Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 November 2010

Bila ada Persatuan Mahasiswa sokong kerajaan tempah bala ALLAH

Posted by epondok di November 1, 2010

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan penubuhan hub pusat hiburan malam bagi memacu Program Tranformasi Ekonomi (ETP).

Perancangan itu adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan bagi memperkasakan sektor pelancongan di negara kita. Bayangkan betapa besar angka yang keuntungan yang akan diraih. Saya difahamkan sehingga mencecah RM 1.8 bilion seandainya projek ini mendapat sokongan semua.

Bagi saya saranan penubuhan hub pusat hiburan malam ini adalah bertepatan dengan slogan 1 Malaysia, rakyat sememangnya didahulukan seterusnya memenuhi citarasa warga Malaysia yang bagi saya tidak salah untuk berhibur.

Inilah sebenarnya kerajaan yang betul-betul memahami hasrat hati rakyat dan juga kami sebagai mahasiswa.

Saya juga berpendapat ini juga satu langkah yang cukup bijak bagi mengatasi gejala-gejala negatif yang timbul apabila hiburan disekat sekeras-kerasnya oleh pihak tertentu. Mereka tiada tempat untuk berhibur, dan keadaan inilah yang akan menyebabkan berlakunya masalah seperti pusat-pusat hiburan haram dan gejala lepak di jalanan.

Selaku mahasiswa juga saya melihat langkah ini sudah pasti sedikit sebanyak membantu kadar penurunan jenayah yang banyak kes melibatkan warga asing yang berpeleseran di ibu kota. Gangguan di jalanan juga dapat dibanteras apabila mereka tidak lagi berkumpul di jalanan semata-mata.

Saya juga berasa sedih apabila usaha murni kerajaan ini dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak. Mereka tanpa ada pandangan dan maklumat yang jelas tentang situasi sebenar dengan mudah dan bongkak menolak bahkan membantah usaha kerajaan ini. Apakah mereka ini lebih rela melihat kadar jenayah di negara semakin meningkat hari demi hari?

Justeru , saya mewakili seluruh mahasiswa yang berdiri teguh bersama kerajaan menyokong penuh usaha murni ini. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Penulis adalah Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya


15 Derhaka Menempah Bala Allah

sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Sayyidina Ali:

قال الرسول e : إِذَا فَعَلَتْ أُمَّتِي خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ ِبهَا البَلاءُ , قِيْلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ:  إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلا وَالأمَانَةُ مَغْنَمًا وَالزَّكَاةُمَغْرَمًا وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَبَرَّ صَدِيْقَهُ وَجَفَا أَبَاهُ وَارْتَفَعَتِ الأصْوَاتُ فِى المَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَشُرِبَتِ الخُمُوْرُ وَلُبِسَ الحَرِيْرُ وَاتُّخَذَتِ القِيَانُ وَالمَعَاِزفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأمَّةِ أَوَّلَهَا فَلْيَرْتَقِبُوْا عِنْدَ ذلِكَ رِيْحًا حَمْرَاءَ أَوْ خَسْفًا أَوْ مَسْخًا

Maksudnya : ” Apabila umatku telah membuat 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda :[1]Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar di kalangan golongan tertentu sahaja [2]Apabila amanah dijadikan suatu sumber dalam mengaut keuntungan [3] Zakat dijadikan hutang  [4] Suami menurut sahaja kehendak isteri [5] Anak derhaka terhadap ibunya [6] Anak terlalu mementingkan kawannya [7] Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya [8]Suara sudah ditinggikan dalam masjid [9]Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah orang yang paling hina di antara mereka [10] Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya [11]Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat [12] Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki [13] Para artis disanjung tinggi  [14] Muzik banyak dimainkan  [15] Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pertunangan bukan lesen bebas berduaan

Posted by epondok di November 1, 2010

Lebih malang, ada yang terlanjur sebelum majlis akad nikah. Nauzubillah. Sebenarnya, pertunangan satu ikatan yang masih longgar dari segi komitmen kerana hubungan pasangan bertunang masih dalam batas dibenarkan syarak bukan seperti mana suami isteri yang sah.

Pertunangan masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan atau terputus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwinan.

Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Ulama mencatatkan, antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana mereka masih belum sah menjadi suami isteri.

Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.

Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.

Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.

Dicadangkan pihak berwajib memikirkan mekanisme atau modul khusus untuk pasangan bertunang supaya dibimbing dengan ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunangan langkah permulaan kepada alam perkahwinan.

Ikatan pertunangan diamalkan masyarakat Islam tidak dinafikan memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing untuk berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.

Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan, seperti kata orang tua pasangan bertunang darah manis.

Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti.”

Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.

Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.

Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan, jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.

Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya.

Maka tidak seharusnya seseorang lelaki atau perempuan itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »