Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Mei 2010

Filem Sekuel Sex and the City hina Islam

Posted by epondok di Mei 29, 2010

Media Amerika anggap watak, skrip cerita persenda wanita Muslim

 

LOS ANGELES: Sex and the City 2 (SATC 2) dianggap mempersenda agama dan orang Islam, menurut ulasan awal filem berkenaan.

Sekuel yang mula ditayangkan minggu ini menyaksikan watak utama, Carrie Bradshaw dan rakannya berkunjung ke Abu Dhabi dalam lawatan yang ditaja sepenuhnya

Di sana, mereka berhadapan sikap lelaki Asia Barat yang tidak adil terhadap wanita serta menyindir wanita memakai niqab

Watak Kim Cattrall sebagai penggoda, Samantha, menolak cara berpakaian konservatif tempatan dengan berpakaian nipis mendedahkan tubuh.

Pengulas majalah The Hollywood Reporter, Stephen Farber, berkata: “Gambaran tajam mengenai masyarakat Islam tidak syak lagi bakal mengundang kontroversi.

“Ada beberapa perkara dalam filem itu yang cuba memberi tafsiran politik tidak tepat. SATC 2 bertemakan wanita dan terang-terang anti-Islam, yang bermaksud ia mungkin mengundang pandangan liberal.”

“Pendirian bertentangan filem itu ditunjukkan dalam satu adegan di mana wanita terbabit melakonkan versi karaoke lagu I Am Woman dendangan Helen Reddy dalam sebuah kelab malam Abu Dhabi.
“Saat paling melampau apabila orang yang masuk campur diselamatkan sekumpulan wanita Islam yang menanggalkan jubah hitam mereka untuk mendedahkan pakaian ala Barat di sebaliknya,” katanya.

Ulasan lain di Amerika sependapat dengan sentimen itu. Pengkritik majalah Variety, Brian Lowry berkata, filem itu menggambarkan ‘beberapa hal tidak meyakinkan mengenai layanan ke atas wanita Islam. Walaupun ia sepatutnya kota Arab yang pesat membangun, ceritanya menunjukkan keangkuhan bukan menimbulkan kesedaran.’

Penulis majalah Slant, Ed Gonzalez berkata: “Ia seolah-olah filem yang membanggakan diri sendiri. Ia membawa gadis Sex and the City ke Asia Barat supaya mereka boleh bersikap hidung tinggi terhadap politik jantina rantau itu.”

Bagi penulis majalah New Yorker, David Edelstein, pula berkata: “Pemikiran di sebalik filem itu (ditulis dan diarah oleh Michael Patrick King) tersembunyi. Bermula dengan perkahwinan gay melampau!

“Kemudian hantar wanita ke Abu Dhabi supaya mereka boleh menghuru-harakan keadaan dengan seksualiti mereka! Selepas itu, mereka perkecilkan wanita memakai niqab namun adegan selepas itu menonjolkan penyatuan feminis! Mereka kelihatan hebat di padang pasir dan disaksikan pemuda Arab muda.”

Pembuat filem itu gagal mendapat kebenaran melakonkan filem terbabit di bandar Teluk terbabit oleh pihak berkuasa dan adegan itu sebaliknya diambil di Maghribi, namun skrip filem masih mengekalkan suasana di Abu Dhabi. Tayangan perdana SATC 2 berlangsung di Britain, kelmarin. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Dahsyatnya huru-hara qiamat

Posted by epondok di Mei 29, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Gempa bumi yang berlaku hanyalah sedikit daripada gambaran keadaan kiamat yang dijanjikan oleh Allah. – gambar hiasan


SURAH al-Takwir ini termasuk dalam kategori surah Makkiah. Ia berjumlah 29 ayat dan diturunkan selepas surah al-Masad. Hubungan surah ini dengan surah Abasa yang terdahulu ialah kedua-duanya menceritakan peristiwa hari kiamat dan bala bencananya.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama’un fatarat dan idhassama’un shaqqat”.

Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan.

Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT.

Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala.

Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.

Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting.

Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi.

Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi.

Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja. Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah.

Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: “Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam”.

Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya’bi.

Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan.

Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.

Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghilang.

Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah.

Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s.

Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan.

Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi’ bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak.

Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya.

Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Millatfacebook cabar Facebook

Posted by epondok di Mei 29, 2010

Profesional IT Pakistan cipta web lawan kempen hina nabi, Islam

ISLAMABAD: Sekumpulan warga Pakistan mencipta laman web baru untuk menghubungkan 1.6 bilion Muslim selepas berang dengan laman Facebook kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad selain mewujudkan saluran baru melawan propaganda anti-Islam.

Kumpulan itu membabitkan enam profesional teknologi maklumat (IT) di pusat budaya dan hiburan Pakistan, Lahore, yang melancarkan laman web http://www.millatfacebook.com, awal minggu ini.

Ia dilancarkan selepas mahkamah Pakistan mengarahkan sekatan ke atas Facebook sehingga Isnin ini atas bantahan terhadap satu laman Everyone Draw Mohammed Day (Hari Lakar Muhammad) yang menghina Islam

“Millatfacebook dicipta bagi memenuhi keperluan sosial penduduk Pakistan. Laman untuk Muslim termasuk orang lain yang baik daripada agama lain turut dialu-alukan,” kata laman web itu kepada yang berminat menjadi ahli.

“Kami mahu beritahu ahli Facebook bahawa mereka akan terima padah jika mengganggu kami,” kata Ketua Pegawai Operasi syarikat yang menempatkan laman itu, Usman Zaheer, 24.

“Jika ada orang menghina nabi, kami akan jadi lawan mereka dan menyebabkan mereka rugi besar,” katanya yang bermimpi menjadikannya laman sosial terbesar Muslim.

Dikenali dengan singkatan MFB, seperti juga FB bagi Facebook, pengasasnya berkata, pakar IT kini berusaha memasukkan ciri-ciri lain ke dalamnya bagi mencabar pesaing dari California itu.
Setiap ahli memiliki ‘dinding’ untuk ulasan sahabat selain mengandungi kemudahan emel, foto, video, ruang sembang dan perbincangan.

Perkataan ‘Millat’ adalah bahasa Urdu yang biasa digunakan untuk merujuk kepada negara. Laman web itu sudah mempunyai 4,300 ahli selepas tiga hari dilancarkan, kebanyakannya warga Pakistan yang boleh berbahasa Inggeris dalam lingkungan usia 20-an.

Angka itu jauh lebih kecil daripada keahlian Facebook di Pakistan buat masa ini sebanyak 2.5 juta dan ulasan awal menunjukkan MFB memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar menyaingi FB.

Bagaimanapun, Usman gembira dengan hasil awal laman web itu yang sudah menarik penyertaan warga Britain, Bulgaria, Kanada, China, Russia, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. – AFP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Peguam syarie mesti ada roh Islam bagi tentang kezaliman

Posted by epondok di Mei 29, 2010

Oleh Mohamad Isa

Khidmat utama ialah menegakkan keadilan, bela nasib anak guam

SEKIRANYA kita memperkatakan mengenai peguam syarie, tergambar di benak fikiran kita bahawa dia adalah seseorang yang menjadi peguam, membela anak guamannya di Mahkamah Syariah bagi kes yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Lazimnya, peguam syarie akan memberikan khidmat guamannya kepada pelanggan untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya daripada peguamnya.

Dengan harapan anak guam itu, timbul persoalan sama ada peguam syarie yang dilantik oleh anak guam itu akan membela anak guamnya tanpa mengira sama ada anak guam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa sama ada seseorang peguam syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai peguam syarie, amanah Allah hendaklah diutamakan

Dalam menjalankan amanah Allah ini, seorang peguam syarie hendaklah meletakkan pada dirinya sikap untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang kezaliman termasuk tidak bersekongkol dengan kezaliman.

Sehubungan dengan itu, peguam syarie mestilah Islam serta mempunyai roh atau kepercayaan Islam bagi menentang segala kezaliman serta menegakkan keadilan. Persoalan timbul mengapa perlu seorang peguam syarie menegakkan keadilan?
Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak. Syariah atau undang-undang Islam bertujuan menegakkan keadilan mutlak.

Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya daripada dicabul, merampas hak orang lain bererti zalim. Islam tidak pernah bertolak ansur dalam menegakkan keadilan.
Keadilan yang wajib ditegakkan meliputi semua aspek dan bidang, termasuk dari segi undang-undang, pembahagian kekayaan, tindak-tanduk dan seterusnya. Ini termasuk dari segi mendengar perbicaraan, memutuskan kes, mengemukakan fakta, keterangan dan pengolahan serta pembentangan kes semasa perbicaraan.

Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam. Peguam juga hendaklah mematuhi perintah Allah ini. Mereka wajib menegakkan keadilan walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan.

Keredaan Allah hendaklah menjadi matlamat hidup. Hawa nafsu, perasaan kasihan dan marah tidak boleh menjadi motif tindakan. Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang dalam sesuatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredaan Allah dan kemuncak kejayaan dalam menjalankan tugas serta memainkan peranan sebagai peguam ialah berjaya menegakkan keredaan Ilahi.

Peguam yang melaksanakan tugasnya dengan cermat, amanah dan adil bererti melakukan ibadah kepada Allah. Selain peguam syarie berperanan menegakkan kebenaran, mereka ini juga berperanan menentang segala bentuk kezaliman.
Ini kerana undang-undang Islam bertujuan memberi keadilan dan mengelakkan kezaliman. Kepentingan individu hendaklah dipelihara di samping kepentingan masyarakat, hak individu dijamin, dipelihara dan dipertahankan, setiap pencabulan dan kezaliman hendaklah dielakkan serta dihapuskan.

Dengan mempunyai asas untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang bentuk kezaliman, peguam syarie mempunyai peranan besar di mahkamah. Tugas peguam syarie sebagai pegawai mahkamah ialah membantu mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Selain itu, peguam syarie juga bertindak sebagai wakil anak guamannya dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan peguam syarie, tugas dan tanggungjawab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip wakalah.
Umumnya hubungan di antara peguam syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah dalam Islam. Perkataan wakalah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah.

Apabila dikatakan seseorang itu ‘wakil’ bererti ia adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan dilakukannya. Justeru itu, prinsip wakalah ini hendaklah disalurkan kepada orang yang berkelayakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.” (Surah Al-Isra:2)

Seorang peguam syarie juga hendaklah seorang yang berakhlak mulia seperti dituntut Islam. Selain itu juga seorang peguam syarie juga perlu mempunyai niat baik serta meniatkan tugas dan peranannya sebagai suatu ibadah kerana ia adalah tugas mulia yang pernah dimainkan oleh sahabat.

Peguam syarie juga hendaklah berpengetahuan syariah yang mendalam. Pengetahuan syariah tidak akan mendalam jika mereka tidak berkemampuan untuk merujuk kepada kitab-kitab muktabar. Selain itu, peguam syarie juga mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan tugas mereka seperti Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara dan sebagainya.

Dengan itu, peguam syarie hendaklah mempertingkatkan kemampuan mereka mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan tugas mereka. Akhlak sebagai Islam hendaklah dihayati dan etika sebagai seorang peguam syarie hendaklah dijaga agar profesion ini dipandang tinggi.

Ini juga tugas serta peranan Rasulullah dan sahabat terdahulu dalam menegakkan hukum Allah di muka bumi ini serta bagi menentang sebarang bentuk kezaliman. Justeru, seseorang yang mahu mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah termasuk peguam syarie bukan saja perlu mahir dengan undang-undang, beragama Islam malah perlu menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam agar yang hak dapat ditegakkan dan yang batil dapat dihapuskan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »