Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Ogos 2010

Keluarga ejen dakwah paling berkesan

Posted by epondok di Ogos 9, 2010

Oleh Prof Madya Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

Institusi berperanan bentuk ahli taat segala perintah Allah, cegah semua kejahatan

KELUARGA adalah institusi penyebaran dakwah dan perkembangan Islam bermula dalam kalangan anggota keluarga. Apabila pembinaan institusi keluarga berasaskan kepada ajaran Islam, hasilnya sebuah rumah tangga bahagia.

Secara tidak langsung, institusi keluarga bahagia boleh menjadi penggerak dakwah melalui contoh ditunjukkan bukan saja terhadap ahlinya, tetapi juga pihak luar pastinya ingin tahu rahsia kebahagiaan dikecapi.

Keluarga sering dikaitkan sebagai antara punca berlakunya gejala sosial dan keruntuhan akhlak remaja. Oleh itu, jika keluarga menjadi punca, maka keluarga juga boleh menjadi penyelamat atau sistem pertahanan bagi mengelak berlakunya gejala negatif.

Tanggungjawab keluarga melahirkan insan bertakwa tidak dinafikan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Mengenai firman Allah itu, Ibn Kathir menjelaskan, Mujahid berkata: “Bertakwalah kepada Allah SWT dan berpesanlah kepada keluarga kamu untuk bertakwa kepada Allah.”

Sementara Qatadah pula berpendapat: “Hendaklah engkau menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan mencegah mereka daripada menderhaka kepada-Nya. Dan hendaklah kamu menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya serta membantu mereka menjalankannya.

Jika engkau melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka.”

Melalui penjelasan itu, dapat difahami bahawa keluarga dalam Islam mempunyai peranan besar membentuk ahlinya mentaati segala perintah Allah dan mencegah daripada segala kejahatan demi melahirkan insan bertakwa kepada Allah.

Peranan keluarga bahagia ialah mewujudkan suasana penghayatan Islam dalam rumah tangga seperti melaksanakan sembahyang berjemaah, membaca al-Quran bersama, membaca buku agama beramai-ramai, makan bersama dan memberi salam semasa masuk atau meninggalkan rumah.

Keluarga berperanan mewujudkan suasana kerohanian, kepatuhan terhadap pelaksanaan syariat, penerapan nilai mulia dan adab-adab keislaman dalam diri serta kehidupan ahli keluarga. Ketua keluarga juga perlu menjauhkan ahlinya daripada makanan haram dan syubhat.

Setiap ahli rumah tangga muslim hendaklah takut kepada perkara haram seperti takutnya seseorang kepada ular berbisa yang sedang mencari mangsa. Isteri hendaklah sentiasa mengingatkan suaminya supaya sentiasa mencari rezeki halal untuk keluarga.

Keluarga bahagia juga sentiasa menitikberatkan kesihatan dengan memastikan ahlinya tidak makan atau minum secara berlebihan sebaliknya hidup dalam keadaan sederhana. Tambahan, sekarang ini pelbagai penyakit mudah menyerang berpunca daripada pemakanan serta gaya hidup.

Islam memang cantik kerana sentiasa mendidik umatnya memikirkan kesejahteraan dan kerana itu digalakkan supaya mengambil langkah pencegahan dalam setiap aspek kehidupan bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Suami dan isteri hendaklah bergaul dengan penuh adab sopan sebagai contoh kepada anak apabila berinteraksi dengan masyarakat. Jangan salahkan anak mengeluarkan kata tidak baik jika itulah bahasa yang biasa didengar dalam perbualan ibu bapanya.

Kesalahan perlu diperbetulkan dengan baik dan bijaksana, kerana setiap masalah pasti ada jalan keluarnya, yang penting merujuk kepada Islam sebagai panduan hidup. Begitu juga dugaan yang datang, hendaklah diterima dengan hati terbuka seterusnya mencari kaedah terbaik mengatasinya.

Kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak membabitkan remaja serta golongan muda sewajarnya menjadi ingatan kepada keluarga untuk melihat kembali apakah kekurangan yang mungkin menjadi faktor berlakunya kepincangan.

Jika tiada suasana kedamaian di rumah, maka wujudkan suasana itu demi menjaga keharmonian ahli keluarga supaya anak tidak hilang rasa sayang serta hormat kepada ibu bapa, sementara ibu bapa tidak perlu risau walaupun anak tiada di depan mata.

Banyak perkara mungkin dilihat sebagai remeh, tetapi apabila diperhalusi, itulah sebenarnya penawar yang boleh disuntik di kalangan ahli keluarga untuk membina pertahanan kukuh daripada segala macam pengaruh.

Solat kubu yang melindungi daripada kejahatan, tetapi sering diabaikan. Ada ibu bapa yang setia melaksanakan suruhan Allah itu, tetapi tidak memberi penekanan terhadap anak hingga mereka gagal membina tiang agama dalam diri.

Mengingatkan anak mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa ialah melalui teladan ditunjukkan. Andainya suami dan isteri memberi layanan baik serta menunjukkan rasa hormat terhadap ibu bapa mereka serta keluarga mentua, pasti anak mendapat contoh baik dan sentiasa menghormati ibu bapanya.

Sebenarnya, keluarga badan dakwah paling berkesan melahirkan masyarakat Islam berjaya baik dari segi sahsiah, pembentukan jati diri dan kesediaan menangani perubahan zaman berteraskan ajaran Islam sempurna.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Ramadan bukan bulan pesta makan

Posted by epondok di Ogos 9, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BERTADARUS...amalan bertadarus al-Quran adalah seorang membaca al-Quran manakala yang lain mendengar serta menyemaknya. BANYAKKAN BERSEDEKAH...setiap amalan baik akan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda.

BERTADARUS…amalan bertadarus al-Quran adalah seorang membaca al-Quran manakala yang lain mendengar serta menyemaknya

 

 

AHLAN wa sahlan ya Ramadan! Pastinya umat Islam tidak sabar menantikan kedatangan tarikh 1 Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

BERTADARUS…amalan bertadarus al-Quran adalah seorang membaca al-Quran manakala yang lain mendengar serta menyemaknya. BANYAKKAN BERSEDEKAH…setiap amalan baik akan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda.

bukan kepalang, seperti setahun rasanya tidak bertemu isteri dan anak-anak.

Dengan kembalinya bulan penuh keberkatan ini, maka usah dibiarkan ia berlalu pergi tanpa sebarang perubahan dalam diri kita. Andai kata Ramadan kali ini yang terakhir buat kita, moga ia menjadi pembela kita di akhirat kelak. Gunakan peluang yang terbuka luas ini untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda bahkan sampai tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: “Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Malaikat juga merendahkan sayapnya bagi menghitung pahala berganda yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa taat serta mengisi waktunya dengan beribadat.

 

Begitulah istimewanya puasa berbanding dengan ibadat lain kerana ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Ramadan adalah salah satu daripada empat bulan yang dianggap mulia oleh kaum Muslimin disebabkan pelbagai peristiwa agung berlaku antaranya peristiwa penurunan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w serta berlakunya malam lailatul qadar. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar; mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Ibadah puasa diwajibkan kepada manusia supaya mereka dapat mengawal nafsu daripada makan, minum dan bersetubuh pada siang hari selain bagi tujuan kerehatan. Hikmahnya adalah untuk mendidik rohani, jasmani, budi pekerti dan nafsu. Ramadan juga adalah proses penilaian diri yang selama ini hanya banyak memikirkan kesibukan dunia. Sememangnya hidup manusia tidak lari dari cabaran dan ujian daripada Allah. Sedar ataupun tidak, manusia yang lemah ini sentiasa diperangi dengan godaan hawa nafsu. Kesan nafsu tidak terkawal, pasti mempengaruhi roh kita sama ada berbentuk harta benda, kekuasaan, pangkat, pengikut yang ramai serta ingin menjadi ternama. Apabila nafsu dibiarkan tanpa didikan, ia akan menghasut manusia memusuhi larangan Allah dan melakukan maksiat. Justeru, apakah persiapan kita menghadapi Ramadan terakhir ini? Pertamanya, lengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan ulang kaji amalan yang perlu dilakukan ketika beribadat.

 

Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi secara terang melakukan maksiat? Semua itu berlaku akibat mereka tidak menjaga adab berpuasa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.” Berpuasa tidak hanya berlapar dahaga siang hari saja, malah kita dituntut menjaga anggota daripada melakukan maksiat. Berpuasa memerlukan kesabaran yang tinggi. Sifat tamak, gelojoh, makan berlebihan tidak boleh diamalkan kerana ia bertentangan dengan matlamat Ramadan. Jauhkan diri daripada mendengar umpatan, fitnah dan kata kotor. Berwaspada ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mencerca, membuka dan menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat. Pergaulan yang baik perlu dilakukan terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan kita. Tidak hairanlah, apabila tiba Ramadan, ia mengembalikan semula hubungan persahabatan dalam masyarakat kerana mereka akan bertemu di masjid ketika solat jemaah.

Jadi amalan berkenaan sepatutnya dihidupkan pada setiap masa dan tidak hanya berlaku ketika Ramadan. Inilah masa jika anda mahu melipat ganda pahala dengan bersedekah, bertadarus al-Quran, solat Tarawih, beriktikaf, mengawal nafsu serta perangai, menghidupkan ibadah dan menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara sumbang dan maksiat.

“Puncanya, mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja. Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya.

“Golongan ini amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat pengalaman lapar dan dahaga,” katanya.

Beliau turut meminta umat Islam di negara ini jangan menjadikan Ramadan sebagai ‘pesta’ makanan. “Apabila makan dengan banyak ketika berbuka, bagaimana mahu menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah kerana pasti tubuh letih? “Secara biologinya, binatang seperti penguin, anjing laut, singa laut turut berpuasa pada musim tertentu. Jelas berpuasa satu keperluan selain memberi rehat pada tubuh,” katanya.

Mengulas berkaitan ada golongan yang melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan kerana ingin merebut fadilat tertentu, Rahimi berkata, ia tidak salah kerana Allah sudah sediakan semua itu buat hambanya. “Umat Nabi Muhammad agak singkat umurnya berbanding umat nabi lain. Maka, Allah sediakan peluang dan kesempatan kita mengumpul amalan seperti mana yang disediakan buat umat terdahulu. “Peluang itu adalah untuk merebut malam lailatulqadar. Namun perlu diingat, hubungan kita dengan Allah bukan perlu dijaga hanya pada Ramadan saja. Jangan jadikan Ramadan sekadar bulan ‘mencuci dosa’,” katanya.

Sepanjang malam pada bulan Ramadan, lakukan solat Taarawih, membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang tahajud bagi menjaga hati supaya jangan mati.

“Antara amalan digalakkan pada sepuluh hari terakhir Ramadan ialah solat tahajud, tadarus al-Quran, zikir, dan doa, panjangkan bacaan di dalam solat sunat yang dilakukan, zikir yang ma’thur (diajar oleh Nabi) dan mintalah apa yang dihajati kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya pada malam berkenaan,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »