Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Ogos 2010

Akademi Pondok Sempena Ramadhan 1431H

Posted by epondok di Ogos 11, 2010

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1431H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ketiga setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan. Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian 09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab)
  • Harga Kitab

Ø Edisi jawi RM 6.00 ( 2 buah )

Ø Edisi rumi RM 10.00 ( 2 buah )

Tarikh & Masa Daftar Diri

Mulai 2 Ramadhan 1431H bersamaan 12 Ogos 2010 (Khamis) jam 8.00 pagi

JADUAL AKADEMI PONDOK 1431H

TARIKH

MASA

PENGISIAN

Mulai

9.00– 10.00 am

Kitab Tauhid  : Minhaj as-Salam

12 Ogos 2010M

10.15– 11.15 am

Kitab Feqah : Minhaj as-Salam

2 Ramadhan 1431H

11.20 am – 2.45 pm

Khidmat diri & Solat Zohor

Hingga

4 September 2010M

25 Ramadhan 1431H

3.00 – 4.00 pm

Kitab Tasawwuf :

Setiap Jumaat cuti bagi memberi peluang untuk pengajian di Medan Ilmu

# Kitab Minhaj as-Salam meliputi Rukun Iman dan bab Feqah ( kitab ada edisi jawi dan rumi )

# Kitab Tasawwuf Pilihan pula menyentuh berkenaan sifat terpuji dan sifat tercela serta proses dalam memperbaiki keperibadian mukmin

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786  H/P : 019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Posted in Pondok Pasir Tumboh, Program Terbaru | 3 Comments »

Orang beriman tidak gentar seksaan dunia

Posted by epondok di Ogos 11, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

rakyat palestin yang sentiasa dizalimi oleh Zionis di dunia, insya-Allah akan mendapat balasan pahala dan syurga di akhirat kelak. – Gambar hiasan

 

Mukadimah

 “Surah yang pendek ini membentangkan hakikat-hakikat akidah Islam dan asas kefahaman keimanan. Ia mengemukakan persoalan-persoalan yang mata besar yang memancarkan disekelilingnya sinaran cahaya yang kuat dan jauh pandangannya.

“Ia memancarkan di belakang konsep-konsep dan hakikat-hakikat secara langsung yang diungkapkan oleh nas ini sehingga hampir-hampir setiap ayat dan kadang-kadang setiap kalimatnya membuka pintu yang menampakkan sebuah alam hakikat yang luas dan sayup saujana memandang.

“Yang menjadi pokok perbicaraan secara langsung surah ini ialah peristiwa-peristiwa pembesar-pembesar yang menggali parit.

“Di zaman sebelum Islam ada sekumpulan orang-orang mukmin, yang menurut satu pendapat, mereka adalah penganut-penganut Kristian yang berpegang dengan akidah tauhid.

“Mereka diseksa oleh musuh-musuh mereka yang kejam dan zalim. Mereka dipaksa meninggalkan akidah tauhid dan agama yang dipegang mereka, tetapi mereka enggan dan tetap mempertahankan akidah mereka.

“Lalu pembesar-pembesar yang zalim itu menggali sebuah parit yang besar dan menyalakan api di dalamnya. Kemudian mereka campakkan kumpulan orang beriman itu ke dalam parit ini menyebabkan mereka mati terbakar. “Pembunuhan itu dilakukan di hadapan khalayak ramai yang dikerah dan dikumpulkan oleh para pembesar yang berkuasa untuk menyaksikan kematian orang mukmin yang terbunuh dengan cara amat dahsyat dan kejam itu.

“Pembesar-pembesar itu begitu terhibur dengan pemandangan pembakaran itu, iaitu pembakaran manusia-manusia mukmin”.

Firman Allah SWT: Demi langit Yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT bersumpah dengan bintang-bintang ini kerana penciptaan-Nya yang hebat. Hikmahnya yang besar dan kegunaannya bagi kehidupan manusia.

Ini menunjukkan bahawa benda-benda tersebut mempunyai pencipta Yang Maha Bijak dan Maha Mengatur. Allah SWT mendorong kita memperolehi bukti keagungan kekuasaan-Nya dan kebesaran Hikmah-Nya.

Firman Allah SWT: dan hari (pembalasan) Yang dijanjikan; dan makhluk-makhluk Yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan Yang disaksikan.

Ibn Kathir berkata: “Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai hal tersebut. Dan kebanyakan berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan asy-Syahid (yang menyaksikan) adalah hari Jumaat, sedangkan al-Masyhud (yang disaksikan) adalah hari Arafah.

Firman Allah SWT: Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah seorang pemeluk agama Nabi Isa a.s berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Isa dengan syariat baru, bagi menggantikan syariat mereka.

“Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Dia segera datang dengan pasukan tenteranya dari Kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.

“Mereka dibuatkan pari, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksa, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi orang yang tetap teguh dengan Nabi Isa a.s dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka kepada pahala yang telah Allah SWT janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.

Syed Qutub berkata: “Ayat ini menggambarkan sikap mereka dan pemandangan ketika mereka menyalakan api dan mencampakkan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan ke dalam api itu, sedangkan mereka duduk di tempat itu menyaksikan peristiwa penyeksaan yang kejam itu dari dekat.

“Mereka melihat peringkat-peringkat perkembangan penyeksaan itu, dan melihat bagaimana api itu menjilat badan-badan mangsanya. Mereka menonton dengan penuh kelazatan dan kegila-gilaan, seolah-oleh mereka mahu menerapkan pemandangan yang kejam itu di dalam hati mereka”.

Firman Allah SWT: dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

Ini kerana keimanan mereka yakni orang kafir amat benci kepada mereka yang beriman dalam kisah Ashab al-Ukhdud ini.

Firman Allah SWT: Tuhan Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Ini menunjukkan betapa kuasanya Allah dan mampu melakukan apa sahaja. Ingatlah apa yang mereka kerjakan pasti menerima akibatnya.

Penutup

Tamatlah riwayat peristiwa parit api itu dalam beberapa ayat yang pendek yang membuatkan kita penuh dengan perasaan benci dan jijik terhadap keganasan perbuatan itu, dan terhadap kekejaman orang yang tergamak melakukannya. Di samping merangsang hati kita merenung dan meneliti apa yang ada di sebalik peristiwa itu, dan memikirkan betapa beratnya peristiwa itu dalam peristiwa itu dalam pertimbangan Allah, dan betapa hebatnya kemarahan dan kemurkaan-Nya.

Namun, perkara ini tidak tamat setakat ini sahaja, malah di belakangnya terdapat ekoran yang lebih jauh dalam perkiraan Allah.

Demikian tamatlah kisah peristiwa pembunuhan kejam yang dilakukan membuatkan hati kita dipenuhi perasaan kagum terhadap kehebatan iman yang mengalahkan penindasan dan penyeksaan terhadap kekuatan akidah yang mengatasi nyawa dan terhadap kebebasan jiwa dari segala belenggu keinginan jasmani dan dari daya tarikan hidup di bumi.

Orang mukmin yang terbunuh itu memang dapat menyelamatkan nyawa mereka apabila mereka memilih kekalahan dari keimanan, tetapi andainya mereka berbuat begitu, betapa besar kerugian diri mereka di dunia sebelum akhirat!

Betapa besar kerugian seluruh dunia! Betapa besarnya kerugian mereka kerana membunuh konsep yang agung itu dan konsep kekerdilan hidup tanpa akidah dan konsep kejelikan hidup tanpa kebebasan dan konsep kerendahan dan kemunduran hidup apabila para pemerintah yang zalim menguasai jiwa manusia setelah mereka menguasai tubuh badan mereka.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Posted by epondok di Ogos 11, 2010

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. – Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. – Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Rujukan

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-‘Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »