Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Ogos 2010

Minuman beralkohol: Kanak-kanak minum bir

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin berhubung kebanjiran minuman ringan beralkohol dalam pasaran dengan bertopengkan minuman ringan.

Manakala undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa minuman beralkohol dilarang kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, minuman ini dijual kepada kanak-kanak sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, isu minuman beralkohol yang dijual sebagai minuman ringan bukanlah perkara baru.

Pada 1997, katanya CAP mendedahkan minuman ringan bernama Alcopops dijual sebagai minuman ringan sedangkan ia mengandungi sehingga 5% alkohol, masalah yang sama kemudiannya didedahkan lagi pada  2003.   

Katanya, kajian CAP menunjukkan pada masa ini lebih daripada 15 jenis minuman ringan beralkohol berada di pasaran.

Minuman ringan beralkohol ini yang boleh didapati di dalam botol 275 ml dijual dengan harga RM4 hingga RM10.

Botol berisi jus berwarna yang menarik dengan nama tropical fruit, ice lemon tea, jus oren, lemon original tanke, lemon and lime flavour, orange-lemon flavour dan sebagainya.

Katanya, pengeluar menggunakan warna yang amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama sekali kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudiannya akan ketagih.

Contohnya, kata beliau minuman ringan ini juga dikeluarkan dengan warna merah jambu yang akan menarik kanak-kanak perempuan untuk mencubanya.

“Malah dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya 4% hingga 6.3% dalam minuman ringan ini,” katanya.

Menurutnya, bir yang diminum dengan meluas mengandungi 5% alkohol yang bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir.

Katanya, kebimbangan mula dirasai oleh guru-guru di Pulau Pinang selepas mendapati pelajar-pelajar mereka mengambil minuman ringan ini hampir setiap hari walaupun harganya tinggi.

“Menyedari akan minuman ini boleh menjadikan mereka ketagih kepadanya, guru ini telah meneliti label pada botol dan amat terkejut apabila mendapati minuman itu mengandungi alkohol.

“Menyedari betapa seriusnya masalah ini, beliau kemudiannya membawa perkara ini ke perhatian pihak CAP,” katanya.

Jelasnya, apabila CAP menemubual beberapa orang pelajar yang mengambil minuman itu, mereka tidak menyedari bahawa minuman itu mengandungi alkohol.

Tambahnya, sesetengah daripada mereka menyuarakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa mereka selama ini sebenarnya mengambil minuman beralkohol.

Menurutnya, label yang jelas dengan maklumat kandungan alkohol tidak memberikan apa-apa makna memandangkan ia dicetak dalam huruf yang kecil dan ditenggelami oleh label berwarna dan menarik.

CAP, ujarnya percaya minuman ringan beralkohol boleh membawa kepada kegiatan samseng (gangsterisme) dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2005, 32 pelajar terlibat dalam gangsterisme.

Bilangan ini telah meningkat kepada 60 orang pada tahun lalu. Pada 2008 sahaja 81 pelajar dikesan hubungan mereka dengan aktiviti gangster.

“Jelas minuman ringan ini menjadi langkah awal untuk ketagihan alkohol,” ujarnya.

CAP, ujarnya merasakan bahawa hak pengguna telah dicabuli dengan mendedahkan minuman beralkohol ke atas mereka tanpa pengetahuan mereka.

“Keadaan ini amat tidak sihat kepada generasi muda. Minuman beralkohol boleh merosakkan sel otak dan menjejaskan deria mereka, ini memberikan kesan negatif terhadap prestasi akademik mereka,” katanya.    

Beliau berkata, pihak pengeluar menggunakan taktik itu untuk meningkatkan jualan mereka dan memang mereka menyedari bahawa alkohol dalam minuman itu cenderung untuk menjadi ketagih untuk mengambil minuman ringan mereka.

Akhirnya, kata beliau ia akan membawa mereka kepada ketagihan kepada minuman alkohol lain yang lebih tinggi kandungan alkoholnya.

“Jelas sekali ini merupakan cara berbahaya memerangkap masyarakat ke dalam rantaian penagihan alkohol yang akan memastikan keuntungan yang berterusan untuk syarikat alkohol,” katanya.

Memandangkan bahaya minuman beralkohol yang bertopengkan di bawah nama minuman ringan, CAP menyarankan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan di mana minuman itu tidak seharusnya dijual sebagai minuman ringan, sebarang minuman yang dicampur alkohol perlu dilabelkan sebagai minuman beralkohol dan dijual menerusi kaunter minuman keras sahaja,

Selain itu, katanya tindakan perlu diambil terhadap pengeluar minuman ringan yang melabelkan dan menjual minuman yang dicampur dengan alkohol sebagai minuman ringan.

Memandangkan minuman ringan adalah untuk semua pengguna, menambah alkohol ke dalamnya seharusnya tidak dibenarkan dalam pengeluaran minuman ringan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Wabak atau murka Allah

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin
 KAWAL...sentiasa pastikan kawasan rumah dan premis bersih dari sarang pembiakan tikus kerana ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan.
KAWAL…sentiasa pastikan kawasan rumah dan premis bersih dari sarang pembiakan tikus kerana ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

VIRUS kencing tikus menggemparkan negara, baru-baru ini sehingga orang ramai bimbang berkunjung ke pusat rekreasi seperti sungai dan air terjun.
Penyakit kencing tikus atau leptospirosis itu mendapat perhatian orang ramai kerana lapan orang meninggal dunia akibat jangkitan itu selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Penyakit itu disebabkan bakteria Leptospira. Ia tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.

Walaupun dipanggil virus kencing tikus, ia bukan saja merebak melalui tikus tetapi haiwan lain seperti babi, burung, landak, kelawar, kambing, kuda, anjing, dan tupai.

Kehadiran virus itu tanpa tanda amaran menimbulkan pelbagai tanda tanya dan pengajaran kepada manusia.

Sebenarnya Allah menurunkan wabak itu untuk menguji hamba-Nya tetapi ramai yang masih berdegil.

Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”. (Surah Ar-Rum ayat 41).

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang membabitkan diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Selain itu, kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikkan Allah, kekufuran dan perkara yang boleh membawa kepada dosa.

Islam sangat mengambil berat aspek kebersihan ini, justeru sebelum bersolat, kita wajib membersihkan diri dan batin daripada segala sifat kotor.

Kenapa kita semua perlu menjaga persekitaran alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan? Ia penting dalam usaha menjadikan alam sekitar bersih.

Selain kotor, tempat rekreasi turut menjadi ‘port’ bagi pasangan melakukan maksiat termasuk berzina sedangkan ia adalah kawasan tumpuan orang ramai.

Perunding motivasi dan pendakwah, Mohd Zawawi Yusoh berkata, Allah mahu menguji dan menyedarkan manusia supaya insaf atas kesalahan mereka dengan datangnya penyakit serta ujian (ibtila’).

“Allah menimpakan bala kepada sesiapa saja tanpa mengira di mana mereka berada, berdosa ataupun tidak.

“Penyakit kencing tikus yang meragut beberapa nyawa sebelum ini perlu dijadikan iktibar supaya manusia kembali merenung kesalahan yang dilakukan terhadap diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, selain daripada penyakit yang dibawa oleh binatang kemungkinan ia datang daripada makhluk lain yang tidak diketahui.

“Allah boleh jadikan binatang sebagai sumber penyakit selepas murka dengan kemungkaran yang manusia lakukan.

“Boleh jadi ia juga berpunca daripada campur tangan jin jahat untuk berbuat sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting manusia perlu kembali bertaubat dengan dosa yang mereka lakukan.

“Sesuai sekali dalam kita menyambut Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam perlu mengambil peluang bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah.

“Segala yang menimpa masyarakat dan negara kita adalah peringatan daripada Allah supaya kita kembali mentaati perintahnya untuk menjadi khalifah yang sentiasa menyuburkan muka bumi ini dengan amal makruf,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, faktor kebersihan perlu dititikberatkan dan diamalkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Kebersihan diri adalah ciri penting untuk membentuk personaliti Muslim cemerlang.

“Persekitaran yang bersih turut merangkumi kawasan hutan dan sungai. Jangan biarkan sungai tercemar kerana ia akan mengakibatkan berlakunya pencemaran dan keracunan air,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

MB Kelantan ziarah mangsa kebakaran di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

KOTA BHARU- 24 Ogos – Menteri Besar Kelantan, Exco kerajaan negeri Dato’ Husam Musa dan ramai lagi yang lain meluangkan masa bagi melihat dan mendapat maklumat secara lebih dekat daripada mangsa kebakaran di Pondok Pasir Tumboh selepas dari solat Zohor
 
Kejadian itu yang berlaku lebih kurang pukul 12 tengahari menyaksikan bagaimana 9 buah rumah kelamin kawasan Pondok Pasir Tumboh hangus dijilat api namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila api marak dengan begitu cepat di mana taksiran kerugian belum dipastikan lagi setakat ini. Kebakaran yang berpunca daripada litar pintas begitu cepat merebak sehingga gagal diredakan dengan semburan daripada puluhan alat pemadam api dan juga air sehinggalah pihak bomba dari Kota Bharu tiba.

Suasana pengajian pondok yang sedang bercuti sempena Ramadhan menyebabkan bantuan agak terbatas. Namun begitu dengan bantuan pelajar yang masih ada ditambah dengan bantuan penduduk tempatan memainkan peranan masing-masing seperti menyiram kebakaran dengan air, menyembur dengan alat pemadam api disamping menyelamatkan barangan dari rumah mangsa kebakaran dan yang berhampiran. Tidak kurang yang berperanan melaungkan azan secara bergilir-gilir samada di masjid mahu pun berhampiran kawasan kebakaran. Sekumpulan pelajar berkubu di rumah salah seorang tenaga pengajar iaitu Ustaz Hj Abdul Rahim yang turut dijilat api sebahagian kecil bumbungnya memandangkan rumah yang mula-mula terbakar hanya bersebelahan sahaja dengan rumah beliau

 

Kebakaran kali ini merupakan suatu bencana yang paling teruk selepas daripada kebakaran yang meranap hampir 15 buah rumah kelamin pada tahun 2000 yang lalu iaitu kira-kira 10 tahun lalu yang turut melibatkan kematian seorang kanak-kanak.

Pihak kami memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi meringankan bebanan mangsa kebakaran terutama ketika masih berada dalam bulan Ramadhan dan hampir menyambut kedatangan hari raya Aidil Fitri. Semoga sumbangan daripada semua pihak dibalas dengan ganjaran besar di sisi Allah.

Sebarang sumbangan boleh hubungi Setiausaha Agong Ahmad Shairazi b Atiqullah ditalian 019-9388902








Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »