SUDAH menjadi sunnatullah manusia diciptakan berbeza agama, bangsa dan keturunan. Demikianlah Allah mencipta manusia dalam segala ruang lingkup kehidupannya supaya saling kenal mengenal dan beramah mesra antara satu sama lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Kami sudah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Perbezaan pendapat atau buah fikiran bukanlah dicipta untuk mencetuskan permusuhan dan sentimen pertelagahan sesama manusia. Sebaliknya, ia hanyalah sebahagian daripada wadah untuk mencipta persefahaman yang mantap dan semangat toleransi sesama Islam serta bukan Islam.
Islam bukan saja memerintahkan umatnya supaya menghargai perbezaan suku bangsa, warna kulit dan bahasa, lebih daripada itu, perbezaan pendapat dan fikiran memandangkan kemampuan berfikir antara seseorang dengan yang lain tidak sama.
Justeru, perbezaan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi kefahaman dan pemahaman seseorang terhadap sesuatu isu berbangkit. Bertolak dari sini, tidak ada sebab sama sekali untuk kita melarikan diri atau mengelakkan daripada perbezaan pendapat dalam satu-satu isu.
Malah, perbezaan tersebut sebenarnya menyerlahkan aneka kebaikan yang tersurat dan tersirat kerana ia berupaya bertindak sebagai perantara atau jalan pintas untuk lebih inovatif ke arah kehidupan harmoni.
Sejarah Islam sudah membuktikan perbezaan pendapat, warna kulit dan keturunan bukanlah satu penghalang bagi mewujudkan satu kekuatan dan kesatuan ummah. Zaman Rasulullah sudah menyaksikan jalinan hubungan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar.
Dalam bidang ilmu fekah Islam terlihat tingginya ketrampilan dan kehebatan ulama Islam. Imam Shafie pernah berkata: “Apa yang diucapkan oleh ulama selain daripadaku juga adalah pendapat yang benar.”
Begitu juga tingginya sifat berhemah Imam Abu Hanifah apabila beliau tidak pernah menyatakan pendapatnya paling benar dan tepat. Ini adalah sebahagian daripada contoh dan teladan yang cukup ideal dalam isu perbezaan pendapat kerana mereka berdua tokoh ulama terulung dalam pelbagai disiplin ilmu beranggapan kebenaran itu pada hakikatnya bersifat subjektif dan relatif.
Hanya pendapat dan pandangan menghampiri kepada kebenaran sewajarnya diangkat sebagai rujukan dan pegangan yang disepakati. Itulah kaedah diterima pemikiran ulama silam sehingga perbezaan pendapat di kalangan mereka tidak membawa kepada perbalahan serius.
Masyarakat hari ini gemar memperbesarkan isu berbangkit biarpun yang remeh temeh hingga akhirnya menjadi kontroversi atau polemik hangat mengakibatkan kekeliruan kepada umat Islam.
Ada juga umat Islam yang begitu cepat melatah dan melenting apabila ada pihak berbeza pendapat.
Islam memperkenalkan konsep musyawarah bagi merungkaikan segala kekusutan dan kekeliruan yang mengakari masyarakat Islam di samping mencari keserasian atau titik persamaan yang boleh menyatukan pandangan.
Umat Islam dianjurkan supaya bersifat toleransi dan berhikmah dalam menangani
masalah perbezaan pendapat ini.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka, dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (Surah al-Syura, ayat 38)
Perbezaan pendapat perlu dikawal supaya tidak melarat dan membarah hingga meruntuhkan kekuatan ummah dan menghapuskan rahmat. Setiap Muslim perlu menginsafi bahawa perbezaan pandangan hendaklah bertunjangkan keimanan kepada Allah.
Paling penting, mencari kebenaran hendaklah dengan tujuan untuk menjaga kesejahteraan umum bukan membela kepentingan pihak tertentu.
Rasulullah SAW mempamerkan kredibiliti dan personalitinya sebagai seorang pemimpin yang menegakkan prinsip musyawarah dengan sempurna dalam kehidupannya. Biarpun Baginda sebagai pemimpin bagi umat Islam, namun Baginda tidak pernah mengetepikan pandangan sahabat dalam menentukan hala tuju dan wawasan pentadbiran umat Islam ketika itu.
Sewaktu berlakunya perang Uhud, umat Islam bermusyawarah di kalangan mereka untuk menentukan taktik dan strategi peperangan sama ada melancarkan serangan keluar dari Madinah atau bertahan saja di kota Madinah.
Pada ketika itu, Baginda SAW mengusulkan supaya bertahan di Madinah saja. Lalu seorang sahabat bertanya: “Apakah usul itu wahyu Ilahi atau usul baginda sendiri? Jawab baginda: Usulnya itu adalah usul peribadinya, bukan wahyu Ilahi.”
Pada sesi musyawarah berkenaan, akhirnya Rasulullah SAW memutuskan untuk menerima pendapat orang lain yang disokong oleh majoriti besar umat Islam biarpun bertentangan dengan pendapat Baginda sendiri.