Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Ogos 2010

Puasa ibarat madrasah, bengkel kerohanian

Posted by epondok di Ogos 17, 2010

 

FIRMAN Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183)

 

Ibadat puasa Ramadan mula difardukan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam pada tahun ke-2 hijrah. Sebelum difardukan puasa sebulan pada Ramadan, Nabi Muhammad SAW sudah biasa dengan amalan berpuasa.

 

Baginda berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan puasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan. Berpuasa 10 Muharam turut menjadi amalan orang Quraisy Makkah, Yahudi dan Nasrani di Madinah.

 

Puasa pada syarak ialah menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Rukun puasa ada tiga, iaitu orang berpuasa, niat dan meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa.

 

Sahabat Nabi, Jabir bin Abdullah berkata: Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa.

 

Nabi Adam dan Hawa manusia pertama berpuasa dengan tujuan membersihkan diri daripada keterlanjuran mereka memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah ketika berada di syurga.

 

Manakala Nabi Daud pula berpuasa selang sehari dan puasa baginda diibaratkan Allah sebagai puasa yang amat mulia. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: Puasa yang amat dikasihi oleh Allah adalah puasa Nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)

 

Di antara Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Isa dan golongan penyokongnya dikenali sebagai al-Hawariyun. Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, berpuasa daripada memakan roti dan meminum air.

 

Manifestasi daripada ibadat puasa ini, Ramadan dianggap sebagai madrasah atau bengkel kerohanian kerana umat Islam melalui pelbagai proses latihan dan ujian ditetapkan Allah Taala.

 

Saidina Ali ada memberikan definisi menarik mengenai takwa iaitu takut kepada Allah, beramal dengan perintah-Nya, reda dengan sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian. Kesemua ciri takwa ini cuba dibajai dan disemai kepada setiap Muslim melalui ibadat puasa pada Ramadan.

 

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa dengan ibadat lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Berpuasa itu separuh daripada sabar. (Riwayat Ibnu Majah). Maksud hadis Rasulullah yang lain: Sabar itu separuh daripada iman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Latihan Ramadhan lahirkan umat bertaqwa

Posted by epondok di Ogos 17, 2010

LATIHAN dan pendidikan pada Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adabnya dijaga serta dipelihara. Antara adab itu ialah:

# Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya (orang yang berpuasa).” (Hadis riwayat Baihaqi dan Ibn Khuzaimah)

# Tidak banyak tidur pada siang hari dan makan pada waktu malam. Sebaiknya, bersederhana pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan inti pati puasa yang perlu dicapai.

# Berusaha menjaga semua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan berbuat demikian, ibadat puasanya pasti suci dan sempurna. Ada ramai yang penat dengan berlapar dan dahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihan tidaklah berbaloi seperti sabda Rasulullah SAW: “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.”

(Hadis riwayat Nasa’i)

# Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Abdullah ibn Omar berkata, “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas budak, orang yang merdeka, lelaki, wanita, anak-anak dan orang tua daripada kalangan Muslimin, dan baginda memerintahkan supaya zakat itu dikeluarkan sebelum manusia keluar melaksanakan solat Aidilfitri.” (Hadis riwayat Bukhari)

# Mengejar lailatulqadar.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Pada ketika itu, Nabi menyuruh umatnya memperbanyakkan bacaan doa yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau sukakan kemaafan, maka ampunlah dosa-dosaku.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan | 3 Comments »