbanyakkan takbir seawal selepas Subuh 9 Zulhijah sehingga petang 13 Zulhijah adalah amalan digalakkan kepada umat Islam bagi meraikan Aidiladha.

Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Meeftah Anuar, berkata selain ibadat korban, sambutan Aidiladha yang diraikan di seluruh dunia mempunyai falsafah yang perlu dihayati.

Katanya, korban bermaksud mendekatkan diri dalam segala bentuk ketaatan kepada Allah membuka peluang kepada umat Islam membuktikan rasa taat dan ingin dekat dengan Allah melalui amalan sunat yang galakkan. Inilah masanya untuk kita melakukan amalan yang digalakkan sepanjang Zulhijah seperti puasa sunat bermula dari 1 Zulhijah atau pada 9 Zulhijah iaitu hari Arafah. Selain itu diminta juga kita memperbanyakkan bertakbir memuji Allah.

Sebenarnya sunat bertakbir bermula dari selepas Subuh hari 9 Zulhijah, tetapi kebanyakan kita mula bertakbir selepas Maghrib. Kita digalakkan bertakbir hingga petang 13 Zulhijah dan diharap ini dapat dilaksanakan bagi meraikan Aidiladha, katanya.

Beliau berkata, amalan lain yang perlu diberi perhatian pada Aidiladha ialah mandi sunat hari raya, memilih pakaian yang terbaik, memakai wangian, tidak bersarapan sebelum ke masjid serta melalui jalan berlainan ketika pergi dan balik dari masjid.

Katanya, jika solat Aidilfitri dilambatkan bagi memberi peluang mereka yang belum membayar zakat menunaikan tanggungjawab itu, solat Aidiladha sunat dipercepatkan bagi meluaskan peluang orang yang melaksanakan ibadat korban.

Kelebihan amalan sunat dan ibadat korban yang disyariatkan Allah kepada hamba-Nya banyak dijelaskan wahyu dalam al-Quran serta hadis Rasulullah SAW untuk dihayati.

Firman Allah yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah al-Kawthar, ayat 2)

Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tiada amalan anak Adam pada hari Aidiladha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati. (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Mohd Meeftah berkata, masyarakat juga perlu menjaga tata tertib serta akhlak apabila terbabit melaksanakan ibadat korban supaya kesucian ibadat itu tidak dicemari dengan mengelak perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah.

Katanya, banyak perkara jika tidak diberi perhatian boleh menyebabkan ibadat yang sepatutnya membuktikan keimanan serta ketaatan kepada Allah dan untuk menjalin silaturahim antara semua lapisan masyarakat menjadi sia-sia.

Ada kala majlis menjanjikan pahala bertukar menjadi medan mengumpat sebab ada yang berebut kupon agihan daging dan bergaduh kenapa harga sana murah, tetapi sini mahal. Ada pula menyalahgunakan duit korban, beli baju untuk jawatankuasa atau buat makan besar.

Sedangkan falsafah korban bukan setakat sembelih binatang dan mengagihkan daging saja tetapi mendidik orang yang berkorban bagaimana untuk bekerjasama serta membantu golongan kurang bernasib baik, katanya.

Beliau berkata, sebaiknya pihak yang berkorban menyembelih sendiri binatang hendak dikorbankan atau mewakilkan kepada orang yang warak serta arif mengenai pelaksanaan ibadat itu kerana sembelihan ibadat korban bukan seperti sembelihan daging yang dimakan hari-hari.

Menyentuh kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail, yang diulang cerita atau dikaitkan secara langsung dengan ibadat korban, Mohd Meeftah berkata, ia tetap relevan kepada masyarakat hari ini melalui kefahaman bersesuaian dengan keadaan masyarakat.

Katanya, perintah Allah kepada Nabi Ibrahim adalah sesuatu yang luar biasa tetapi baginda tidak mempertikaikannya. Malangnya, perintah Allah kepada hambanya bukan yang pelik-pelik, tetapi ada yang tidak setuju malah mempertikai hukuman Allah.

Bayangkan Nabi Ibrahim menanti lama untuk mendapat zuriat dan selepas dikurniakan anak, diperintah disembelih anaknya itu. Takjubnya, anak dan ibu tidak mempertikaikan perintah itu dan ini memberi motivasi kepada Nabi Ibrahim.

Kesan daripada ketaatan itu Allah meringankan dengan menggantikan Nabi Ismail dengan qibasy. Jika kita hendak selesaikan masalah yang melanda masyarakat hari ini seperti jenayah, keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial, kembalilah taat kepada hukum Allah. Apabila kita sudah balik kepada Allah, Allah akan selesaikan untuk kita, katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »