Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Contohi Nabi dekati remaja

Posted by epondok di November 5, 2010


STATISTIK Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan kelahiran anak luar nikah dalam kalangan orang Melayu amat membimbangkan.

Bagi tahun 2007, sebanyak 16,100 kelahiran anak luar nikah; tahun 2008 (16,541) dan 2009 (17,303).

Secara tidak langsung hal ini menunjukkan bahawa remaja Melayu dan Islam berada dalam kemelut masalah sosial yang semakin menakutkan.

Jika ini berterusan, bagaimana kita mahu melihat lahirnya remaja sehebat Saidina Ali yang kental imannya sehingga sanggup dan berani menggantikan tempat tidur Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa hijrah.

Dalam aspek yang lebih makro, kepincangan yang berlaku kepada remaja masa kini menyebabkan kita bimbang mengenai nasib dan masa depan negara di bawah kepemimpinan mereka kelak.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman bagi mengupas isu ini menurut manhaj nabawi.

MEGA: Bagaimanakah perhatian Rasulullah SAW terhadap remaja yang akan menjadi pewaris sesebuah bangsa dan negara?

DR. FAUZI: Remaja adalah golongan majoriti dalam kebanyakan masyarakat termasuk di negara kita. Sekali gus mereka adalah aset masyarakat yang paling berharga. Pendek kata, masa depan sesuatu umat banyak bergantung kepada kualiti remaja berkenaan.

Malah, ungkapan: “Jika mahu melihat masa depan sesuatu umat, lihatlah kepada remaja masa kini” sering menjadi sebutan.

Kedudukan istimewa golongan muda atau remaja yang taat kepada Allah dan rasul-Nya terserlah apabila baginda menyenaraikan mereka antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak.

Malah, semasa hayat baginda, golongan ini berperanan dalam pentadbiran. Antaranya, Saidina Ali yang diberi tanggungjawab memulangkan harta milik Quraisy yang berada dalam simpanan nabi SAW.

Nabi juga memilih rumah seorang anak muda, al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat pertemuan pengikutnya semasa di Mekah.

Demikian juga Saidina Ali dan Usamah bin Zayd telah dilantik oleh baginda mengepalai angkatan perang menghadapi musuh-musuh Islam.

Malah, baginda turut memberi pujian kepada remaja yang cemerlang. Antaranya, Muaz bin Jabal melalui sabda baginda yang bermaksud: Orang yang mengetahui mengenai halal dan haram dalam kalangan umatku ialah Muas bin Jabal.

Ringkas cerita, Rasulullah SAW tidak pernah memperkecilkan peranan mana-mana pihak dalam membantu membangunkan Islam waima remaja sekali pun, jika mereka cemerlang tetap mendapat perhatian baginda.

Sering berlaku, golongan tua-tua tidak dapat menyelami perasaan remaja. Lalu, timbullah konflik antara mereka dan remaja. Dalam mengatasi hal ini, bagaimana Rasulullah melayani para remaja?

DR. FAUZI: Rasulullah begitu memahami tabiat anak muda. Lalu baginda menganjurkan untuk mereka sesuatu yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Baginda turut memberikan arahan langsung kepada anak-anak muda. Antaranya melalui sabda baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya saya sangat mengasihi mu demi Allah sesungguhnya saya sangat mengasihi mu. Saya berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah kamu tinggalkan pada setiap selepas solat untuk berkata: Ya Allah bantulah aku untuk mengingatkanmu, bersyukur kepadamu dan eloknya ibadat kepadamu. (riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasaie)

Dalam bab membendung gejala atau zina, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Wahai anak muda, Siapa di kalangan kamu yang mampu dengan memiliki keupayaan maka berkahwinlah…

Ternyata pesanan ini cukup berguna dalam membendung gejala sosial yang kita sebut tadi. Jika tidak mampu, hendaklah mereka banyak berpuasa kerana puasa boleh menenangkan gejolak nafsu.

Satu Respons to “Contohi Nabi dekati remaja”

  1. musi said

    Salam.
    Satu daripada sebab nya TV dan lain2 media tidak berperanan dengan betul. TV asyiq tunjukkan filem, iklan dan klip yang merangsang manusia buat maksiat. de iklan yang tayangkan berunsur maksiat dan mencabar nafsu. sepatutunya ia diharamkan saja, tapi kita tiada kuasa.
    Berbalik kepada peranan ibubapa. Ibubapa yang menjalankan peranan sebenar akan mengasuh mendidik anak-anaknya dengan penuh tanggung jawab dan kewajipan sebenar iaitu menanamkan iman. Namun ibu bapa yang melahirkan anak kerana bernafsu suami-isteri saja, tanpa doa dan asuhan didikan sepatutnya, anak2 jadi liar buas dan bernafsu hewan tak kira tempat. Punca utamanya IBUBAPA.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: