Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2010

Mikraj ke Sidratul Muntaha

Posted by epondok di Jun 30, 2010

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian kerohanian Rasulullah pada masa lalu.

Ia sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Hanya dalam satu malam, Allah SWT mencipta perjalanan Rasulullah SAW untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya; mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkannya perintah solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasullullah SAW dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).

Perjalanan ini memiliki makna yang sangat khusus, terutama bagi diri Rasulullah.

Ia berlaku kerana Allah hendak menunjukkan kepada Muhammad tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya, seperti yang disebut dalam al-Quran: Agar Kami tunjukkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Kami (Surah Al-Isra ayat 1).

Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling benar (Surah Najm ayat 18).

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sebagai contohnya tentang hakikat buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam perjalanan yang agung ini.

Dalam hal itu maka pendapat yang diyakini jumhur ulama adalah pendapat yang paling baik untuk diikuti. Kita harus menolak dalil-dalil yang sesat dan sebaliknya mengunakan dalil yang sahih sebagai dasar pegangan bagi menunjukkan nilai-nilai keislaman dan sikap keberagamaan.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ‘‘Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad SAW.

Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk memberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.

Muhammad

Begitu juga dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.

Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.

Ia menunjukkan secara jelas tentang adanya penambahan atau penceritaan versi baru yang lahir dari perawinya dan sama sekali tidak berkaitan dengan sabda Rasulullah atau dari dalil-dalil yang sahih.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H -151 M). Kitab ini adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil sahih atau dapat dipertanggungjawabkan bagi membicarakan perihal Israk dan Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi kesahihannya tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah SAW, selebihnya dengan roh.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang bersungguh untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah SAW tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW? Dan apa yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini.

Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghiburkan Rasulullah SAW yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah SWT telah ‘mengisrak mikrajkan’ Rasulullah SAW. Allah SWT telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda- tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat sebahagian tanda- tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung.

Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar al-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah SAW.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah SWT, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Ia merupakan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Mohd Shauki Abd Majid
Penulis adalah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Peranan media dalam memelihara maruah ummah

Posted by epondok di Jun 30, 2010

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
 
 
Mahkamah berhak menjalankan perbicaraan secara tertutup jika sentuh hal peribadi
 
 
ISLAM amat memberi perhatian terhadap hak kehormatan dan maruah seseorang manusia di dalam kehidupannya. Ini kerana Islam menganggap persoalan maruah adalah satu daripada lima perkara asasi kehidupan selain agama, nyawa, harta dan keturunan yang wajib dipelihara oleh setiap Muslim bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Sehubungan itu, Allah mengharamkan segala perkara sama ada melalui perkataan atau perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.

Jika ditinjau kepada situasi mutakhir, pelbagai pihak sama ada media atau orang perseorangan begitu berminat memperkatakan kes jenayah yang membabitkan seks dan kehormatan orang lain lebih-lebih lagi maruah orang yang sudah mati.

Dalam hal ini, semua pihak terutama pihak media perlu melaporkan kejadian jenayah dan perbicaraan mahkamah secara berhemah dan berhati-hati tanpa mendedahkan keaiban seseorang itu sehingga ke akar umbi kerana ia bertentangan dengan syariah Islam.

Pendedahan yang lebih terbuka mengenai jenayah sememangnya mempunyai tujuan murni iaitu untuk memberi pengajaran kepada orang lain pada dasarnya elok, tetapi ia tidak harus dibuat secara keterlaluan sehingga mendedahkan perkara yang sangat peribadi.

Janganlah pula terlalu terperinci sehingga akar umbi dan menyentuh perkara yang sangat peribadi. Bukankah Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menutup keaiban yang dilakukan seseorang, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari akhirat kelak.” (Hadis riwayat Tabrani).

Daripada aspek perundangan, mahkamah sememangnya mempunyai hak dan tidak boleh dihalang daripada menjalankan perbicaraan berkenaan, tetapi apabila ia menyentuh perkara terlalu peribadi maka ia sewajarnya diadakan secara tertutup.

Ia kerana memang ada peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang memperuntukkan mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengadakan perbicaraan secara tertutup berhubung kes yang mengaibkan.

Pada masa sama, pihak media tidak seharusnya menyiarkan bahan mengandungi unsur lucah secara keterlaluan. Ia penting bagi mengelak generasi muda didedahkan dengan bahan yang mengandungi unsur lucah keterlaluan sehingga merosakkan pemikiran mereka.

Mengikut perspektif Islam, hubungan suami isteri di kamar tidur adalah suatu perkara rahsia antara mereka berdua dan menjadi dosa jika didedahkan kisah hubungan kelamin itu sekalipun pasangan berkenaan bukan lagi suami isteri.

Lebih jelas lagi, haram hukumnya menceritakan perlakuan suami isteri di bilik tidur apatah lagi merakamkannya dalam kamera, video dan seumpamanya. Malah ia menjadi kesalahan juga untuk pihak lain menceritakan perlakuan sesuatu pasangan itu, termasuk mereka yang bukan suami isteri.

Kerahsiaan hubungan intim ini tetap tidak berubah, sama ada mereka suami isteri atau sebaliknya. Rahsia tetap rahsia, tanpa mengira apakah hubungan mereka. Biarlah pihak yang perlu saja seperti kadi, hakim, peguam bela, pendakwa, juri dan pihak yang berkenaan mendengar keterangan yang memalukan itu.

Ia kerana sistem kehakiman di Malaysia meletakkan bahan bukti kepada pihak pendakwa yang perlu mengemukakan bukti dan keterangan yang boleh membantu kes. Dalam hal ini, apa saja keterangan dan bukti yang relevan perlu dikemukakan untuk memenangi kes terbabit.

Walaupun seseorang itu mungkin membuat kesilapan atau jenayah berkenaan, bukti dan keterangan yang bersifat mengaibkan perlu dirahsiakan juga dengan mengadakan perbicaraan secara tertutup seperti diperuntukkan.

Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar menghiaskan diri dengan sifat hormat-menghormati sesama manusia di muka bumi ini, terutama berkaitan hak kemanusiaan, apatah lagi jika orang itu sudah meninggal dunia. Oleh kerana keluarga mereka masih ada di dunia ini, maka amat wajarlah semua pihak perlu menghormati dan menjaga perasaan mereka.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut seseorang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak ada padanya dengan tujuan hendak mengaibkan orang itu, Allah akan menahannya dalam api neraka sehingga dia datang membuktikan wujud perkara yang dikatakannya itu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Perlu ditegaskan bahawa pendedahan bersifat lebih terbuka seperti ini dikhuatiri memberi kesan negatif kepada kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar dan sedang memahami makna kehidupan sebenar di samping mereka mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Pada hal, sepatutnya perkara yang perlu didedahkan kepada umum bukanlah perincian peristiwa berkenaan, sebaliknya bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada perogol atau pembunuh yang terbabit.

Sekiranya penekanan terhadap hukuman itu yang dibesar-besarkan, barulah ia memberi kesan kepada orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kesimpulannya, semua pihak bermula daripada orang perseorangan hingga kepada pihak berwajib sewajarnya menginsafi tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama memakmurkan bumi Allah ini.

Muslim, semuanya dilindungi syarak. Islam diutuskan untuk menebarkan roh kedamaian dan kesejahteraan sesama manusia sejagat
 

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Menangani tingkah laku seksual remaja

Posted by epondok di Jun 29, 2010

 Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

Pendidikan agama yang mantap dapat mengelak remaja terlibat dalam gejala buang bayi. – gambar hiasan

 

SALAH satu aspek yang paling ditekankan dalam al-Quran adalah aspek memperkasakan dan memperbaiki akhlak manusia sehingga al-Quran itu dijadikan pertunjuk dan rujukan yang paling baik dan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik akhlaknya.

Akhlak yang baik merupakan tonggak dalam kesejahteraan masyarakat. Kejatuhan satu-satu bangsa itu adalah kerana keruntuhan akhlak ahli-ahlinya.

Sekiranya anak-anak muda kita dan para remaja sudah mula menunjukkan ketidakmenjadian akhlaknya maka kita perlu risau dan sesuatu mesti dilakukan segera.

Mengikut Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulum ad-Din, sesungguhnya semua sifat tertanam dalam lubuk hati. Namun, pengaruh yang ditimbulkannya akan terlihat dengan jelas pada anggota tubuh. Kerananya, seseorang tidak bergerak melainkan sesuai dengan sifat (dalam hatinya).

Dengan kata lain segala perilaku individu itu selaras dengan watak dalaman seperti hubungan antara sebatang dahan dengan akar yang tertanam dalam tanah.

Kesolehan perbuatan seseorang itu berkait erat dengan kebaikan akhlaknya. Justeru, untuk memperbaiki ketidakmenjadian remaja kini adalah dengan membimbing akhlaknya dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah.

Seperti sebelum datangnya Islam, akhlak rata-rata manusia yang hidup zaman itu berada dalam kejahilan sehingga manusia sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, minum arak dalam tengkorak, melakukan tawaf dalam keadaan bogel.

Apabila Nabi diutuskan maka hati-hati yang keras dan kosong itu dididik dengan Islam. Maka manusia mampu menjadi yang terbaik dan digeruni bukan sahaja di kalangan manusia tetapi juga iblis dan syaitan dan nama-nama mereka telah dijanjikan syurga Allah.

Manusia kini berada dalam abad yang termaju dengan kecanggihan teknologi dan pengetahuan tetapi tingkah laku mereka tidak menunjukkan peradaban yang maju dan tidak selari dengan kemajuan.

Ini apabila perbuatan keji seperti perzinaan dan arak menjadi agenda biasa dalam masyarakat dan ciri-ciri zaman jahiliah ini biasa dilaporkan dalam media dan kehidupan masyarakat dunia.

Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: …Di antara tanda-tanda (datangnya) hari kiamat adalah, ilmu pengetahuan diangkat, kebodohan, arak dan perzinaan berleluasa. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu penglibatan diri generasi muda dengan tingkah laku berisiko tinggi seperti dadah, seks bebas atau penyalahgunaan dadah akan membawa kepada virus HIV yang kemudiannya membawa kepada Aids.

Kesan Aids akan kelihatan selepas 10 tahun. Ia akan membawa kepada kesengsaraan dan kematian, berseronok hari ini sengsara kelak seperti kata-kata, …the epidemic of Aids will continue, and the spiral of early death will remain. Therefore, act we must, lest suffer. Be warned, as today’s amusement is tomorrow’s embarrassment. (Khaidzir Ismail, 1997)

Dalam sudut pandang psikologi, zaman peralihan remaja yang penuh cabaran terutamanya perubahan fisiologikalnya yang amat pantas tetapi pencapaian kematangan tidak seiring seperti aspek fizikal. Hormon yang mana setengah individu remaja tidak dapat mengawalnya dengan bijak sehingga boleh menyumbang kepada keputusan dan tindakan yang kurang matang.

Dengan pendedahan awal kepada yang boleh merangsang hormon remaja seperti mula dengan bahan-bahan lucah yang mudah diperolehi. Kemudian melakukannya tanpa segan dan malu bersama rakan sebaya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Malik dalam kitab al-Muwatta’, Nabi SAW bersabda..Sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak Islam adalah malu.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Peniaga wajib amanah jauhi penipuan

Posted by epondok di Jun 28, 2010

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

PENIAGA dan usahawan Muslim perlu memastikan urus niaga dijalankan mengikut etika Islam supaya hasil usaha diberkati Allah. Malah peniaga yang jujur dan beramanah, kedudukannya sama taraf dengan syuhada serta orang soleh yang mendapat perlindungan Allah di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Ahli perniagaan Muslim yang amanah dan jujur di hari akhirat akan berkumpul di dalam syurga bersama para syuhada (orang mati syahid).” (Hadis riwayat Hakim dan Ibnu Majah)

Namun, perkembangan semasa memperlihatkan bagaimana peniaga serta usahawan berhadapan cabaran memastikan mereka menjaga etika dalam melakukan urus niaga. Ini dapat dilihat melalui kegiatan menyorok barang dan penyeludupan yang kian berleluasa.

Menyorok barang dan penyeludupan tergolong dalam salah laku besar di sisi Islam dan segala hasil pendapatan daripadanya dikira haram.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Al-Adab Fiddin’ menyenaraikan 20 adab yang patut dipelihara setiap peniaga Muslim termasuk tidak membolot dan menindas perniagaan orang lain serta mengurangi sukatan atau timbangan.

Peniaga hendaklah menjual dengan harga berpatutan dan tidak menolak permintaan pelanggan yang hendak membeli. Inilah antara etika digariskan Imam al-Ghazali dalam menjalankan perniagaan.

Ciri kebersihan berniaga dalam Islam antaranya bersih daripada riba, benda haram, bersih daripada penindasan, tidak melakukan amalan monopoli serta bebas daripada aktiviti spekulasi harga iaitu tidak menyorok barang bagi tujuan menaikkan harganya.

Jika peniaga berjaya mengelakkan perbuatan itu, maka dia berada dalam golongan peniaga dirahmati Allah.

Kegiatan menyorok dan menyeludup barang berlaku apabila peniaga tidak lagi menghayati amaran Allah dan panduan Rasulullah SAW. Sikap tamak dan inginkan keuntungan berlipat ganda mendorong peniaga melakukan kegiatan menyalahi etika berniaga seperti dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika engkau bersyukur atas nikmat-Ku, nescaya akan Aku tambah. Dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ahli perniagaan di akhirat nanti akan dibangkitkan sama seperti pelacur dan penipu. Kecuali ahli perniagaan yang bertakwa kepada Allah, menepati janji dan jujur.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Oleh itu, peniaga perlu berhati-hati supaya tidak menyesal di akhirat kelak kerana terbabit dalam urus niaga haram. Ambillah peringatan Rasulullah dan amaran Allah sebagai pedoman dalam menjalankan perniagaan.

Janganlah kerana terlalu menginginkan kemewahan dan kekayaan dunia, peniaga tergamak melupakan segala aturan ditetapkan Allah. Sumber rezeki daripada perbuatan yang ditegah Allah akan membawa azab sengsara kepada pelakunya di akhirat kelak

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Amaran Allah kepada pencuri timbangan

Posted by epondok di Jun 28, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH al-Mutaffifin mengandungi 36 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Ankabut dan merupakan surah terakhir yang diturunkan di Madinah.

Hubungan surah ini dengan surah al-Infitar. Dalam surah al-Infitar, Allah SWT berfirman bahawa pada setiap orang itu ada malaikat yang memelihara dan mencatat amalannya.

Dalam surah ini pula, Allah SWT menerangkan tentang nama yang telah ditulis oleh mereka iaitu Kitabun Marqum yang ditempatkan di Illiyin atau Sijjin.

Firman Allah SWT: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan).

Al-Maraghi berkata: Dikhabarkan bahawa di Madinah terdapat seorang yang bernama Abu Juhaynah. Dia mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu lagi kecil.

Apabila dia hendak membeli biji-bijian dan buah-buahan daripada para penanamnya dia akan menggunakan alat penimbang besar dan apabila dia ingin menjual kepada orang lain ditimbangnya dengan menggunakan alat penimbang yang kecil.

Orang sepertinya ialah seorang yang rakus dan tamak. Mereka inilah yang diancam dengan ancaman yang berat sebagaimana yang terdapat dalam ayat di atas.

Malahan mereka ini juga yang ditakutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Lima perbuatan yang akan dikenakan dengan lima seksaan: Pertama: Satu kaum yang memungkiri janji lalu Allah SWT akan memberi kemenangan kepada musuh untuk menguasainya.

Kedua: Mereka tidak menghukum dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT, pasti Allah menurunkan kefakiran kepada mereka.

Ketiga: Jika berlakunya perbuatan keji di kalangan mereka, pasti kematian akan tersebar di kalangan mereka.

Keempat: Mereka yang mengurangkan timbangan pasti tumbuh-tumbuhan tidak akan tumbuh.

Kelima: Mereka yang enggan membayar zakat, pasti mereka tidak mendapat hujan”.

Firman Allah SWT: Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Syed Qutub berkata: Mereka adalah orang-orang yang apabila membeli, mereka mahukan barang-barang itu disukat dengan cukup tetapi jika mereka menjual, mereka memberikan barang-barang tersebut dengan sukatan yang kurang.

Firman Allah SWT: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).

Ibn Kathir berkata: Apakah mereka tidak merasa takut pada hari kebangkitan kerana Allah SWT mengetahui segala rahsia dan pada hari yang sangat mengerikan itu terdapat perkara yang menakutkan dan menyeramkan.

Orang yang rugi pada hari itu akan dimasukkan ke dalam neraka yang sangat panas.

Firman Allah SWT: Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekelian alam? Sebagai penghormatan terhadap keagungan Allah SWT.

Ibn Umar r.a menerangkan, pada suatu ketika beliau melintasi penjual lalu berkata: “Takutlah kepada Allah SWT dan sempurnakanlah timbangan. Ini disebabkan golongan yang mengurangkan timbangan itu pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka”.

Ikrimah berkata: Aku bersaksi bahawa setiap penyukat dan penimbang akan dimasukkan ke dalam neraka.

Beliau ditanya oleh seseorang: Anakmu sendiri penyukat, bagaimana? Jawabnya: Aku bersaksi bahawa beliau juga nanti akan dimasukkan ke dalam neraka.

Dalam ucapan ini Ikrimah bermaksud memberi keterangan yang sangat menyedihkan bahawa pada umumnya manusia pada ketika itu ramai mengurangkan sukatan dan timbangan.

Penutup

Sikap mereka sungguh aneh. Sebenarnya jika wujud kesanggupan berfikir sejenak tentang hari kebangkitan semula, di mana manusia menghadapi pengadilan Allah SWT dan berdiri seorang diri menunggu hukuman tanpa kawan dan penolong.

Jika wujud kesanggupan berfikir sejenak mereka akan dihidupkan kembali pada hari itu, maka sudah cukup untuk mencegah mereka daripada melakukan perbuatan curang,

Ini termasuk makan harta orang lain secara haram dan menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menindas dan memeras hak manusia dalam urusniaga.

Namun, mereka terus berlaku zalim dengan mengurangkan sukatan seolah-olah tidak memikirkan mereka akan dibangkitkan kembali. Inilah sikap mereka yang sangat menghairankan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Punca isteri terjebak maksiat patut dikaji

Posted by epondok di Jun 27, 2010

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh

 

APABILA tersiar kisah isteri ditangkap khalwat oleh suami serta isteri menjalinkan hubungan sulit dengan remaja lelaki, ia bukan saja memalukan kaum hawa tetapi juga umat Islam seluruhnya.

Ketika kajian mengenai gejala sosial di kalangan remaja dijalankan pakar akademik dan pelajar di institusi pengajian tinggi, ‘ibu’ remaja pula turut sama terjebak ke kancah kehidupan gelap. Oleh itu, wajar juga dilakukan kajian punca isteri menghampiri zina sedangkan boleh berkasih sayang dengan suami masing-masing, malah mendapat keberkatan Allah SWT.

Ramai isteri yang tidak kasihkan suami. Ada juga berkahwin tanpa rasa cinta dan rasa hormat yang tinggi terhadap suami. Benar, ada yang baru mengenali hati budi suami dan keluarganya hanya selepas majlis akad, sebab itulah banyak masalah dikatakan timbul selepasnya.

Tetapi kepada Muslimah yang arif ajaran agama, mereka akan berusaha sedaya upaya membina persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga, malah menjadi benteng untuk menghalang anasir jahat yang mengganggu ketenteraman istana cinta mereka.

Apa pun alasan, ada caranya untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan tetapi tidak membebaskan diri daripada mentaati suami. Islam tidak pernah membenarkan isteri menduakan suami yang halal dinikahinya ketika masih dalam tempoh perkahwinan, begitu juga suami.

Syuraih, seorang alim dan ahli fikah meriwayatkan bahawa beliau mengahwini seorang wanita dari Bani Handhalah. Pada malam pertama sebagai suami isteri, mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat dan memohon Allah SWT memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada mereka.

Sesudah solat, si isteri menghadapkan wajahnya tepat ke arah suaminya Syuraih dan berkata: “Sesungguhnya aku adalah wanita yang asing bagimu dan belum mengetahui kebiasaanmu. Terangkan apa yang menjadi kesukaanmu supaya aku dapat memberikannya dan jelaskan kebencianmu supaya aku dapat menjauhinya.”

Meskipun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, sebagai Muslim yang patuh kepada perintah agama, Syuraih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sebaiknya.

Ia ditambah pula dengan anugerah seorang isteri solehah, yang tahu mendiamkan dirinya di tempat paling sunyi di hati suaminya sehinggakan selama 20 tahun usia perkahwinan mereka, Syuraih tidak pernah melihat kecelaan pada isteri yang dinikahinya.

Walau bagaimana buruk pun seorang suami, jika boleh dinasihati dan mampu berubah ke arah kebaikan, isteri harus istiqamah memberi bimbingan. Walaupun tugas mendidik isteri adalah tanggungjawab suami, isteri juga berkewajipan menasihati suami.

Kebanyakan isteri hari ini memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan dengan ilmu yang ada memudahkan usaha mengharmonikan rumah tangga melalui kerjasama suami, isteri serta keluarga.

Isteri perlu menjadi nilai tambah yang positif terhadap kekurangan suami.

Sering kali apabila berhadapan masalah atau tidak mendapat perhatian suami, isteri mula mencari keseronokan di luar syariat. Keadaan ini juga berlaku disebabkan masing-masing tidak memenuhi tanggungjawab sehingga ada yang terabai.

Hubungan yang tidak syarie antara suami atau isteri dengan bukan mahram menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Perbuatan ‘main kayu tiga’ kini bukan dilakukan lelaki atau suami saja, tetapi sudah berjangkit kepada isteri.

Isteri sudah berani menunjuk belang tanpa memikirkan harga diri, apatah lagi maruah suami dan masa depan anak.

Justeru, suami dan isteri mesti lebih prihatin terhadap pasangan masing-masing kerana pernikahan adalah ikatan yang mulia dan bukan perjanjian biasa. Ia tidak akan terurai hanya kerana dunia dan pesonanya, malah perkahwinan merapatkan langkah kita ke syurga.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sekat amalan kaum nabi Luth

Posted by epondok di Jun 26, 2010

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Hubungan gay, lesbian pemusnah institusi kekeluargaan, ikatan suci pernikahan manusia
MUTAKHIR ini pelbagai media banyak memaparkan mengenai gejala gay dan lesbian yang semakin berleluasa di beberapa tempat di negara ini. Ada yang menganggap gejala ini tidaklah serius dan masih lagi terkawal tetapi persoalannya wajarkah kita membiarkan ia merebak atau lebih tepat lagi terus bertapak di bumi Allah ini.

Seluruh umat Islam perlu memandang serius perkembangan ini kerana sebahagian besar daripada kalangan mereka yang terbabit dalam gejala yang dilaknat Allah itu adalah mereka yang beragama Islam. Hakikatnya kemodenan dan kecanggihan bukanlah alasan untuk kita mengorbankan jati diri kita sebagai umat Islam, sebaliknya kita perlu meningkatkan ketakwaan kepada Allah bagi menghadapi dunia yang serba mencabar.

Kelompok yang terbabit dengan cinta sesama jenis ini bukan saja tidak berasa diri mereka bersalah malah ada antaranya rasa bangga dengan ‘kelebihan’ yang kononnya mereka miliki. Apa yang perlu difahami, kecenderungan seseorang kepada homoseksual atau lesbian bukanlah takdir tetapi pilihan ditentukan oleh manusia itu sendiri.

Justeru, mereka yang terbabit perlu bijak mengendalikan nafsu dan bukannya menjadi hamba kepada nafsu. Mungkin ada di antara mereka akan berhujah ‘ini kebebasan dan hak kami sebagai manusia’ tetapi hakikatnya manusia tidak pernah diberi hak penuh untuk memuaskan segala keinginan hatinya oleh Allah.

Sebaliknya, hak manusia itu dibatasi dengan hukum Islam yang ditetapkan dan tidak pernah berubah. Begitulah juga mereka yang terjebak dengan homoseksual dan lesbian ini. Sebagai insan dilahirkan menjadi seorang Islam, mereka seharusnya amat mengerti apa yang mereka lakukan amat bertentangan dengan perintah dan suruhan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami juga mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan yang keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum mu?”

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata, ‘Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari bandar mu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang berpura-pura menyucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan keluarganya melainkan isterinya; dia termasuk orang yang dibinasakan.’’ Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan.” (Surah Al-A’raaf, ayat 80 hingga 84)

Perkataan keji dalam konteks ini bererti tindakan cabul, liwat dan lesbian yang dilakukan kaum Nabi Lut. Hakikatnya, dosa besar seperti dilakukan kaum Lut akan dihukum di akhirat kerana hukumannya lebih berat daripada azab dunia dan kehinaan di akhirat adalah lebih besar daripada kehinaan di dunia.

Ulama bersetuju berdasarkan al-Quran dan hadis, wujud larangan keras terhadap perbuatan homoseksual dan lesbian kerana kedua-dua tindakan itu pemusnah institusi kekeluargaan terutama ikatan pernikahan yang suci.

Justeru, mereka yang terjebak dalam gejala ini perlu mengawal nafsu kerana manusia bukanlah haiwan yang dikawal nafsu seks semata-mata. Manusia harus bertanggungjawab untuk mengetahui bagaimana mereka dapat mengarahkan keinginannya yang diberikan Allah kepada mereka, sama ada lelaki atau wanita.

Jika ada di antara mereka menganggap apa yang dilakukan kebebasan dan hak mereka sebagai manusia, hakikatnya ia jauh menyimpang daripada sebuah kehidupan, apatah lagi Islam sememangnya menetapkan hukuman berat kepada mereka yang melakukan perbuatan terbabit.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (terhadap) wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat saksi di antara kamu (yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka memberi kesaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan yang lain kepadanya. Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kamu, maka berilah hukuman kepada kedua-duanya, kemudian jika kedua-duanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nisa, ayat 15-16)

Ulama menyatakan ayat ke-15 itu merujuk kepada golongan lesbian yang melakukan perilaku sesat dan ayat berikutnya pula adalah golongan homoseksual yang melakukan perbuatan berkenaan.

Rasulullah SAW pula bersabda: “Empat kelompok manusia yang bangun daripada tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah ketidaksenangan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan baginda bertanya, siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tasauf galakkan berjihad dan bekerja

Posted by epondok di Jun 25, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Islam menyuruh umatnya bekerja bersungguh-sungguh agar menikmati kejayaan
di dunia. – Gambar hiasan

 

DI antara tohmahan sesetengah pihak terhadap tasauf dan ahlinya adalah tasauf itu mendorong kepada sikap pasif, jumud dan berserah semata-mata tanpa berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Oleh kerana kurangnya maklumat dan kefahaman sebenar terhadap persoalan ini, sebahagian masyarakat awam turut terpengaruh dengan persepsi ini.

Apabila anak-anak, saudara atau teman mereka terlibat dalam aliran berunsur tasauf, walaupun yang murni dan arus perdana, maka timbullah kegusaran dalam hati mereka bahawa aspek duniawi dan kebajikan mereka ini akan tertinggal dan terabai.

Persepsi salah ini perlu dijauhi. Jika tidak ia mungkin menjerumuskan kita dalam sikap menzalimi. Bahkan memusuhi mereka yang sebenarnya berada di atas kebenaran dan bahkan mungkin sebahagiannya adalah para wali atau kekasih-kekasih Allah SWT.

Memusuhi wali-wali Allah adalah termasuk beberapa kesalahan paling berat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pelakunya seperti maksud satu hadis qudsi yang masyhur.

Sebenarnya, para pembaca sudah sepatutnya mampu menolak persepsi negatif ini jika mereka telah memahami dan bersetuju dengan penjelasan kami dalam siri ruangan ini yang lepas-lepas bahawa tasauf itu adalah tidak lain daripada dimensi ihsan agama kita dan bahawa tasauf hakiki adalah bersumberkan dan selari dengan al-Quran dan al-sunnah.

Mana mungkin sesuatu yang begitu asasi dan asli dalam Islam bersifat pasif, lemah dan jumud melulu?

Tanpa perlu berbahas panjang, seseorang yang bijaksana sudah mampu meletakkan isu ini pada kedudukan sebenarnya. Samalah seperti seseorang Muslim yang benar-benar faham dan yakin tentang sifat-sifat Maha Adil, Pengasih dan Penyayang yang ada pada Allah SWT.

Tanpa pembahasan terperinci tentang persoalan qada dan qadar, ketentuan, nasib dan seumpamanya, orang ini tetap tidak akan sampai mempertikaikan keadilan Tuhan di sebalik segala ketentuan buruk atau baik yang berlaku dalam kehidupan.

Namun, apakan daya. Kita ditakdirkan hidup dengan adanya suara-suara sumbang yang sering cuba menyerang tasauf. Maka perlulah soal ini dibahaskan.

Jika diteliti secara insaf, ajaran, aliran dan para pengamal tasauf hakiki sepanjang sejarah Islam adalah mereka yang sangat mementingkan berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Malah jika semboyan jihad dikumandangkan dalam situasi jihad peperangan yang benar-benar memenuhi syaratnya, kita akan dapati para ahli tasauf adalah antara mereka yang berada di saf hadapan tentera Islam.

Sikap ini jelas pada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang merupakan para pengasas dan pemuka tasauf. Abdullah Ibnu Mubarak, Syaqiq al-Balkhi, Hatim al-‘Asom pula adalah antara tokoh tasauf yang menyusuli mereka yang tercatat jelas keperwiraan dan kepahlawanan mereka di medan jihad perang.

Begitu juga para pemuka tasauf yang datang kemudian seperti Imam Abul Hasan al-Syazuli dan Badiuzzaman Said Nursi.

Sejarah juga menjadi saksi kesatriaan para pejuang berlatar-belakangkan tasauf seperti Imam al-Sanusi di Libya dan Imam Syamil Al-Daghestani di Chechya.

Di alam Melayu, kita biasa mendengar tentang kepahlawanan para ulama sufi menentang penjajah Belanda dan Inggeris seperti para Wali Songo, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Yusuf Tajul Khulwati al-Makasari.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jujur dapat bentuk manusia saling percaya, berkasih sayang

Posted by epondok di Jun 25, 2010

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

 

SETIAP individu Muslim sangat dituntut memperhiaskan hati dengan sifat jujur atau benar dalam semua perkara. Kejujuran adalah sifat terpuji nabi dan akan membawa ke arah kebaikan serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Mengenai perkara ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya sifat benar (jujur) itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan ini membawa ke syurga dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar…” (HR Bukhari dan Muslim).

Memandangkan sifat ini sangat penting dan ada hubung kait dengan keimanan, maka tidak wajar sama sekali seorang Muslim mengabaikannya begitu saja atau menganggap sebagai remeh. Sesungguhnya memiliki sifat jujur adalah satu kewajipan setiap orang yang beriman.

Hal ini dapat difahami daripada firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 119 yang mafhumnya: “Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.”

Pada masa kini, ternyata amat sukar mencari orang yang jujur dan dipercayai dalam masyarakat. Ramai yang lalai dan terpengaruh dengan bisikan syaitan, hawa nafsu dan tidak dinafikan ada juga disebabkan kejahilan.

Sehingga ada yang tergamak untuk terbabit dengan rasuah, menghalalkan cara, pecah amanah, menabur fitnah dan berdusta demi mencapai hasrat kepentingan peribadi. Keadaan buruk ini sangat membimbangkan dan pasti menjadi lebih parah sekiranya tidak ada usaha memberi penyuluhan dan kesedaran kepada mereka dengan pelbagai saluran.

Kita sangat percaya masih ramai yang keliru bahkan tidak tahu mengenai maksud jujur yang sebenar-benarnya mengikut pandangan Islam. Ulama mendefinisikan jujur itu sebagai kesesuaian perkataan dan perbuatan yang dizahirkan mengikut gerak batinnya selama tidak tergelincir daripada landasan syariat.

Kesimpulannya, orang yang jujur akan sentiasa memastikan setiap tindakan, percakapan, kelakuan dan sebagainya menepati ajaran Islam. Orang yang jujur sangat benci kepada segala jenis perbuatan ingkar yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Kalaupun terlanjur melakukan maksiat, akan segera bertaubat kepada-Nya dengan penyesalan serta dengan rasa takut akan azab Allah. Dia selalu sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Allah SWT. Lantaran itu, orang yang jujur tidak mungkin mengerjakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam walau saat keseorangan dan tersembunyi.

Imam Al-Ghazali menyenaraikan jenis kejujuran yang perlu diamalkan oleh setiap orang Islam yang benar-benar merindui keredaanNya iaitu:

# Jujur lisan atau perkataan sebagai contoh menepati janji dan sumpah, menjauhi sifat bohong dan menipu;

# Jujur niat dan kehendak iaitu tercetus keinginan untuk beramal penuh ikhlas semata-mata kerana Allah SWT;

# Jujur keazaman dalam melaksanakan sesuatu kerana Allah (yang mana lahirnya semangat untuk melakukan amalan, semangat itu juga lahir kerana Allah);

# Jujur dalam melaksanakan apa yang diazamkan (melakukannya dengan istiqamah dan tidak takut sebarang celaan yang datang, kerana dia melakukannya kerana Allah);

# Jujur dalam beramal itu sendiri, di mana tidak melakukan amalan zahir yang bercanggah dengan apa yang ada dalam batin (tidak berpura-pura atau hipokrit), dan

# Jujur dalam setiap maqam agama seperti khauf, zuhud, reda, tawakal dan lain-lain.

Semuanya itu terangkum dalam firman Allah yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar” (QS Al-Bayyinah: 5).

Orang yang jujur dan benar, sudah tentu akan mendapat keredaan Allah manakala di sisi masyarakat mendapat sanjungan dan dihormati, dapat membentuk manusia yang saling percaya mempercayai dan berkasih sayang.

Jika saat menghadapi kesulitan, sangat mudah baginya untuk mendapatkan pertolongan. Ini semua akan membuahkan ketenangan yang mendalam di jiwa.

Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah hal yang membimbangkan kalian menuju sesuatu yang tidak membimbangkan, sesungguhnya kejujuran adalah ketenangan, dan pembohongan adalah kebimbangan” (HR Tarmizi)

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tolak nikmat sementara, terselamat api neraka

Posted by epondok di Jun 24, 2010

Oleh Zawawi Yusoh
 
TANDA peralihan usia daripada alam kanak-kanak ke alam remaja bermula apabila mulai jelas tanda kematangan biologi seperti haid bagi perempuan, mimpi serta keluar air mani bagi lelaki.
Disebabkan mimpi, badan cepat membesar, rambut atau bulu mula tumbuh di bahagian tertentu badan dan yang paling ketara perubahan adalah soal nafsu seks.

Ketika ini Islam amat mendidik untuk menguasai diri. Apabila diri terkawal maka semuanya pasti teratur. Apabila tewas maka berlakulah penyimpangan.

Penyimpangan masalah seksual terutama di kalangan remaja kini semakin membimbangkan dan masing-masing memandang remeh masalah dosa akibat berzina.

Zina adalah perbuatan yang amat keji dan mesti dihindari setiap Muslim. Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga binatang dan tumbuhan.

Memang patut jika manusia mempunyai ghairah seks atau keinginan untuk melampiaskan keinginan seksual itu.

Allah tidak melarang manusia melampiaskan nafsunya selama cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah.

Malah, nabi seakan tidak mengaku umat kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Barang siapa benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin), maka dia bukan dari kalanganku.”

Ikatan perkahwinan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak bagi melepaskan kemahuan seksual. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.

Islam adalah agama yang amat hebat menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual.

Jika menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri maknanya apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya adalah haram.

Apabila ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, apa lagi terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar remaja lahirkan anak luar nikah.

Bayi yang tidak berdosa ditemui mati dalam timbunan sampah, perut terburai dimakan pula sekumpulan anjing liar. Sudahlah berzina amat jijik kemudian tergamak melakukan kezaliman terhadap bayi yang tidak berdosa.

Justeru, pergaulan bebas, duduk berdua-duaan serta berpimpin tangan adalah mukadimah (pendahuluan) yang kuat mendorong untuk berlakunya penyimpangan seksual.

Zaman remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang ‘VVIP’ akhirat ialah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis, lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata “sesungguhnya aku takut kepada Allah.”

Remaja di barat sangat bebas serta tidak terkawal aktiviti seks mereka. Sebab itu mereka hanya belajar bagaimana untuk mencegah supaya jangan berlaku kehamilan.

Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka. Bagi mereka, hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja hanya tahu seks selamat bukannya hendak fikir mengenai salahnya berzina itu.

Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan saja supaya tidak berzina, malah menjauhi sebab dan segala pendorong berlakunya perzinaan.

Sebab itu amat penting sekali untuk mendidik remaja mengenai syurga dan neraka supaya umat Islam gerun dengan ancaman neraka.

Akhirnya mereka menolak nikmat sementara supaya terselamat daripada api neraka yang membakar selamanya

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »