Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Mei 2010

Jual ayam tak halal, Tesco disaman RM1.6 juta

Posted by epondok di Mei 31, 2010

Seorang peniaga dan empat anggota keluarganya hari ini memfailkan saman ganti rugi RM1.6 juta terhadap Tesco Stores (M) Sdn Bhd kerana didakwa cuai memastikan produk ayam segar yang siap diproses dan dilabelkan halal, benar-benar halal megikut agama Islam.

Saman itu difailkan oleh Raja Muzaffar Kamar Raja Busu, Lijah Awang Kechik, Raja Kamar Idris Raja Busu, Norhayati Abdullah dan Raja Teh Rahmah Raja Busu.

 

 

 

 Writ saman itu difailkan oleh peguam Kamal Razali melalui firma guaman, Badruzzaman & Kamal, Peguambela & Peguamcara, Peguam Syariah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di Pulau Pinang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Muzaffar Kamar yang mewakili empat plaintif lain dari Bayan Baru, memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi teruk RM100,000.

Beliau turut menuntut surat permohonan maaf secara terbuka oleh defendan kepada semua plaintif kerana mengalami trauma dan maruah plaintif tercalar kerana menjual ayam haram.

Raja Muzaffar Kamar berkata beliau mengalami trauma dan berasa berdosa kerana memakan ayam yang haram bersama plaintif lain dan memberi makan produk ayam yang haram kepada pelanggan di restoran miliknya di Astaka Gelugor, di Pulau Pinang.

Katanya pada 12 Mac lalu, beliau membeli tiga ekor ayam yang siap disembelih dan dipek dengan bungkusan berjenama HyFresh tertera logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Raja Muzaffar Kamar berkata beliau memasak ayam itu dan sebahagiannya dimakan bersama keluarganya manakala bakinya dijual di premis perniagaannya.

Beliau berkata ketika membuang sisa ayam itu mereka mendapati kesan sembelihan pada leher ayam berkenaan mencurigakan kehalalannya di sisi Islam dan membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Pada 16 Mac lepas, JHEAIPP kemudian membuat siasatan dan merampas ayam berjenama HyFresh di pasar raya itu kerana tidak disembelih mengikut kaedah ditetapkan Islam,” katanya.

Katanya pada 31 Mac lalu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan surat mengesahkan produk ayam berkenaan tidak disembelih mengikut ketetapan syariat Islam dan haram dimakan oleh orang Islam.

– Bernama

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Terkini : Konvoi Gaza diserang, 16 mati lebih 30 cedera

Posted by epondok di Mei 31, 2010

KUALA LUMPUR, 31 Mei: (12.30 tengah hari waktu Malaysia) – Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada Isnin (31/5) pagi, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup saat mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan.” katanya.

Saat ini ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai 8 orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama 4 orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care. Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu  Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada diatas kapal dan Allah swt sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka.  Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat  keredhaan dari Allah swt

 Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Rakyat Malaysia antara diserang kapal perang Israel

Posted by epondok di Mei 31, 2010

Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam konvoi kapal yang membawa bantuan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan dua orang terbunuh manakala 30 lagi cedera.

 

 

 

 Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

 

 

 

 Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perbanyak amal ibadat dengan ingat hari akhirat

Posted by epondok di Mei 31, 2010

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki

Manusia tanpa mengira agama akan dibangkitkan semula untuk dihitung segala amalan

BAGI orang Islam, hari akhirat adalah destinasi terakhir. Begitulah kepercayaan yang tersemat dalam hati mereka yang mengakui beriman. Kepercayaan ini penting dalam hidup manusia supaya mereka mempunyai wawasan jelas. Malah al-Quran sering menyebut mengenainya setiap kali soal keimanan terhadap Allah SWT dibangkitkan.

Hari akhirat dalam pengertian mudah ialah hari-hari penghidupan yang terakhir setelah melalui penghidupan di dunia. Dunia ini akan berlaku kehancuran seluruhnya dan segala makhluk yang bernyawa semuanya akan mati

Selepas itu, Allah akan menggantikannya pula dengan alam baru dan menghidupkan semua manusia itu semula. Kemudian mereka akan dihisab dan dinilai segala amalan sewaktu hidup di dunia.

Sebenarnya kepercayaan seperti ini juga wujud dalam fikiran sebahagian mereka yang bukan beragama Islam. Mereka juga percaya bahawa ada kehidupan bahagia dan sebaliknya setelah mati. Tetapi kepercayaan itu tidak sama dengan yang diyakini umat Islam.

Dalam hal ini, seseorang Muslim wajib percaya bahawa Allah akan membinasakan seluruh alam ini bila tiba saatnya nanti. Kemudian semua manusia termasuk yang bukan beragama Islam akan dibangkitkan semula untuk menerima penghakiman Allah. Masing-masing akan dinilai segala amalannya di dunia sama ada bermutu atau tidak.

Dalam keadaan itu, setiap manusia akan menghadapi pelbagai keadaan dan suasana berdasarkan amalan masing-masing. Allah menggambarkan keadaan hari akhirat itu dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia. Takutilah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya goncangan kiamat itu sungguh dahsyat. Pada hari kamu melihat peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan anak akan lupa anak yang disusuinya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugur anak yang dikandunginya dan kamu akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk tetapi kerana azab Allah amatlah berat dan mengerikan.” (Surah al-Hajj: 1-2).
Gambaran yang cukup menakutkan itu sepatutnya boleh menginsafkan setiap manusia apatah lagi orang Muslim. Sebenarnya, gambaran ini seperti mahu memberi peringatan kepada penghuni bumi agar bersiap sedia menghadapi hari akhirat. Malah hari itu patut menjadi idaman setiap Muslim kerana kehidupan akhirat lebih baik daripada kehidupan dunia.

Oleh sebab itu, setiap Muslim sewajarnya memiliki wawasan akhirat sepanjang hidupnya di dunia ini. Dengan wawasan itu, mereka pasti berjaya meraih keredaan Ilahi pada hari kemudian itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang (setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh) dan mereka menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian) bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’la: 14-17).

Jelas daripada ayat di atas, amalan membersihkan diri, mengingati Allah dan melakukan solat adalah tanda keimanan terhadap hari akhirat. Seseorang Muslim yang beriman terhadap hari akhirat perlu membanyakkan amal kebajikan dan tingkatkan ketakwaan. Begitulah persiapan orang yang mempunyai wawasan akhirat.

Sebaliknya, keimanan yang tipis terhadap hari akhirat menyebabkan ramai manusia bergelumang dalam kebatilan, kemaksiatan dan kezaliman. Hal ini demikian adalah kerana mereka tidak menjadikan hari akhirat sebagai matlamat hidup. Mereka seolah-olah tidak yakin akan ada hari pembalasan.

Mereka yang menjadikan wawasan dunia sebagai matlamat utama akan lebih mencintai dunia, tamak, kedekut dan cenderung ke arah kejahatan. Malah ada sebahagian manusia yang sanggup meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya. Tidak kurang juga golongan yang tergamak melakukan kerja haram lagi terkutuk demi meraih kemewahan dunia semata-mata.

Sebenarnya kehidupan di dunia adalah kehidupan yang mesti dilalui manusia. Maka dalam dunia ini, disediakan pelbagai keperluan untuk memudahkan manusia menuju ke akhirat. Namun, kadang-kadang mereka terleka dengan keindahan dunia yang sementara ini. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah mainan dan hiburan serta hiasan luaran yang masing-masing bermegah-megah antara kamu. Masing-masing berlumba-lumba untuk membanyakkan harta benda dan anak pinak. Keadaan ini sama seperti hujan yang dengannya mengagumkan petani kerana tanaman yang subur menghijau, kemudian tanaman itu berubah lalu kelihatan kuning, akhirnya menjadi reput. Sedangkan di akhirat terdapat azab yang berat, keampunan daripada Allah dan keredaan-Nya. Dan tiadalah kehidupan dunia melainkan sesuatu yang menipu daya.” (Surah al-Hadid: 20).

Jelas daripada ayat di atas satu gambaran bahawa kehidupan seseorang yang tidak beriman terhadap hari akhirat leka dengan kenikmatan dunia ini. Kedudukannya sama seperti petani yang kagum melihat tanamannya yang subur pada musim hujan. Dia tidak membuat persiapan untuk menghadapi musim selepasnya, lalu bila ketiadaan hujan musnahlah tanamannya.

Keadaan ini tentu berbeza dengan mereka yang beriman terhadap hari akhirat. Mereka pasti membuat persiapan sepanjang kehidupan di dunia. Peluang bermain, berhibur dan berhias di dunia diguna sepenuhnya untuk menuju akhirat. Sikap mereka ini sudah pasti mendapat keampunan Allah dan keredaan-Nya. Yang pasti, dunia yang dilalui itu tidak menipunya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Krisis keturunan, pewarisan

Posted by epondok di Mei 31, 2010

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

 

Perkahwinan memelihara nasab dan keturunan selain mengelak timbulnya krisis keturunan manusia. – Gambar hiasan

 

DALAM pembinaan masyarakat dan negara, institusi keluarga sangat penting. Dalam Islam, ia bukan sahaja terbatas sebagai penerus keturunan, malah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan.

Firman Allah SWT: Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan mu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (an-Nisa’: 1)

Berdasarkan ayat tersebut, jelas institusi keluarga amat penting dalam pembentukan watak dan peribadi setiap anggotanya.

Ia mengekalkan kehidupan manusia dan kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi serta sebagai sumber modal insan yang berguna pada umat, bangsa dan negara pada masa depan.

Krisis keturunan

Justeru, pembinaan institusi keluarga bukanlah sesuatu boleh dianggap enteng dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia.

Terdapat kecenderungan pada manusia hari ini untuk tidak percaya kepada institusi kekeluargaan kerana menganggap ia menyusahkan disebabkan terikat dengan komitmen yang banyak. Sememangnya perubahan zaman sedikit sebanyak menjejaskan pembentukan institusi keluarga.

Manusia menjadi lebih sibuk untuk menyara diri dan keluarga, menjadi punca mengapa institusi kekeluargaan semakin mengecil.

Statistik kesuburan wanita dan kadar kelahiran di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) misalnya, menunjukkan penurunan daripada purata empat kelahiran setiap wanita pada 1960 kepada 2.1 kelahiran pada 2008.

Begitu juga dengan di negara maju lain seperti Jerman, Australia, Kanada, Hong Kong dan di negara-negara yang mempunyai kaedah perancangan keluarga yang lebih baik.

Malaysia juga tidak lari daripada masalah ini, iaitu dari purata tujuh kelahiran bagi setiap wanita pada 1960 kepada purata 2.56 kelahiran pada 2008.

Malah di negara-negara membangun dan miskin, kadar kesuburan wanita dijangka terus menurun. Namun ada juga yang menunjukkan peningkatan kesuburan. Contohnya, Israel iaitu purata 2.96 kelahiran setahun. (Dipetik dari World Bank, World Development Indicators 2010)

Sekiranya ini berlarutan dalam jangka panjang, kita akan menghadapi krisis genetik dan pewarisan. Pembinaan keluarga boleh menjadi suatu masalah besar pada masa akan datang.

Pada masa yang sama amalan berkeluarga besar semakin menghadapi masalah. Malah ia diburukkan pula dengan budaya lesbian dan gay yang semakin meningkat.

Semua ini memberi kesan kepada keturunan dan genetik pada masa akan datang.

Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa supaya adanya lita’arafu yakni saling berkenalan (al-Hujurat: 13)

Allah juga memberi asas kisah sejarah yang sangat jelas seperti yang terjadi pada kaum Nabi Lut. Kisah kaum Nabi Lut adalah satu teladan tentang perbuatan manusia yang ingkar dan akhirnya Allah telah menghancurkan kaum ini. Bahkan kesannya dikatakan dapat dilihat secara jelas di Laut Mati.

Kerosakan akhlak yang terjadi dan percubaan manusia untuk mengubah hakikat dan fitrah manusia, akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan bala yang dahsyat.

Tanpa kawalan

Krisis pewarisan yang terjadi pada hari ini juga adalah akibat corak pergaulan dan perhubungan bebas tanpa batasan. Ia menyumbang kepada penyakit sosial dan penyakit-penyakit seperti HIV/Aids yang tiada penawar.

Inilah yang terjadi sekiranya manusia cuba melanggar hukum alam yang telah Allah tetapkan.

Untuk mengatasinya, para saintis berusaha mencari jalan untuk mencari kaedah-kaedah saintifik untuk mengembangkan keluarga.

Tradisi saintifik memberi fokus kepada kajian genetik, teknik klon, bayi tabung uji berkembang sehingga terdapat kalangan gen artis-artis popular dijadikan sebagai bayi tabung uji tanpa ikatan perkahwinan.

Begitu juga dengan isu ibu tumpang, yang jelas menyalahi nasab dan keturunan seseorang.

Di Barat, institusi keluarga sedang bergelut dengan masalah ini kerana meningkatnya kelahiran tanpa nikah. Begitu juga di negara-negara membangun seperti Malaysia yang dibincangkan pada siri yang lalu.

Kajian saintifik untuk kebaikan tidak salah. Tetapi jika untuk mengubah fitrah yang Allah tetapkan dan mengikut nafsu hasilnya boleh membawa kesan lebih buruk. Apatah lagi jika dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan nafsu dan diri.

Kita tidak menafikan perubahan dalam masyarakat turut merubah struktur keluarga. Khususnya pada keluarga nukleus, ayah dan ibu adalah pemindah model daripada budaya genetik kepada anak-anak mereka.

Dalam masyarakat hari ini, ayah terus bekerja di luar rumah untuk menunjang anggota keluarganya.

Taraf hidup yang tinggi

Namun taraf hidup yang tinggi menyebabkan ibu juga berperanan mencari rezeki. Apatah lagi sekiranya ibu mempunyai pendidikan tinggi. Tugas ibu bapa menjana intelek anak menjadi lebih ringan dan dilepaskan pada pihak lain.

Ada anak-anak yang diabaikan dan membesar dalam kepincangan kasih sayang ibu bapa, lalu menjadi manusia yang kuat memberontak dan degil. Natijahnya bukanlah sesuatu yang baik dalam pembinaan peribadi seseorang manusia.

Bagaimana untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan harmoni sekiranya institusi kekeluargaan tidak dibina secara baik?

Untuk mempunyai struktur kekeluargaan yang baik perlu ada pendidikan, pembentukan keperibadian, pembinaan nilai dan pengarahan ke arah ciri ciri keagamaan dan kebudayaan.

Tidak ada institusi lain yang dapat mengambil alih peranan institusi keluarga secara menyeluruh.

la diasaskan atas rasa tanggungjawab di kalangan setiap ahli.

Membentuk institusi keluarga yang seimbang dan berkualiti bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya dilakukan dengan komitmen yang penuh dan berterusan.

Institusi keluarga adalah tiang asas pembinaan masyarakat dan negara. Peranan keluarga dalam pembentukan seseorang adalah sangat penting bagi menjana modal insan yang lebih berjaya dan bermutu.

Malah, Islam memberi penekanan yang tinggi kepada pembinaan keluarga kerana setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap diri sendiri, sesama anggota lain dan masyarakat.

Sekiranya asas ini rosak akibat kelalaian manusia yang terlalu mengikut nafsu, maka akan berlaku kepincangan dalam membina sebuah negara bertamadun dan berjaya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kalimah ALLAH Tertera Pada Daging Burger

Posted by epondok di Mei 31, 2010

 

Menjelang 1430H/2009 iaitu sejak tahun 2006/2007/2008/2009/2010, kalimah Allah telah muncul boleh dikatakan disegenap pelusuk dunia. Ini sudah tentu suatu ‘alamat’ dari Allah Yang Maha Kuasa kepada manusia akan kebangkitan Islam akhir zaman. Tetapi amat sedikit manusia yang memahami akan alamat dari Allah SWT ini.
Terbaru, kalimah Allah tertera pada daging burger selepas digoreng oleh seorang kanak-kanak. Kalimah Allah itu amat jelas kelihatan pada masa mula di masak tetapi huruf aliff hilang selepas semalaman di simpan dan yang jelas kelihatan hanyalah “Lillah”..Subhanallah

  Gambar Ihsan dari http://blog.syazwanwi.com

Allah SWT berfirman:

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu. (Fussilat 41: 53)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hormati perbezaan agama kekal perpaduan

Posted by epondok di Mei 31, 2010

Oleh Zainurrijal

Mencari kesamaan antara kepercayaan jaminan keharmonian kaum di negara berbilang bangsa

TIDAK dapat saya bayangkan jika berlaku di Malaysia, iklan dipamerkan mengajak umat Islam untuk murtad seperti yang berlaku di New York, Amerika Syarikat. Dilaporkan pemimpin anti-Islam menggunakan 30 bas bagi memaparkan iklan yang menyasarkan umat Islam supaya murtad.

//

Projek ini dipelopori Pamela Geller yang mengetuai gerakan ‘Stop Islamization of America’ atau ‘Henti Islamkan Amerika’. Geller mempunyai motif tertentu dalam melancarkan projek berkenaan. Iklan itu memaparkan persoalan yang boleh menggalakkan umat Islam murtad

Sambil menafikan iklan terbabit mencetuskan kemarahan orang Islam dan sejajar dengan kebebasan beragama, Geller mengatakan iklan itu tidak memfokuskan kepada umat Islam yang patuh kepada ajaran agama Islam tetapi hanya memberi alternatif kepada orang yang ingin keluar Islam saja.

Sambil berselindung di sebalik lenggok penggunaan bahasa dan hak kebebasan beragama, pihak berkuasa Amerika membenarkan penggunaan iklan berkenaan.

Jika diimbau dari segi sejarah, kita dapati tidak ada di negara Islam, orang bukan Islam dihina dan disogok untuk meninggalkan agama sebegitu rupa. Malah tidak dapat dinafikan orang bukan Islam memeluk Islam dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa dipaksa atau diperdaya dengan pelbagai janji.

Tindakan dilakukan Geller itu hanya akan mencetuskan ketegangan beragama di kalangan masyarakat berbilang kepercayaan. Ia bukan tindakan bijak bagi menangani isu perbezaan beragama, malah akan melebarkan jurang perbezaan dan konflik beragama. Di Malaysia, walaupun Islam dinamakan sebagai agama bagi persekutuan dan Islam satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, agama lain bebas diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian.
Sudah pasti perbezaan antara agama itu wujud tetapi yang lebih penting bagi kita sekarang ini bukanlah memperbesar-besarkan perbezaan berkenaan tetapi mencari kesamaan antara agama bagi menjadi nukleus kepada perpaduan kaum serta tidak sampai mempertikaikan ajaran sesuatu agama itu sendiri.

Dialog antara agama dianjurkan bagi memahami dengan lebih mendalam agama lain dan pada masa sama kita hendaklah berhati-hati agar dalam keghairahan berdialog itu, kita tidak terlalu emosi sehingga mempersoalkan ajaran ‘intra agama’ itu yang boleh mengguris hati penganut agama lain.

Seperti kita tidak mahu melihat agama kita diherdik, kita juga sepatutnya tidak menghina agama lain dan bersikap toleran dengan penganut agama lain. Malah ini juga menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Kita amat bertuah di bumi Malaysia ini kerana insiden seperti yang berlaku di New York itu tidak terjadi di sini. Bagaimanapun bibit-bibit ke arah itu sudah mula dapat dirasakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, andai fenomena ini tidak dikekang daripada awal, tidak mustahil apa yang berlaku di Amerika Syarikat itu akan terjadi di Malaysia.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam di tempat yang istimewa, tanpa penghayatan sebenar erti dan tafsiran perlembagaan itu sendiri, sudah pasti rakyat Malaysia akan hanyut dibuai insiden yang berlaku di luar negara.

Tiupan taufan yang membadai dari luar negara itu sudah tentu tidak seindah angin sepoi-sepoi bahasa yang dinikmati rakyat Malaysia kerana taufan itu pastinya akan mendatangkan kerosakan yang mungkin tidak dapat dibaiki lagi.

Gerakan memperkasakan Islam di Malaysia dan meletakkan Islam di tempat sewajarnya tidak sedikit pun menggugat kepercayaan orang bukan Islam. Islam sendiri mengajar tiada paksaan bagi orang bukan Islam memeluk agama Islam. Malah menjadi suatu doa kerana bertentangan dengan ayat al-Quran bagi orang Islam memaksa orang bukan Islam memeluk Islam.

Orang bukan Islam tidak harus gusar dengan tuntutan orang Islam memperkasakan kedudukan Islam di Malaysia. Tidak akan ada iklan yang cuba mempengaruhi orang bukan Islam supaya meninggalkan agama mereka sekiranya Islam dilaksanakan sepenuhnya.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan menegakkan negara Islam yang bersandarkan kepada dustur al madinah. Tidak ada seorang pun orang bukan Islam di kalangan orang Yahudi dan Kristian yang dipaksa memeluk Islam ketika itu. Malah perniagaan dan harta orang bukan Islam itu juga dijamin Rasulullah SAW.

Perkara yang lebih menarik lagi di dalam beberapa pertikaian yang dibawa ke penghakiman pula pada zaman Rasulullah dan sahabat Baginda, ada antaranya pertikaian di antara orang Islam dan bukan Islam. Malah di kalangan orang Islam itu pula ada antara mereka yang menjadi pemimpin negara.

Namun kehakiman Islam tidak memberi kelebihan kepada orang Islam mahupun pemimpin negara Islam di dalam penghakiman mereka. Penghakiman Islam hanya bersandarkan kepada bukti dan beban pembuktian seperti disyariatkan tanpa mengambil kira walaupun yang bertikai itu adalah pemimpin negara.

Dalam hal yang demikian, jelaslah bahawa dalam sistem kenegaraan Islam, rakyat diutamakan dan keadilan ditegakkan. Kebebasan beragama amat dihargai dan tidak akan berlaku penghinaan terhadap agama seperti yang berlaku di Amerika Syarikat itu.

Rakyat Amerika Syarikat yang mengakui mengamalkan kebebasan beragama perlu membuka minda mereka sendiri dan tidak melihat sesuatu melalui kacamata yang kabur. Seperti mereka tidak mahu agama mereka dicerca, janganlah menghina atau membangkitkan semangat anti agama terhadap mana-mana agama pun

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »