Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Ogos 2010

Ganjaran besar baca al-Quran ketika Ramadan

Posted by epondok di Ogos 31, 2010

Oleh Hasliza Hassan

AL-QURAN yang menjadi petunjuk kepada manusia menghimpun pelbagai pengajaran meliputi kebaikan akhlak, kisah teladan, serta penawar segala penyakit batin seperti kufur, syirik, hasad dengki dan khianat.

Allah berfirman bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman. (Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Catatan sejarah menunjukkan ulama terdahulu tidak pernah lekang dengan amalan mengaji al-Quran sebaik tiba Ramadan. Mereka menghentikan kegiatan lain selain beristiqamah dengan amal ibadat, termasuk mengaji al-Quran.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Imam Malik, sebaik saja Ramadan tiba tidak mahu lagi menyibukkan diri dengan tugas lain serta meninggalkan seketika urusan mengajar, memberi fatwa atau hal berkaitan keduniaan sebaliknya menumpukan amalan membaca al-Quran.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.

Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud: Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil). (Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sifat kehambaan sangat dituntut

Posted by epondok di Ogos 31, 2010

oleh RAMLI ABDUL HALIM

MANUSIA tidak akan dicipta-Nya kecuali untuk memperhambakan diri kepada-Nya yang mempunyai 99 nama (Asma-ul-Husna) yang memberikan gambaran secara jelas tentang sifat-sifat Allah SWT.

Belajar dan berusaha mengenali sifat-sifat Allah adalah merupakan ibadah. Ilmu mengenali Allah dan sifat-Nya amat dituntut daripada kita berada dalam buaian hingga ke liang lahad.

Manusia yang benar-benar kenal Allah dan sifat-Nya tidak akan berani berbuat sebarang dosa atau kemungkaran. Malah tidak akan sanggup melakukan walaupun termasuk dalam apa yang dinamakan dosa-dosa kecil.

Masalah rasuah, tuang kerja, rompak, curi, tipu, tidak amanah, edar dan penyalahgunaan dadah, putus silaturahim, kes-kes buang anak dan janin serta pelbagai kemungkaran lagi tidak akan berlaku bagi mereka yang kenal Allah dan sifat-sifat-Nya.

Hanya hamba-Nya yang hilang sifat kehambaan akan sanggup berbuat dosa dan kemungkaran. Apatah di kalangan mereka yang memisahkan diri darpada al-Quran yang merupakan himpunan kata-kata Allah yang sarat dengan tegahan dan larangan.

Sedangkan sikap kehambaan terhadap Allah itu sangat dituntut. Ini terbukti apabila daripada 6,236 keseluruhan ayat al-Quran, terdapat 2,799 kali sebutan nama Allah dan keesaan-Nya yang sangat- sangat layak disembah dan diperhambakan diri oleh kita hamba-Nya.

Daripada 2,799 sebutan nama Allah dalam al-Quran itu pula, terdapat 967 sebutan Rabbi yang membawa maksud memiliki, mendidik dan memelihara, manakala Rahman (Maha Pemurah) dan Rahiim (Maha Penyayang) ada disebut 560 kali.

Perkataan Ghafuur yang merupakan antara nama-Nya yang membawa maksud maha pengampun ada disebutkan sebanyak 233 kali sebagai tanda bakti, selain daripada pemurah dan penyayang kepada hamba-Nya, Allah juga maha pengampun.

Juga kerap disebut dalam al-Quran adalah Maalik yakni yang memiliki atau jika dipendekkan mimnya ia akan membawa maksud ‘Raja’ yang memerintah dan menguasai alam ini dan juga alam akhirat.

Maknanya, kita kena sedar bahawa kita kepunyaan Allah dan kita tidak boleh lari daripada tidak menjadi kepunyaan-Nya.

Oleh kerana kita kepunyaan-Nya, maka kita kena patuh kepada apa yang disuruh dan kena menjauhi daripada apa yang ditegah.

Allah pula maha pemurah, apa yang dikehendaki mesti diminta daripada-Nya. Allah juga maha penyayang. Tidak ada sebab untuk kita benci dan menjauhkan diri atau mengingkari apa yang disuruh dan ditegah oleh-Nya.

Sebagai manusia kita tidak dapat bebaskan diri daripada melakukan dosa kerana kejahilan kita.

Tetapi sifat maha pengampun-Nya patut dieksploitasi untuk kita bertaubat nasuha supaya daripada banyak membuat dosa kita bertukar menjadi hamba-Nya yang rajin mengumpul pahala dan daripada jahil menjadi alim.

Dalam bulan puasa inilah masanya untuk yang masih tidak kenali Allah kena berusaha mengenali Allah, yang jahil berusaha untuk alimkan diri dan yang bergelumang dengan dosa berhenti daripada melakukan kerja dosa kemaruk serta ketagihkan diri melakukan kerja-kerja yang mendatangkan pahala.

Paling penting, bina, pelihara dan tingkatkan kualiti perhambaan diri terhadap-Nya kerana Dia adalah pemilik kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »