Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2010

Ganjaran besar baca al-Quran ketika Ramadan

Posted by epondok di Ogos 31, 2010

Oleh Hasliza Hassan

AL-QURAN yang menjadi petunjuk kepada manusia menghimpun pelbagai pengajaran meliputi kebaikan akhlak, kisah teladan, serta penawar segala penyakit batin seperti kufur, syirik, hasad dengki dan khianat.

Allah berfirman bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman. (Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Catatan sejarah menunjukkan ulama terdahulu tidak pernah lekang dengan amalan mengaji al-Quran sebaik tiba Ramadan. Mereka menghentikan kegiatan lain selain beristiqamah dengan amal ibadat, termasuk mengaji al-Quran.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Imam Malik, sebaik saja Ramadan tiba tidak mahu lagi menyibukkan diri dengan tugas lain serta meninggalkan seketika urusan mengajar, memberi fatwa atau hal berkaitan keduniaan sebaliknya menumpukan amalan membaca al-Quran.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.

Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud: Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil). (Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sifat kehambaan sangat dituntut

Posted by epondok di Ogos 31, 2010

oleh RAMLI ABDUL HALIM

MANUSIA tidak akan dicipta-Nya kecuali untuk memperhambakan diri kepada-Nya yang mempunyai 99 nama (Asma-ul-Husna) yang memberikan gambaran secara jelas tentang sifat-sifat Allah SWT.

Belajar dan berusaha mengenali sifat-sifat Allah adalah merupakan ibadah. Ilmu mengenali Allah dan sifat-Nya amat dituntut daripada kita berada dalam buaian hingga ke liang lahad.

Manusia yang benar-benar kenal Allah dan sifat-Nya tidak akan berani berbuat sebarang dosa atau kemungkaran. Malah tidak akan sanggup melakukan walaupun termasuk dalam apa yang dinamakan dosa-dosa kecil.

Masalah rasuah, tuang kerja, rompak, curi, tipu, tidak amanah, edar dan penyalahgunaan dadah, putus silaturahim, kes-kes buang anak dan janin serta pelbagai kemungkaran lagi tidak akan berlaku bagi mereka yang kenal Allah dan sifat-sifat-Nya.

Hanya hamba-Nya yang hilang sifat kehambaan akan sanggup berbuat dosa dan kemungkaran. Apatah di kalangan mereka yang memisahkan diri darpada al-Quran yang merupakan himpunan kata-kata Allah yang sarat dengan tegahan dan larangan.

Sedangkan sikap kehambaan terhadap Allah itu sangat dituntut. Ini terbukti apabila daripada 6,236 keseluruhan ayat al-Quran, terdapat 2,799 kali sebutan nama Allah dan keesaan-Nya yang sangat- sangat layak disembah dan diperhambakan diri oleh kita hamba-Nya.

Daripada 2,799 sebutan nama Allah dalam al-Quran itu pula, terdapat 967 sebutan Rabbi yang membawa maksud memiliki, mendidik dan memelihara, manakala Rahman (Maha Pemurah) dan Rahiim (Maha Penyayang) ada disebut 560 kali.

Perkataan Ghafuur yang merupakan antara nama-Nya yang membawa maksud maha pengampun ada disebutkan sebanyak 233 kali sebagai tanda bakti, selain daripada pemurah dan penyayang kepada hamba-Nya, Allah juga maha pengampun.

Juga kerap disebut dalam al-Quran adalah Maalik yakni yang memiliki atau jika dipendekkan mimnya ia akan membawa maksud ‘Raja’ yang memerintah dan menguasai alam ini dan juga alam akhirat.

Maknanya, kita kena sedar bahawa kita kepunyaan Allah dan kita tidak boleh lari daripada tidak menjadi kepunyaan-Nya.

Oleh kerana kita kepunyaan-Nya, maka kita kena patuh kepada apa yang disuruh dan kena menjauhi daripada apa yang ditegah.

Allah pula maha pemurah, apa yang dikehendaki mesti diminta daripada-Nya. Allah juga maha penyayang. Tidak ada sebab untuk kita benci dan menjauhkan diri atau mengingkari apa yang disuruh dan ditegah oleh-Nya.

Sebagai manusia kita tidak dapat bebaskan diri daripada melakukan dosa kerana kejahilan kita.

Tetapi sifat maha pengampun-Nya patut dieksploitasi untuk kita bertaubat nasuha supaya daripada banyak membuat dosa kita bertukar menjadi hamba-Nya yang rajin mengumpul pahala dan daripada jahil menjadi alim.

Dalam bulan puasa inilah masanya untuk yang masih tidak kenali Allah kena berusaha mengenali Allah, yang jahil berusaha untuk alimkan diri dan yang bergelumang dengan dosa berhenti daripada melakukan kerja dosa kemaruk serta ketagihkan diri melakukan kerja-kerja yang mendatangkan pahala.

Paling penting, bina, pelihara dan tingkatkan kualiti perhambaan diri terhadap-Nya kerana Dia adalah pemilik kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jenayah domestik cemar institusi kekeluargaan

Posted by epondok di Ogos 28, 2010

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Isteri perlu benarkan undang-undang jalankan peranan, tidak lindungi kezaliman suami

MUTAKHIR ini jenayah domestik menjadi-jadi dan beberapa kejadian yang berlaku pada awal Ramadan lalu begitu menyayat hati. Isteri dan anak ditetak suami, disimbah asid, malah ada yang menjadi mangsa pembunuhan suami atau bapa termasuk gejala membuang bayi yang baru lahir.

Kejadian berlaku di bulan mulia ini tentunya meninggalkan trauma bukan sedikit kepada mangsa yang masih hidup. Mereka kehilangan ibu, adik beradik dan ahli keluarga lain disebabkan kezaliman bapa yang sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Malangnya, nafsu serakah berimamkan syaitan dalam diri mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan ahli keluarga membuatkan ada ahli keluarga tidak selamat lagi berada di rumah sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya,

Pelbagai kes penganiayaan wanita dan kanak-kanak yang berlaku dalam lanskap domestik, antaranya penderaan seks, sumbang mahram, buli isteri, memeras ugut dan memukul isteri sering berlarutan dalam tempoh yang lama.

Ia berikutan sikap ahli keluarga itu sendiri yang sanggup bertahan serta tidak mahu mengaibkan suami dan bapa, ibarat kata pepatah seperti meludah ke langit. Jika umum mengetahui perbuatan buruk ahli keluarga sendiri, mereka juga yang menanggung malu.

Hakikatnya, pepatah itu tidak bermanfaat dalam situasi jenayah domestik yang semakin meningkat. Setiap lelaki bergelar suami adalah pelindung kepada isteri kerana beberapa kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka seperti fizikal lebih kuat dan hak mewarisi harta melebihi wanita.

Allah berfirman yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah sudah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan dari harta mereka. (Surah An-Nisa, ayat 34)

Namun, kelebihan Allah kurniakan ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh segolongan suami. Mereka mendabik dada mengatakan mereka adalah ketua keluarga dan enggan memahami hikmah di sebalik anugerah istimewa itu.

Adanya suami yang kuat fizikal tetapi malas bekerja, bahkan mengambil kesempatan atas kerajinan isteri menambah pendapatan keluarga tentunya memburukkan lagi institusi keluarga yang sepatutnya menjadi syurga buat pasangan berkahwin.

Rasulullah SAW membawa teladan yang sempurna untuk menjadi ikutan umat Islam berperanan sebagai suami dan bapa. Ia memudahkan lagi kaum lelaki memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung keluarga dengan hanya mengikut apa dilakukan Rasulullah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku. (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila seruan yang ditujukan kepada setiap suami dan bapa, ia menyampaikan mesej Rasulullah SAW adalah model ikutan terbaik, kerana Baginda suami dan bapa paling baik kepada ahli keluarga.

Justeru, sebelum bergelar suami, setiap lelaki perlulah mengetahui garis panduan sebagai pelindung keluarga, bukan sekadar berseronok dengan makan pakai yang akan tersedia.

Jenayah domestik memang sukar ditangani kerana ia berlaku dalam ruang peribadi yang tidak ditembusi undang-undang. Urusan suami isteri adalah ruang tidak sepatutnya mendapat campur tangan pihak luar, melainkan diminta berbuat demikian.

Namun, ahli keluarga lain perlu sensitif dengan sesuatu yang tidak kena dalam institusi keluarga.

Suami yang menagih dadah, mendera isteri dan anak serta menghidap penyakit mental boleh membahayakan ahli keluarga dan memungkinkan jenayah domestik berlaku pada bila-bila masa.

Senario sebegini memerlukan kerjasama isteri yang sayangkan suami supaya membenarkan undang-undang mengambil peranan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terhadap ahli keluarga. Jangan melindungi penjenayah hanya kerana ia seorang suami.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Nuzul Quran dalam etika ummah

Posted by epondok di Ogos 28, 2010

Turunnya al-Quran sebagai penyuluh kehidupan sepanjang zaman. – Gambar hiasan

 


 

Peringatan Nuzul Quran bagi kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar abad yang lalu. Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira’ pada malam Jumaat bertepatan tanggal 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610 M.

Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari penghabisan turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 dari tarikh kelahiran Nabi.

Pada saat itu Nabi SAW sedang berwukuf di Padang Arafah dalam menyelenggarakan haji yang terkenal dikenali Haji Wada’. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan Nabi pun setelah Haji Wada’ selama 18 hari, baginda wafat iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.

Ayat yang terakhir menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

“Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-ucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu.”

Kalau kita sekarang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”

Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud: (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Meskipun kata-kata ‘malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi. Ia dinamakan ‘malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril a.s.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata ‘salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian

Oleh sebab kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam, merapatkan hubungan silaturrahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Anfal: Ayat 1)

Pengabaian sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi ciri-ciri Mukmin yang sejati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa akan datang suatu zaman di mana orang berkumpul di masjid untuk sembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturrahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan solat.

Sebagai umat yang satu, kita dapat saksikan bahawa setiap umat Islam mengerjakan ibadat yang sama, iaitu bersembahyang sebanyak lima kali sehari dan mengarahkan kiblat yang satu. Kita tidak akan dapat nilai-nilai kesatuan ini dalam agama lain, walaupun mereka melaksanakan ritual yang sama, tetapi arah mereka tidak bertemu di satu pusat atau tempat.

Bagi umat Islam setiap kali bersembahyang, sama ada sembahyang itu merupakan fardu atau sunat, kiblatnya adalah tetap sama, iaitu Kaabah.

Sewaktu melakukan ibadat haji, di tanah suci Makkah al-Mukarramah umpamanya ia turut membuktikan lingkaran ibadat dalam satu kesatuan.

Setiap umat Islam mengelilingi Kaabah dalam posisi ibadat yang dinamakan tawaf, dan ini dilakukan secara beramai-ramai.

Dalam melaksanakan tawaf itu, setiap umat Islam berpakaian ihram, yang tentunya memberikan makna sebuah kehidupan yang sederhana, pakaian yang tidak berjahit, berwarna putih dan membaca ayat-ayat yang sama, walaupun dari segi fizikalnya umat Islam itu berlainan keturunan tetapi mempunyai niat yang sama, iaitu niat kerana Allah SWT, tawaf tujuh kali, sembahyang sama bilangan rakaatnya mengikut sembahyang fardu yang dilakukan dan seterusnya melakukan segala rukun dan syarat ibadat itu dalam bentuk yang sama.

Inilah hakikat yang cuba disampaikan melalui falsafah kesatuan umat. Ia dijelmakan dalam bentuk amalan, ritual dan perilaku seharian, maka dengan itulah Islam mudah mendapat tempat, kerana amalan yang dipertanggungjawabkan itu adalah mudah dan amat sederhana sekali.

Dari hakikat ini umat Islam tidak harus menjadikan al-Quran sekadar alat kepentingan untuk memperolehi keuntungan duniawi atau kepentingan politik. Umat Islam perlu kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut dalam realiti kehidupan.

Apa yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu-lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid , sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud “Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?” Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.

Bukan dalam soal penghayatan sahaja bahkan manusia hari ini langsung telah hilang pedoman, hilangnya sifat perikemanusiaan sehingga bayi-bayi yang dilahirkan akibat perzinaan dibuang merata-rata tempat. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap bayi yang tidak berdosa, tidak akan masuk ke dalam hatinya cahaya keimanan.

Malah yang lahir adalah sifat kebinatangan yang rakus serta tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperolehi lailatulqadar. Untuk mencapainya, kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama ‘meraikan’ kehadiran Ramadhan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pondok Bustanul ‘Arifin, Selangor

Posted by epondok di Ogos 27, 2010

Mula diasaskan pada 2003 oleh ustaz Hj. Ahmad Ansory b. Morshid. Pondok Bustanul Arifin terletak di Kg. Labohan Dagang, Banting selangor. Selepas dua tahun usaha mengasaskan pondok Bustanul Arifin berjalan, Pondok Bustanul Arifin berjaya memulakan sesi pengajiannya secara rasmi pada tanggal 27/8/2004 dengan mendapat pelajar seramai 3 orang dengan tenaga pengajarnya seorang. Kemudian daripada itu bilangan pelajar semakin bertambah dan beberapa orang guru juga ditambah bagi memenuhi keperluan pengajian.

Dalam pada itu juga penambahan pondok kediaman pelajar juga dibuat. Selepas 5 tahun dari tarikh pondok beroperasi, Pondok Bustanul Arifin telah mencapai perubahan yang baik dari sudut penerimaan pelajar, penambahan guru dan juga penambahbaikan dari sudut fasiliti pondok.

Jumlah pelajar yang belajar di Pondok Bustanul Arifin selepas 5 tahun pengoperasian ialah seramai 145 orang dan juga bilangan guru dan kakitangannya seramai 12 orang. Dari segi kemudahan penempatan Pondok Bustanul Arifin mempunyai 2 buah asrama, 18 buah pondok, 7 buah rumah dan pondok kakitangan, 3 buah kelas, sebuah dewan dan sebuah surau yang boleh menempatkan 200 jemaah.

Pengoperasian Pondok Bustanul Arifin pada asasnya tidak mendapat mana-mana bantuan secara tetap. Walaupun ada yuran dikenakan sebanyak RM150 sebulan, tetapi hanya sekitar ..% sahaja yang membayarnya secara konsisten. Selebihnya, ditanggung dari derma orang ramai yang kadang-kadang tidak berapa cukup.

Posted in Pondok Malaysia | 31 Comments »

Bila diharam berpuasa?

Posted by epondok di Ogos 27, 2010

 

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

dalam keghairahan kita beribadat, jangan sampai kita melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya. -Gambar hiasan

 

BERMULA 1 Ramadan, umat Islam yang akil baligh, berakal dan tidak mengalami sebarang keuzuran mula berpuasa sehinggalah Ramadan melabuhkan tirainya dan Syawal menyingkap tabirnya.

Tahun ini merupakan tahun ke 1413 umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan jika didasarkan kalendar Hijrah yang mula dipergunakan pada tahun 622 sebagai tahun mula diwajibkan berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan.

Kalendar Hijrah didasarkan kepada tahun penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang mana jarak antara Mekah dengan Madinah mengambil masa 14 hari perjalanan.

Madinah atau nama asalnya Yathrib merupakan perhentian tradisi yang terpenting bagi laluan perdagangan dari Mekah ke Syria dan sebaliknya.

Orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi menguasai Yathrib sejak sebelum Masehi lagi.

Pada abad ke-5 Masehi barulah orang Khazraj dan Aus berpindah dari Selatan Tanah Arab ke Yathrib dan telah menguasainya.

Sebagaimana orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi yang merupakan orang agama, orang Khazraj dan Aus juga menerima tempias itu kerana pergaulan mereka dengan orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi.

Justeru itu selepas menguasai Yathrib sedikit sebanyak orang Khazraj dan Aus faham tentang ketuhanan, kenabian, kerasulan, wahyu dan hari akhirat.

Jadi tidak hairanlah apabila datang dakwah Islamiah ke Yathrib mereka mudah menerimanya.

Kerana itulah apabila kota kelahiran baginda tidak sesuai lagi menjadi pangkalan dakwah dan dengan perintah Allah, maka Rasulullah SAW telah memilih berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali dengan Madinah bagi melancarkan tugas-tugas kerasulan baginda.

Setelah menjalani perjalanan jauh dan merbahaya dengan merentasi padang pasir yang luas dan panas, akhirnya pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan dengan 19 September 622, Rasulullah SAW bertemankan Abu Bakar As-Siddiq tiba di Quba, kira-kira tujuh kilometer dari Yathrib.

Baginda berehat selam empat hari di Quba dan sempat membina masjid pertama dalam Islam yang dinamakan Masjid Quba.

Pada hari Jumaat 12 Rabiulawal, bersamaan dengan 24 September 622 Masehi, baginda beserta Abu Bakar dan Ali bin Abi Talib yang menyusuli penghijrahan masuk ke Yathrib.

Pada hari yang sama Yathrib ditukar nama kepada Madinatun Nabiy yang bermakna ‘Kota Nabi’ yang kini dikenali dengan Madinah sebagai tanda penghormatan terhadap Rasulullah SAW. Pada hari dan tarik tersebutlah juga sembahyang Jumaat pertama kali diadakan.

Sayyidina Omar Ibnu Khattab yang merupakan Khalifah Ar-Rasyidin kedua adalah tokoh yang bertanggungjawab mencadangkan penggunaan kalendar sendiri oleh umat Islam.

Tahun penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah dipilih sebagai permulaan tahun hijrah manakala ‘hijrah’ atau hijriyah dipilih sebagai trade-mark kalendar yang kini sudah pun mencapai angka 1413 dari sudut bilangan tahunnya.

Setakat ini penulis tidak temui fakta sama ada kewajipan berpuasa sebulan bulan Ramadan bermula pada tahun 1 hijrah yakni pada tahun 622 Masehi atau jauh lebih awal dari itu.

Setelah demikian hebat dan tamadunnya kehidupan manusia, sepatutnya fakta-fakta itu tidak terus menjadi misteri.

Mudah-mudahan akan ditemui juga fakta itu nanti hasil usaha para cendekiawan Islam dengan dibantu oleh kecanggihan pelbagai perlatan sekarang.

Demikian juga bila menjelangnya bulan Ramadan, yang lazimnya di kuliah, dipercakapkan dan ditulis adalah tentang puasa, fadilat serta syarat sah puasa dan tuntutan kewajipan berpuasa serta kelebihan puasa sunat.

Jarang diperkatakan tentang larangan atau waktu dan keadaan yang haram untuk kita berpuasa.

Dalam Islam ada dua perkara pokok yang kena diberi perhatian yakni yang disuruh dan ditegah, dihalal dan yang diharamkan.

Buat yang disuruh dan halal berpahala, buat yang ditegah dan diharamkan berdosa.

Peringatan atau rangkai kata seperti apa yang dilakukan disangka perbuatan ahli syurga tetapi sebenarnya adalah perbuatan ahli neraka manakala perbuatan yang disangkakan pelakuan ahli neraka sebenarnya perbuatan ahli syurga tidak cuba dikaitkan dengan ibadah puasa.

Walhal larangan serta suruhan Allah dan Rasul-Nya relevan untuk semua keadaan dan suasana bagi kesempurnaan keislaman yang mana Islam itu sarat dengan disiplin.

Dalam tuntutan puasa wajib dan galakkan berpuasa sunat, kita juga diharamkan berpuasa pada hari tertentu yang mana sebab musabab ia diharamkan hanya Allah Yang Maha Tahu.

Yang pasti sama ada suruhan atau larangan-Nya tentu ada hikmah walaupun apa yang disuruh dan dilarang itu banyak yang bertentangan dengan naluri kita manusia yang terdedah kepada godaan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.

Sama-samalah kita mengambil peringatan dan iktibar supaya kerana terlalu ghairah, maka kita berbuat sesuatu yang kita anggap ibadah sedangkan pada hakikatnya kita melakukan amalan yang diharamkan.

Mudah-mudahan puasa kita dan segala amal ibadat kita pada tahun ini diterima-Nya di samping segala dosa kita diampunkannya dan tahap keimanan kita akan jauh lebih sempurna berbanding dengan tahuh-tahun yang telah kita tinggalkan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Minuman beralkohol: Kanak-kanak minum bir

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin berhubung kebanjiran minuman ringan beralkohol dalam pasaran dengan bertopengkan minuman ringan.

Manakala undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa minuman beralkohol dilarang kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, minuman ini dijual kepada kanak-kanak sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, isu minuman beralkohol yang dijual sebagai minuman ringan bukanlah perkara baru.

Pada 1997, katanya CAP mendedahkan minuman ringan bernama Alcopops dijual sebagai minuman ringan sedangkan ia mengandungi sehingga 5% alkohol, masalah yang sama kemudiannya didedahkan lagi pada  2003.   

Katanya, kajian CAP menunjukkan pada masa ini lebih daripada 15 jenis minuman ringan beralkohol berada di pasaran.

Minuman ringan beralkohol ini yang boleh didapati di dalam botol 275 ml dijual dengan harga RM4 hingga RM10.

Botol berisi jus berwarna yang menarik dengan nama tropical fruit, ice lemon tea, jus oren, lemon original tanke, lemon and lime flavour, orange-lemon flavour dan sebagainya.

Katanya, pengeluar menggunakan warna yang amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama sekali kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudiannya akan ketagih.

Contohnya, kata beliau minuman ringan ini juga dikeluarkan dengan warna merah jambu yang akan menarik kanak-kanak perempuan untuk mencubanya.

“Malah dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya 4% hingga 6.3% dalam minuman ringan ini,” katanya.

Menurutnya, bir yang diminum dengan meluas mengandungi 5% alkohol yang bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir.

Katanya, kebimbangan mula dirasai oleh guru-guru di Pulau Pinang selepas mendapati pelajar-pelajar mereka mengambil minuman ringan ini hampir setiap hari walaupun harganya tinggi.

“Menyedari akan minuman ini boleh menjadikan mereka ketagih kepadanya, guru ini telah meneliti label pada botol dan amat terkejut apabila mendapati minuman itu mengandungi alkohol.

“Menyedari betapa seriusnya masalah ini, beliau kemudiannya membawa perkara ini ke perhatian pihak CAP,” katanya.

Jelasnya, apabila CAP menemubual beberapa orang pelajar yang mengambil minuman itu, mereka tidak menyedari bahawa minuman itu mengandungi alkohol.

Tambahnya, sesetengah daripada mereka menyuarakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa mereka selama ini sebenarnya mengambil minuman beralkohol.

Menurutnya, label yang jelas dengan maklumat kandungan alkohol tidak memberikan apa-apa makna memandangkan ia dicetak dalam huruf yang kecil dan ditenggelami oleh label berwarna dan menarik.

CAP, ujarnya percaya minuman ringan beralkohol boleh membawa kepada kegiatan samseng (gangsterisme) dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2005, 32 pelajar terlibat dalam gangsterisme.

Bilangan ini telah meningkat kepada 60 orang pada tahun lalu. Pada 2008 sahaja 81 pelajar dikesan hubungan mereka dengan aktiviti gangster.

“Jelas minuman ringan ini menjadi langkah awal untuk ketagihan alkohol,” ujarnya.

CAP, ujarnya merasakan bahawa hak pengguna telah dicabuli dengan mendedahkan minuman beralkohol ke atas mereka tanpa pengetahuan mereka.

“Keadaan ini amat tidak sihat kepada generasi muda. Minuman beralkohol boleh merosakkan sel otak dan menjejaskan deria mereka, ini memberikan kesan negatif terhadap prestasi akademik mereka,” katanya.    

Beliau berkata, pihak pengeluar menggunakan taktik itu untuk meningkatkan jualan mereka dan memang mereka menyedari bahawa alkohol dalam minuman itu cenderung untuk menjadi ketagih untuk mengambil minuman ringan mereka.

Akhirnya, kata beliau ia akan membawa mereka kepada ketagihan kepada minuman alkohol lain yang lebih tinggi kandungan alkoholnya.

“Jelas sekali ini merupakan cara berbahaya memerangkap masyarakat ke dalam rantaian penagihan alkohol yang akan memastikan keuntungan yang berterusan untuk syarikat alkohol,” katanya.

Memandangkan bahaya minuman beralkohol yang bertopengkan di bawah nama minuman ringan, CAP menyarankan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan di mana minuman itu tidak seharusnya dijual sebagai minuman ringan, sebarang minuman yang dicampur alkohol perlu dilabelkan sebagai minuman beralkohol dan dijual menerusi kaunter minuman keras sahaja,

Selain itu, katanya tindakan perlu diambil terhadap pengeluar minuman ringan yang melabelkan dan menjual minuman yang dicampur dengan alkohol sebagai minuman ringan.

Memandangkan minuman ringan adalah untuk semua pengguna, menambah alkohol ke dalamnya seharusnya tidak dibenarkan dalam pengeluaran minuman ringan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Wabak atau murka Allah

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin
 KAWAL...sentiasa pastikan kawasan rumah dan premis bersih dari sarang pembiakan tikus kerana ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan.
KAWAL…sentiasa pastikan kawasan rumah dan premis bersih dari sarang pembiakan tikus kerana ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

VIRUS kencing tikus menggemparkan negara, baru-baru ini sehingga orang ramai bimbang berkunjung ke pusat rekreasi seperti sungai dan air terjun.
Penyakit kencing tikus atau leptospirosis itu mendapat perhatian orang ramai kerana lapan orang meninggal dunia akibat jangkitan itu selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Penyakit itu disebabkan bakteria Leptospira. Ia tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.

Walaupun dipanggil virus kencing tikus, ia bukan saja merebak melalui tikus tetapi haiwan lain seperti babi, burung, landak, kelawar, kambing, kuda, anjing, dan tupai.

Kehadiran virus itu tanpa tanda amaran menimbulkan pelbagai tanda tanya dan pengajaran kepada manusia.

Sebenarnya Allah menurunkan wabak itu untuk menguji hamba-Nya tetapi ramai yang masih berdegil.

Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”. (Surah Ar-Rum ayat 41).

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang membabitkan diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Selain itu, kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikkan Allah, kekufuran dan perkara yang boleh membawa kepada dosa.

Islam sangat mengambil berat aspek kebersihan ini, justeru sebelum bersolat, kita wajib membersihkan diri dan batin daripada segala sifat kotor.

Kenapa kita semua perlu menjaga persekitaran alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan? Ia penting dalam usaha menjadikan alam sekitar bersih.

Selain kotor, tempat rekreasi turut menjadi ‘port’ bagi pasangan melakukan maksiat termasuk berzina sedangkan ia adalah kawasan tumpuan orang ramai.

Perunding motivasi dan pendakwah, Mohd Zawawi Yusoh berkata, Allah mahu menguji dan menyedarkan manusia supaya insaf atas kesalahan mereka dengan datangnya penyakit serta ujian (ibtila’).

“Allah menimpakan bala kepada sesiapa saja tanpa mengira di mana mereka berada, berdosa ataupun tidak.

“Penyakit kencing tikus yang meragut beberapa nyawa sebelum ini perlu dijadikan iktibar supaya manusia kembali merenung kesalahan yang dilakukan terhadap diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, selain daripada penyakit yang dibawa oleh binatang kemungkinan ia datang daripada makhluk lain yang tidak diketahui.

“Allah boleh jadikan binatang sebagai sumber penyakit selepas murka dengan kemungkaran yang manusia lakukan.

“Boleh jadi ia juga berpunca daripada campur tangan jin jahat untuk berbuat sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting manusia perlu kembali bertaubat dengan dosa yang mereka lakukan.

“Sesuai sekali dalam kita menyambut Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam perlu mengambil peluang bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah.

“Segala yang menimpa masyarakat dan negara kita adalah peringatan daripada Allah supaya kita kembali mentaati perintahnya untuk menjadi khalifah yang sentiasa menyuburkan muka bumi ini dengan amal makruf,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, faktor kebersihan perlu dititikberatkan dan diamalkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Kebersihan diri adalah ciri penting untuk membentuk personaliti Muslim cemerlang.

“Persekitaran yang bersih turut merangkumi kawasan hutan dan sungai. Jangan biarkan sungai tercemar kerana ia akan mengakibatkan berlakunya pencemaran dan keracunan air,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

MB Kelantan ziarah mangsa kebakaran di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Ogos 25, 2010

KOTA BHARU- 24 Ogos – Menteri Besar Kelantan, Exco kerajaan negeri Dato’ Husam Musa dan ramai lagi yang lain meluangkan masa bagi melihat dan mendapat maklumat secara lebih dekat daripada mangsa kebakaran di Pondok Pasir Tumboh selepas dari solat Zohor
 
Kejadian itu yang berlaku lebih kurang pukul 12 tengahari menyaksikan bagaimana 9 buah rumah kelamin kawasan Pondok Pasir Tumboh hangus dijilat api namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila api marak dengan begitu cepat di mana taksiran kerugian belum dipastikan lagi setakat ini. Kebakaran yang berpunca daripada litar pintas begitu cepat merebak sehingga gagal diredakan dengan semburan daripada puluhan alat pemadam api dan juga air sehinggalah pihak bomba dari Kota Bharu tiba.

Suasana pengajian pondok yang sedang bercuti sempena Ramadhan menyebabkan bantuan agak terbatas. Namun begitu dengan bantuan pelajar yang masih ada ditambah dengan bantuan penduduk tempatan memainkan peranan masing-masing seperti menyiram kebakaran dengan air, menyembur dengan alat pemadam api disamping menyelamatkan barangan dari rumah mangsa kebakaran dan yang berhampiran. Tidak kurang yang berperanan melaungkan azan secara bergilir-gilir samada di masjid mahu pun berhampiran kawasan kebakaran. Sekumpulan pelajar berkubu di rumah salah seorang tenaga pengajar iaitu Ustaz Hj Abdul Rahim yang turut dijilat api sebahagian kecil bumbungnya memandangkan rumah yang mula-mula terbakar hanya bersebelahan sahaja dengan rumah beliau

 

Kebakaran kali ini merupakan suatu bencana yang paling teruk selepas daripada kebakaran yang meranap hampir 15 buah rumah kelamin pada tahun 2000 yang lalu iaitu kira-kira 10 tahun lalu yang turut melibatkan kematian seorang kanak-kanak.

Pihak kami memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi meringankan bebanan mangsa kebakaran terutama ketika masih berada dalam bulan Ramadhan dan hampir menyambut kedatangan hari raya Aidil Fitri. Semoga sumbangan daripada semua pihak dibalas dengan ganjaran besar di sisi Allah.

Sebarang sumbangan boleh hubungi Setiausaha Agong Ahmad Shairazi b Atiqullah ditalian 019-9388902








Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Memahami khususiat Nabi SAW

Posted by epondok di Ogos 24, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kitab al-Quran khas diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. – Gambar hiasan

 

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Semoga ia benar-benar menjadi gerbang ketakwaan bagi kita semua. Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.

Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain. Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.

Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan. Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW. Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul. Insya-Allah, kita akan menyambung tentang peranan penggunaan bahasa dalam konteks ini di minggu hadapan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »