Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2010

Amalan Wasitoh yang dibenarkan syarak

Posted by epondok di September 30, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA masih menumpang teduhan perbahasan kitab Mafahim Yajib an Tusohhah karya Al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang kedudukan wasitoh atau perantaraan dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Kali ini kita melihat pula wasitoh yang benar dan dibolehkan dalam Islam. Ini perlu diberi perhatian dengan sebenar-benarnya kerana ramai umat Islam yang tidak memahaminya dengan baik.

Pertamanya, perhatikanlah bahawa ketika Allah SWT menyuruh umat Islam menghadap ke Kaabah ketika solat, maka mereka pun menghadap ke arah Kaabah ketika beribadah dan menjadikan kaabah sebagai kiblat.

Ini bukanlah penyembahan kepada kaabah. Begitu juga mencium Hajar al-aswad. Perbuatan tersebut dilakukan semata-mata ubudiah (bentuk penghambaan) kepada Allah SWT dan mengikut perbuatan Nabi Muhammad SAW.

Seandainya ada umat Islam yang berniat menyembah Kaabah dan Hajar al-aswad, sudah pasti mereka menjadi orang yang mensyirikkan Allah seperti para penyembah berhala.

Tidak dapat tidak, wasitoh itu perlu dalam ibadat dan ia tidak termasuk dalam perbuatan syirik. Tidaklah setiap orang yang menggunakan wasitoh di antara dia dan Allah menjadi musyrik.

Jika setiap orang yang menggunakan wasitoh dianggap musyrik, pasti seluruh manusia akan menjadi musyrik, kerana segala urusan umat Islam itu terbina di atas jalan wasitoh.

Bukankah Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran melalui wasitoh (perantaraan) Jibril a.s? Maka, Jibril menjadi wasitoh bagi Nabi Muhammad SAW dan baginda pula menjadi wasitoh terbesar bagi para sahabatnya r.a.

Para sahabat sering menemui Rasulullah SAW ketika menghadapi pelbagai kesulitan untuk mengadu keadaan mereka.

Mereka juga sering bertawassul dengan baginda SAW kepada Allah dan memohon doa daripadanya.

Namun, Rasulullah SAW tidak pernah berkata kepada mereka: “Kalian telah melakukan perbuatan syirik dan menjadi kafir, kerana tidak boleh seorang itu mengadu kepadaku dan tidak boleh memohon doa daripadaku. Kamu sendiri yang harus pergi menghadap Allah, berdoa dan memohon kepadaNya secara langsung akan segala keperluanmu, kerana sesungguhnya Allah SWT lebih dekat kepadamu daripadaku! Tidak sama sekali!”

Rasulullah tidak pernah berkata begitu. Malahan, baginda menunaikan permintaan mereka dan memohon kepada Allah dalam keadaan para sahabat r.a mengetahui bahawa pemberi (al-Mu’ti) sebenarnya adalah Allah SWT, pencegah daripada memberi (al-Maani’), yang melapangkan rezeki (al-Baasit) dan pemberi rezeki (al-Razzaq) hanyalah Allah SWT.

Mereka juga yakin, bahawa Rasulullah memberi hanyalah dengan izin dan kurniaan Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri pernah menegaskan: “Aku hanyalah pembahagi (yang mengagih-agihkan), sedangkan Allahlah yang mengurniakannya.”

Maka dengan ini jelaslah, bahawa adalah harus mana-mana manusia biasa itu disifatkan atau dikatakan bahawa ‘Dia yang telah melepaskan kesusahan’, ‘Dia yang telah menunaikan hajat’ dan lain-lainnya.

Maksudnya, dia menjadi perantara dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Apatah lagi penghulu yang mulia, nabi yang paling utama, penghulu dua alam kejadian dan penghulu bagi golongan jin dan manusia.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Nasib Masjid Babri diketahui hari ini

Posted by epondok di September 30, 2010

Polis India mengawal tunjuk perasaan di Mumbai semalam menjelang Mahkamah Tinggi Allahabad hari ini memutuskan sama ada penganut Hindu atau masyarakat Islam mempunyai hak ke atas tapak yang pernah menempatkan Masjid Babri yang dibina pada abad ke-16, sebelum ia dirobohkan oleh pelampau Hindu pada 1992. – AFP

 

AYODHYA 29 Sept. – Kira-kira 40,000 anggota polis separa tentera dikerahkan di seluruh bandar Ayodhya, utara India hari ini menjelang keputusan Mahkamah Tinggi esok berhubung pemilikan tapak runtuhan Masjid Babri.

Mahkamah Tinggi Allahabad di negeri Uttar Pradesh akan memutuskan sama ada penganut Hindu atau masyarakat Islam yang memiliki tapak tersebut yang pernah menempatkan Masjid Babri yang dibina pada abad ke-16, sebelum ia dirobohkan oleh pelampau Hindu pada 1992.

Waktu keputusan itu dijadual dikeluarkan menimbulkan masalah keselamatan besar bagi kerajaan India yang sedang berhempas pulas menyempurnakan persiapan bagi Sukan Komanwel yang bermula di New Delhi pada Ahad ini.

Penganut Hindu dan Islam masing-masing menuntut hak ke atas tapak tersebut dan kemusnahan Masjid Babri 18 tahun lalu mencetuskan rusuhan agama terburuk di India sejak pemecahan benua kecil ini pada 1947.

Kira-kira 2,000 orang kebanyakannya penduduk Islam terkorban dalam rusuhan tersebut.

Kerajaan yang sangat bimbang keganasan boleh tercetus semula berikutan keputusan esok telah merayu rakyat supaya bertenang dan menyiarkan iklan di akhbar bagi menggesa semua pihak menghormati kedaulatan undang-undang.

Mahkamah Tinggi sepatutnya membuat keputusan pada Jumaat lalu, tetapi Mahkamah Agung mengarahkannya menangguhkan keputusan setelah bersetuju mendengar petisyen memohon penangguhan bagi membolehkan penganut Hindu dan Islam menyelesaikan pertikaian itu menerusi rundingan.

“Anggota pasukan keselamatan yang diarah kembali ke berek minggu lepas telah dipanggil balik dan dikerahkan.

“Kira-kira 40,000 anggota pasukan keselamatan ditempatkan di lokasi strategik di seluruh Ayodhya,” kata seorang pegawai kanan polis.

Penganut Hindu mendakwa, Masjid Babri dibina oleh maharaja Mogul, Babur di tapak sebuah kuil yang menandakan tempat lahir dewa Hindu, Ram.

Keputusan Mahkamah Tinggi akan tertumpu kepada tiga persoalan utama: sama ada tapak tersebut ialah tempat lahir Ram, sama ada masjid itu dibina selepas sebuah kuil dirobohkan dan sama ada masjid itu dibina mengikut ajaran agama Islam. – AFP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pengasas Pondok Keroh kembali ke rahmatullah

Posted by epondok di September 30, 2010

Idham Lim

 

     

 

  

GRIK, 30 Sept: Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.
Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.

Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.

Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Madrasah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.

Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.

Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.

Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nizomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas kegigihannya memperjuangkan agama Allah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Hj Abdul Latif Pondok Keroh Meninggal Dunia

Posted by epondok di September 30, 2010

pondok pakteh

Keroh – Seorang ulama’ tersohor tanahair iaitu al-Marhum Tuan Guru Hj Abdul Latif b Hj Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Teh Keroh yang merupakan pengasas dan Mudir Madrasah ad-Diniah al-Latifiah, Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak telah menghembus nafas terakhir lebih kurang jam 1 pagi tadi. Beliau merupakan antara generasi pertama kelahiran Pondok Pasir Tumboh, Kelantan begitu banyak berjasa dalam menabur bakti kepada agama dan masyarakat sehingga akhir hayatnya. Khidmat baktinya terus diperlukan oleh masyarakat tetapi Allah lebih mengasihi beliau

Ucapan takziah diucapkan kepada ahli keluarga beliau dan seluruh warga Pondok Keroh. Kehilangan beliau amat dirasai tetapi kami doakan agar ahli keluarga bersama dengan anak didik beliau terus diberikan kekuatan oleh Allah dalam mentadbir dan menghidupkan pengajian Pondok Keroh dalam menyambung usaha al-Marhum selama ini

Kita sama-sama berdoa semoa beliau ditempatkan bersama orang-orang soleh di sisi Allah.. al-Fatihah

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Bolehkah taruh harapan kepada Sekolah Harapan

Posted by epondok di September 29, 2010

Dr Fatimah Abdullah

Isu buang bayi, kehamilan luar nikah dan pelbagai masalah sosial khususnya di kalangan remaja hebat diperkatakan baik oleh para menteri, isteri menteri, ahli politik dan ahli ahademik mahu pun masyarakat umum. Pelbagai saranan, pendapat, cadangan dan program baik yang masuk akal dan munasabah mahupun yang “separuh masak” dan dangkal dilaporkan di akhbar serta radio dan televisyen.

Inilah masalah yang melanda negara kita. Bukan setakat masalah sosial yang melanda tetapi masalah kecelaruan pemikiran pada pemimpin mengenai sesuatu isu dan bagaimana menanganinya. Inilah masalahnya apabila ada golongan yang sangat cepat mengeluarkan idea tetapi tidak berlandaskan fakta daripada penyelidikan yang terperinci. Walau pun masalah ini telah dikesan sejak sekian lama tetapi dek kerana sikap “ambil mudah” dan “tidak serius” maka masalah sosial itu berterusan atau berulang. Saya pernah ditanya oleh wartawan Berita Harian pada tahun 1996 mengenai isu buang bayi, tetapi setelah lebih 10 tahun masalah berkaita bukan sahaja tidak selesai atau berkurangan bahkan makin meningkat.

Sehingga ini tidak ada penyelidikan yang serius mengenai isu kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi walaupun ramai yang sedar masalah itu makin membarah. Saya dan beberapa orang rakan dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah selama dua tahun (dari 2008 hingga 2009) dengan peruntukan Geran Penyelidikan Universiti yang bernilai RM70,000 itu telah dipotong kemudiannya. Menjangkakan sukarnya untuk mendapat data mengenai hal tersebut, kami telah bersetuju untuk mengambil kes yang dirujuk di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Atas beberapa sebab semua kes yang direkodkan dari tahun 2004 hingga 2008 sahaja yang telah kami ambil.

Mendapatkan geran penyelidikan untuk mengkaji isu-isu berkaitan masalah sosial kurang mendapat tempat. Proposal penyelidikan selalu ditolak oleh penal penilai dengan alasan tidak ada “produk yang boleh dikomersialkan”. Walaupun geran yang dipohon jarang mencecah jutaan ringgit sebagaimana penyelidikan dalam sains dan teknologi tetapi kebanyakannya ditolak atas alasan tadi. Demikianlah nasib proposal penyelidikan dalam bidang sains sosial kerana statusnya yang dipandang lebih rendah daripada bidang sains tulin dan gunaan. Pernah orang membuat “lawak” dengan berkata “oh penyelidikan so sial” (sangat sial).

Mengetahui kami ada menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah, salah sebuah agensi kerajaan telah menunjukkan minat terhadap penyelidikan kami. Atas minat dan saranan yang ditunjukkan oleh agensi tersebut jugalah satu kertas cadangan penyelidikan telah dikemukakan. Malangnya setelah hampir dua tahun, pihak berkenaan masih berdiam diri tidak menyatakan sama ada masih berminat atau tidak dengan proposal penyelidikan berkenaan. Antara jawapan yang diberikan ialah tiada ada wang, tidak boleh diberi terus kepada satu kempulan penyelidik sahaja dan perlu dibuat tender terbuka. Perkembangan terbaharu ialah pegawai yang ada di jabatan berkenaan diminta membuat kajian dan dan menganjurkan program sendiri bagi ujuan menangani isu tersebut.

Itulah sebahagian daripada senario yang berlaku di negara kita. “Malaysia boleh”, semua orang boleh membuat apa sahaja, dalam konteks ini pegawai yang tidak ada latar belakang sosiologi, antropologi atau psiokologi dipertanggung-jawab untuk menjalankan penyelidikan dan program bagi menangani masalah sosial yang serius itu. Dia sebabkan kurang kompetennya dan tidak ada pengalaman menjalankan penyelidikan, beliau meminta jasa baik kami agar memberikannya salinan soalselidik yang telah digunakan dalam penyelidikan kami bagi memudahkan kerjanya. Persoalannya ialah di mana “ethics” agensi kerajaan yang berpegang kepada prinsip keislaman? Ini adalah satu contoh kepincangan yang berlaku. Bagaimana hasil penyelidikan boleh dianggap boleh dipercayai dan sah jika penyelidik tidak berpegang kepada etika penyelidikan dan tidak tahu prosedur dalam penyelidikan sosial. Patutlah banyak masalah sosial tidak selesai malah bertambah serius kerana bukan sahaja pihak yang bertanggung-jawab tidak serius dengan masalah yang melanda masyarakat malah menjalankan kajian pun “pakai ikut suka” sahaja.

Menangani masalah kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi bukan sekadar membuat program dan kempen serta menyediakan sekolah untuk remaja yang berkaitan. Ini kerana langkah ini bukan sahaja berat sebelah kerana si lelaki yang bertanggung-jawab menyebabkan kehamilan dan bersubahat membuang bayi berkemungkinan besar terlepas dan tidak menjalani apa-apa program pemulihan. Selain daripada persoalan penyelidikan sosial yang tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana kos penyelidikan yang dikatakan mahal walaupun hakikatnya tidak pun mencapai jutaan ringgit, kaedah menanganinya dibuat “ikut suka” tanpa perancangan yang teliti dan didasarkan kepada data atau fakta daripada penyelidikan menjadi antara sebab mengapa masalah sosial di negara ini tidak selesai-selesai malah makin bertambah.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang sains sosial (sosiologi keluarga), saya kira sudah sampailah masanya pihak berkuasa meneliti semula apa yang telah dilakukan selama ini dalam menangani masalah sosial remaja dan masalah sosial yang lain. Bolehkah di letakkan harapan kepada Sekolah Harapan di Melaka itu? Apakah program atau kurikulum yang dirancangkan untuk penghuninya? Sudahkah dibuat kajian yang rapi dan terperinci sebelum sekolah itu dibuka? Ini kerana mereka yang bakal menjadi penghuninya sudah pasti datang dari latar belakan keluarga, sosioekonomi dan etnik yang berbeza. Sebab mereka hamil juga berbeza; ada yang disebabkan rogol, paksaan, sumbang mahram atau suka sama suka.

Saya berpendapat bahawa meletakkan para remaja di institusi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah berkenaan. Saya kira semua pihak harus sedar dengan hakikat atau kenyataan sebenar dalam hidup. Remaja yang terlibat harus kembali kepada keluarga. Keluarga dan komuniti perlu memikul tanggung-jawab membimbing remaja-remaja berkenaan. Semua pihak baik remaja yang terlibat, keluarga mereka, komuniti di mana mereka tinggal dan membesar serta pihak berkuasa perlu berganding bahu menangani isu tersebut. Walau pun akan ada sebahagian daripada ahli komuniti yang mencemuh tetapi itu adalah perkara biasa dalam kehidupan. Keluarga mesti memikul tanggungjawab membimbing anak anak di samping mendapatkan kerjasama daripada komuniti dan komitmen kerajaan harus diberikan secara berterusan. Biarlah remaja kembali kepada keluarga, hidup dan memikul tanggung-jawab sebagai ahli keuarga dan komuniti sehingga mereka melahirkan anak dan membesarkan anak yang dilahirkan itu. Beri mereka kemahiran untuk membuat kerja produktif di samping didikan agama dan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan penjagaan bayi. Ini penting agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang normal dalam keluarga dan komuniti setelah melahirkan anak, dan mempunyai cukup sumber pendapatan bagi menampung hidup tanpa perlu menyerah anak kepada ibu bapa angkat.

Seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa dan keluarga mungkin malu dengan apa yang berlaku. Ahli komuniti pula mungkin memandang serong. Akan tetapi ini adalah perkara biasa dalam kehidupan. Kesilapan dan dosa yang telah dilakukan adalah pengajaran untuk memperbaiki kehidupan seterusnya bukan sahaja oleh remaja berkenaan, malah kesilapan yang yang telah berlaku itu juga sebahagiannya disebabkan oleh kesalahan dan kelemahan keluarga, komuniti/masyarakat dan pemerintah juga yang lalai dengan tanggung-jawab mereka. Saya kira tentunya lebih silap lagi jika ibu bapa menyerahkan cucu mereka kepada orang lain atau mengambil bayi yang dilahirkan sebagai anak angkat sedangkan bayi itu adalah cucunya sendiri dan orang yang kemudiannya dipanggil kakak itu sebenarnya si ibu kandung. Lebih parah lagi ialah jika bayi itu dinasabkan kepada datuknya. Akan tetapi inilah hakikatnya yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat apabila keluarga memberitahu jiran tetangga yang dia mengambil anak angkat.

Memandangkan remaja yang terlibat perlu berhadapan dengan komuniti dan kehidupan sebenar dalam komunit dan masyarakat yang lebih besar maka saya kira dia perlu meneruskan hidup dalam masyarakat dan bukan melarikan diri atau membawa mereka keluar. Jika dia diberi peluang untuk meneruskan hidup secara normal berserta dengan bimbingan agama dan pengetahuan lain besar kemungkinan semua pihak akan mendapat faedah malah mungkin lebih berkat kerana wujudnya hubungan saling membantu. Sebaliknya jika remaja berkenaan di tempatkan di institusi, dia akan menghadapi masalah apabila keluar dari institusi, apabila dia perlu berhadapan dengan keluarga dan komuniti sekeliling yang mungkin akan terus memandang serong terhadapnya. Dia mungkin berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya malah seluruh komuniti. Dia juga perlu menyara hidupnya sendiri, tanpa sokongan ahli keluarga dan komuniti apabila keluarga sendiri “membuangnya”. Apabila hidupnya tidak menentu dan terumbang ambing kebarangkalian untuk dia mengulangi episod lama adalah tinggi.

Ibu-ibu muda yang ditemui di rumah perlindungan memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku atau yang mereka lakukan sehingga hamil dan mengandung. Mereka juga menyatakan rasa sedih, kesal dan bersalah dengan apa yang telah berlaku. Malangnya mereka meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat melihat bayi yang dilahirkan kerana ibu bapa telah menyerahkan anak tersebut kepada keluarga angkat dan dia tidak tahu siapa keluarga angkat tersebut. Walaupun sedar akan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan tetapi kesedihan itu berpanjangan apabila ibu bapa tidak mahu bercakap dengan mereka walaupun pernah membuat panggilan telefon ke institusi di mana dia di tempatkan. Menurut ibu muda itu dia tidak pasti ke mana dia akan pergi setelah keluar dari institusi tersebut. Bayangkan jika dia terus tinggal dalam keluarga dan komuniti, dia akan dapat meneruskan hidupnya secara normal, malah bayi yang dilahirkan itu juga boleh mendapat jagaan, perlindungan dan kasih sayang daripada ibu, datuk nenek dan saudara mara dekat. Sokongan sosial dari keluarga dan komuniti sangat penting kepada ibu muda dan anaknya itu. Justeru, sudah sampai masanya ibu bapa perlu mengenepikan rasa malu dan menjaga “air muka” sendiri tetapi mengabaikan tangggung jawab menjaga dan memberi sokongan kepada anak dan cucunya. Ini kerana kesilapan sianak sedikit sebanyak ada kaitan dengan kelalaian ibu bapa juga.

Pada saya sekolah harapan hanya sebuah projek peribadi tidak mempunyai asas yang kukuh dalam usaha menangani masalah sosial. Mungkin ramai yang tidak bersetuju tetapi ini adalah pandang saya berdasarkan alasan di atas. Dalam menangani masalah sosial, penyelidikan sosial yang terperinci dan sistematik perlu dilakukan dengan serius. “Bank data” mengenai isu sosial perlu dikumpul dengan sistematik agar program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan kepada kumpulan sasar sebelum dasar sosial digubal. Jika pihak berkuasa boleh menghabiskan jutaan ringgit untuk program-program seperti “Kami Prihatin” maka apa sangatlah nilai bagi geran penyelidikan sosial yang jauh lebih rendah. Saya bimbang kos sosial akan meningkat pada masa depan jika pihak berkuasa tidak serius dengan masalah sosial yang sedang melanda sekarang. Justeru, bolehkah kita menaruh harapan kepada sekolah harapan?

Penulis adalah mantan Prof Madya dalam bidang Sosiologi Keluarga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tiada batas sempadan membantu golongan memerlukan

Posted by epondok di September 29, 2010

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MASYARAKAT negara ini memang terkenal dengan semangat prihatin dan sudah lama mengamalkan sikap bantu membantu antara satu sama lain hingga merentas sempadan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, nilai murni itu jika tidak disemai secara istiqamah akan merosot terutama kepada anak muda serta remaja. Oleh itu, galakan perlu dipertingkatkan dengan menganjurkan program amal membabitkan pelbagai lapisan masyarakat negara ini.

Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program bantuan amal ke pelbagai negara bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa konflik peperangan dan musibah akibat bencana alam mengembalikan masyarakat kepada tuntutan agama untuk sentiasa saling bantu membantu.

Peribahasa Melayu mengatakan, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Maka, begitu juga halnya hidup di dunia ini, perlu ada rasa simpati dan empati terhadap nasib malang dialami masyarakat di negara lain.

Daripada Ibnu Umar, seorang lelaki menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah, dan amal apakah yang paling dicintai Allah? Rasulullah SAW menjawab: Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi hutang atau menghilangkan kelaparan.”

Usaha pelbagai NGO yang bertungkus lumus menghantar bantuan kepada rakyat Gaza dan Pakistan baru-baru ini dikira satu amal kebajikan yang tinggi di sisi Islam.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk (menunaikan) suatu keperluan lebih aku sukai daripada aku beritikaf di masjid ini (Masjid Madinah) selama satu bulan. Dan barang siapa yang menghentikan amarahnya maka Allah akan menutupi kekurangannya dan barang siapa menahan amarahnya padahal dirinya sanggup untuk melakukannya maka Allah akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang berjalan bersama saudaranya untuk (menunaikan) suatu keperluan sehingga tertunai (keperluan) itu maka Allah akan meneguhkan kakinya pada hari tidak bergemingnya kaki-kaki (hari perhitungan).” (Hadis riwayat Thabrani).

Oleh itu, tampilnya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat bersama berkorban tenaga, wang ringgit, nyawa dan masa untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain yang ditimpa malapetaka adalah amalan mulia yang perlu dipergiatkan.

Inilah gambaran kesungguhan rakyat Malaysia menyahut seruan agama supaya menjadi insan yang bermanfaat kepada manusia lain. Usaha memupuk dan menggarap nilai kemanusiaan perlu menjadi agenda pendidikan dalam kalangan orang Islam.

Langkah ini dapat mengikis sifat individualistik dan rasa ego dalam diri untuk melahirkan insan yang sentiasa prihatin terhadap orang lain. Orang Islam yang mempunyai rasa simpati dan empati terhadap nasib malang orang lain adalah kumpulan yang ‘kaya hatinya’.

Membantu manusia malang tidak terhad dalam sempadan ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan masyarakat setempat saja kerana skop bermanfaat untuk orang lain tidak mempunyai rentas sempadan.

Jadi, membantu masyarakat antarabangsa apatah lagi masyarakat Islam menjadi satu tanggungjawab yang mesti dipenuhi oleh setiap muslim. Amalan inilah yang menjadi tonggak kejayaan Nabi SAW membentuk umat Islam dulu sehingga menjadi masyarakat yang kukuh bersatu dan maju.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Desak siasat klip video paderi hina Islam di Sarawak

Posted by epondok di September 28, 2010

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Seorang penulis blog menggesa pihak berkuasa menyiasat kewujudan beberapa klip video dalam laman web YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Zainol Abideen yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA) berkata, paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen itu dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

“Apakah yang ditunggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri sehingga paderi berkenaan masih lagi tidak dikenakan tindakan?

“Adakah pihak berkuasa perlu menunggu umat Islam hilang kesabaran dan bertindak sendiri sebelum mengambil tindakan?” katanya dalam blog http://mahaguru58.blogspot.com di sini.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia terhadap salah satu klip video selama 10 minit itu, mendapati Benjamin menyampaikan ceramah dalam bahasa Melayu mengenai apa yang didakwanya sebagai ajaran pelik dan bodoh oleh Nabi Muhammad.

Antaranya, dia mendakwa, Rasulullah sebagai orang tua yang bernafsu terhadap kanak-kanak apabila salah seorang daripada 23 isteri baginda berusia enam tahun.

Dia yang mendakwa dilahirkan sebagai orang Melayu berkata, kaum itu dilarang membela anjing kerana menurut Islam malaikat amat takut dan tidak akan melawat rumah yang penghuninya membela haiwan berkenaan.

Dakwaan lain, adalah dosa umat Islam akan diampunkan jika mereka dapat mengucup batu Hajarul Aswad yang berbentuk seperti alat kelamin wanita.

Posted in Fokus Isu | 4 Comments »

Cara hikmah depani perbezaan pendapat

Posted by epondok di September 28, 2010

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Perbezaan pandangan adalah merupakan lumrah biasa dalam kehidupan manusia. Secara asasnya, Islam membenarkan umatnya berbeza pandangan, asalkan ia tidak membawa kepada kerosakan akidah dan merosakkan hubungan persaudaraan.

Al-Quran mengajar, apabila berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah dicari penyelesaiannya menerusi petunjuk al-Quran dan al Sunnah.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya (al-Nisa’: 59).

Juga firman-Nya yang bermaksud: Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nyalah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku rujuk kembali (al-Syura:10).

Dalam bahasa Arab perkataan ikhtilaf kebiasaannya digunakan untuk merujuk perbezaan yang baik dan diterima.

Ia berbeza dengan perkataan ‘khilaf’ di mana ia biasanya dirujuk kepada perbezaan yang tercela yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Bagi mereka yang mengkaji, tentunya akan mendapati ulama-ulama berbeza pandangan dalam mengeluarkan hukum kepada sesuatu permasalahan.

Ikhtilaf atau berbeza pandangan bukanlah asing dalam dunia kajian dan pengeluaran hukum.

Kebebasan berfikir, mengkaji di samping galakkan berhujah dengan cara yang berhikmah benar-benar dapat diadaptasi dalam budaya kesarjanaan ulama-ulama dalam menyuarakan kebenaran.

Ikhtilaf dalam ijtihad berlaku apabila mujtahidin berbeza pendapat dalam perkara furu’ (cabang) kerana perbezaan memahami dalil-dalil syarak

Bertitik-tolak dari situ, maka wujudlah kepelbagaian mazhab dalam Islam. Setiap mazhab mempunyai kaedah atau proses pengeluaran hukumnya yang tersendiri.

Namun, mereka tetap sepakat menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam berijtihad.

Walaupun para ulama mazhab mempunyai pandangan yang berbeza, ini tidaklah mengeruhkan hubungan mereka antara satu sama lain.

Bahkan, mereka tetap menghormati pandangan kedua atau ketiga yang dikeluarkan asalkan berpaksi kepada hujah kebenaran, bukannya nafsu semata-mata.

Keegoan dalam diri segera dikikis agar dapat menerima teguran untuk memperbetulkan kesilapan pandangan yang dikemukakan.

Bahkan, para ulama yang sejati akan merasa gembira sekiranya bertemu dengan kebenaran, walaupun kebenaran tersebut datang daripada pihak lain.

Sikap sangka buruk amat penting dijauhi agar pandangan ulama lain dilihat secara positif.

Cuba kita hayati peristiwa yang berlaku antara Imam Abdurrahman bin ‘Amr Al-Awza’i (wafat 157H) dan seorang ulama yang bernama Imam Abdullah bin Mubarak (wafat 181H).

Suatu hari mereka bertemu dan Al-Awza’i bertanya kepada Ibn Mubarak: “Siapakah ahli bidaah yang sekarang ini sedang terkenal di Kufah, yang bernama Abu Hanifah itu?”

Ibn Mubarak tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sebaliknya, dia cuba memulakan perbincangan tentang hukum-hukum fikah dan jawapan terhadap permasalahan fikah yang dikemukakan.

Al-Awza’ie begitu kagum dan mengetahui betapa tingginya ilmu yang diperolehi oleh Ibn Mubarak itu. Lalu beliau bertanya: “Siapakah pemilik fatwa-fatwa tersebut?”

Ibn Mubarak menjawab: “Pemiliknya ialah seorang ulama yang saya temui di Iraq”.

Al-Awza’I lantas berkata: “Ulama ini semestinya merupakan pakar fikah yang tersangat hebat. Maka teruskanlah menuntut ilmu dengannya wahai sahabatku.”

Ibn Mubarak lantas berkata: “Ulama tersebut bernama Abu Hanifah.” Maka selepas itu berubahlah tanggapan Al-Awza’i terhadap Abu Hanifah.

Pernah beliau berkata kepada Ibn Mubarak tentang Abu Hanifah: “Aku terlalu cemburu dengan ilmu yang ada pada Abu Hanifah. Aku meminta ampun kepada Allah SWT atas tanggapan burukku kepadanya sebelum ini”. (rujuk al-Khairat al-Hisan fi Manaqib al-Imam Abi Hanifah al-Nu’man, Imam Syihabudin Ahmad bin Hajar al-Haitami).

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Tanggungjawab peguam tegakkan keadilan

Posted by epondok di September 28, 2010

Oleh Zinul Rijal Abu Bakar

Kecemerlangan bukan sekadar memenangi kes, tetapi lebih penting berikan hak sebenar

PERDEBATAN mengenai profesion peguam hangat diperkatakan apabila suspek pembunuhan kes Datuk Sosilawati Lawiya, juga seorang peguam. Salah seorang mangsa juga adalah peguam. Majlis Peguam turut diheret dalam kemelut ini kerana dikatakan tidak bertindak sewajarnya menangani disiplin peguam.

Umum mengetahui dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes. Peguam adalah ‘alat’ bagi mencapai keadilan di mahkamah.

Malah, peranan peguam tidak terhad di mahkamah saja kerana saranan dan nasihat peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di luar mahkamah. Apatah lagi jika membabitkan hal ehwal perundangan.

Umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak memerlukan.

Wang buka ganjaran dan matlamat utama sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:

# Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.

Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti, bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan tanggungjawab penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam. Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.

# Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.

Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik serta menjauhi daripada bertindak tidak adil atau prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes serta pihak yang diwakili.

# Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu menggunakan pelbagai kaedah seperti menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.

# Bersikap baik dan mengambil berat.

Peguam yang menjaga profesion akan mengambil berat serta menghormati bukan saja mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa perlu dilaksanakan.

# Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited serta menghormati kepercayaan diberikan. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.

# Bersungguh dan teliti. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

# Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi turut sama memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial dan kebajikan.

Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis.

Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan, mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan seperti menggunakan kaedah sulh dan mediasi.

Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu mereka perlu merujuk sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan Sunnah, bukan sekadar merujuk kepada sumber terjemahan saja.

Diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: “Hakim itu ada tiga jenis. Satu dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka…”

Jika kita mengkaji hadis itu kita akan dapati ia memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan ditujukan kepada hakim saja, juga peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kebatilan. Peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

Bukanlah ukuran seorang peguam cemerlang itu memenangi kesemua kes diwakilinya tetapi lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada yang berhak menerimanya. Jika peguam memberikan hak kepada yang tidak berhak menerimanya, seolah-olah dia memberikan sepotong api neraka kepada mereka.

Persoalan yang timbul ialah jika penegak keadilan ini sendiri terbabit dalam perlakuan jenayah, adakah masyarakat akan masih menghormati profesion guaman?

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Program tenaga nuklear kekurangan rundingan awam

Posted by epondok di September 27, 2010

SM Mohamed Idris

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut mendapati bahawa kerajaan sudah pun memutuskan cadangan program tenaga nuklear sepertimana yang dimasukkan ke dalam salah satu 131 projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang didedahkan kepada orang ramai pada 21 September 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kami ingin mengingatkan kembali bahawa Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menyatakan dalam blog 1Malaysia berikutan bantahan orang ramai terhadap pembinaan loji tenaga nuklear bahawa beliau akan mendapatkan pandangan orang ramai berhubung perkara itu.

Sehingga ke hari ini, kami masih belum melihat sebarang perbahasan yang bermakna dan proses rundingan awam sebenar oleh kerajaan.

Kami ingin menekankan bahawa apa yang dipanggil forum dan perbahasan awam yang sebahagian besarnya dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia bukanlah platform neutral untuk mendapatkan pandangan awam.

Perlu diingatkan bahawa mereka yang menghadiri forum itu adalah terdiri daripada kakitangan agensi dan pegawai kerajaan daripada jabatan yang berkaitan dan panel perbincangan datangnya daripada agensi ini.

Perlu ditegaskan bahawa Agensi Nuklear Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dan agenda terbuka dalam menyokong loji tenaga nuklear sepertimana yang ditunjukkan melalui kenyataan umum mereka setakat ini.

Contohnya, kenyataan terbaru daripada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang secara tidak langsung menyebut fakta bahawa penerimaan orang ramai diperlukan untuk projek yang dicadangkan itu, beliau juga menegaskan bahawa memandangkan negara maju sudah pun menggunakan tenaga nuklear, maka tiada alasannya mengapa rakyat Malaysia tidak boleh menerimanya.

Pada Julai lalu, Menteri Datuk Peter Chin berkata kerajaan akan hanya membuat keputusan akhir berhubung tenaga nuklear selepas mengkaji hasil penemuan Rancangan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear yang dijadualkan siap pada 2013.

CAP dan SAM ingin mengetahui jika keputusan kerajaan dimaklumkan oleh penemuan ini jika ia telah pun diperolehi. Jika demikian masyarakat awam Malaysia dan orang ramai perlu dimaklumkan. Jika tidak, kenapa tergesa-gesa untuk meneruskan dengan rancangan pembinaan loji tenaga nuklear.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »