Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2010

Misteri makhluk aneh di Britain

Posted by epondok di Julai 31, 2010

GAMBAR yang dirakamkan oleh Gill Pearce menunjukkan makhluk misteri yang berleher panjang di Goodrington, Britain.

 


 

EDINBURGH – Seorang wanita Britain, Gill Pearce merakamkan gambar yang menunjukkan imej seekor makhluk misteri mirip dinosaur yang berleher panjang, Plesiosaur pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa penduduk tempatan turut melihat makhluk itu yang pada mulanya disangka sebagai seekor penyu gergasi sedang mengejar sekumpulan ikan di Teluk Saltern Cove, di Goodrington dekat Paignton, Devon, England.

Pearce melaporkan penemuan itu kepada sebuah badan pemuliharaan marin Britain, Marine Conservation Society (MCS).

Gambar itu kemudian dikaji oleh pasukan pakar hidupan air dan dihebahkan ke seluruh dunia menerusi laman web mereka.

“Dia (Pearce) mengesan makhluk itu kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan pada 27 Julai lalu dan sempat mengambil kamera untuk merakamkannya semasa ia muncul di permukaan air,” kata seorang anggota MCS, Clare Fischer. – Agensi

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Misteri wajah manusia di planet Marikh terlerai

Posted by epondok di Julai 31, 2010

SATU siri gambar menunjukkan perubahan kualiti imej yang dirakamkan dari sebuah bukit di Marikh dari Julai 1976 hingga 2001.

 


 

HOUSTON – Sekeping gambar yang menunjukkan wajah manusia di permukaan planet Marikh yang dirakamkan kapal angkasa Viking 1 Amerika Syarikat (AS) pada Julai 1976 lalu sebenarnya sebuah bukit berbatu besar di tengah padang pasir, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar itu mencetuskan teori konspirasi kononnya Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) merahsiakan bahawa Marikh sudah memiliki tamadun tersendiri.

Namun, gambar wajah manusia itu dirakamkan kembali oleh sebuah kapal angkasa peninjau pada 25 Julai lalu dari jarak 1,873 kilometer dengan menggunakan kamera definisi tinggi HiRise.

Gambar terbaru itu mendedahkan wajah asal tersebut disebabkan sudut pantulan cahaya matahari yang membentuk lengkok kawah permukaan. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hari membakar Quran sedunia

Posted by epondok di Julai 31, 2010

Gainesville, FL, Amerika Syarikat (AHN) – Sebuah gereja di Florida merancang untuk membakar kitab Quran pada hari ulangtahun 9/11 tahun ini, mengundang kemarahan dari masyarakat Islam Amerika dan para bijak-pandai yang sememangnya sudahpun sedia terbabit dalam debat tentang rancangan membina masjid berhampiran Ground Zero. Dove World Outreach Center, sebuah Gereja New Testament di Gainesville, akan membakar kitab Quran pada malam 11 September “sebagai tindakan menentang kejahatan Islam.” Pastor senior gereja tersebut, Terry Jones, adalah seorang penulis buku yang baru diterbitkan berjudul , “Islam is of the Devil.”

Awal bulan ini, gereja tersebut telah mengetuai satu protes di luar Pusat Islam di Gainesville. Mereka merancang untuk mengadakan satu perarakan “No Homo Mayor” menentang Craig Lowe, datuk bandar gay pertama, minggu depan.

“Hanya terdapat satu buku yang benar, dan ia adalah Bible,” kata Jones dalam satu episod rancangan miliknya Braveheart Show di YouTube. “Menuntut supaya semua orang Islam yang tinggal di sini mesti menyesuaikan diri mereka dengan nilai-nilai kami, dengan menjadi bangsa Amerika… Awak datang sini… sesuaikan diri dengan nilai-nilai kami, Perlembagaan kami, cara hidup kami… Kita patut hentikan segera pembinaan semua masjid di Amerika.”

Konsul Hubungan Amerika-Islam (CAIR) telah meminta supaya penganut Islam Amerika mengadakan majlis makan malam “Berkongsi Quran” dalam bulan Ogos ini, iaitu semasa Ramadan.

Kumpulan hak-hak awam percaya dengan mengedarkan salinan-salinan teks kepada masyarakat awam, para pegawai penguatkuasa undang-undang dan wartawan, akan dapat menyediakan maklumat tepat tentang Islam dan sekaligus dapat mengurangkan prasangka anti-muslim.

“Masyarakat Islam Amerika dan mereka yang berfikiran rasional hendaklah menyokong usaha-usaha pendidikan positif bagi mencegah penularan Islamophobia,” kata Ibrahim Hooper, pengarah CAIR national communications, dalam satu kenyataan.

Kontroversi aktiviti 9/11 yang dirancang oleh Dove World Outreach Center hadir di tengah-tengah perdebatan mengenai pembinaan sebuah masjid berhampiran Ground Zero.

Cadangan itu akan menukarkan bangunan lama Kilang Burlington Coat di New York City menjadi sebuah pusat bernilai USD100 juta yang mempunyai sebuah masjid, sebuah auditorium 500-tempat duduk, kolam renang, ruang-ruang pameran seni, kedai buku dan restoran.

Projek itu dicetuskan oleh Feisal Abdul Rauf, imam sebuah masjid di New York City dan pengasas Cordoba Initiative, iaitu pertubuhan yang bermatlamat untuk “menghimpun pemimpin-pemimpin Islam-Barat.”

Para penyokong menjelaskan bahawa fasiliti itu, yang dipanggil Cordoba House, berusaha menerapkan hubungan lebih baik antara masyarakat Islam dan penganut-penganut agama lain. Projek itu mendapat sokongan daripada masyarakat dan pegawai-pegawai perbandaran, termasuk Datuk Bandar Michael Bloomberg, dan juga kumpulan September 11th Families for Peaceful Tomorrows.

Pihak penentang fasiliti tersebut pula mempersoalkan imej Rauf sebagai seorang Muslim sederhana dan membantah bahawa masjid yang terletak di situ dianggap sebagai satu serangan terhadap kenangan mangsa-mangsa 9/11.

Empat buah kapalterbang dirampas oleh pengganas pada 11 September 2001. Dua daripadanya melanggar bangunan berkembar World Trade Center di New York City, satu terhempas di Pentagon dan satu lagi di kawasan padang Pennsylvania. Sejumlah 2,973 orang mati dalam tragedi itu.

Sumber : beritaislamglobal.blogspot.com dari AHN News Watch

Gambar (atas ke bawah)
1. Sr Pastor Terry Jones
2. Poster protes pembinaan masjid di Ground Zero
3. Sekitar protes
4. T-shirt kempen Islam is of Devil
5. Feisal Abd Rauf
6. Gereja New Testament di Gainesville






Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perkasa amar makruf nahi munkar tangani masalah sosial

Posted by epondok di Julai 31, 2010

Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh
APABILA masyarakat dikejutkan dengan penyakit sosial yang kian parah ditandai dengan kes pembuangan bayi, banyak pihak menyoal mengapa ia berlaku. Ramai yang mengatakan ia adalah hasil pergaulan bebas yang tidak dihadkan sempadan agama.

Malah, masalah seperti adegan berbahaya penunggang motosikal di jalan raya, pengambilan pil khayal, melepak tanpa faedah dan sebagainya melambangkan daifnya pegangan moral sesetengah golongan masyarakat di negara ini.

Pelbagai jalan penyelesaian boleh diambil bagi menangani penyakit berkenaan. Apa yang ingin disebutkan di sini ialah konsep al-amr bi al-maruf dan al-nahy an al-munkar. Mungkin istilah ini janggal dan sesetengah orang saja yang memahaminya.

Ia bermaksud mengajak melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran atau dengan bahasa yang mudah difahami ialah dakwah. Perkara kebaikan yang dimaksudkan adalah setiap perkara yang boleh membawa keredaan Allah SWT dan mendekatkan diri seseorang hamba kepada-Nya.

Ini merangkumi ibadat kepada Allah SWT dan hubungan baik sesama manusia. Kemungkaran adalah perkara yang membawa kemurkaan Allah SWT, sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Ini bermakna, seseorang Muslim wajib melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan semua yang ditegah Islam.

Dakwah mempunyai kepentingan yang tidak dapat dipertikaikan kerana ia adalah tugas para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT. Selepas kewafatan mereka, episod dakwah ini disambung oleh umat Islam mengikut peranan masing-masing dalam masyarakat. Dengan melaksanakan dakwah ini, ia boleh menatijahkan sebuah masyarakat hatta negara yang diredai Allah SWT.

Namun, sebagai ujian daripadaNya, gejala mungkar tetap berlaku pada setiap zaman dan ketika yang menuntut usaha dakwah secara konsisten dan ikhlas. Untuk itu, setiap individu dalam masyarakat Islam seharusnya berperanan ke arah itu.

Bagaimanapun, jika diamati peranan anggota masyarakat dalam menangani gejala mungkar, tidaklah sehebat usaha yang dilakukan bagi mengajak manusia kepada kebaikan. Sebagai contoh, ustaz dan imam yang mengajar di masjid dan surau menerangkan kepada jemaah mengenai ilmu agama. Mereka mengajak jemaah melaksanakan segala perintah Allah yang berbentuk suruhan seperti ibadat sembahyang dan sebagainya.

Namun, mereka tidak berperanan dalam mencegah kemungkaran secara berdepan dengan situasi sebenar kemungkaran itu berlaku. Akibatnya, mereka yang melakukan kemungkaran merasa selesa lantaran tiada pihak yang mengambil peduli.

Sedangkan, hukum melaksanakan al-amr bi al-maruf dan al-nahy an al-munkar adalah fardu kifayah dan ia menjadi fardu ain apabila tiada pihak yang mengambil inisiatif melaksanakan perintah berkenaan. Oleh itu, seseorang muslim seharusnya menjalankan tugas ini dalam lingkungan dirinya, keluarga dan masyarakat.

Jika tanggungjawab itu diabaikan, sistem kehidupan bermasyarakat di kalangan umat Islam menjadi pincang dan pembentukan khayr al-ummah akan terbantut. Justeru itu, sesiapa yang berikrar dan mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah memainkan peranan mengikut kemampuan dan posisi mereka dalam masyarakat.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, bermaksud, Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya (teguran). Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya dan ia adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Larangan membunuh tanpa asas

Posted by epondok di Julai 31, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Membunuh sesama insan adalah dilarang oleh Islam – gambar hiasan

 

Tindakan membunuh sesama Islam tanpa alasan yang benar adalah peristiwa hitam yang terjadi dalam sejarah Islam dari zaman ke zaman. Dewasa ini ia muncul dengan tajuk keganasan, terorisme atau militanisme yang dikaitkan dengan agama Islam.

Ia menjadi suatu isu besar yang turut mempengaruhi imej dan hubungan Islam dan agama-agama lain. Walaupun kita faham tidak semua label pengganas benar tetapi kita juga tidak dapat menafikan memang ada dalam kalangan penganut Islam, mereka yang bertindak ganas di luar kerangka hukum Islam.

Dalam memperjuangkan apa yang mereka rasa benar, mereka boleh sampai menghalalkan darah sesama Islam dan mengisytiharkan jihad perang tanpa hak terhadap mereka yang tidak sealiran.

Menyedari bahaya ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib An Tusohhah menyambung perbahasan isu takfir dengan larangan mencaci dan membunuh sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa membenci, memutuskan hubungan dan memusuhi kaum Muslimin itu adalah haram. Mencaci seseorang Muslim adalah suatu kefasikan dan membunuhnya tanpa alasan yang benar, adalah suatu kekufuran apabila dia menghalalkan perbuatan tersebut.

Sebagai bukti tegahan dalam permasalahan ini, memadailah diingat hadis melibatkan Khalid ibn al Walid r.a ketika diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Apabila beliau sampai, mereka pun menemuinya.

Lalu Khalid r.a berkata kepada mereka: “Masuklah kalian ke dalam Islam!” Mereka menjawab: “Kami adalah kaum Muslimin”. Khalid ibn Walid berkata, “(Jika begitu) letakkanlah senjata kalian dan turunlah (dari bukit itu)”. Mereka menjawab, “Tidak! Demi Allah, tidak ada sesuatu yang terjadi setelah meletakkan pedang, melainkan pembunuhan. Kami masih belum berasa aman denganmu dan orang-orang yang bersamamu.”

Khalid berkata dengan tegas: “Tidak ada keamanan bagi kalian kecuali jika kalian turun (dari bukit itu).”

Setelah mendengar ancaman itu, sebahagian mereka pun turun manakala sebahagian yang lain berpecah.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa, ketika Khalid sampai kepada kaum Jazimah, mereka menyambutnya dengan baik.

Lalu Khalid r.a berkata: “Siapakah kalian? Sudah Muslim, atau masih kafir?”

Mereka menjawab: “Kami adalah Muslimin. Kami telah mendirikan solat, kami juga membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, kami telah membangunkan beberapa buah masjid di halaman rumah kami, dan melaungkan azan di dalamnya.”

Dalam satu lafaz, mereka tidak mengatakan, Aslamna (kami telah masuk Islam), tetapi menyebut Soba’naa! Soba’naa! (Kami telah meninggalkan agama kami dahulu, kami telah meninggalkannya)”.

Kemudian Khalid berkata kepada mereka: “Mengapa kalian masih menyandang pedang?”

Mereka menjawab: “Sesungguhnya di antara kami dan sebahagian orang-orang Arab ada permusuhan. Kami takut, jikalau kalian adalah mereka. Maka kami pun tetap menyandang pedang.”

Khalid r.a berkata: “(Sekarang) letaklah pedang kalian.” Mereka akhirnya meletakkan senjata.

Kemudian Khalid berkata kepada angkatan tenteranya: “Tawanlah mereka”. Maka sebahagiannya ditawan, sebahagian lagi diikat dan kemudian dibahagi-bahagikan di antara sahabat-sahabatnya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Umat Islam ambil mudah isu makanan halal

Posted by epondok di Julai 30, 2010

Oleh Tuan Musa Awang

Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN

PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.

Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai.

Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?

Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?

Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.

Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.

Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.

Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.

Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?

Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?

Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Syaaban peluang bersih hati, siapkan diri berpuasa

Posted by epondok di Julai 29, 2010

Oleh Ibrahim Abdullah

Malam Nisfu Syaaban termasuk salah satu masa doa umat Islam mustajab, diperkenan Allah

PADA bulan Syaaban banyak amal kebajikan diperoleh mereka yang mengambil kesempatan beramal. Bulan yang sering dijadikan persediaan menyambut Ramadan turut menjadi bulan umat Islam berebut melakukan amal kebajikan.

Apabila Syaaban berhasil mendorong melaksanakan pelbagai kebajikan dengan amalan mengikut sunnah seperti memperbanyakkan berpuasa sunat, maka Ramadan yang menyusul dapat dilalui dengan mudah dan selesa untuk menunaikan kewajipan berpuasa.

Ulama mengatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk membersihkan diri, Syaaban membersihkan hati dan Ramadan membersihkan jiwa.

Mengenai malam Nisfu Syaaban, Imam Syafii menyatakan dalam Kitabnya Al-Umm: Sudah sampai kepada kami, ada orang yang mengatakan sesungguhnya doa dimakbulkan oleh Allah pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Aidil Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam 15 Syaaban.

Imam Syafii berkata: Saya suka kepada kelebihan yang dinyatakan pada malam itu dengan syarat ia tidak dianggap wajib.

Sahabat, tabiin dan ulama bersungguh beribadah pada malam itu. Kitab Durratun Nasihin menyebut: Jibril datang kepadaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad, pada malam ini pintu langit dan pintu rahmat sedang dibuka, oleh itu bangun dan kerjakan sembahyang kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.

Aku (Rasulullah SAW) bertanyakan: Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini sudah dibuka tiga ratus pintu rahmat, maka Allah Taala mengampuni semua orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan tukang sihir, kahin (tukang tenung), orang suka bermusuhan, peminum khamar (arak), orang yang melacur dirinya, pemakan harta riba, orang derhaka kepada ibu bapa, orang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan diampuni sehingga mereka itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaan (maksiatnya) itu.

Beribadah pada malam Nisfu Syaaban boleh dilakukan dengan memperbanyak membaca al-Quran, berselawat kepada Rasulullah SAW, berzikir dan berdoa. Ketahuilah malam Nisfu Syaaban adalah termasuk salah satu masa perkenan dan mustajab doa.

Doa yang dibaca Rasulullah SAW pada malam Nisfu Syaaban antara lain bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu, dan aku tidak mengira pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.

Doa itu dibaca Rasulullah SAW dalam sujud di waktu malam ketika sembahyang sunat di rumahnya. Baginda SAW membaca doa itu dalam sujudnya sambil matanya menitiskan air mata kerana perasaan takutnya kepada Allah SWT.

Antara kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam itu pintu langit dan pintu rahmat dibuka bermula daripada awal malam sehingga waktu Subuh.

Allah mengampunkan segala dosa yang pernah dilakukan oleh orang yang menghidupkan malam itu dengan melakukan ibadah kecuali orang yang syirik kepada Allah, menyimpan dendam dalam hati, ketagih arak dan orang yang sentiasa berzina.

Pada malam berkenaan juga amalan yang dilakukan dalam tempoh setahun diangkat kepada Allah, ditulis siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

Kita digalakkan sembahyang, berdoa, beristighfar, membaca al-Quran dan melakukan amalan disuruh Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sering juga kita mendengar khutbah yang disampaikan khatib semasa sembahyang Jumaat dengan memperingatkan jemaah supaya jangan terlalu taksub dengan amalan Nisfu Syaaban dan ini bererti ada kesalahan sering dilakukan ketika tibanya malam Nisfu Syaaban.

Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Keikhlasan bezakan amalan, ibadat

Posted by epondok di Julai 29, 2010

Oleh Mohd Shukri Hanapi

 

Kesediaan jiwa tinggalkan hawa nafsu tanda ketaatan, kepatuhan

IBADAT dalam Islam adalah kemuncak sifat kepatuhan dan ketundukan kepada Allah yang juga pengiktirafan keagungan Tuhan disembah. Menerusi ibadat, umat Islam dapat berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah (hubungan menegak).

Ibadat juga memberi kesan mendalam antara perhubungan manusia sesama manusia dan dengan makhluk lain (hubungan mendatar) di dunia ini.

Pengertian ibadat dalam al-Quran cukup luas, tidak terbatas kepada perkara difardukan saja, malah meliputi semua perkara dilakukan dengan ikhlas.

Allah berfirman bermaksud: “Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Ikhlas kunci bagi segala bentuk amalan dan penanda yang membezakan antara ibadat dengan adat. Jadi, sesuatu amalan dilakukan penuh keikhlasan dikategorikan sebagai ibadat, meskipun tidak mempunyai perintah secara langsung dalam al-Quran dan hadis.

Menurut al-Quran, kehidupan di dunia satu kesatuan yang wujud di dalamnya hanyalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, Islam menetapkan supaya seluruh cara hidup manusia dipelihara supaya menjadi ibadat dan sebagai tanda kepatuhan kepada Allah.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah (Dialah) saja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah saja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kukuh kekuasaan-Nya.” (Surah al-Zariyat, ayat 56-58)

Perlu dijelaskan setiap tindakan dilakukan seseorang Muslim dalam kehidupan berkait rapat dengan akidahnya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)

Oleh itu, kita mestilah memastikan segala ibadat dilakukan mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah. Malah ia asuhan dan didikan mendekatkan diri kepada Allah serta mencintai-Nya.

Muslim yang berdiri di hadapan Allah untuk menunaikan solat fardu atau sunat dalam keadaan penuh suci lagi khusyuk, adalah didikan praktikal mencetuskan hubungan secara langsung dengan Allah serta memberi kesan mendalam terhadap jiwanya.

Seseorang Muslim sentiasa berada dalam keadaan berjuang melawan hawa nafsunya sehingga sampai ke tahap merasakan nikmat berhubungan serta mendekatkan diri kepada Allah. Maka, pada ketika itu solat baginya adalah pertemuan dinanti-nantikan dan di situlah ketenangan serta kerehatan.

Rasulullah SAW menemui ketenangan dalam solat. Biasanya apabila Baginda SAW ditimpa sesuatu masalah, maka Baginda akan segera mengerjakan solat sambil berkata kepada Bilal: “Berikan kerehatan kepada kami wahai Bilal.”

Jelas menunjukkan perasaan seorang ‘abid (hamba) yang mendapati solat itu pertemuan antaranya dengan Allah.

Ibadat zakat adalah penyempurnaan kepada matlamat solat iaitu mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada dasarnya zakat disyariatkan untuk menyucikan jiwa seseorang Muslim daripada segala akhlak yang keji.

Jadi, dengan mengeluarkan zakat bermakna seseorang Muslim itu sudah membersihkan jiwa dan hartanya daripada kekotoran seterusnya sebagai tanda bersyukur atas kenikmatan rezeki dikurniakan Allah.

Selain itu, ibadat puasa dapat menumpukan usaha pembersihan dan pentarbiahan jiwa dengan menjauhi perkara mungkar semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pada Ramadan seseorang Muslim dapat merasakan keagungan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia, iaitu al-Quran yang diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada keimanan. Justeru, waktu malamnya dihabiskan untuk beribadat, merenungi serta bersyukur kepada Allah.

Dalam menunaikan ibadat haji pula, seseorang Muslim merasakan dirinya menjadi tetamu Allah serta merasai keagungan nikmat-Nya. Untuk menghadiri rumahnya yang mulia itu, kita seharusnya membersihkan rohani daripada segala kotoran dan menggunakan perbelanjaan harta yang bersih.

Begitulah didikan secara praktikal untuk menyintai Allah dan mendekati-Nya. Kesediaan jiwa meninggalkan perkara amat diingini dan disayanginya tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

Inilah dikatakan ihsan dan Rasulullah SAW sendiri pernah ditanya Malaikat Jibril mengenai maksud ihsan lalu Baginda menjawab: “Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Sehubungan itu, beribadat perlu dalam keadaan hati merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia buat sementara waktu. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah tidak memandang kepada solat seorang lelaki yang dikerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya.”

Al-Hasan al-Basri pula menjelaskan: “Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada seksaan.”

Di samping itu, kita mestilah beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak berasa cukup dan tidak pula terlalu mudah berpuas hati.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Setiap amalan dibalas

Posted by epondok di Julai 28, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SETIAP pekerjaan termasuk menguatkuasa undang-undang lalu lintas juga diberi balasan oleh Allah di akhirat kelak. -Gambar hiasan

 

Syed Qutub berkata: “Surah ini dimulakan dengan menayangkan beberapa surah kiamat yang dijelaskan dengan luas dalam surah al-Takwir, surah al-Infitar dan surah al-Naba’, tetapi gambaran kiamat yang ditayangkan di dalam surah ini mempunyai satu ciri khusus yang berlainan, iaitu ciri menyerah kepada Allah SWT, di mana langit dan bumi menyerah diri dengan penuh patuh dan khusyuk kepada Allah.”

Imam Malik meriwayatkan dari Abdullah bin Yazid, dari Abu Salamah bahawa Abu Hurairah r.a pernah membaca dalam solat bersama mereka yang bermaksud: “Apabila langit terbelah lalu ia sujud.”

Apabila selesai, Abu Hurairah memberitahu mereka bahawa Rasulullah SAW pernah bersujud kerana membacanya. Demikian yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Nasaei.

Firman Allah SWT: Apabila langit terbelah, serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.

Ibn Kathir berkata: “Iaitu pada hari kiamat di mana makhluk mendengar dan mematuhi serta mentaati perintah Tuhannya yang selayaknya dipatuhi.”

Syed Qutub menambah: “Tetapi perkara baru yang dikemukakan di dalam surah ini ialah penyerahan diri langit kepada Tuhannya iaitu ia wajib menyerah diri menjunjung perintah Tuhannya dengan penuh ketaatan dan kepatuhan.”

Firman Allah SWT: “Dan apabila bumi diratakan, serta mengeluarkan apa Yang di dalamnya, dan menjadi kosong, serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; – (maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa Yang telah dilakukannya).”

Ibn Kathir berkata, maksud bumi diratakan adalah dihamparkan, dibentangkan dan diluaskan. Mujahid, Said dan Qatadah berpendapat di mana bumi memuntahkan yang ada di dalamnya bermaksud mengeluarkan mayat-mayat yang ada dalam perutnya sehingga benar-benar kosong.

Ada tafsir menyebut termasuklah isi kandungan di dalam bumi seperti logam-logam, air-air dan rahsia-rahsia yang diketahui Allah.

Semua isi kandungan ini telah dikandung bumi abad demi abad sehingga sampailah hari kiamat, dan pada hari itulah bumi akan meluahkan semua isi kandungannya itu.

Firman Allah SWT: Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

Ibn Kathir berkata: “Dia akan membalas atas perbuatan usahamu. Syed Qutub dalam salah satu tafsirannya menyebut: “Wahai insan yang dikurniakan dengan sifat-sifat kemanusiaan yang istimewa! Pilihlah untuk dirimu jalan yang layak dan sesuai dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah kepadamu! Pilihlah jalan yang memberi kerehatan kepadamu dari segala kepenatan semasa engkau menemui Allah kelak.

“Seruan ini menghubungkan dengan untung nasib yang akan diterima oleh orang-orang yang berpenat lelah dan bertungkus lumus di dunia apabila mereka sampai di penghujung jalan menemui Tuhan mereka”.

Firman Allah SWT: Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dengan pengertian lain, seluruh amal perbuatannya tidak dihisab secara khusus, kerana barang siapa yang dihisabnya dilakukan seperti itu (mendalam), maka tidak diragukan lagi pasti dia akan binasa.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah R. Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang dihisab secara khusus, pasti dia akan diazab.

Lalu Aisyah R. Anha bertanya lagi: Bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah? Baginda bersabda: Bukan itu yang dihisab, tetapi yang demikian itu hanyalah amal perbuatan, kerana barang siapa yang dihisab secara mendalam, pasti dia akan di azab. (riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tarmizi dan an-Nasaei)

Firman Allah SWT: Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) Dengan sukacita. Qatadah, al-Dahhak berkata dalam keadaan senang, kerana merasa gembira atas apa yang diberikan Allah SWT kepadanya.

Firman Allah SWT: Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

Ibn Kathir berkata, cara penerimaannya iaitu dengan tangan kirinya dari arah belakang, di mana tangannya itu menghulur dan diberikan buku catatannya itu kepadanya.

Sheikh al-Maraghi berkata: “Sesetengah yang lain apabila diperlihatkan amalan perbuatannya yang telah lalu wajahnya bertukar menjadi muram, berusaha menjauhi dan membelakangi serta berharap agar tidak diperlihatkan kepadanya, diambil bukunya dengan catatan amalan itu dengan tangan kiri atau diambilnya dengan cara membelakanginya”.

Pada ketika itu dia berseru: “Oh celaka sekali!” Atau dengan keluhan: “Wahai kebinasaan! Terimalah buku itu, kerana kami tidak ingin terus hidup, ia mengetahui hal itu adalah penyebab adanya seksaan yang lama dan pasti dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan merasakan kepanasan api neraka”.

Firman Allah SWT: Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Ini kerana mereka melakukan maksiat di dunia dan lupa pembalasan akhirat.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)!

Sheikh al-Maraghi berkata: “Ayat ini berkata orang yang mengikut hawa nafsu syahwatnya dan kelazatan dunia, tidak termasuk dalam golongan orang yang mempunyai perkiraan tentang hari akhirat, keyakinan bahawa mereka akan dikembalikan semula kepada Tuhan untuk dihisab amalannya.

Bahkan mereka beranggapan kuat bahawa mereka tidak akan dihisab dan Allah SWT tidak menyalahi janji-Nya.

Firman Allah SWT: (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa melihat dan mengetahui keadaannya!

Hamka berkata: “Oleh sebab itu maka hati-hatilah melangkah dari sekarang, agar tenaga tidak habis percuma dan kelak kita akan bertemu dengan Tuhan kita dalam suasana yang menggembirakan hati. Sebab Tuhan sendiri pun inginkan agar kita menjadi orang baik (orang soleh)”.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang mendapat catatan amalan dengan tangan kanan. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Remaja dan masalah keremajaan

Posted by epondok di Julai 27, 2010

Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

KEINGINAN untuk mencuba apa sahaja dan mudah terikut-ikut dengan pengaruh rakan sebaya, bakal mengundang penyesalan seumur hidup. – Gambar hiasan

 

REMAJA merupakan satu peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Ia membabitkan perubahan dan perkembangan fizikal, emosi serta intelektual.

Bagi sesetengah remaja, ini merupakan peringkat yang penuh dengan cabaran dan cubaan dengan tekanan emosi serta konflik yang membawa kepada masalah psikiatrik.

Proses

Perkembangan Fizikal dan Imej Badan:

*Kebimbangan terhadap fizikal dan perubahan hormon akan menimbulkan taksub yang keterlaluan terhadap perubahan dan penampilan fizikal terutama kalangan rakan sebaya.

*Gangguan dengan asyik berfikir tentang kelelakian, kewanitaan dan orientasi seksual.

Perkembangan Emosi:

*Perasaan tidak stabil, kesedaran kendiri yang melampau, kemurungan, murung, kebimbangan sosial, mengagung-agungkan wira atau hero dan perasan seksual yang melampau.

*Berfikiran dan perasaan malu, kadang-kadang cuba berpura yang ia tidak wujud dan cuba buat tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling.

*Kebimbangan peperiksaan dan kerjaya.

*Idealisme.

*Membina identiti seksual dan juga mengenalpasti kelompok rakan sebaya.

*Memberontak, contohnya dalam kumpulan, gang (black metal, punk, skin head, mat rempit, pengkid).

*Masalah kecelaruan makanan seperti anorexia, bulimia, kebimbangan yang melampau, skizoprenia dan penyalahgunaan bahan terlarang (dadah dan alkohol).

Isu

*Menganggap masalah boleh diselesaikan sendiri. Sebab itu tidak berkongsi dengan orang dewasa.

*Ingin membuktikan keupayaan sendiri tanpa bantuan.

*Ingin mencuba apa sahaja sebagai satu pengalaman untuk tidak ketinggalan dengan rakan sebaya yang lain dan akan rasa hebat sekiranya yang lain masih belum tahu dan mengalaminya.

*Mengharapkan orang lain memahami diri mereka dan menerima seadanya dan untuk berubah akan mengambil masa.

*Emosi yang sentiasa tidak dapat dijangka, banyak berfikir tentang diri dan juga masa depan.

*Pendidikan penting tetapi keseronokan di luar lagi hebat dan teruja.

*Memilih rakan sebaya.

*Menentukan identiti seksual dan personaliti.

Oleh kerana mereka masih belum matang sepenuhnya maka remaja mengharapkan orang dewasa memahami bahawa mereka sedang melalui proses perubahan. Perubahan itu penuh dengan bebanan dan tanggungjawab yang terpaksa mereka lalui dan kadang-kadang menyakitkan.

Kadang-kadang apa yang diucapkan tidak menyenangkan dan kasar bagi mata dan telinga yang mendengar. Tetapi mereka tidak sedar dan memerlukan bantuan untuk membimbing mereka menjadi insan yang berguna pada masyarakat.

Orang dewasa memerlukan kemahiran berkomunikasi untuk mendekatkan diri dengan anak remaja dan mendengar dengan aktif adalah satu cara yang dapat mendekatkan mereka.

Hubungan antara remaja dan orang dewasa akan rapat sekiranya ada keterbukaan atau transferensi dan keikhlasan untuk membimbing.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »