Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2010

Kewajipan kita terhadap hak al-Quran

Posted by epondok di November 30, 2010

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah al-Ma’idah ayat 48) Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 285) Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.

Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9).

Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran? Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim) Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi) Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.

Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa’i, dan Ibnu Hibban)

Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain)

Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hakikat yang tidak patut dikaji

Posted by epondok di November 30, 2010

OLEH PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BUkan semua perkara berkaitan agama boleh diperbahaskan mengguna logik akal dan ini termasuklah dalam bab ihsan di mana kita mesti yakin bahawa Allah itu melihat apa yang kita lakukan. – Gambar hiasan

 


 

SEBELUM kita memasuki tajuk minggu ini, pihak kami ada menerima komentar seorang pembaca bahawa bahan yang dikongsikan di ruangan ini terasa terlalu tinggi untuk kefahaman mereka.

Kami berterima kasih atas maklum balas ini dan ingin membuat sedikit penjelasan.

Seperti yang dimaklumi oleh mereka yang mengikuti rapat ruangan ini, buat masa ini, ruangan ini dikhususkan untuk berkongsi dengan para pembaca perbahasan yang bernilai daripada buku karangan seorang tokoh ulama mutakhir berkenaan isu-isu yang disalah-fahami oleh masyarakat.

Jika itulah yang menjadi tumpuan kita tidak hairanlah jika sebahagian pembaca merasakan isi kandungannya tinggi kerana biasanya isu-isu yang menimbulkan kekeliruan ini biasanya bukan isu-isu mudah.

Mereka yang tidak ‘terfitnah’ dengan isu-isu ini memang tidak begitu mudah mengikuti perbahasannya. Memang sepatutnya adalah lebih baik bagi agama mereka jika ditumpukan tajuk-tajuk asasi Islam, Iman dan Ihsan.

Malangnya, kita masih terpaksa menanganinya kerana tetap ada di sana sekelompok mereka yang sangat gemar menimbulkan isu-isu sebegini sehingga mencemarkan kefahaman umat.

Sepatutnya, seperti tajuk kita minggu ini, tidak semua polemik yang timbul di kalangan ulama mengenai pelbagai masalah agama dan akidah, dibebankan oleh Allah SWT ke atas kita untuk membahaskannya.

Bahkan, kita berpendapat, bahawa polemik ini hanya akan melenyapkan kehebatan dan keagungan perkara tersebut. Misalnya perselisihan ulama mengenai Nabi Muhammad SAW melihat Allah dan caranya.

Perselisihan yang panjang lebar sentiasa berlegar di kalangan mereka mengenai permasalahan ini. Ada ulama berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat Allah SWT dengan hatinya. Sementara ulama lain berpendapat, Nabi Muhammad SAW melihat-Nya dengan kedua-dua belah matanya.

Masing-masing mengemukakan dalil mereka dan menguatkan hujah mereka dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Apa yang saya lihat, semua yang mereka lakukan itu adalah sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

Bahkan, kemudaratannya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Apatah lagi jika kandungan polemik itu didengari oleh umat Islam awam. Tidak mustahil, jika mereka mendengar dan mengetahui hal-hal yang diperdebatkan itu, pasti akan timbul keraguan dalam hati mereka.

Seandainya kita meninggalkan perbahasan mengenai perkara ini, dan memadai kita menyebut apa adanya, pasti ia akan kekal menjadi perkara yang mulia dan tidak akan hilang keagungannya dalam jiwa manusia.

Umpamanya, kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW melihat Tuhannya. Cukup sekadar itu sahaja, tanpa dilanjutkan perbahasannya dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ikhlas capai kesempurnaan iman

Posted by epondok di November 29, 2010

Oleh Dr Aminudin Mansor

SIFAT ikhlas sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana orang yang ikhlas dianggap sempurna imannya. Ikhlas adalah sifat jujur yang dipraktikkan melalui perbuatan, percakapan dan amalan seharian.

Ikhlas datang daripada hati akan menjadikan sesuatu perbuatan dan amal itu diterima Allah. Nabi SAW bersabda; Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, sifat ikhlas penting dalam memberi dan menolak sesuatu yang haram serta membenci perbuatan tidak baik. Malah, tujuan berkahwin yang ikhlas kerana Allah sangat dituntut Islam kerana ia adalah cara menuju kesempurnaan iman.

Begitulah tingginya kedudukan sifat ikhlas dalam hati Muslim. Sifat ikhlas dapat dididik kepada anak melalui pemberian, percakapan dan membenci sesuatu perkara yang dilarang Allah. Pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan.

Ikhlas sebenarnya wujud dari hati, bukan melalui percakapan. Ada sesetengah orang mengatakan, pemberian saya ini ikhlas. Belum tentu sifat ikhlas itu wujud seratus peratus kerana pemberian yang ikhlas adalah lebih baik dilakukan secara diam-diam dan tidak perlu ia dihebahkan kepada orang ramai.

Sukar untuk menentukan keikhlasan yang datang dari hati. Hanya seseorang yang beriman dan betul-betul ikhlas yang dapat mentafsirkan pemberiannya ikhlas atau ada maksud di sebaliknya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang salih, maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (Riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Seseorang yang sentiasa mendidik hatinya untuk ikhlas melalui perbuatan, percakapan dan pemberian akan dapat menuju ke arah ketakwaan kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Siapa memurkakan Allah untuk meraih keredaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang meredainya menjadi murka kepadanya. Namun, siapa yang meredakan Allah (meskipun) dalam kemurkaan manusia maka Allah akan meredainya dan meredakan kepadanya, orang yang pernah memurkai-Nya, sehingga Allah memperindah dirinya, memperindah ucapannya dan perbuatan dalam pandangan-Nya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Sifat ikhlas wajar dididik dan dilatih sejak kecil lagi. Bimbingan pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan dalam pemberian, perlakuan dan perbuatan. Oleh itu, sifat ikhlas ini tidak perlu dipamerkan tetapi dipraktikkan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Penciptaan bumi bukti kekuasaan Allah

Posted by epondok di November 28, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT telah menerangkan tentang kedatangan hari kiamat, bahawa manusia pada hari itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan manusia yang celaka dan yang bahagia.

“Seterusnya Dia menjelaskan pula bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia yang saat itu bersuka ria, yang mana tergambar pada wajah-wajah ceria.

“Lalu, ditegaskan dengan mengemukakan hujah-hujah untuk melumpuhkan orang yang mengingkari-Nya. Diarahkan pendangan mereka untuk mengamati jejak kekuasaan-Nya atas sesuatu yang ada di hadapan mereka dan yang berada dalam jangkauan penglihatan mereka seperti langit yang menaunginya, bumi yang menyanggahnya, unta yang dimanfaatkan untuk berpergian serta dimakan dagingnya, diminum susunya, manakala bulu-bulunya dijadikan pakaian, dan gunung-ganang sebagai panduan mereka di padang sahara dan ketika menyusuri jejak”.

Firman Allah SWT: (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Al-Mawardi berkata: Berdasarkan ayat-ayat ini menunjukkan tiga perkara:

i. Untuk mereka berdalil dan mengambil bukti serta pengajaran atas kudrat Allah dan Keesaannya.

ii. Supaya mereka mengetahui berkenaan kudrat-Nya atas semua perkara dan mampu serta berkuasa untuk membangkitkan mereka pada hari kiamat, seperti kata Yahya bin Salam.

iii. Allah SWT tatkala menyifatkan syurga kepada mereka lantas mereka yang sesat merasa hairan. Justeru, disebut bagi mereka tentang perkara yang ajaib untuk menghilangkan kehairanan mereka. Inilah pendapat Qatadah.

Kenapa dinyatakan unta?

Sayid Qutub berkata: Unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan alat kenderaan dan pengangkutan mereka. Susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka.

Bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Ia merupakan sumber utama kehidupan.

Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah namun ia mudah dituntun.

Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Walaupun kegunaan dan perkhidmatannya begitu besar, namun perbelanjaan memeliharanya kecil. Makanannya senang dan belanjanya murah.

Unta adalah binatang yang paling sabar dan tahan lasak. Ia tahan lapar, dahaga, penat dan gigih menghadapi keadaan-keadaan yang buruk.

Firman Allah SWT: dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?

Ibn Kathir berkata: Syuraih al-Qadi menyebut: Marilah keluar bersama kami sehingga kami dapat melihat unta bagaimana ia diciptakan dan langit bagaimana diangkatnya. Bagaimana Allah SWT mengangkat langit daripada bumi? Hal ini amat besar dan hebat.

Firman Allah SWT: dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

Ibn Kathir berkata: Ia bertujuan untuk menetapkan bumi dengan pasaknya. Begitu juga dijadikan padanya sebahagian daripada manfaat dan hasil galian.

Al-Maghari menambah: Ia dapat didaki pada setiap saat, menjadi panduan bagi orang yang melintasi padang tandus dan menjadi tempat pancuran air hujan untuk mengairi tanaman dan minuman haiwan.

Firman Allah SWT: dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Hamka berkata: Dan perjalanan itu dilakukan di muka bumi, beratap langit, berpasak gunung dan alat pengangkutan unta. Semuanya terjadi di muka bumi, maka dengan sendirinya sebagai renungan terakhir memandang bagaimana Allah SWT menghamparkan bumi untuk manusia hidup.

Penutup

Sayid Qutub berkata: Empat ayat pendek ini mengumpulkan bahagian-bahagian alam sekitar masyarakat Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka buat pertama kalinya.

Di samping itu, ia mengumpul bahagian kejadian yang nyata di seluruh alam ini iaitu kejadian langit, bumi, gunung-ganang dan unta yang mewakili seluruh haiwan yang lain dengan keistimewaan kejadiannya serta nilai khususnya dalam masyarakat Arab.

Seluruh pemandangan terbentang kepada semua penglihatan manusia. Di mana sahaja mereka berada, akan bertembung dengan langit, bumi, gunung-ganang dan haiwan.

Walaupun sebanyak mana dan sejauh mana ilmu pengetahuan dan tamadun manusia, namun seluruh pemandangan ini tetap di dalam alam mereka dan di dalam kemampuan akal mereka.

Dan seluruh pemandangan ini menyarankan kepada mereka hikmah yang wujud di sebalik penciptaannya apabila mereka menumpukan perhatian untuk mencari makna dan tujuan di sebaliknya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan mengetahui dalil untuk makrifah Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Doa,sabar senjata ampuh hadapi musibah

Posted by epondok di November 28, 2010

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” – (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Kehidupan di dunia tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun akan terlepas daripadanya. Ia adalah untuk membuktikan siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang bersabar dan tetap memohon perlindungan kepada Allah dalam apa juga keadaan.

Ibnu Kathir menjelaskan, melafazkan ayat sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui dirinya hamba milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.

Berhadapan dengan keadaan yang sukar, setiap Muslim sewajarnya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap nasib mangsa yang ditimpa musibah dengan meringankan segala kesulitan dihadapinya di samping menyelami hikmah di sebalik musibah yang menimpa.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya sentiasa berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala malapetaka dan musibah. Sabda Rasulullah yang maksudnya: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Hadis riwayat Tabrani)

Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin apabila berada pada saat genting, lebih-lebih lagi ketika ditimpa musibah yang berlaku di luar jangkaan. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan manusia daripada bencana selain Allah Maha Berkuasa.

Menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka yang melanda. Janganlah pula merasa lemah semangat, berdukacita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan dari Allah dan jangan kamu merasa lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan, “kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya jadi begini…”. Sebaliknya katakanlah, “itu adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti akan terjadi”. Sebenarnya perkataan ‘kalau’ itu membuka pintu kepada perbuatan syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitulah sifat Muslim yang sebenarnya apabila berhadapan sebarang musibah atau bencana dalam kehidupannya dengan kesabarannya, ketenangannya dan penerimaannya terhadap segala ketentuan Ilahi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Insan tak putus asa berdoa penuh keyakinan dimakbulkan hajat

Posted by epondok di November 27, 2010

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

IMAM Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman iaitu yakin adanya Allah SWT dan yakin pula terhadap sifat-Nya antaranya pemberi rahmat, hendaknya kita sandarkan harapan baik kepada Allah dengan sepenuh hati.

Selanjutnya, Imam Ghazali menyatakan bahawa agama Islam mengajar di samping seseorang berikhtiar, hendaklah dilengkapi dengan doa. Doa sebagai tanda seseorang mempunyai harapan baik kepada Allah SWT.

Katanya lagi, orang yang berputus asa daripada rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. Dalam al-Quran, orang demikian dianggap kafir (tertutup hatinya dan tidak percaya adanya pertolongan Allah).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)

Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya yang luas dan tidak terhitung banyaknya.

Banyaknya rahmat Allah dapat dilihat melalui hadis diriwayatkan Abul-Latis dengan sanadnya daripada Al-Hasan berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”

Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup atas dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk ke syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya.” Sahabat bertanya: “Tidak juga anda, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan keampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT tidak membezakan hamba untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang yang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.

Orang yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110)

Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kerana hajat kita akan dimakbulkan dengan syarat tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya ayat 88)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kecelaruan nasab akibat jahil hukum anak angkat

Posted by epondok di November 26, 2010

Oleh Tuan Musa Awang

Bin atau bintikan bayi dengan nama bapa angkat cetus masalah seperti wali, perwarisan

PENDEDAHAN mengenai sindiket penjualan bayi yang mampu mendaftar kelahiran dan pada masa sama berupaya menghapuskan identiti ibu bapa kandung bayi akan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan terutama jika yang membeli adalah orang Islam.
Mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus dalam Islam, namun perbuatan mendaftarkan nama anak angkat dengan berbin atau bintikan nama bapa angkat adalah haram.
Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Panggillah anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” – (Surah al-Ahzab, ayat 4 dan 5)

Sementara Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membinkan (atau binti) kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, maka ia dilaknati oleh Allah.”

Dalam suatu riwayat oleh Aisyah Abu Bakar, Abu Huzaifah ibn Utbah dan Salim Mawla Abu Huzaifah berkata: “Abu Hudhaifah, salah seorang yang berjuang dalam perang Badar dengan Nabi Allah, mengambil Salim sebagai anaknya dan mengahwini anak buah perempuannya Hind binti Al-Wahd bin ‘Utba padanya dan Salim sebagai seorang hamba dibebaskan daripada seorang wanita Ansar. Nabi Allah juga mengambil Zaid sebagai anak lelakinya.

Sewaktu zaman Jahiliah sebelum Islam adatnya adalah biasa, jika seorang mengangkat seorang anak lelaki, orang memanggilnya dengan nama bapa angkatnya yang dia akan mewarisi juga, hingga Allah mewahyukan: “Panggil mereka (anak lelaki angkat) dengan (nama) bapa mereka.”
Orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengekalkan nama bapa sebenar anak itu, jika bapa sebenar itu beragama Islam atau dibinkan kepada Abdullah jika anak angkatnya itu bukan berasal daripada orang Islam.

Menukar nama bapa sebenar adalah seperti menafikan dan memutuskan perhubungan nasab antara anak dengan ibu bapanya dan melucutkan hak perwalian bapa sebenar ke atas anaknya. Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Maad, mencatatkan: Sesungguhnya nasab itu sabit pada asalnya ialah kepada bapa.”

Hak menetapkan nasab itu ialah hak Allah dan memelihara hak Allah serta hak kanak-kanak itu wajib kerana Islam memelihara asal keturunan atau nasab penganutnya.

Soal mendaftarkan anak angkat kepada bapa angkat jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kecelaruan generasi dan keturunan umat Islam. Seorang gadis yang diwalikan bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim.

Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali seperti bapa kandung. Jika ibu bapa angkat berpakat menyembunyikan perkara ini dan membiarkan bapa angkat mewalikan pernikahan anak angkatnya, maka perkahwinan itu tidak sah (fasid).

Bagaimana pula dengan status nasab anak yang lahir daripada pernikahan yang fasid. Ini perlu diberi perhatian ibu dan bapa angkat supaya tidak mengambil ringan hukum agama yang akibatnya nanti hanya akan mendatangkan keburukan kepada anak angkat mereka.

Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat juga dibatasi hukum hakam syarak, walaupun anak diambil, dipelihara sejak kecil dan tinggal di bawah satu bumbung seperti masalah aurat serta pergaulan kerana adik beradik angkat adalah bukan mahram.

Dalam pewarisan, anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa angkat kecuali ada sebab lain yang diharuskan syarak seperti hibah atau wasiat.

Jika status anak angkat disembunyikan bagi mendapat bahagian dalam harta waris, maka ia akan menghalang keluarga sebenar yang lebih berhak, menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan keluarga. Harta diperoleh juga adalah haram kerana bukan haknya yang sebenar.

Sehingga kini, tiada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang membolehkan seseorang dihukum atas kesalahan menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Bagaimanapun, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberi atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaan kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”

Merahsiakan status anak angkat kerana takut anak itu kembali kepada keluarga asal adalah dilarang kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya sebenar.

Ia juga akan menimbulkan kesan besar kepada perkembangan masyarakat dan keturunan umat Islam kerana dikhuatiri suatu masa nanti ramai anak yang diragui status keturunannya kerana kesilapan ketika mendaftarkan kelahiran. Walaupun anak dijaga pihak lain, asal usul keturunan perlu dikekalkan dan dipertahankan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Masak sayur campur arak guna logo HALAL

Posted by epondok di November 25, 2010

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

Penolong Pegawai Perihal Dagangan KPDNKK Selangor, Saiful Aznan Mohd. Isa menunjukkan botol mengandungi ramuan masakan mengandungi arak yang digunakan oleh sebuah restoran di Petaling Jaya semalam.

 


 

PETALING JAYA – Sebuah restoran yang menyajikan makanan berasaskan sayur-sayuran di Jalan 8/1E di sini diserbu semalam selepas didapati menggunakan bahan masakan mengandungi arak tetapi memaparkan logo halal palsu yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Logo halal palsu itu dengan saiz yang agak besar ditampal pada pintu masuk hadapan premis tersebut bagi mengaburi pelanggan beragama Islam sejak lima tahun lalu.

Serbuan dilakukan oleh lapan anggota penguat kuasa Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun tiada pelanggan ketika serbuan dilakukan.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Cawangan Hab Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, pemeriksaan awal mendapati premis itu menggunakan bahan masakan yang meragukan selain tukang masak dari Myanmar.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ramai hidap HIV melalui seks

Posted by epondok di November 25, 2010

KUALA LUMPUR – Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie.

Beliau berkata, kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini melalui suntikan dadah (IDU).

Katanya, lebih membimbangkan, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV.

Malah kata beliau, menurut laporan Suruhanjaya mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi IDU dan mengadakan hubungan seks rambang akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang.

“Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan. Keadaan ini agak membimbangkan,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Taqwa rawati hati busuk

Posted by epondok di November 25, 2010

Oleh Noraini Ismail

JIKA seseorang itu sakit, doktor boleh merawat dan mengubati penyakit itu, tetapi jika seseorang itu menghidap penyakit berpunca daripada hati, tiada siapa dapat merawatnya termasuklah doktor

Allah tidak melihat rupa atau berapa banyak harta hamba-Nya di akhirat kelak, tetapi Allah memberi penilaian tinggi kepada hamba yang memiliki hati mulia dan hati juga mencerminkan peribadi seseorang itu.

Setiap perbuatan baik yang dilakukan mencerminkan kesucian hati. Hati yang bersih dapat menolong kita di akhirat, sebaliknya jika hati busuk tiada siapa dapat mengubatinya termasuklah doktor,

Hati terbahagi kepada empat, iaitu hati baik, hati sakit, hati mati dan hati yang lalai sementara hati yang busuk sebenarnya bukan sifat Islam, tetapi lebih menggambarkan kepada golongan Yahudi.

Sesiapa berhati busuk banyak mewarisi sifat mazmumah dan ciri itu memang ada kepada golongan Yahudi yang bukan saja jahat, tetapi sombong serta munafik. Golongan itu mempunyai sifat keji seperti suka berdendam dan cemburu.

Sementara hati yang mati pula menggambarkan sikap seseorang yang hidupnya tidak mempunyai tujuan, golongan ini tidak dapat menilai kebenaran kerana mereka tidak menggunakan pancaindera untuk beriman kepada Tuhan.

Mereka mempunyai mata, tetapi buta kerana tidak dapat membezakan yang baik dan buruk. Ada telinga, tetapi pekak kerana tidak suka mendengar perkara membawa kebaikan. Pengertian hidup bagi golongan ini hanya untuk berseronok, megah dengan kemewahan dimiliki dan pentingkan duniawi, katanya.

Umat Islam perlu sentiasa mengingati mati supaya hati mereka berasa takut untuk melakukan perkara yang menimbulkan kebencian Allah sebaliknya akan bersungguh-sungguh mencari keredaan Allah.

Bagi mengawal hati supaya tidak lalai, umat Islam perlu melawan syaitan iaitu musuh yang kerjanya merosakkan hati dan tidak suka kepada orang yang bertaubat, sentiasa dalam wuduk dan membaca al-Quran.

Selain itu, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri serta membasahi lidah dengan berzikir mengingati dan memuji kebesaran Allah.

Setiap umat Islam kena jaga mata kerana syaitan akan masuk ikut mata terus ke hati. Setiap lelaki dan wanita juga kena kawal mata kerana ia boleh mencegah perbuatan maksiat termasuk zina.

Umat Islam juga hendaklah mengawal lidah kerana tutur kata tidak baik boleh merosakkan hubungan dan untuk melawan nafsu pula, umat Islam perlu tingkatkan ibadat terutama solat, mengadakan qiamulail, menambah ilmu pengetahuan agama dan mengikuti program dianjurkan masjid atau surau.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »