Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Ogos 2010

Pondok Pak Ya perlukan sumbangan sempena Ramadhan

Posted by epondok di Ogos 16, 2010

 Harakahdaily   

 

 

ALOR SETAR, 16 Ogos: Walaupun hanya tinggal 12 buah sahaja Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kedah yang tidak diserap ke dalam Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran, Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya akan terus berjuang untuk mendidik anak bangsanya belajar agama.

“Memang sukar tetapi akan terus berjuang. Kami yakin, masyarakat akan bantu kami,” kata Setiausahanya, Haji Najib Fahmi kepada Harakahdaily.

Untuk mencapai hasrat itulah, sekolah ini berusaha untuk mendapatkan sumbangan pelbagai pihak bagi membantunya.

Sekolah ini diasaskan pada 3 Zulhijjah 1360H @ Disember 1941 dan dibina atas surau peninggalan Tuan Hussein Kedah.
Pembinaan ini adalah hasil dari persidangan dan kata muafakat 25 penduduk yang berpengaruh di Kampung Padang Lumat yang bersidang pada 18 November 1941.

Surau dan tapaknya seluas 2 relung kemudiannya diwakafkan kepada Haji Yahaya Junaid. Taufikiah Khairiah ditubuhkan hasil khairat dan jariah masyarakat setempat.

Mudir atau Pengetua pertama Sekolah (Madrasah) Taufikiah ialah Tuan Guru Haji Yahaya AMK, seorang ulamak yang terkenal di negeri Kedah.

Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan pernah menjadi ADUN Sala (Sungai Limau) selama dua penggal.

Sekolah ini dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (Mudir Al-Khairiah Pokok Sena, Seberang Prai) pada  2 April 1942.

Bilangan pelajar bertambah dari 18 pelajar di awal penubuhan kepada 194 pelajar semasa perasmian. Pada tahun 1964 jawatan mudir telah diserahkan kepada Allahyarham Ustaz Azhari Abd. Razak.

Pada zaman Allahyarham berdua, Taufikiah terus membangun dan mencapai banyak kejayaan.

Sekolah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah telah banyak melalui zaman jatuh bangunnya. Pada tahun 1990 bilangan pelajar melebihi 3000 pelajar.

Walaupun pada tahun 2010 bilangan pelajarnya Cuma 500 orang, Jawatankuasa Lembaga Tadbir telah bertekad untuk memperbaiki prestasi Taufikiah Khairiah Al-Halimiah dan terus berusaha melahirkan pelajar yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah swt.

Sejarah telah membuktikan Taufikiah Khairiah Al-Halimiah telah melahirkan ribuan ulamak, intelektual Islam, bukan sahaja di Kedah, di Semenanjung malah ke Sabah dan Sarawak.

Taufikiah telah berjaya melahirkan Professor, Doktor, Pensyarah, Pegawai Tadbir, Pegawai Agama, Peguam, Golongan Profesional, Guru, Imam dan pemimpin masyarakat.

Mulai tahun 2008, Taufikiah memulakan pembaharuan dengan Pengajian Tahfiz diwajibkan bagi setiap tingkatan selama 1 jam, kelas tambahan diadakan bagi membaiki mutu pembelajaran seluruh pelajar.

Tahun 2009, Taufikiah telah mewujudkan kelas Pemulihan Khas untuk pelajar-pelajar yang tidak mahir di dalam membaca Al-Quran, jawi dan rumi.

Tahun 2010, pihak Taufikiah telah mewujudkan satu program khusus untuk pelajar yang mahir Al-Quran yang dikenali sebagai Akademi Tahfiz Al-Quran.

Mulai 2011, akan bermula pengambilan pelajar untuk tingkatan 1 Tahfiz Sains.

Visi Sekolah

Visi sekolah ini adalah memartabatkan sekolah sebagai sebuah institusi agama yang cemerlang dan berwibawa di negeri Kedah Darul Aman.

Misi sekolah

1) Merancang dan melaksanakan pelbagai program berdasarkan wahyu Ilahi untuk melahirkan para du’at yang berkebolehan dan berakhlak mulia.

2) Membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berlandaskan keyakinan dan kepatuhan kepada Allah swt.

3) Membentuk masyarakat Rabbani yang bertanggungjawab meneruskan amanah Allah swt.

Kepada mereka yang ingin membantu sekolah ini bolehlah hubungi Bendahari sekolah, Zolkefly Ismail 019-4001567

Posted in Pondok Malaysia, Program Terbaru | Leave a Comment »

Sambut Ramadan seikhlas hati

Posted by epondok di Ogos 16, 2010

 

SEPERTI umat Islam yang lain di seluruh dunia, sambutan Ramadan di United Kingdom tidak kurang meriahnya, cuma terhad kepada sebilangan kecil Muslim yang masih mengamalkan cara hidup Islam dalam kalangan bangsa Melayu, Arab dan Pakistan yang menetap di sini.

 

Walaupun tidak ketara seperti di Malaysia, persediaan serba sedikit mengingatkan kami akan hadirnya Ramadan yang bertandang sekali setahun.

 

Waktu sahur berakhir pada jam 4.00 pagi tentunya tidak menjadi masalah kerana tidak jauh beza dari Malaysia, tetapi di awal Ramadan, kami berbuka pada jam 9 malam.

 

Keadaan ini menguji kekuatan dan kesabaran, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa dan juga ibu hamil yang cuba sedaya upaya menyempurnakan Ramadan, walaupun ada rukhsah untuk mereka tidak berpuasa.

 

Hakikatnya, di mana saja berada tanggungjawab kepada yang Esa wajib ditunaikan dengan penuh keinsafan. Tawaran pahala berlipat ganda, anugerah lailatulqadar dan keampunan dari dosa tentunya tidak mampu ditinggalkan begitu saja.

 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Tambahan pula gangguan syaitan yang selama ini membantutkan tekad dan hasrat untuk melakukan kebajikan juga dihalang oleh Allah SWT.

 

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila sudah tiba Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan syaitan dirantai. (Hadis riwayat Ahmad)

 

Itulah yang menyebabkan kegembiraan tidak terkira kepada sesiapa yang masih diberi ruang dan peluang memohon keampunan pada bulan penuh rahmah dan barakah ini.

 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka.(Hadis riwayat Ahmad)

 

Inilah sepatutnya diterapkan dalam jiwa anak-anak seawal mereka mula ingin memahami sebab dan musabab berpuasa. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal diri melakukan maksiat, kejahatan serta dosa-dosa lain.

 

Selain perutnya, hati juga berpuasa, malah mata, telinga dan mulut turut berpuasa daripada halwa yang selama ini mendendangkan lagu alpa, yang menghitamkan hati selama sebelas bulan. Tentunya menahan diri seharian tidak mudah apatah sememangnya banyak cabaran dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

 

Tanpa kesabaran dan kekuatan iman, mustahil seseorang itu mampu berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bersabar saja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar, ayat 10)

 

Sebab itu, tidak pelik apabila melihat ramai yang terang-terangan merokok, makan dan minum di khalayak, terutama di restoran, kedai makan serta bazar Ramadan, dalam kalangan penjual juadah berbuka itu sendiri kerana mereka tidak sabar.

 

Justeru, bagi yang baru belajar berpuasa genap sebulan atau berhasrat melakukannya dengan sungguh-sungguh kali ini, cubalah memperbanyakkan membaca al-Quran dan solat berjemaah serta penuhi kelapangan waktu dengan beriktikaf di masjid.

 

Amalan ini boleh mendekatkan kepada Allah dan menjalankan kewajipan sebagai Muslim dengan jujur dan amanah, sekali gus hati akan sentiasa jauh daripada nafsu serakah yang membaja dalam diri, walaupun tiada desakan syaitan.

 

Jangan sesekali membiarkan diri melakukan perbuatan sia-sia atau mengundang dosa kerana ia boleh mengurangkan kualiti puasa atau membatalkannya.

 

Ujian berpuasa tentulah tidak seberapa berbanding kelebihan dan manfaat Ramadan yang disediakan dalam pakej lengkap, bagaikan hadiah pertama akan diberi kepada setiap juara yang mampu menjawab semua soalan dengan betul, cuma majlis anugerahnya tertangguh di akhirat sana.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Memahami status Nabi SAW

Posted by epondok di Ogos 16, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA telah membayangkan di siri yang lepas bagaimana ada sesetengah mereka yang keliru fahamannya cenderung menghukum sesat terhadap perbuatan memuliakan dan mengagungkan Nabi SAW. Seolah-olah perbuatan itu sudah mengkaburkan perbezaan antara Allah SWT sebagai Khaliq dan Nabi SAW sebagai makhluk.

Maka pengarang kitab Mafahim menyambung bicaranya dengan memperjelaskan fahaman sebenar dalam soal ini. Beliau menegaskan bahawa pegangan kita adalah Baginda SAW juga adalah manusia yang harus ke atas Baginda SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain seperti mengalami suatu hal yang mendatang dan ditimpa penyakit; yang tidak mengurangi kewibawaan Baginda SAW sebagai seorang Nabi SAW dan tidak melarikan orang daripadanya.

Benarlah apa yang dikatakan oleh seorang ahli akidah: “Para Nabi harus pada hak mereka itu ditimpa suatu perkara yang lazim menimpa manusia biasa, dengan tidak mengurangi (kewibawaan mereka), seperti ditimpa sakit yang ringan.” Nabi Muhammad SAW adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, mematikan atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SAW.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al A’raaf: 188)

Kita faham bahawa status Nabi SAW sebagai makhluk dan hamba. Malah Sifat ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat Baginda SAW. Oleh kerana itu, Baginda SAW sendiri berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: “Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah.”

Allah SWT telah menyifatkan Baginda SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi maqam (ketika Allah menceritakan anugerah Israk kepada Baginda SAW) sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya… (Al Israa’: 1) Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan Jin) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al-Jin: 19)

Walaupun kita tahu Rasulullah SAW itu sifatnya manusia tetapi kita wajib membezakan Baginda SAW daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan maqam dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang-orang Jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh AS mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah di dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami. (Hud: 27)

Ayat yang lain ialah perkataan kaum Nabi Musa dan Harun mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israil) menjadi orang-orang suruhan kita?” (al-Mu’minun: 47). Hal yang sama berlaku pada Nabi Soleh dan Nabi Syu’aib (al-Syuaara: 154,185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrik terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang Baginda SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam Kitab-Nya:

Dan mereka pula berkata, Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? (al-Furqaan, 7)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »