Hormati perbezaan agama kekal perpaduan
Posted by epondok di Mei 31, 2010
Oleh Zainurrijal
Mencari kesamaan antara kepercayaan jaminan keharmonian kaum di negara berbilang bangsa
TIDAK dapat saya bayangkan jika berlaku di Malaysia, iklan dipamerkan mengajak umat Islam untuk murtad seperti yang berlaku di New York, Amerika Syarikat. Dilaporkan pemimpin anti-Islam menggunakan 30 bas bagi memaparkan iklan yang menyasarkan umat Islam supaya murtad.
Projek ini dipelopori Pamela Geller yang mengetuai gerakan ‘Stop Islamization of America’ atau ‘Henti Islamkan Amerika’. Geller mempunyai motif tertentu dalam melancarkan projek berkenaan. Iklan itu memaparkan persoalan yang boleh menggalakkan umat Islam murtad
Sambil menafikan iklan terbabit mencetuskan kemarahan orang Islam dan sejajar dengan kebebasan beragama, Geller mengatakan iklan itu tidak memfokuskan kepada umat Islam yang patuh kepada ajaran agama Islam tetapi hanya memberi alternatif kepada orang yang ingin keluar Islam saja.
Sambil berselindung di sebalik lenggok penggunaan bahasa dan hak kebebasan beragama, pihak berkuasa Amerika membenarkan penggunaan iklan berkenaan.
Jika diimbau dari segi sejarah, kita dapati tidak ada di negara Islam, orang bukan Islam dihina dan disogok untuk meninggalkan agama sebegitu rupa. Malah tidak dapat dinafikan orang bukan Islam memeluk Islam dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa dipaksa atau diperdaya dengan pelbagai janji.
Tindakan dilakukan Geller itu hanya akan mencetuskan ketegangan beragama di kalangan masyarakat berbilang kepercayaan. Ia bukan tindakan bijak bagi menangani isu perbezaan beragama, malah akan melebarkan jurang perbezaan dan konflik beragama. Di Malaysia, walaupun Islam dinamakan sebagai agama bagi persekutuan dan Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, agama lain bebas diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian.
Sudah pasti perbezaan antara agama itu wujud tetapi yang lebih penting bagi kita sekarang ini bukanlah memperbesar-besarkan perbezaan berkenaan tetapi mencari kesamaan antara agama bagi menjadi nukleus kepada perpaduan kaum serta tidak sampai mempertikaikan ajaran sesuatu agama itu sendiri.
Dialog antara agama dianjurkan bagi memahami dengan lebih mendalam agama lain dan pada masa sama kita hendaklah berhati-hati agar dalam keghairahan berdialog itu, kita tidak terlalu emosi sehingga mempersoalkan ajaran ‘intra agama’ itu yang boleh mengguris hati penganut agama lain.
Seperti kita tidak mahu melihat agama kita diherdik, kita juga sepatutnya tidak menghina agama lain dan bersikap toleran dengan penganut agama lain. Malah ini juga menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.
Kita amat bertuah di bumi Malaysia ini kerana insiden seperti yang berlaku di New York itu tidak terjadi di sini. Bagaimanapun bibit-bibit ke arah itu sudah mula dapat dirasakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, andai fenomena ini tidak dikekang daripada awal, tidak mustahil apa yang berlaku di Amerika Syarikat itu akan terjadi di Malaysia.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam di tempat yang istimewa, tanpa penghayatan sebenar erti dan tafsiran perlembagaan itu sendiri, sudah pasti rakyat Malaysia akan hanyut dibuai insiden yang berlaku di luar negara.
Tiupan taufan yang membadai dari luar negara itu sudah tentu tidak seindah angin sepoi-sepoi bahasa yang dinikmati rakyat Malaysia kerana taufan itu pastinya akan mendatangkan kerosakan yang mungkin tidak dapat dibaiki lagi.
Gerakan memperkasakan Islam di Malaysia dan meletakkan Islam di tempat sewajarnya tidak sedikit pun menggugat kepercayaan orang bukan Islam. Islam sendiri mengajar tiada paksaan bagi orang bukan Islam memeluk agama Islam. Malah menjadi suatu doa kerana bertentangan dengan ayat al-Quran bagi orang Islam memaksa orang bukan Islam memeluk Islam.
Orang bukan Islam tidak harus gusar dengan tuntutan orang Islam memperkasakan kedudukan Islam di Malaysia. Tidak akan ada iklan yang cuba mempengaruhi orang bukan Islam supaya meninggalkan agama mereka sekiranya Islam dilaksanakan sepenuhnya.
Perkara ini dapat dibuktikan apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan menegakkan negara Islam yang bersandarkan kepada dustur al madinah. Tidak ada seorang pun orang bukan Islam di kalangan orang Yahudi dan Kristian yang dipaksa memeluk Islam ketika itu. Malah perniagaan dan harta orang bukan Islam itu juga dijamin Rasulullah SAW.
Perkara yang lebih menarik lagi di dalam beberapa pertikaian yang dibawa ke penghakiman pula pada zaman Rasulullah dan sahabat Baginda, ada antaranya pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam. Malah di kalangan orang Islam itu pula ada antara mereka yang menjadi pemimpin negara.
Namun kehakiman Islam tidak memberi kelebihan kepada orang Islam mahupun pemimpin negara Islam di dalam penghakiman mereka. Penghakiman Islam hanya bersandarkan kepada bukti dan beban pembuktian seperti disyariatkan tanpa mengambil kira walaupun yang bertikai itu adalah pemimpin negara.
Dalam hal yang demikian, jelaslah bahawa dalam sistem kenegaraan Islam, rakyat diutamakan dan keadilan ditegakkan. Kebebasan beragama amat dihargai dan tidak akan berlaku penghinaan terhadap agama seperti yang berlaku di Amerika Syarikat itu.
Rakyat Amerika Syarikat yang mengakui mengamalkan kebebasan beragama perlu membuka minda mereka sendiri dan tidak melihat sesuatu melalui kacamata yang kabur. Seperti mereka tidak mahu agama mereka dicerca, janganlah menghina atau membangkitkan semangat anti agama terhadap mana-mana agama pun
Tinggalkan Jawapan