Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2010

Berdosa salah guna facebook

Posted by epondok di Oktober 31, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

 

KEGILAAN SATU DUNIA...facebook yang dilancar pada Februari 2004 mempunyai sejumlah 500 juta pengguna aktif setakat Julai lalu.
KEGILAAN SATU DUNIA…facebook yang dilancar pada Februari 2004 mempunyai sejumlah 500 juta pengguna aktif setakat Julai lalu.

SELEPAS sekian lama meninggalkan bangku persekolahan, memang tidak menyangka bertemu semula kenalan lama selepas berbelas tahun terpisah.

Inilah manfaat laman sosial yang kini menjadi kegilaan masyarakat terutama golongan muda.

Facebook mendapat sambutan sehingga syarikat pengeluar telefon bimbit mengeluarkan

 

telefon yang mempunyai aplikasi lebih mudah untuk mengemas kini profil pada bila-bila masa.

 

Malah, ada yang bertemu jodoh selepas ‘bersembang’ di alam maya Facebook. Begitulah berpengaruh laman sosial ini kepada masyarakat teknologi maklumat hari ini.

Namun, kebaikan dan manfaat Facebook kini disalah guna sesetengah pihak untuk melakukan segala macam perbuatan negatif.

Ada yang mendedahkan aurat, maki hamun, fitnah serta mendedahkan keaiban suami isteri.

Paling ditakuti apabila ada pihak mengambil kesempatan membuat akaun peribadi orang lain lalu menyebarkan gambar atau maklumat palsu.

Ada pula yang menggunakan kemudahan Facebook untuk mempersendakan agama serta membuat kenyataan bersifat perkauman yang boleh menggugat keharmonian.

Ini bertentangan dengan etika dan amalan agama. Tiada halangan kepada pemilik akaun Facebook meluahkan perasaan, cuma berhati-hati dan jangan keterlaluan.

Kisah dan perihal rumah tangga contohnya, tidak boleh diceritakan secara terbuka.

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam Ghazali menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah.

Jika mendengar cerita kurang baik, pastikan sumber itu sahih, bukan fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujuraat, ayat 6)

Kita tidak boleh menghina antara satu lain kerana belum pasti golongan yang kita

hina itu lebih mulia daripada kita.

Amalan mencaci, memaki hamun, memalukan orang lain sesuka hati dan memanggil mereka dengan gelaran yang tidak baik adalah berdosa.

Kesan fitnah boleh mencetus pergaduhan besar, malah membawa kepada pembunuhan dan kerugian harta benda.

Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah ayat 191)

Cukup mudah dan pantas penyebaran fitnah di zaman teknologi moden ini. Selain facebook, kemudahan lain yang boleh didapati sebagai saluran komunikasi ialah web, blog, serta e-mel.

Fitnah tidak lain hanya untuk memburukkan dan menjatuhkan seseorang.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengenai berita benar atau palsu yang disebarkan tanpa kebenaran, Rasulullah bersabda bermaksud: “Adakah kamu mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu Baginda meneruskan sabdanya: “Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.” Lalu ditanya oleh seorang sahabat: “Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?” Rasulullah bersabda: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Larangan mencari kesalahan amat ditegah. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan (terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang dan jangan pula sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa dia memakan daging saudara nya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat ayat 12)

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan secara halal.

“Kemudahan yang ada hendaklah digunakan bagi tujuan kebaikan dan bermanfaat.

“Ini penting bagi mengelak sebarang fitnah sama ada terhadap orang lain atau diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata jalinan silaturahim yang dikembangkan melalui kecanggihan teknologi komunikasi berkenaan hendak lah dimanfaatkan sebaiknya.

“Kemudahan berkomunikasi melalui laman sosial ini memudahkan interaksi. Cuma jangan dimanipulasi bagi tujuan jahat atau melalaikan.

“Elak bersembang perkara sia-sia, membangkitkan nafsu syahwat serta mengadu domba. Malah, jangan menggunakan ‘kebebasan’ diberikan untuk menyamar sebagai individu lain bagi menjatuhkan seseorang,” katanya.

Zamihan berkata bagi golo ngan yang mempersendakan agama mereka adalah golongan pencetus yang akan dipertang gungjawabkan atas isu yang mereka cipta.

“Penjenayah siber ini menimbulkan huru-hara, tetapi kekeliruan terhadap pegangan agamanya, malah ada yang ‘menarik’ pengikut untuk menyokong usaha dan idea dangkal mereka.

‘Saham’ dosa bukan saja diterima individu terbabit, malah bagi yang turut serta secara langsung dengan meletakkan komen juga turut sama mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata menjadi satu kesalahan besar dan haram hukumnya bagi mereka yang menggunakan maklumat serta gambar peribadi orang lain tanpa persetujuan.

“Tambahan lagi, jika ia digunakan untuk matlamat yang salah, pasti mewujudkan perselisihan faham, cabar mencabar dan perbalahan besar.

“Akibatnya, orang sekeliling memberi gambaran tidak baik serta hilang kepercayaan terhadap seseorang yang di fitnah. Dosa mereka tidak akan diampunkan Allah sehingga orang yang teraniaya itu mengampunkan dosa mereka,” katanya.

Beliau berkata laman sosial seperti facebook atau apa saja ruangan yang boleh diakses perlu diselidiki asas kebenarannya.

“Dalam mencari sumber yang benar, pastikan kita merujuk kepada golongan ketiga iaitu mereka yang ahli atau pakar mengenainya,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tunaikan amanah kepimpinan penuh ikhlas

Posted by epondok di Oktober 31, 2010

Oleh Nik salida Suhaila Nik Saleh

Setiap Muslim mesti laksana amanah sebagai khalifah untuk makmurkan agama, negara

PELBAGAI bentuk penindasan dihadapi umat dan negara Islam tetapi kita di Malaysia masih dianugerahkan nikmat dan rahmat-Nya. Pemimpin dan rakyat saling merancang keperluan negara untuk membina serta memastikan kesejagatan sentiasa memihak kepada kebajikan golongan tidak bernasib baik.

Tanggungjawab memakmurkan negara bukan terletak dibahu pemimpin semata-mata, sebaliknya setiap rakyat terutama umat Islam perlu sentiasa mengambil berat soal kesejahteraan, keamanan, keharmonian, diplomasi, kesepakatan dan ikhlas berjuang menyatupadukan hati setiap warga negara.

Apabila melantik pemimpin, ia tidak bermakna orang yang dipimpin menyerahkan tanggungjawab seluruhnya kepada ketua, sehingga beban seberat zarah tidak ingin dipikul kerana mengharapkan bantuan orang yang lebih berkuasa.

Alangkah indah andainya kita mengambil berat soal kebajikan saudara seagama sehingga setiap rakyat turut memainkan peranan sebagai pemimpin kepada ahli masyarakat lainnya.

Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata ceruk rantau serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah Al-Mulk, ayat 15)

Al-Quran dan hadis tersedia sebagai panduan bagaimana memakmurkan negara menurut wahyu. Manusia dilantik sebagai khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir dunia dengan sempurna, bukan memusnahkannya.

Malah, jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas hak setiap makhluk Allah SWT yang dilakukan tanpa keizinan yang diredai Allah SWT, wajiblah kita bertaubat dan kembali kepada Allah SWT dengan memohon keampunan.

Tugas memakmurkan muka bumi wajib ke atas setiap umat Islam untuk mengimbangi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, peranan merancang pelan strategik negara demi faedah setiap individu, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

Ketangkasan berfikir untuk menyelesaikan pelbagai masalah membabitkan perselisihan antara umat Islam, mengelakkan masalah akhlak, menjauhi skandal dan tidak bersekutu dengan pihak menolak wahyu dan tradisi Rasulullah SAW, melambangkan keperibadian khalifah dilantik Allah.

Permusuhan sebenarnya hanya membawa misi kegagalan bahkan memalukan umat Islam sendiri.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’du, ayat 11)

Kita seharusnya sedar setiap dilakukan di dunia untuk mendapatkan keredaan Allah. Setiap komitmen memajukan diri serta membangunkan modal insan mestilah berpaksikan hukum, supaya tidak tersilap mengatur langkah, walaupun tiada niat menyesatkan orang lain.

Setiap individu mesti menanam tekad membawa diri selurus-lurusnya mengikut landasan dibina Rasulullah SAW dan para khulafa’ sesudahnya dengan susah payah.

Mendekatkan jurang peribadi setiap Muslim, umat Islam mestilah mengisi dada dan hiasi personaliti dengan ilmu dan nilai murni kerana itulah yang akan mengangkat darjah ummah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Memakmurkan negara bukan tanggungjawab enteng melainkan mulai hari ini, setiap individu Muslim memantapkan siasah kerana hanya orang berilmu dan berpegangan agama boleh merealisasikan wawasan agama serta negara.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Larangan mengada-adakan dalam urusan agama

Posted by epondok di Oktober 30, 2010

PERLU diingat, sesungguhnya orang yang berbicara mengenai bidaah ini ialah Nabi Muhammad SAW yang bijaksana. Lidahnya adalah lidah syarak. Maka perlu difahami kalamnya menurut timbangan syarak yang dibawanya.

Inilah perkara yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya dihindari sebagaimana sabdanya: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka perbuatan itu ditolak”.

Jadi, batasan pemisah dalam perkara ini ialah sabda Rasulullah SAW: (dalam urusan agama kami ini).

Atas dasar itu, maka pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah dan sayyi’ah menurut pemahaman kami hanyalah pembahagian menurut etimologis atau lughawi (bahasa).

Sebenarnya yang dikategorikan sebagai bidaah hasanah itu bukanlah bidaah hakiki. Ia sekadar suatu ciptaan dan perkara baru yang tidak bercanggah dengan syarak.

Kita semua tidak merasa ragu, bahawa istilah bidaah dengan pengertian syarak adalah sesuatu yang menyesatkan, fitnah yang tercela, ditolak dan dimurkai.

Jika mereka yang mengingkari pendapat kami dapat memahami makna ini, nescaya akan terlihatlah bagi mereka bahawa titik penyatuan semakin hampir, manakala medan pertelingkahan dan pertentangan semakin jauh.

Untuk lebih mendekatkan lagi kefahaman-kefahaman ini, kami berpandangan bahawa orang yang mengingkari pembahagian bidaah ini, hanya mengingkari pembahagian bidaah syariyyah berdalilkan perbuatan mereka membahagikan bidaah kepada bidaah diniyyah dan bidaah dunyawiyyah.

Sementara itu, orang yang membahagikan bidaah kepada bidaah hasanah dan bidaah sayyi’ah pula berpandangan ia ini hanya berdasarkan bidaah lughawi, kerana mereka juga tetap berpendirian: “Sesungguhnya penambahan dalam agama dan syariat Islam itu merupakan suatu kesesatan dan kejahatan yang besar.

Dengan demikian, perbezaan yang terjadi antara umat Islam berkenaan dengan permasalahan bidaah itu hanya dalam permasalahan syak atau bentuk luaran, bukan persoalan asas (dalaman).

Sebenarnya saudara-saudara kita yang mengingkari pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi’ah, dan mengatakan pembahagiannya kepada diniyyah dan dunyawiyyah, telah tidak cermat dan tidak teliti dalam mengungkapkan apa yang mereka fahami dan yakini.

Ketika mereka menghukum bahawa bidaah diniyyah (dalam urusan agama itu) itu adalah sesat – ini sememangnya benar – dan bidaah dunyawiyyah (dalam urusan dunia) itu tidak apa-apa, sebenarnya mereka telah melakukan kesalahan dalam menetapkan hukum, kerana dengan demikian bererti mereka telah menghukum semua bidaah dalam urusan dunia adalah harus.

Sepatutnya mereka mengatakan: “Sesungguhnya bidaah dunyawiyyah itu ada yang baik dan ada pula yang buruk.” Sebagaimana realiti kehidupan yang dapat disaksikan dan tidak akan diingkari oleh sesiapapun, kecuali oleh mereka yang buta dan jahil.

Penambahan ini amat perlu demi maksud yang lebih tepat. Maka selarilah dan cukuplah kita mengikut pendapat yang mengatakan, bidaah itu terbahagi kepada hasanah dan sayyi’ah.

Kita juga telah sedia maklum, bahawa yang dimaksudkan dengan pembahagian ini pun hanya daripada sudut bahasa dan ia juga telah dianggap oleh orang yang mengingkarinya sebagai bidaah dunyawiyyah.

Pendapat ini mengajak kepada sikap berhati-hati dalam memberi tindakbalas terhadap setiap urusan (duniawi) yang baru, juga menyelaraskannya dengan hukum syariat Islam dan kaedah-kaedah agama.

Semoga Allah SWT melimpahkan keredaan-Nya kepada ulama usul fiqh yang telah merumus dan menulis lafaz-lafaz yang sahih, komprehensif dan memenuhi tuntutan makna yang selamat, tanpa ada kekurangan, penyimpangan atau pun takwilan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jangan asyik dengan urusan dunia semasa ibadat haji

Posted by epondok di Oktober 30, 2010

Jemaah boleh berurus niaga asalkan tidak jejas ibadah haji

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah) dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya seperti Ia memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah golongan orang yang salah jalan ibadatnya. Selain itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 198-199)

Matlamat utama disyariatkan ibadat haji supaya umat Islam menjana bekalan takwa menuju keredaan Ilahi, namun mereka tidak dilarang melakukan urusan perniagaan sepanjang berada di Makkah.

Riwayat Abu Saleh Maula Umar (diriwayatkan oleh Ibnu Jabir) katanya: “Aku berkata (kepada Umar): Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda sekalian berniaga pada musim haji? Jawab Umar: Bukankah mereka tidak mencari kehidupan mereka selain pada musim haji?”

Ibu Abbas berkata, pada musim haji ramai orang enggan berniaga dan berjual beli seperti kebiasaan mereka. Malah, sesetengahnya berkata, musim haji adalah musim berzikir pada Allah. Maka, turunlah ayat terbabit.

Sesetengah ulama berpendapat, perniagaan ini jika dilakukan sehingga mengurangkan amalan ibadat hajinya, maka hukumnya adalah tidak dibenarkan. Tetapi jika tidak mengurangkan, hukumnya dibenarkan. Namun demikian, lebih utama hendaklah ibadat haji dipisahkan daripada kerja lain kerana ia afdal dan lebih sempurna.

Amalan wukuf di padang Arafah ialah perhimpunan besar manusia dari seluruh pelosok dunia ke padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.

Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang dihadapi setiap manusia bagi dihisab segala amalan diri di padang Mahsyar kelak. Oleh itu, kita perlu menghisab diri dan bertaubat sebelum Allah pamerkan amalan di depan jutaan manusia di padang Mahsyar.

Ada pendapat mengatakan perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan mereka bertemu di lembah dikenali padang Arafah.

Ada juga ulama menyatakan ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang sudah lama berpisah sementara sebahagian ulama berpendapat Arafah hasil pemahaman Nabi Ibrahim menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya menyembelih puteranya Nabi Ismail.

Arafah adalah tempat wukuf. Waktunya daripada tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar sadiq pada hari raya korban. Wukuf adalah salah satu rukun haji. Siapa yang luput daripada masanya, tidak sah hajinya.

Daripada Abdul Rahman Ya’mur, katanya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Haji itu ialah Arafah. Barang siapa datang pada malam tanggal 10, sebelum terbit fajar, bererti dia sudah mendapatkan Arafah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Al-Masy’aril Haram pula ialah Muzdalifah, di sini al-Quran menyuruh berzikir selepas bertolak dari Arafah. Kemudian ia mengingatkan kaum muslimin bahawa berzikir adalah hidayah Allah kepada mereka dan pernyataan bersyukur atas hidayah itu.

Seterusnya, umat Islam diwajibkan bermalam di Muzdalifah, tempat persinggahan Rasulullah dalam perjalanannya dari Arafah ke Mina. Menurut riwayat, Rasulullah bersolat sunat dua rakaat lewat tengah malam di Muzdalifah

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hidupkan hari Jumaat dengan amalan pilihan

Posted by epondok di Oktober 29, 2010

Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.

 

Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar ‘Saiyyidul ayyam’ terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat”. (Hadis riwayat Muslim) Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

 

Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.” (Hadis riwayat Ahmad) Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah ayat 9) Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumu’ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah. Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik.” (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) ‘diam’ sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah).” (Surah al-Mu’minun ayat 52)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Zina umpama barah hancurkan masyarakat

Posted by epondok di Oktober 29, 2010

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar SYEFRY MONIZ

Sebahagian hadirin pada Wacana Gejala Zina dan Pendidikan Seksualiti
di Putrajaya, baru-baru ini.

 

TIDAK pasti sama ada anda sebagai pembaca menyokong atau tidak tajuk yang diberikan di atas. Tapi bagi penulis itulah perumpamaan yang paling ideal bagi menggambarkan situasi buruk tersebut.

Gejala zina dan seks bebas begitu membarah di kalangan masyarakat kini. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan ahli masyarakat yang tercari-cari di mana silapnya dan apakah langkah penyelesaian terbaik.

Tidak dinafikan banyak cadangan yang telah dikemukakan pihak kerajaan mahupun swasta bagi membendung masalah tersebut. Antara yang begitu hebat dibicarakan ialah pendidikan seksual di awal usia kanak-kanak. Persoalannya sejauh manakah kejayaan seksual yang telah dipraktikkan di negara barat dapat mengatasi gejala seksual yang begitu menular di negara kita.

Antara pertubuhan bukan kerajaan yang begitu prihatin untuk membendung masalah ini ialah Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia dan Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan kerjasama Persatuan Mawaddah Malaysia. Ketiga-tiga pertubuhan ini begitu tegas menyatakan pendirian bahawa pelaksanaan Syariah sepenuhnya adalah penyelesaian terbaik kepada masalah sosial yang sedang menular.

Pun begitu para cendekiawan dari persatuan ini tidak menolak terus kepentingan melaksanakan pendidikan seksual sebagai langkah interim ke arah penyelesaian masalah semasa.

Antara kenyataan yang dikeluarkan ialah, pelaksanaan pendidikan seksualiti di sekolah ini perlu dibincangkan dan diperhalusi dari segi bentuk pengajaran dan pembelajarannya. Pendidikan seksual yang hendak dilaksanakan itu mestilah menyeluruh, melibatkan lima dimensi iaitu; biologikal, intelektual, emosi, sosial dan spiritual. Pendidikan yang hanya menekankan aspek biologikal tanpa input tentang nilai agama dan moral akan gagal membina jati diri anak-anak. Ia sekali gus menyebabkan gagal mengawal gejala zina yang semakin teruk kini.

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Maznah Daud berkata, mereka tidak menafikan usaha-usaha bagi menyelamatkan pembuangan bayi yang tidak berdosa.

“Wanita Ikram Malaysia menyeru supaya langkah penyelesaian yang lebih holistik dilaksanakan dengan meningkatkan usaha mencegah zina.

“Masyarakat perlu kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama masing-masing. Bagi umat Islam pula tiada pilihan lain kecuali kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW,” tegasnya pada Wacana Gejala Zina dan Pendidikan Seksualiti di Kompleks Komuniti Presint 16, Putrajaya, baru-baru ini.

Maznah menegaskan pendidikan seksualiti yang bakal dilaksanakan perlulah sentiasa dikaitkan dengan persoalan akidah, akhlak, tingkah laku mulia, jauh kemungkaran dan tidak pula mendatangkan kemudaratan orang lain.

“Kandungan pengisian pendidikan seksualiti itu perlulah mampu menjurus anak-anak yang dididik ke arah memahami diri sendiri dan seterusnya membawa mereka kepada mengenali serta patuh kepada Allah SWT sebagai tuhan mereka. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa bentuk pengajaran dan pendidikan seksualiti yang patut dibuat di negara ini adalah jauh berbeza dari apa yang dilaksanakan di barat,” ujarnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Desak Batalkan projek menara 100 tingkat Warisan Merdeka

Posted by epondok di Oktober 28, 2010

Suara bantahan supaya projek ini dibatalkan ternyata sangat meluas , termasuk kutipan suaran dari face book yang sudah melbihan 60,000 dalam hanya beberapa hari , dan ini adalah suatu referendum terbuka rakyat agar kerajaaan berhenti dari meneruskan regim perbelanjaan negara dengan projek-projek mega yang membazir walapun wang yang diguna adalah dari GLC seperti PNB.

Hujah bahawa pihak PNB tidak akan menggunakan dana saham amanah RM 115 bilion untuk projek tersebut maseh dipertikaikan kerana dana dari keuntungan yang didakwa diperolehi oleh PNB selama 30 tahun tetap dalam bidangkuasa kerajaan dan melibatkan juga wang rakyat ,untuk mengarahkan semada projek seperti itu perlu dilaksanakan atau tidak oleh GLC yang berkenaan.

Tempoh yang dijangka 10 tahun untuk disiapkan projek bersepadu bernilai RM 5 bilion sangat terdedah kepada ketentuan ekonomi dunia yang tidak boleh diunjur sama seperti sebelum krisis ekonomi 1997 atau sebelum kelembapan ekonomi US dan Eropah beberapa tahun yang lalu.

Pihak PNB yang turut menjelaskan projek itu akan dijamin bersifat mesra alam , berciri pembangunan bercampur seperti hotel , ruang perrniagaan dan pejabat . Namun ia tidak boleh diterima secara mendatar.

Sesebuah projek yang mempunyai skala perbelanjaan sedemikian besar sangat terdedah kepada perubahan ekonomi dunia semada dari segi harga bahan binaan , harga buruh , nilai mata wang , permintaan ruang , kadar faedah pinjaman , premium insuran .

Sementara itu teknologi binaan pencakar langit bukan lagi menjadi pilihan masakini kerana faktor pelbagai bencana alam sekitar yang tidak menentu.

TERAS tidak dapat menerima projek seperti ini yang jelas hanya mementingkan imej dan simbol sebagai mercu tanda negara moden dan maju. Ini tidak sepatutnya menjadi indikator untuk dijadi kayu ukur kemajuan.

Dalam zaman dunia berbicara soal agenda pembangunan yang menekankan soal guna sumber secara mapan , kenapa Malaysia gila dengan bangunan pencakar langit hanya untuk bermegah sedang ada banyak keperluan lain dalam pembangunan yang perlu diutamakan.

Pihak PNB hanya mendedahkan pembelian kawasan seluas 7.6 hektar di kawasan tersebut dengan harga RM220 sekaki pada tahun 2000 dari Pengurusan Danaharta Nasional Bhd bernilai RM320 juta dan kini bernilai RM800 kaki persegi.

Soalnya dengan nilai asset yang bertambah pada PNB itu tidak bermakna PNB boleh menjamin bahawa permintaan untuk membeli ruang atau menara yang dibangunkan akan terus terjamin.

Tidakkah pasaran hartanah juga tertakluk kepada ekonomi dunia yang tidak menentu?

Bukankah sedemikian banyak bangunan mewah terbengkalai disekitar Kuala Lumpur yang tidak dapat dipulihkan , akibat krisis ekonomi luar dugaan?

TERAS sangat kesal betapa sedemikian banyak keutamaan lain yang sepatutnya diberi perhatian dalam belanjawan negara seperti ada sekolah yang tidak dapat disiapakan malah terbengkalai , sekolah yang siap tetapi diistihar tidak layak diguna , sekolah agama rakyat yang sangat daif dari segi fizikal , rumah kos rendah yang tidak berkualiti …akan tetapi yang diumumkan adalah Menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion.

TERAS kesal betapa pihak kerajaan dan pihak pengurusan dana PNB nampaknya maseh terperangkap dalam agenda dan paradigma lama mengenai jenis dan sifat pembangunan kotaraya.

Isu-isu bandaraya seperti pengurusan dan bekalan gunatenaga , bekalan air , ruang yang tidak efesien , kesesakan lalulintas , kesan bangunan pencakar langit kepada kepada geofisikal bandaraya, kos sewaan dan pelbagai isu yang lain nampaknya dipandang rengan oleh perancang dan pengusul projek ini.

Bangunan pencakar langit yang nilainya mungkin lumayan tinggi namun kos pengurusan dan penyeliaannya juga bakal menelan kos yang akan bertambah tinggi ,pasti akan menjadikan ketidakseimbangan pemilikkan ruang antara golongan yang berkemampuan dan meminggirkan golongan yang tidak berdaya ekonomi kuat.

Ruang niaga di Pasaraya Suria KLCC itu sendiri kini gersang semasekali dari peniaga bumiputera lantaran ruang sewa yang tidak mampu dibayar oleh usahawan sederhana.

TERAS berpandangan sudah sampai masanya kerajaan berhenti dari sindrom membangunkan struktur mega seperti yang telah dibangunkan sebelum ini. Zaman bermewah dan lupa kepada kesan jangka panjang kepada kewangan dan ekonomi negara dan kebajikan rakyat bakal menjadikan negara terperangkap dalam krisis ekonomi seperti yang dihadapi oleh negara maju seperti US , Greek , Finland , Perancis dan UK.

Apakah projek yang dikatakan akan dilaksanakan oleh PNB itu tidak mahu mengambilkira suara rakyat yang mahukan projek-projek yang lebih mapan dari segi ekonomi dilaksanakan.

Jika benar kerajaan mengutamakan rakyat kali ini rakyat berkata TIDAK kepada projek Menara 100 tingkat Warisan Merdeka.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hab Hiburan malam tempah bala ALLAH

Posted by epondok di Oktober 28, 2010

 Abu Ridhwan Husaini   

 

 

Menurut perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan kelmarin (25/10), kerajaan Malaysia mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan, antara perancangannya adalah dengan penubuhan kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP, mencadang menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020.

Di Mana Nilai Keimanan?
Apakah dasar dan halatuju ini membantu keberkatan ekonomi bagi sebuah Negara yang bermajoritikan Islam? Apakah kepimpinan Negara sudah tidak ada idealisma tulen, cadangan dan strategi lain sehinggakan masih menggunapakai pemikiran penjajah dalam merangka perancangan ekonomi negara? Apakah kepimpinan Negara merasakan pelaburan ekonomi tersebut akan dapat menyekat pengaruh budaya barat dan kerosakan akhlak yang teruk melanda umat, khususnya generasi muda? Ke manakah sebenarnya halatuju dan agenda Negara dalam membangun bangsa yang bermodal insan kelas pertama? Apakah nilai kelas pertama modal insan Negara terjana dengan memiliki pusat hiburan terbesar Negara? Apakah kepimpinan Negara merasakan projek gempak ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt. ?

Pada Februari 2010 yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa bergantung model ekonomi lama. “Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbincang bagaimana model ekonomi baru boleh membantu meningkatkan pertumbuhan,” kata TPM itu. (Utusan Malaysia 07/02/10). Apakah dengan menghidupkan kembali budaya hiburan sebagai punca pendapatan ekonomi Negara merupakan pendekatan baru yang telah difikirkan oleh cerdik pandai ekonomi Negara yang terlibat dalam ETP?

Apakah Pandangan Islam?

Menurut Muhammad Asad, dalam bukunya The Principles of State and Government in Islam, dalam Islam, Kerajaan yang dipilih bertanggungjawab untuk:
a.Menyediakan satu sistem pendidikan yang membolehkan setiap rakyat, lelaki dan wanita, mendapat ilmu dengan mudah. Dengan ilmu, setiap insan akan mendapat kebebasan yang sebenar daripada pelbagai sudut; dan

b.Menyediakan kemudahan terutama peluang-peluang ekonomi yang membolehkan setiap rakyat mencapai dan mengekalkan kebahagiaan (happiness ) dan maruah diri (dignity).
Prinsip asas sistem ekonomi Islam adalah unik berbanding sistem ekonomi lain waima sistem ekonomi British yang diagung-agungkan oleh Barat. Adam Smith, ahli ekonomi Barat pada abad ke-18 menegaskan prinsip asas ekonomi Barat seperti berikut: hak harta persendirian, kuasa individu seperti pemerintah atau raja (pemonopoli mata wang), keyakinan, rasional dan keadaan ekonomi itu sendiri. Tiada nilai akhirat diambil kira.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin” mentakrifkan ekonomi sebagai `Iqtisad`. Sementara itu, As-Sadr mengulas mengenai `Iqtisad` dengan meletakkan tiga prinsip asas yang digabung jalin secara teoritikal dan praktikal dalam sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip itu adalah prinsip pemilikan harta bersandarkan bahawa semua harta adalah kepunyaan Allah, prinsip keadilan sosial dan prinsip kebebasan berekonomi dengan batasan tertentu (mengikut syariah Islamiah).
Allah berfirman yang bermaksud:

“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha
Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Jelas di sini, bahawa Islam meletakkan umat manusia sebagai pengurus, pelaksana segala apa yang diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Justeru, dalam ekonomi Islam, pelaku ekonomi adalah khalifah yang memakmurkan, menjana segala sumber alam dalam proses mentadbir jagat raya ini. Ini bermakna manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap Allah kerana sumber ekonomi manusia datangnya daripada Allah yang memiliki alam ini.

Oleh yang demikian, tugas pemakmuran ekonomi ini dipertanggungjawabkan kepada pemerintah dan individu itu sendiri bertunjangkan prinsip syariah Islamiah. Soal halal-haram termaktub dalam prinsip ekonomi berlandaskan Islam ini.
Maruah dan Ruhiyah Bangsa

Inilah peranan asasi bagi sebuah Negara umat Islam dalam membina halatuju ekonominya. Memelihara maruah dan membina ruhiyah bangsa. Islam sangat prihatin dengan pembangunan ekonomi di mana perkara ini dilihat sebagai sebahagian daripada yang penting daripada masalah yang lebih besar iaitu pembangunan insani. Fungsi utama Islam ialah untuk memandu pembangunan manusia berlandaskan asas arah tuju yang betul. Justeru, kerangka pembangunan ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri yang komprehensif yang meliputi aspek-aspek pembangunan moral, kerohanian dan kebendaan (material). Pembangunan menjadi aktiviti yang berorentasikan matlamat dan nilai, yang ditumpukan kepada mengoptimumkan kemaslahatan manusia dari semua segi.
Teori ekonomi konvensional setidaknya menumpukan kepada dua perkara fundamental berkaitan dengan tujuan pembangunan ekonomi. Pertama memperbaiki tingkat pendapatan sebenar individu / rakyat dan yang kedua menegakkan keadilan agihan pendapatan.

Namun sebagai sebuah Negara yang bermajoritikan Islam, tujuan pembangunan ekonomi Negara tidak boleh lari daripada peranannya untuk membentuk iklim yang kondusif bagi keagungan nilai-nilai Islam dalam suatu masyarakat yang sejahtera. Dengan demikian, pembangunan ekonomi yang memiliki karakteristik Islami harus dapat meningkatkan komitmen umat Islam terhadap agamanya, menseimbangkan pembangunan ekonomi dengan kewajiban-kewajiban keagamaan. Menurutnya Dr. Yusof Qhardawi, tujuan pembangunan ekonomi harus dapat merubah masyarakat dari keadaan yang tidak diredhai Allah kepada keadaan yang diredhai-Nya

Iman dan Akhlak Paksi Membangun Model Ekonomi Islam

Islam memandang ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri meruapakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan asas itu ialah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta. Inilah lima perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Sebab melengahkan perkara sedemikian boleh membahayakan diri sendiri.

Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Sejarah telah menceritakan kepada kita betapa banyak tamadun masa silam yang maju dan gemilang tetapi runtuh dan musnah dalam masa yang singkat kerana tidak diiringi dengan kawalan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Akhlak merupakan salah satu unsur-unsur yang paling utama dalam ekonomi Islam. Unsur ini begitu menyerlah sehingga seorang cendekiawan Perancis mendefinisikan ekonomi Islam itu sebagai ekonomi yang berakhlak. Di samping akhlak, terdapat nilai-nilai lain yang mewarnai ekonomi Islam, iaitu nilai Rabbani (ketuhanan), nilai Insani (kemanusiaan) dna nilai Wasathi (moderat dan sederhana).

Ekonomi Rabbani mempunyai dua konotasi makna. Makna pertama daripada ekonomi Rabbani ialah: hak untuk mengatur dan menetapkan hukum-hakam ekonomi ini hanya milik Allah. Allah yang mengharam riba, penipuan, memakan harta manusia dengan cara yang batil dan lain-lain, dan Allah juga yang mensyariatkan dan mengesahkan transaksi urus niaga yang bersih dan benar.

Makna kedua daripada ekonomi Rabbani ialah: ekonomi yang merupakan sarana dan bukan tujuan. Ekonomi merupakan satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk membantunya dalam memenuhi perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sebab bagaimanapun juga seluruh kehidupan ini akan berakhir dan bermuara di sisi Allah.

Terjemahan: Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (surah al-Mulk 67: 15)

Ekonomi Insani pula membawa maksud perhitungan kemanusiaan sebagai asas dan prinsip ekonomi. Tidak boleh manusia dikorbankan untuk memperolehi materi. Sebaliknya materilah yang harus dikorbankan demi kepentingan manusia.
Ekonomi Wasathi bermaksud ekonomi yang mengambil sikap pertengahan dan moderat. Jika sistem ekonomi kapitalis menjadikan kepentingan individu sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, dan sistem ekonomi komunis pula menjadikan kepentingan negara sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, maka Islam mengambil jalan pertengahan yang menyeimbangkan antara kepentingan individu dengan negara sehingga tercapailah kehidupan yang harmoni.

Dan kriteria yang terakhir ialah Ekonomi yang berakhlak. Seluruh aspek dalam ekonomi seperti aspek pengedaran, urus niaga, pengeluaran dan penggunaan bersatu padu dengan nilai akhlak dan budi pekerti yang baik. Allah tidak membenarkan seseorang untuk memperolehi harta dengan cara yang batil untuk membina masjid atau rumah-rumah kebajikan. Sebab Allah itu suci dan baik dan Allah hanya menerima perkara-perkara yang suci dan baik pula. (Innallaha Tayyibun La Yaqbalu Illa Tayyiba)

Soal halal-haram dan impaknya ke atas pihak lain, tidak pernah ada dalam kamus ekonomi Barat. Apa yang dipentingkan adalah sistem ekonomi yang dilaksanakan itu dapat memberikan keuntungan kepada pelaku ekonomi. Dalam ertikata lain ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak kira walau apa pun sistem yang dilaksanakan, keuntungan tetap menjadi isu utama bukannya soal keadilan sosial sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam seharusnya bersyukur dengan wujudnya satu sistem ekonomi Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.
Peringatan Allah swt. buat kita semua;

“Bekerjalah kalian maka Allah dan RasulNya , dan orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (At Taubah:105)

Abu Ridhwan Husaini
Kelantan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bidaah menurut syarak dan bahasa

Posted by epondok di Oktober 28, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

BIDAAH tidak akan menjadi isu yang terlalu rumit dan bermasalah jika kita bersedia menerima pembahagian bidaah kepada bidaah hasanah (yang baik) dan bidaah sayyi’ah (yang buruk).

Malangnya sebahagian umat Islam mengkritik pembahagian bidaah ini. Mereka begitu keras mengingkari setiap orang yang menerima dan memperkatakan tentang pembahagian bidaah ini.

Bahkan, ada di antara mereka yang menuduh fasiq dan sesat terhadap setiap orang yang mempunyai fahaman sedemikian.

Menurut mereka, hal itu bersalahan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap bidaah adalah sesat”.

Lafaz hadis ini adalah jelas merupakan lafaz yang umum maknanya dan jelas menyifatkan bidaah itu sebagai suatu perkara yang sesat. Maka daripada sini, kita melihat mereka berani mengatakan, Apakah boleh dibenarkan atau diterima selepas sabda Rasulullah SAW ini yang menegaskan, “Bahawa setiap bidaah itu sesat” tampilnya mana-mana mujtahid atau faqih yang setinggi manapun kedudukannya, lalu berpendapat, “Tidak! Tidak! Bukan semua bidaah itu sesat, tetapi, sebahagiannya ada yang sesat, sebahagiannya lagi ada yang baik, dan yang buruk.”

Dengan kata-kata dan cara seperti inilah, ramai umat Islam yang tertipu. Mereka turut berteriak bersama-sama mereka yang mengingkari adanya bidaah hasanah. Ternyata, kebanyakan mereka itu adalah orang-orang yang tidak memahami tujuan-tujuan atau maksud-maksud ajaran Islam (maqasid syariah) dan belum merasakan rohnya.

Namun, tidak beberapa lama selepas itu pula, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi dan juga suasana kehidupan seharian mereka (yang penuh dengan perkara bidaah pada anggapan mereka).

Mereka terpaksa mencipta suatu penemuan dan pendekatan baru terhadap isu ini dengan menampilkan suatu definisi baru tentang bidaah. Lalu muncullah kata-kata: “Sesungguhnya bidaah itu terbahagi kepada bidaah diniyyah (berkaitan dengan agama) dan bidaah dunyawiyyah (berhubungan dengan urusan-urusan duniawi)”.

Maha Suci Allah! Orang yang suka bermain-main ini berani sekali membolehkan dirinya mencipta pembahagian seumpama ini. Atau, paling tidak, mencipta penamaan atau definisi baru mengenai bidaah.

Jika kita menerima bahawa pembahagian ini (secara maknawi) sudah wujud semenjak zaman Nabi Muhammad SAW, sedangkan secara pasti penamaan ini (bidaah diniyyah dan dunyawiyyah) tidak pernah wujud langsung pada zaman tasyri’ (pensyariatan), maka daripada manakah klasifikasi seumpama ini lahir? Dan daripada manakah penamaan yang bidaah ini timbul?

Sesiapa yang mengatakan bahawa pembahagian bidaah kepada hasanah dan sayyi’ah itu bukannya datang daripada syariat, maka kami tegaskan kepada mereka: Begitu jugalah pembahagian bidaah kepada bidaah diniyyah yang tidak diterima dan bidaah dunyawiyyah yang diterima.

Ia juga merupakan satu perbuatan bidaah dan penemuan baru.

Rasulullah SAW menegaskan, “Setiap bidaah itu sesat”. Sabda Nabi Muhammad SAW ini begitu mutlak; tidak mempunyai sebarang syarat. Manakala kamu pula berkata: Tidak! Bukanlah semua bidaah itu sesat secara mutlak; tetapi bidaah itu terbahagi kepada dua bahagian; bidaah diniyyah; ia adalah sesat, dan bidaah dunyawiyyah; ia adalah bidaah yang tidak mempunyai apa-apa hukum di dalamnya.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Perubatan Islam suatu usaha dakwah

Posted by epondok di Oktober 27, 2010

BERDOSA....amalan sihir adalah dosa  besar dengan melakukan pemujaan  syaitan yang tidak akan berhenti menyesatkan anak Adam.
BERDOSA….amalan sihir adalah dosa besar dengan melakukan pemujaan syaitan yang tidak akan berhenti menyesatkan anak Adam.

Penyakit misteri dan gangguan ganjil seperti diserang histeria, dirasuk, terkena sihir serta penyakit saka tidak boleh disangkal kerana ia benar-benar boleh terjadi.

Bagi yang mengalaminya, mereka sanggup berhabisan wang dan masa mencari rawatan terbaik untuk pulih.

 

Penyakit itu memang tidak dapat dipulihkan dengan rawatan moden di hospital kerana ia bersangkut dengan kejadian alam ghaib.

 

Maka, individu yang layak menangani masalah itu hanya pengamal perubatan Islam atau bomoh.

Mutakhir, memang banyak iklan ditampal pada tiang atau pokok yang memberi perkhidmatan memulihkan pelbagai penyakit misteri.

Kita percaya dengan gangguan makhluk halus yang sentiasa mengganggu kehidupan manusia. Jadi, jika terkena dapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dan mempunyai pengetahuan.

Banyak juga kes ada pihak cuba menipu dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan mengambil kesempatan mengenakan caj yang tidak masuk akal.

Akhirnya mereka merungut kerana wang habis, tetapi penyakit masih belum pulih.

Perubatan Islam tidak hanya tertumpu untuk merawat pesakit beragama Islam, tetapi untuk semua agama.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap penyakit ada ubat melainkan penyakit tua dan mati.”

Baginda amat mementingkan langkah pencegahan penyakit. Kaedah rawatan yang digunakan adalah berasaskan akidah dan nilai Islam.

Pada zaman kegemilangan Islam iaitu sekitar tahun 900 hingga 1300 masihi, empayar Islam berada di bawah pemerintahan khalifah yang melahirkan ramai cendikiawan dalam ilmu perubatan Islam antaranya Ibnu Sina, Ibnu Rusd, Al Raziz dan Al-Zahrawi.

Pengasas perubatan Islam ketika itu menjalankan banyak penyelidikan dan menulis buku yang kemudiannya diterjemahkan kepada pelbagai bahasa.

Perubatan Islam tidak mendapat perhatian berbanding ketika zaman pemerintahan khalifah kerana ramai yang masih tidak berkeyakinan.

Namun, persepsi sekarang mungkin berubah kerana semakin ramai mahu mencari kaedah rawatan Islam.

Perubatan Islam perlu berlandaskan ilmu serta amalan perubatan Islam. Mereka perlu memberi rawatan berdasarkan kepakaran dalam bidang perubatan dan faham hukum agama.

Kaedah rawatan bagi pesakit seperti pembedahan perlu dimulakan dengan doa kepada Allah.

Merawat pesakit juga perlu menggunakan pendekatan dakwah. Pamerkan tingkah laku mulia seperti senyum, ikhlas, sabar, rendah diri serta sentiasa menggembirakan pesakit serta keluarga mereka.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata jika ada pusat perubatan Islam mengenakan caj tinggi atau melampau, ia mungkin kalangan golongan yang mengambil kesempatan atau mementingkan diri sendiri.

“Golongan berkenaan bukan mempraktikkan ‘perubatan Islam’ atas dasar memenuhi tuntutan agama, tetapi mengambil kesempatan membuat keuntungan.

“Tindakan itu memberi gambaran yang tidak baik bukan sahaja kepada amalan perubatan Islam, tetapi kepada agama Islam,” katanya.

Beliau berkata perbezaan antara pengamal perubatan Islam dan bomoh dalam konteks masyarakat kita ialah dari aspek bahasa saja.

“Bomoh ialah mereka yang mempraktikkan pendekatan tradisional dalam perubatan, malah ada yang mengamalkan cara bertentangan dengan syariat Islam.

“Pengamal perubatan Islam pula ialah golongan yang mempraktikkan perubatan berasaskan sumber dan kaedah dari ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah.

“Mereka dikenali sebagai ‘tibb nabawi’ atau perubatan nabawi, tetapi masyarakat perlu berhati-hati kerana ada golongan yang mendakwa mengamalkan perubatan Islam namun menyimpang daripada Islam,” katanya.

Rahimi berkata asas kepada pelaksanaan perubatan Islam yang betul memerlukan kepada kefahaman aqidah yang kukuh dan tahu membezakan di antara benar serta syirik.

“Perubatan Islam bukan sekadar membacakan ayat al-Quran atau jampi dalam bahasa Arab, tetapi keyakinan terhadap kuasa Allah.

“Dalam melaksanakan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam, ia bukan saja memerlukan kefahaman, prosedur atau ilmu teknikal, tetapi penghayatan falsafah di sebalik amalan berkenaan.

“Golongan yang mementingkan caj adalah mereka yang hanya mengetahui prosedur, tetapi tidak menghayati falsafah perubatan Islam yang menekankan konsep tolong menolong.

“Saya secara peribadi merasakan golongan ini mampu mendapat keuntungan lumayan di dunia.

“Sebagai hamba yang sekadar menghukum secara zahir boleh mempertikaikan keikhlasan mereka. Jika ikhlas menjadi asas penilaian, bagaimana pahala itu boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata pengamal perubatan Islam perlu meletakkan ganjaran Allah sebagai matlamat utama, bukan keuntungan semata-mata.

“Caj boleh dikenakan, tetapi jangan sampai membebankan.

“Perubatan Islam adalah sebahagian daripada dakwah. Jika perubatan Islam dapat diamalkan secara berhikmah, ia memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »