Oleh Shuhairimi Abdullah
Konsep dorong pemikiran, tindakan dalam mu’amalah selari dengan tuntutan agama
FENOMENA penghambaan iaitu kesedaran manusia diciptakan di bawah kekuasaan Allah memperlihatkan bahawa konsep rabbani ditunjangi akidah yang hak adalah bersumberkan daripada Allah SWT dan bukannya ditafsirkan mengikut selera akal manusia.
Bertitik tolak daripada itu, setiap komponen makhluk termasuklah manusia terikat kepada petunjuk dan pedoman konsep rabbani berdasarkan petunjuk wahyu, bermakna setiap aktiviti perlakuan manusia perlu selari dengan ketentuan itu.
Jika tabii manusia menyimpang dan menyongsang daripada doktrin rabbani, sudah tentulah akan memusnahkan fungsinya sebagai hamba. Oleh itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk mematuhi dan mengharmonikan diri secara mesra dengan Penciptanya.
Keyakinan yang dibentuk dan dihasilkan melalui latihan ini akan melahirkan insan yang sentiasa mendokong segala peraturan ditentukan Ilahi dalam setiap ruang lingkup kehidupannya.
Konsep rabbani juga dilihat sebagai unsur terpenting yang berfungsi sebagai nukleus kepada kerangka ciri keusahawanan Islam yang memberi kefahaman jelas bahawa setiap unsur asas keusahawanan tertakluk sepenuhnya kepada prinsip dan peraturan ditentukan oleh wahyu.
Gambaran asas ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud bahawa setiap aktiviti manusia berkaitan hal ehwal perencanaan aktiviti keusahawanan dalam skop perekonomian perlu diteraskan kepada prinsip mu’amalah bersumberkan wahyu.
Perintah larangan dan suruhan seperti menggalakkan bekerja dengan gigih dan meningkatkan produktiviti pengeluaran, kewajipan memelihara kebajikan umum adalah sesuatu yang dituntut.
Dalam konteks ini, ciri keusahawanan Islam yang disuburkan dengan manhaj rabbani adalah entiti penting kerana melalui kefahaman konsep ini dapat menimbulkan stimulasi positif iaitu hubung kait faktor kejadian diciptakan Allah dengan faktor kehidupan dan alam.
Keterikatan kepada doktrin rabbani dilihat sesuatu yang penting kerana ia mengawal tindak-tanduk manusia daripada cenderung kepada nilai kemanusiaan yang bersifat individualistik dan materialistik.
Berdasarkan kepentingan inilah, konsep rabbani dilihat sebagai indikasi kepada usahawan dalam menentukan tindakan, mengambil keputusan atau merancang sesuatu perkara. Melalui petunjuk rabbani manusia memperoleh ilmu, membezakan jalan yang benar atau salah, perbuatan terpuji atau dikeji.
Secara tidak langsung, ia membantu manusia menyusun dan mengatur asas untuk kelangsungan kehidupan yang ideal dan sentiasa bergantung kepada Allah bagi memenuhi fungsinya sebagai hamba.
Tegasnya, sebagai usahawan perlu memiliki daya kekuatan beribadah yang berkualiti. Pudarnya kualiti ibadah mengakibatkan golongan usahawan mengabaikan tanggungjawab beragama. Kegagalan usahawan memahami hubungan rohaniah manusia dan Rabb menyebabkan mereka kufur terhadap nikmat dikurniakan.
Situasi berlaku ini cenderung memfokuskan golongan itu kepada usaha yang mungkar dan sudah tentulah ia merosakkan objektif syarak yang menjadi teras kepada sistem tasawwur manusia yang progresif.
Justeru, apa saja usaha dilakukan usahawan dan diterjemahkan dalam bentuk ibadah akan menzahirkan perbuatan amal soleh, bukan saja mendapat ganjaran di dunia tetapi berkesinambungan hingga ke akhirat kelak.
Oleh itu, pertimbangan dan perkiraan golongan usahawan dalam sebarang bentuk usaha, aktiviti, inovasi dan sebagainya perlu sentiasa meletakkan kedudukan Allah sebagai petunjuk mencari kebenaran.
Apabila situasi ini menjadi pedoman kepada usahawan maka golongan ini akan mendapat kesejahteraan berpanjangan di dunia dan akhirat dan mereka juga dikenali sebagai usahawan rabbani.
Konsep rabbani jika digandingkan dengan kerangka keusahawanan sudah tentu menghasilkan sistem yang menyuluh kepada kesepaduan dan kesempurnaan.
Apabila pemikiran manusia dalam ruang lingkup muamalah disuburkan dengan doktrin teologi akan mendorong manusia memahami petunjuk Ilahi dan menyingkap pintu hikmah sebagai wasilah untuk mencapai kejayaan hakiki.
Daya pemikiran dan kekuatan akal manusia secara tunggal sangat terhad dan dibatasi oleh keilmuan, pengalaman, sempadan geografi untuk memahami serta mengenali hakikat makhluk lain yang juga kejadian ciptaan Allah.
Oleh itu, sistem keusahawanan yang dibangunkan dengan nilai rabbani akan memacu golongan usahawan yang memiliki nilai ketuhanan hingga mendorong mereka memastikan pemikiran serta tindak-tanduk sentiasa terarah kepada perlakuan yang diredai Allah.