Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Ogos 2010

Dosa mengumpat hakis pahala, amalan baik manusia

Posted by epondok di Ogos 4, 2010

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

BUKAN mengumpat, tetapi apa dikatakan ini benar, fahaman umum untuk memberi justifikasi terhadap perbuatan menceritakan atau menyebut keburukan orang lain yang selalunya dilakukan dengan sengaja.

Ada kala, nama orang dimaksudkan tidak disebut, tetapi maksud perlakuan tetap sama iaitu menceritakan keburukan seseorang supaya diketahui orang lain. Namun, gambaran diberi selalunya boleh menyebabkan identiti orang dimaksudkan diketahui.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.”

Pahala dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya. Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat antaranya:

# Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

# Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi dalam sudah busuk dan berulat.

# Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

# Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang.

# Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah.

# Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat.

# Bergurau dan suka berlawak untuk mencela, mengatakan kelemahan serta kecacatan hingga mengaibkan orang lain.

# Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak serta sombong kerana memandang rendah orang lain

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Anak derhaka dapat balasan di dunia lagi

Posted by epondok di Ogos 4, 2010

 

Oleh Mohd Fadly Samsudin, Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

SESUNGGUHNYA dosa derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar iaitu ‘sebaris’ dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi saksi palsu.

Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa adalah anak derhaka, yang selayaknya menerima balasan daripada Allah.

pix_topright
 

Daripada hadis yang diriwayatkan Tabrani: “Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah zina dan derhaka kepada dua ibu bapa.”

Banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita yang ditanggung jika menderhaka kepada ibu bapa di dunia ini.

Ia mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka tidak tenang.

Kisah Wail bin Khattab boleh dijadikan iktibar kerana terlalu cintakan isteri, dia sering mencaci dan mempercayai segala yang dikata isterinya terhadap ibunya.

Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan tidak terhingga. Dia menggelupur hingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya.

Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat hingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku.

Sahabat amat terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka turut bersama-sama mengajar Wail mengucap kalimah syahadah.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui Nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad (S.A.W) meminta ibu Wail dijemput menemui beliau.

Nabi mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit. Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencacinya kerana dihasut isterinya.

Dia terlalu percaya segala yang dikatakan isterinya hingga menyebabkan ibunya berasa hati. Nabi Muhammad memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu.

Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.

Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti.

Mendengar kata nabi itu, ibu Wail berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan.”

Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia.

Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung seorang anak yang sanggup mengetepikan ibunya. Itu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda yang bermaksud: “Celakalah; celakalah; dan celakalah! iaitu orang yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satunya hingga sampai usia mereka lanjut, namun dia tidak boleh untuk masuk ke dalam syurga (lantaran tidak berbakti kepada mereka).”

Masyarakat kita juga mempunyai cerita tersendiri yang mengaitkan kisah penderhakaan anak terhadap orang tuanya. Kisah Tanggang yang disumpah menjadi batu cukup memberi kesan kepada kita.

Namun Tanggang zaman sekarang lebih mendukacitakan kerana bukan lagi mulut melafazkan kata-kata kesat tetapi mereka sanggup memukul ayah dan ibu.

Begitulah antara kupasan awal yang yang dipersembahkan penceramah terkenal, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh kepada orang ramai yang hadir memeriahkan Majlis Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas, Muar, baru-baru ini.

Mohd Zawawi berkata, Tanggang dulu adalah anak yang sanggup menderhaka bagi mengejar kemewahan dunia tetapi Tanggang zaman sekarang lebih hebat kerana membabitkan ratusan kes pelik seperti anak rogol emak, kurung bapa sebab mahu hartanya dan ada pula yang tergamak memukul ibu bapa.

“Tanggang moden adalah anak berhati batu hingga sanggup melakukan perbuatan keji terhadap kedua-dua ibu bapa seperti mengurung bapa semata-mata ingin merampas hartanya dan tidak kurang juga ibu bapa yang ditinggalkan di tepi jalan.

Cerita Tanggang disumpah menjadi batu seakan-akan gagal menginsafkan anak kita pada zaman sekarang,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanku sudah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka, sebagaimana mereka telah mendidik aku ketika kecil.” (Surah al-Isra’ ayat 23-24).

Begitulah kedudukan ibu bapa yang perlu dimuliakan setiap masa dan amat bertentangan sekali jika ada anak yang langsung tidak menghormati, malah sanggup menderhaka.

Mohd Zawawi berkata, punca berlakunya perkara itu kerana kurangnya didikan ilmu agama daripada ibu bapa sendiri.

“Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah. Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu yang dipelajari terabai begitu saja.

“Mereka terlalu mementingkan kerjaya masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa sebarang panduan daripada Ibu bapa,” katanya.

Anak yang tiada arah panduan pastinya menjadikan rakan sebaya sebagai tempat meluahkan segala-galanya berbanding ibu bapa.

Tanggang moden turut dikaitkan dengan kelemahan sistem pendidikan dan pengaruh media yang mengagungkan budaya Barat hingga merosakkan pemikiran golongan muda.

“Budaya bebas berfikir ini hanya mewujudkan pelbagai masalah sosial seperti menularnya seks bebas, samseng jalanan serta kelahiran anak luar nikah.

“Kita perlu bijak berfikir. Ia perlulah sesuai dengan kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam,” kata Mohd Zawawi.

Sementara itu, Ustazah Azini Mansor pula menceritakan kisah seorang anak perempuan yang sanggup menderhaka kepada ibunya kerana ditegur bermain telefon bimbit hingga lewat malam.

“Ibu tidak senang melihat perilaku anaknya itu menegur beberapa kali sebelum merampas telefon bimbit.

“Selepas mendapati telefon bimbitnya rosak, anak perempuan itu hilang pertimbangan hingga tergamak mencekik ibunya,” katanya.

Kisah itu tidak berakhir di situ, malah berlanjutan hingga masing-masing membuat laporan polis atas tuduhan cubaan membunuh.

“Namun anak lebih bijak kerana dia melaporkan tindakannya itu sebagai mempertahankan dirinya. Lebih teruk, dia tergamak membuat tuduhan ibu mahu membunuhnya.

“Apa sudah jadi? Anak lebih sayangkan telefon bimbit berbanding ibu bapa sendiri. Ke mana perginya budaya hormat menghormati yang cukup dekat dengan masyarakat kita?” katanya.

Kisah terbabit menjelaskan betapa dahsyatnya Tanggang zaman sekarang apabila anak muda bagaikan hilang pedoman dan bersikap hati batu terhadap ibu bapa.

Kesibukan dalam memenuhi tuntutan kerjaya tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab mendidik anak.

Ibu bapa perlu kerap memantau gerak geri anak mereka bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam kawalan.

Komunikasi juga penting dalam mendidik anak dalam zaman serba moden supaya mereka sentiasa berhubung rapat antara satu dan lain.

“Ibu bapa perlu meluangkan masa tiga hingga lima jam sehari untuk anak mereka.

“Didikan yang berterusan juga harus dipraktikkan bukan saja di sekolah tetapi di rumah kerana masa banyak diluangkan di rumah,” kata Azini.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »